#SAYANGSAYANG

Sunday, December 30, 2012

RIWAYAT PENULISANKU (2012)


Terasa cepat benar masa berlalu (ungkapan yang sangat klise). 2012 pula akan melabuhkan tirainya. Alhamdulillah, saya masih lagi menulis pada tahun 2012. Jika, pada tahun 2011 saya begitu berhasrat untuk melihat cerpen saya di media, ‘Tempe Malaya’ telah merealisasikannya. Tahun 2012, sasaran saya ialah ingin menulis lebih banyak cerpen dan salah satunya perlu menembusi dinding kebal Mingguan Malaysia. 2012 juga punya cerita yang tersendiri, apabila, 4 minggu berturut-turut karya saya disiarkan di surat khabar. Mana tidak senyum lebar. Saat indah ini dimulakan dengan penyiaran puisi ‘Bisik Cinta Sang Angin’ dalam Mingguan Malaysia bertarikh 29 Januari 2012, seterusnya puisi ‘Angkuh di Bumi Tuhan’ disiarkan dalam Berita Minggu pada 5 Februari 2012. Minggu berikutnya pula puisi ‘Falsafah Nan Renta’ menjadi pilihan editor untuk disiarkan dalam akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 12 Februari dan seterusnya melengkapi empat minggu berturut-turut ialah penyiaran cerpen ‘Naskhah Tok Lah’ dalam Berita Minggu yang bertarikh 19 Februari 2012.
            Sebenarnya untuk tahun ini juga begitu menggembirakan apabila dipelawa oleh editor Tunas Cipta untuk mengisi ruangan Buah Pena Alumni MPR. Sekurang-kurangnya ada juga karya saya disiarkan dalam Tunas Cipta memandangkan saya tidak meletakkan fokus untuk menghantar karya ke Tunas Cipta pada tahun 2012. Walau bagaimanapun terdapat beberapa ralat dalam rencana juga cerpen yang saya kirimkan setelah diedit. Cerpen itu juga sebenarnya telah saya karang sejak tahun 2010 lagi dan apabila membacanya setelah disiarkan begitu, sangat mengguris hati saya-jujur.
            2012 juga amat bermakna memandangkan saya telah mempunyai antalogi bersama beberapa orang penulis muda yang lain di bawah label Legasi Oakheart. Saya kira ini merupakan medan yang sangat bagus kepada kami memandangkan kami penulis baharu. Bukan mudah untuk menjadi ‘seseorang’ dalam mandala ini. Macam-macam yang pernah saya lalui- saya pernah menjadi bahan provokasi sebagai orang yang berlagak seperti orang lama, manuskrip ditolak-perkara biasa bagi seorang penulis, sudah mendatangani perjanjian-tidak menerima duit pendahuluan-dijanjikan penerbitan manuskrip sebelum PBAKL bla bla bla- tak terbit-terbit, dijanjikan mengikut giliran selepas novel bla bla bla-saya umpamakan bulan memang tidak akan jatuh ke riba, tulisan yang disiarkan diedit sehingga membawa makna yang lain dan saya rasa mahu menangis! Oleh yang demikian, berada dalam keluarga Legasi Oakheart sudah menggembirakan saya, membuatkan saya sukar untuk menaruh percaya pada kelompok yang lain kerana saya sedar, saya hanya sezarah cuma.
            Berikut saya perturunkan hasil penulisan saya yang disiarkan sepanjang tahun 2012:
Januari
-Puisi ‘Bisik Cinta Sang Angin’ – Mingguan Malaysia, 29 Januari
Februari
-Puisi ‘Angkuh di Bumi Tuhan’ – Berita Minggu, 5 Februari
-Puisi ‘Falsafah Nan Renta’ – Mingguan Malaysia, 12 Februari
-Cerpen ‘Naskhah Tok Lah’ – Berita Minggu, 19 Februari
April
-Puisi ‘Kau Dagang Hijau Mereka – Tunas Cipta
-Puisi ‘Adalah Engkau Penghukum’ – Mingguan Malaysia, 29 April
Jun
-Cerpen ‘Katak di Bawah Tempurung’- Mingguan Malaysia, 10 Jun
Julai
-Cerpen ‘Jerami Kasih’- Harmoni 1-15 Julai
-Luahan Minda ‘Memperkenalkan SN Wajar diteruskan’ – Tunas Cipta
September
-Puisi ‘Wasiat Lewat Petang’ – Berita Harian Ahad, 30 September
-Antalogi Puisi Elegan, Tadahan Jiwa Penulis
            1.Hikayat Rindu Buat Penyair
            2. Jubah dan Kopiahmu
            3. Pinjamkan Aku Potret Semalam
            4. Molek Sebiji Epal
Disember
-Rencana Buah Pena Alumni MPR ‘Kisah Percintaan Saya’- Tunas Cipta
-Cerpen ‘Seredup Belantara Cinta’ – Tunas Cipta 

Tuesday, December 18, 2012

BUAH PENA ALUMNI MPR -KISAH PERCINTAAN SAYA

Alhamdulillah, editor majalah Tunas Cipta yang sebelumnya telah mempelawa untuk mencoretkan perjalanan penulisan saya dalam majalah 'Sastera Generasi Baharu' sebagai mantan MPR 2009. Saya pun mencoretlah tulisan ini dan ditangguhkan penghantarannya memandangkan saya sibuk dengan pengajian yang baru sahaja bermula serta perlu menguruskan beberapa hal berkaitan hari bersejarah saya sebagai seorang mahasiswa. Akhirnya, tulisan saya menghiasi majalah tersebut untuk keluaran Disember 2012-sangat signifikan saya kira kerana genaplah tiga tahun saya bergelar graduan MPR. (MPR 2009 berlangsung pada 19-25 Disember). Pun begitu dua lagi rakan MPR 2009 yang cukup hebat terlebih dahulu menghiasi ruangan ini iaitu Syukri Sapuan dan Nurul Farehah. Alhamdulillah, semoga selepas ini giliran adik-beradik yang lain pula. Terima kasih juga yang sedaya upaya mendapatkan majalah ini yang sememangnya sukar untuk ditemui di pasaran. 

Walau bagaimanapun, saya memohon maaf atas beberapa kesalahan fakta dalam rencana, kesalahan penerangan gambar serta jika rasa kekurangan apabila membaca cerpen 'Seredup Belantara Cinta'. Saya mohon maaf. Terima kasih kepada mereka yang bertungkus-lumus menyiarkan tulisan saya ini. Sesungguhnya, saya hanya insan kerdil dalam mandala penulisan ini!

 Bergambar bersama Puan Nisah Haji Haron ketika Seminar Penulisan Novel Tarikan Penamu UUM

 Antalogi  Puisi Elegan, terbitan sulung Legasi Oakheart

 Anugerah Khas Juri, Rangkap Pantun Boria Terbaik


Terima kasih Tuhan, atas segala cinta!-Mohd Haniff Mohammad Yusoff

Nota: Saya tidak pernah menjadi pengadil pertandingan boria, apatah lagi menghakimi karya sendiri dalam pertandingan dan sekali gus memberi kemenangan kepada karya saya. Tidak logik di situ. Sejarah boria pun belum saya kaji lagi.

Sketsa:
Kak Peah: Lawanya gambaq hang Rokiah, sat ni aku nak buat layout elok-elok kat album kahwin hang.
Rokiah: [hanya senyum...senyum...senyum...]

Dalam hati, Rokiah menangis setelah album gambar kahwinnya siap!

Thursday, December 6, 2012

ASAM GARAM PENULIS 2

Sambil menyiapkan tugasan yang berlambak ni, teringat pada Rokiah, sahabat penulis aku. Petang tu, aku terus jumpa Rokiah memandangkan aku ada di rumah. Rokiah seperti biasa, senyum, tapi tidaklah manis sangat senyumannya. Mesti ada batu di kepalanya yang terpaksa dia tanggung. Aku mengajak Rokiah bersembang agar batu di kepalanya relai. Relai menajdi pepasir halus, tak pun jadi debu-itupun kalau boleh. Rokiah cakap dia dah malu rasanya nak jawab bila orang tanya kenapa dia masih belum ada buku. Katanya lagi, mungkin orang lain tak rasa apa yang dia rasa. Rokiah juga ada cakap, janganlah terlalu menaruh percaya pada rumah penerbitan, walaupun rumah penerbitan yang masyur seantero dunia! Aku pun tanya pada Rokiah, rumah penerbitan mana yang masyur seantero dunia tu? Rokiah gelak kuat-kuat. Aku garu kepala. Kata Rokiah, dia sudah hantar manuskrip beberapa bulan lepas. Seterusnya dia kirim e-mel untuk mengetahui status manuskripnya, tetapi tiada balasan. Rokiah kecewa lagi. Kata Rokiah, orang tidak ada nama seperti kita memang susah untuk berkembang. Tiada siapa mahu layan. Kata Rokiah lagi, kalau pun manuskripnya ditolak, dia ingin menarik kembali manuskrip tu dah hantar ke rumah penerbitan Cap Kaki Empat sahaja, atau rumah penerbitan Itik Angsa Publications Sdn. Bhd. Kalau masih juga ditolak, terbitkan sendiri adalah cara terbaik. Aku katakan pada Rokiah, bersabarlah Kiah...-klise lagi nasihat aku kepadanya. Sebelum pulang ke rumah untuk menghadap tugasan yang bertimbun, Rokiah menyanyikan lagu Amy Mastura, Siapalah Aku. Aku tergelak-gelak melihat telatahnya dan mendengar suaranya yang agak serak-serak kering itu.

Friday, November 23, 2012

ASAM GARAM PENULIS

Kau tahu? Menjadi penulis itu harus kuat, biarpun orang kata penulis itu jiwanya lembut.Ahhh...itu kata orang. Ada orang setiap bulan berpuluh karya dihantar, masih jua belum tembus media. Kalau dia kecewa dan berhenti menulis, pasti dia tidak akan menjadi penulis lagi pada masa hadapan. Ada orang teringin memiliki buku sendiri. Fuhhh...selalu baca buku orang, alangkah indahnya ada buku sendiri. Hakikatnya hajat dia tak kesampaian, manuskrip ditolak oleh penerbit. Itu kisah Ema Zakia. Kisah si Rokiah lain pula. Katanya, manuskrip dia diterima, siap sudah tandatangan surat perjanjian. Berbulan-bulan tunggu, buku Rokiah tidak juga terbit. Rokiah cakap kes dia lagi berat dari kes Ema Zakia. Dia menanggung malu dengan kawan-kawannya yang sudah tahu dia akan mempunyai buku sendiri. Dia malu pada kawan-kawan penulis dia yang lain. Aku pun nasihatkan Rokiah agar dia bersabar. Klisenya nasihat aku. Aku pun nak jadi penulis, walaupun aku tahu asam garamnya begitu. Oleh itu, jadi penulis harus kuat! Ya, aku harus kuat biarpun tanpa minuman bercoklat ternama itu.

Wednesday, November 21, 2012

WASIAT LEWAT PETANG


Wasiat Lewat Petang

Ketika kami mampir di dermaga bahasa
sekawan burung terbang riang
riuh bercanda kala lewat petang
tetapi sayang seribu kali sayang,
kicaunya tiada lagi merdu santun
sayap jatinya mengepak angkuh
satu persatu bulu tamadun luruh
dan anehnya,
kami terasa asing
biarpun bertenggek pada pohon cemara
yang tumbuh di pulau pusaka.

Kami terbang membawa hati nan walang
meninggalkan saudara-saudara kami dengan titip wasiat:
supaya memelihara mulia bahasa nan berdaulat!

Suatu hari nanti kalian akan mengerti
sejauh mana kita mengepak sayap,
kita akan kembali ke sini
-dalam pencarian peradaban bangsa sejati.
(percayalah)

Mohd Haniff Mohammad Yusoff
Universiti Utara Malaysia

Berita Harian Ahad, 30 September 2012

Wednesday, November 14, 2012

HASIL TANGKAPAN TERBAHARU

Membeli buku adalah suatu kenikmatan, tetapi saya amat takut untuk membelinya dalam jumlah yang banyak. Cukup sekadar yang termampu mengikut wang dalam kocek dan kesediaan diri saya untuk membacanya. Dalam bulan ini sempat saya membeli dua buah buku dari dua gedung buku yang berbeza. Buku yang pertama saya beli di koperasi UUM, dengan harga yang istimewa iaitu antalogi cerpen remaja HSKU 2011. Buku yang kedua pula saya beli di Toko Buku Cahaya, satu-satunya pengedar buku-buku DBP di Alor Setar. Kedai yang kecil dan keadaan yang panas tidak saya hiraukan. Dari rak ke rak saya pergi, dari satu buku ke satu buku saya belek. Oleh kerana, azam saya tahun ini mahu membaca lebih banyak cerpen, saya sambar antalogi Hadiah Sastera Maybank-DBP 1996: Mercu 5.  Oh, bahagianya!

KATA MEREKA, TUNAS CIPTA JUN 2012

Hampir setengah tahun baru saya mengemaskini perihal ruangan 'Kata Mereka' dalam Tunas Cipta Jun 2012. Sebenarnya tiada pun karya saya dalam keluaran ini, malah sudah lama saya tidak mengirim karya kepada editor. Ya, agak sibuk sebenarnya kebelakangan ini. Dalam ruangan 'Kata Mereka', saya diminta untuk memberikan pendapat mengenai penampilan baharu majalah Tunas Cipta mulai Mei 2012. Pandangan saya disiarkan bersama pandangan abang Roslan Daud, abang Fairuz @MF Kencana dan dua lagi pandangan daripada pembaca Tunas Cipta.


Saturday, October 27, 2012

MANISNYA MAJLIS KONVOKESYEN

Saya menantikan saat saya naik ke pentas, saat gambar serta nama saya terpampang di skrin besar, dan saat emak dan ayah menyaksikan saya menerima ijazah pada hari penuh gemilang itu. Beberapa hari sebelum tibanya detik bersejarah itu, hati saya berdebar-debar, gembiranya perasaan ini sukar diungkapkan dengan kata-kata. Jika diimbas kembali, tempoh tiga tahun menuntut ilmu itu terasa amat singkat, tetapi tetap ada manisnya kerana dikelilingi sahabat-sahabat serta pensyarah-pensyarah yang manis! 






Sesi penganugerahan ijazah saya adalah pada waktu petang dan tidaklah saya terlampau terburu-buru pada pagi itu, tetapi kami dikehendaki hadir lebih awal sebagai persediaan. Tambahan pula, bukan main susah untuk mengenakan selempang di bahu dan perlu dipinkan agar tidak jatuh dan mengelebeh. Besiap-siaplah kami menegenakan jubah labuh, bertopi bersegi empat serta berselempang di bahu. Ketika bersiap-siap di Dewan Tan Sri Othman (tempat persediaan sebelum ke dewan utama), emak menelefon, katanya dia,ayah, tok dan wan sudah sampai. 

Setelah diberi taklimat dan sudah mengetahui kedudukan sebenar di dalam dewan sebenar, kami berbaris panjang berarak memasuki dewan utama. Pengalaman yang sangat menyeronokkan. Ketika berarak itu, ada segelintir kaum keluarga yang tunggu di sepanjang perjalanan dan paling mengharukan apabila ada seorang pensyarah menanti kami di sisi jalan berbumbung ketika ke dewan utama. Ketika itu, hati betul-betul tersentuh. Terima kasih Dr. K (Pensyarah 'Modern World History'). Perarakan kami masuk ke dewan diiringi pancaragam. Ketika melangkah masuk ke dewan, suatu lagi perasaan hinggap tanpa saya mampu ungkapkan dengan kata-kata. 

Saat saya menerima ijazah dari Tun Fairuz, saat saya melihat sahabat-sahabat lain dengan senyum manis menerima ijazah seperti saya juga, luruh segala masalah serta kekusutan yang berpaut pada jiwa. Oh, bahagianya konvokesyen. Itu yang saya rasakan. Paling menyentuh, saat semua graduan di minta tunduk hormat pada ahli keluarga yang hadir dan pensyarah-pensyarah selepas itu. Ketika itu, hati sekali lagi tersentuh, mahu mengalir juga air mata, tapi saya sedut dalam-dalam. Kaum keluarga pula bertepuk tangan ketika kami tunduk hormat. Tersentuh lagi! Sebelum majlis berakhir, kami diminta berdiri menyanyikan lagu kebangsaan dan lagu Biru Warna. Saya menyanyi penuh semangat dan cinta, rasa mahu sahaja saya menggantikan Tomok yang menyanyikan lagu Biru Warna versi baharu itu (kerana terlalu bersemangat). Sebelum keluar dari dewan, telefon bimbit saya tidak henti-henti berdering. (Maaf tidak dapat melayan panggilan dan sms yang masuk ketika itu)

Saya mencari keluarga saya di luar dewan, seorang demi seorang saya salam dan cium tangan mereka. Saat yang menyentuhkan hati juga. Emak memberikan saya sejambak bunga! Begitu juga beberapa individu yang lain sehinggakan sahabat-sahabat lain menegur hadiah saya lebih banyak daripada mereka. Saat bergambar bersama dengan sahabat-sahabat dan keluarga juga saat yang membahagiakan pada hari bersejarah itu. 

Benar, hari konvokesyen adalah hari bahagia, juga hari bersejarah buat diri dan insan-insan disekeliling kita. Selama ini hanya mendengar cakap-cakap orang akan kemanisannya berkonvokesyen dan apabila sudah melaluinya, terasa ingin lagi melaluinya. Ya, sangat manis! Terima kasih kepada semua yang sentiasa menyokong saya. 


NURUL FAREHAH JAAMAD- BUAH PENA ALUMNI MPR, TUNAS CIPTA SEPTEMBER 2012

Salam Satu Malaysia! Kali ini saya promosikan majalah Tunas Cipta September 2012 yang turut menampilkan Nurul Farehah Jaamad dalam ruangan Buah Pena Alumni. Secara peribadi mengenal Nurul Farehah ketika berbengkel di Port Dickson suatu ketika dahulu, beliau merupakan seorang yang pendiam orangnya. Dalam diam-diam, seorang yang rajin rupanya. Selepas sahaja MPR, bersungguh-sungguh beliau menghasilkan manuskrip dan nyatanya sangat membanggakan apabila beliau telah mempunyai beberapa buku yang telah diterbitkan. Dapatkanlah Tunas Cipta September 2012 ini yang turut menghidangkan karya kreatif penulis muda yang berpotensi semuanya. 

Saturday, October 20, 2012

BAHASA MELAYU D HATIKU

Sebenarnya ketika berada di semester akhir barulah saya terfikir untuk menyambung pelajaran. Ketika itu, minda saya benar-benar serius memikirkannya. Apabila memasuki alam praktikal, hati saya tidak berubah, masih tetap dengan pendirian untuk menyambung pengajian. Walau bagaimanapun saya tidak mahu terburu-buru, lalu hampir setahun saya berfikir serta berselidik tentang pengajian yang bakal saya sambung. Jujurnya, saya telah terpaut untuk menyambung pengajian dalan bahasa Melayu. Cita-cita saya sedari dahulu! Saya percayakan takdir yang ditentukan Tuhan dan akhirnya saya dapat apa yang saya hajati. Dalam kesedihan menerima berita permohonan saya untuk menyambung pengajian di UKM ditolak atas alasan saya bukan dari bidang bahasa, saya menerima panggilan dari UUM yang menerima permohonan saya selepas saya mengirimkan kembali surat tawaran sarjana yang tiba di rumah. Berbekalkan surat tawaran yang diberikan, saya memilih untuk menyambung pengajian dalam Bahasa Melayu Kontemporari. Pada mulanya, saya juga tidak yakin dengan permohonan saya itu memandangkan kawan-kawan lain sudah mula menerima surat tawaran rasmi. Tambahan pula kos yang saya pilih adalah menyimpang dari kos ketika di peringkat sarjana muda. Alhamdulillah, permohonan saya diterima untuk memulakan pengajian bagi semester September 2012/2013 dan sudah sebulan saya melaluinya!

Friday, September 21, 2012

MAJLIS PELANCARAN ELEGAN

Dek kekangan waktu serta kesihatan yang tidak menentu, saya tidak sempat untuk mengemaskini blog saya yang cantik ini. Sejujurnya, tanggal 1 September 2012 adalah tarikh yang bermakna buat saya dan seluruh kerabat Legasi Oakheart kerana terbitan sulung kami dilancarkan, malah sangat bermakna kerana dilancarkan oleh Sasterawan Negara yang ke-10, SN Dato' Anwar Ridhwan. Antalogi puisi ELEGAN turut dilancarkan bersama 3 lagi naskhah terbitan Grup Karyawan Luar Negara. Ini merupakan kali kedua saya berjumpa SN ke-10 ini selepas kali pertama berjumpa ketika menyertai MPR 2009. Saya benar-benar bersyukur, kerana akhirnya antalogi puisi Elegan yang kami usahakan bersama ini berjaya diterbitkan. Sejujurnya, saya sendiri tidak pernah mempunyai buku sendiri, malah tidak pernah menyertai mana-mana antalogi pun. Ya, inilah buku pertama saya, bukti saya menulis! Alhamdulilllah, untuk cetakan pertama, habis dijual dan dalam perancangan untuk dicetak lagi. Kepada yang ingin memesan, layangkan sahaja pesanan kalian menerusi emel, blog ataupun Facebook peribadi saya. Saya muatkan gambar-gambar yang berkenaan untuk bercerita kepada kalian sempena kelahiran ELEGAN! Terima kasih kepada semua yang terlibat.










Wednesday, September 5, 2012

KITA ADALAH 'JIGSAW PUZZLE'

Adakalanya kita membiarkan sahaja kata-kata itu berhembur melata tanpa kita berfikir terlebih dahulu.
Kita lupa untuk mentafsir takdir yang telah ditentukan. Umpamanya pertemuan kita ini! Saat aku memesan air Nescafe ais, kau pula 'Ane, Milo tabur satu!' Ahhh, kita periksa latar belakang setiap dari kita pula. Ketika itu kita nampak jurangnya yang kita sendiri tidak mahu bangkitkan kerana yang kita tawarkan adalah keikhlasan dalam perhubungan. Perbezaan itulah yang menyatukan kita dan kerana perbezaan itulah menjadikan hari-hari kita semakin indah. Mungkin kita tidak dapat melihatnya tetapi itulah hakikatnya kerana perbezaan itu menjadikan kita saling lengkap-melengkapi. Waktu itu juga, kita menyedari mengapa Tuhan mempertemukan kita. 


*Salam manis dari saya buat kalian!

-gambar: GOOGLE-

Saturday, August 11, 2012

ANTALOGI PUISI ELEGAN ~Tadahan Jiwa Penulis~


Alhamdulillah, syukur dipanjatkan kepada Tuhan atas segala kurniaan-Nya. Akhirnya, antalogi puisi 'ELEGAN' yang dijayakan oleh 16 orang penulis kesemuanya dan turut menerima kata pengantar daripada penulis Fahd Razy telah pun siap dicetak. Merupakan terbitan sulung Legasi Oakheart dan akan mula berada di pasaran mulai 1 September 2012. Dapatkan naskhah edisi terhad dengan harga promosi iaitu hanya RM 15 sahaja. Tempahan juga boleh dibuat mulai sekarang sama ada meninggalkan nama anda di inbox akaun Facebook saya dan juga di ruangan maklum balas catatan ini.


ISTIMEWANYA TUNAS CIPTA JULAI 2012



Maaf sekiranya saya baru mempromosikan majalah keluaran bulan Julai, tetapi saya percaya ianya masih panas di pasaran. Menariknya majalah Tunas Cipta bulan Julai  adalah: menampilkan Tuah Sujana dalam ruangan Bicara Tunas dan Sayidah Mu'izzah dalam ruangan Buah Pena Alumni MPR. Kedua-duanya merupakan penulis muda yang tampil dengan karya-karya yang baik. Semoga kejayaan, pengalaman serta segala yang dikongsikan mereka dalam tulisan mereka menerusi ruangan ini mampu memberi inspirasi kepada penulis muda yang lain. Tahniah adik Azri dan kak Eja!

Thursday, August 9, 2012

MAD TIDAK FAHAM!


Pengetua: Mad, awak tidak boleh sambung pelajaran di sekolah ini.

Mad: Mengapa?

Pengetua: Keputusan kamu sangat bagus dan menepati syarat untuk memasuki sekolah ini tetapi hakikatnya sebelum ini kamu bersekolah di sekolah beraliran agama dan sekolah ini bukan beraliran agama. Atas alasan itu, kami menolak permohonan kamu untuk bersekolah di sini. Harap kamu faham.

Mad: Tidak. Saya tidak faham! Bukankah Rafeah, Joyah dan Alem juga bersekolah di sekolah beraliran agama juga sebelum ini? Mengapa mereka diterima masuk ke Sekolah Menengah Kebangsaan Warisan Seni juga?

Thursday, July 26, 2012

SYUKRI SAPUAN-BUAH PENA ALUMNI MPR TUNAS CIPTA JUN 2012

Kejenuhan untuk mendapatkan majalah-majalah DBP di Alor Setar bukanlah perkara yang baru. Biarpun terdapat toko yang tertera sebagai pengedar buku-buku DBP tetap tidak boleh diberi harapan yang tinggi. Di penghujung bulan belum tentu dapat menatap lagi majalah bulanan DBP. Minggu lepas saya ke Alor Setar lagi dan sangat hampa! Majalah bulan Mei masih ada lagi. Sekarang dah penghujung bulan Julai pun. Saya masih ragu-ragu untuk melanggan kerana tiada jaminan saya akan menerimanya setiap bulan.

Sebenarnya bukan nak berceloteh perihal susahnya nak dapat majalah DBP pada catatan ini, tetapi nak berkongsi tentang ruangan Buah Pena Alumni MPR dalam majalah Tunas Cipta Jun 2012. Kali ini yang menghiasi ruangan itu ialah sahabat MPR 2009-Syukri Sapuan. Sebenarnya sebelum bertemu di MPR 2009, kami telah berkenalan sesama sendiri menerusi karya masing-masing di dalam Dewan Siswa. Kejayaan Syukri Sapuan menjadi inspirasi kepada kami-keluarga MPR 2009 yang lain. Selamat maju jaya Syukri Sapuan!


*Terima kasih Muzammil Rahim untuk gambarnya.

PINJAM DUIT, BOLEH?

SATU
Saat dia menghadapi masalah kewangan dan pastinya mindanya ligat berfikir-fikir dari celah mana mahu dapatkan duit dan entah pada siapa hendak diluahkan masalahnya...oh siapalah yang mengerti isi hatinya. Dia pun cuba menghilangkan rasa malu bertanya pada kawan-kawan agar ada tangan menghulur. Barangkali sedikit simpati, simpati seorang sahabat. Saya mengerti, betapa peritnya apabila mengetahui warna sebenar sahabat-sahabat kita. Bertabahlah hatimu, wahai sahabat. 

DUA
Ketika itu saya berada pada penghujung semester. Berat sebenarnya berada pada akhir-akhir pengajian, selain perlu menghadap segala tugas sebagai mahasiswa, harus berkejaran dengan segala permintaan jabatan-jabatan akademik sebagai mahasiswa semester akhir. Itu belum dicampur urusan mengenai praktikal lagi dan harus saya ceritakan bahawa semasa semester akhir, sudah ditakdirkan dalam sehari sahaja saya punya tiga presentasi- tekanan tahu! Dan entah bagaimana, komputer riba bermasalah dan dompet saya kering. Seorang demi seorang saya bertanya, namun tiada seorang yang dapat membantu. Akhirnya, saya terpaksa minta wang dari Mak-maafkan saya, Mak. 

TIGA
Saat sahabat saya itu meminta pertolongan daripada saya, selain belas yang saya berikan, saya pinjamkan sedikit- hanya sedikit kerana saya tahu saya ialah sahabatnya. Jika berdasarkan jumlah yang diperlukannya, berganda-ganda daripada apa yang saya ada. Dalam akaun saya RM 112 pun tidak sampai. Maafkan saya sahabat, hanya itu sahaja yang termampu. Semoga ringan sedikit beban yang sahabat tanggung.

EMPAT
Sahabat-sahabat, jika sahabat kita meminta pertolongan, bantulah walaupun sedikit. Kasihanilah dia dan jangan sehingga bersembunyi melarikan diri. Nikmat persahabatan itu bukan hanya pada gelak ketawa sahaja.


Wednesday, July 11, 2012

SAYA MASIH TERSENYUM

...katanya, daripada menerbitkan kumpulan puisi atau antalogi puisi yang pasti tidak laku itu, lebih baik menulis dan menerbitkan novel kisah cinta romantik yang pasti akan dibeli orang. Tersentap saya mendengar kata-kata semangat (kata-kata semangat kah???) seorang sahabat ini apabila saya menyatakan hasrat untuk menerbitkan kumpulan puisi dan antalogi puisi bersama kekasih-kekasih saya. Saya masih tersenyum!

Tuesday, July 10, 2012

JERAMI KASIH


Cerpen saya yang bertajuk 'Jerami Kasih' disiarkan dalam majalah Harmoni edisi 1-15 Julai 2012. Terima kasih kepada Puan Editor yang memilih cerpen ini untuk disiarkan.

Sunday, July 8, 2012

MARGA RANAH RUSUHAN

Tahniah untuk adik kesayangan yang seorang ini. Cerpennya yang bertajuk 'Marga Ranah Rusuhan' disiarkan dalam Mingguan Malaysia edisi 8 Julai 2012. Seorang penulis muda yang punya masa depan yang cerah dalam penulisan. Dia, seorang yang jujur dalam tutur katanya.

Teruskan menulis, Fathul Khair Mohd Dahlan!

Tuesday, July 3, 2012

CINTA SENAFAS ANGSA

Hari ini, 3 Julai 2012 merupakan antara hari bersejarah buat beberapa orang penulis. Sebanyak 30 judul karya asli terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia dilancarkan oleh Menteri Perdana Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak. Salah satunya ialah kumpulan cerpen 'Cinta Senafas Angsa' oleh Tuah Sujana. Terdapat 15 buah cerpen tulisan Tuah Sujana dimuatkan dalam kumpulan cerpen ini termasuklah cerpen 'Cinta Senafas Angsa'. Secara peribadi, saya amat mengagumi tulisan-tulisan indahnya. Walaupun di usia muda, cerpennya cukup matang dari segi pengolahan cerita dan juga gaya bahasanya. 'Sebelum Rintik', 'Kidal' dan beberapa lagi cerpennya cukup membuatkan hati saya tenang ketika membacanya. Tenang dalam erti kata, jatuh cinta pada setiap ayat-ayatnya. Kepada yang berminat untuk membeli kumpulan cerpen penulis muda berbakat besar ini, bolehlah klik pada pautan ini : ITBM



*Capati oh capati

Friday, June 15, 2012

SAYA SUKA MEMERHATI!

Hahaha....apalah yang saya suka perhatikan tu ya? Ya, saya suka memerhati perkembangan penulisan sahabat-sahabat saya. Saya selesa berdamping dengan sahabat-sahabat penulis yang saya anggap seperti adik-beradik sendiri. Adakalanya saya mudah mengingati tajuk-tajuk karya mereka, walaupun tidak mengingati keseluruhan karya mereka. Sebenarnya, saya harus akui bahawa penulis muda dan baharu semakin ramai dan persaingan semakin sengit. Saya sangat gembira melihat kejayaan-kejayaan sahabat-sahabat dalam Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2010 yang lalu. Mungkin sudah basi untuk saya menyelak kembali perihal HSKU 2010, tetapi kejayaan beberapa sahabat-sahabat sangat memberi inspirasi kepada saya. Antara penulis muda yang berjaya pada HSKU 2010 ialah Mohamad Hafiz Abdul Latiff, NurAdilla Rahim, dan Mohd Helmi Ahmad. Tidak lupa juga kepada penulis muda yang karyanya turut dipilih untuk disaring ke peringkat akhir iaitu karya Muzaf Ahmad dan Zulfazlan Jumrah. Muzaf Ahmad, sebenarnya saya sudah lama mengenalinya melalui puisi, cerpen serta rencana tulisannya di Dewan Siswa, dan tajuk puisinya iaitu 'Antara Jubin dan Mengkuang' sentiasa menjadi usikkan saya. Sepanjang 2011, sebenarnya banyak juga karya-karya penulis muda yang disiarkan dalam media-media terbitan Utusan. Antaranya:

1. MUZAF AHMAD :cerpen Tenda Harapan (Utusan Melayu Mingguan), cerpen Teraju Tiga (Mingguan Malaysia)

2. SAYIDAH MU'IZZAH KAMARUL SHUKRI : puisi Pintu Hukum (Mingguan Malaysia)

3. A. MUZIRU IDHAM : cerpen Sebelum Hujan Luruh dan gugusan puisinya yang mendapat tempat dalam Mingguan Malaysia sepanjang tahun 2011

4. KHALIL ZAINI: puisi Belau Langit Menangis (Mingguan Malaysia)

5. ZULFAZLAN JUMRAM: cerpen Marsum yang Panjang (Mingguan Malaysia)

Saya tidak tahu perasaan orang lain, tetapi saya sebenarnya akan turut berasa gembira melihat kejayaan sahabat-sahabat saya. Tidak sabar juga rasanya untuk menuggu HSKU 2011, mahu melihat karya siapa pula dijulang!

Thursday, June 14, 2012

CERPEN 'KATAK DI BAWAH TEMPURUNG'


Pagi itu, saya menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) dari abang Helmi yang sebenarnya sedang menunggu bas untuk pulang ke Kuala Lumpur meneruskan tanggungjawabnya sebagai seorang guru. SMS yang dikirimkan benar-benar membuatkan saya gembira. Siapa yang tidak gembira apabila karyanya disiarkan. Ini bukanlah percubaan pertama saya mengirim cerpen ke Mingguan Malaysia. Tahun lepas, pernah juga mencuba tetapi tidak berjaya, malah tahun lepas, tiada satu karya saya pun yang disiarkan dalam Mingguan Malaysia. Cerpen 'Katak di bawah Tempurung' ini telah lama saya memperolehi ilhamnya, cuma saya mengambil masa yang lama untuk merangka ceritanya. Idea permulaan hingga perakhirannya datang secara satu persatu dan tidak sekali gus. Biasalah, perlu edit-mengedit juga. Sehinggalah pada petang Rabu (6 Jun 2012) itu sekitar pukul 5.02 petang saya mengirimkan cerpen ini dan tidak terduga ianya disiarkan pada hari Ahad (10 Jun 2012) dalam minggu yang sama. Penyiaran cerpen ini sedikit sebanyak memberi inspirasi kepada saya untuk menulis lebih banyak cerpen memandangkan antara azam saya pada tahun ini adalah menulis lebih banyak cerpen memandangkan saya bermula dengan penulisan puisi. Bak kata Kak Salina Ibrahim, kita perlu mempunyai target dalam penulisan dan kata-kata itu saya pegang sehingga sekarang. Oh ya, kepada sahabat-sahabat, jangan takut untuk menghantar karya. Jika kita takut menghantar karya, sampai ke sudah kita tidak akan dapat menilai penerimaan editor ataupun orang lain terhadap karya kita. Terima kasih juga kepada editornya!

*Menulislah tanpa jemu!

Friday, June 1, 2012

BERSIAR-SIAR DI TAMAN BUKU

Salam pertemuan. Sebenarnya nak bercerita fasal ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012. Ini kali pertama sebenarnya saya berpeluang merasai kemeriahan PBAKL. Ya, memang meriah. Ini antara kemeriahan pecinta buku dan juga penulis yang tidak boleh dinafikan, persis suasana hari raya bagi golongan-golongan ini.  Saya berlima ke sana pada hari terakhir PBAKL 2012 dilangsungkan pada kali ini. Saya, Syamil Adzman, Fathul Khair, Wafa Awla dan Mastura sampai ke PWTC dalam pukul 2.00 petang. Seronok betul bersiar-siar bersama mereka di taman buku!

Kami tidak sempat menerjah satu-persatu gerai buku yang ada, memandangkan masa kian pantas berjalan dan terlalu banyak rumah penerbitan yang ada. Antara gerai yang sempat kami kunjungi ialah ITBN, DBP, Utusan, Al-Hidayah, Telaga Biru dan Jemari Seni. Kalau ke PBAKL ni, tidak sah jika tidak bertemu dengan penulis-penulis. Kami sempat berjumpa dengan Kak Nisah Haron, Dr. Siti Zainon Ismail, Habiburrahman El Shirazy, Kak Ummu Hani Abu Hassan. Selain tu, sempat juga bertemu dan terserempak dengan mantan-mantan MPR yang lain -Aisyah Yazid, Nur Suhada, Hafizul Osman, Shamsul Amin dan Muzammil Rahim. Sempat juga kami melihat persembahan Pak Agi sebelum keluar dari PWTC dan menjamah nasi ayam pada petang itu kala perut sudah lama berdondang-dendang. 

Malam itu, saya dan Fathul Khair berkereta api Seandung Langkawi untuk pulang ke utara. Semoga kita dapat berjumpa lagi pada PBAKL 2013 kelak pula.








Tuesday, April 24, 2012

Friday, March 23, 2012

HAK PENERBITAN EKSKLUSIF


Saya bukanlah sesiapa pun, tetapi saya gemar meluaskan jalinan ukhwah. Seboleh-bolehnya mahu menegur sesiapa sahaja yang saya kira boleh dijadikan sahabat saya, mungkin juga yang boleh dijadikan guru ataupun 'role model'. Golongan penulis antara golongan yang gemar saya dekati, kerana penulisan juga merupakan kehidupan saya. Jika berpeluang mendekati penulis senior, sebolehnya ingin saya bersembang lama dengan mereka. Kalau dapat berbual dengan editor mana-mana majalah, saya gunakan peluang untuk mengorek kerja mereka sebagai seorang editor. Sejujurnya, banyak juga yang saya bualkan, tetapi sebenarnya lebih kepada etika dalam penulisan. Insan-insan ini tidak pernah lokek bercerita segala perihal mengenai dunia penulisan kepada saya dan antara nasihat mereka adalah agar dapat menyebarkannya kepada sahabat-sahabat penulis yang lain. Sesuatu yang tidak pernah terlepas dalam perbincangan kami adalah mengenai 'Hak Penerbitan Eksklusif'. Maaf, jika mukadimah kali ini berjela-jela. Hal ini kerana saya harus menceritakan semua ini agar tidak ada manusia-manusia di luar sana menuduh saya memandai-mandai, atau ada si penakut yang menuduh saya 'berlagak seperti orang lama'. Saya tidak pernah lupa kata-kata si penakut itu!!!

Era teknologi pada hari ini membuatkan kita mampu untuk berkongsi karya kita bersama para pembaca. Blog merupakan merupakan medium yang sering menjadi pilihan untuk berkongsi karya yang disiarkan di media bersama para pembaca. Tidak salah untuk kita memberitahu satu dunia bahawa karya kita disiarkan di media. Contohnya, sajak yang kita kirimkan kepada editor majalah Tunas Harapan telah dipilih untuk disiarkan pada bulan ini iaitu, bulan Mac. Jadi, kita pun menulis di blog bahawa sajak kita yang bertajuk 'Mulus Kasih' disiarkan dalam majalah Tunas Harapan Mac 2012. Tiada sebarang masalah mengenai perihal ini!

Menjadi masalah apabila kita tidak menghormati hak penerbitan eksklusif yang dipegang oleh penerbit. Apabila sajak itu disiarkan dalam majalah Tunas Harapan Mac 2012, kita pun menyiarkannya dalam blog kita pada bulan yang sama dengan alasan bahawa itu karya kita, hak kita. Walaupun karya itu bukanlah hak penerbit sepenuhnya, tetapi kita sebagai penulis perlu menghormati etika sebagai seorang penulis.

Satu lagi masalah yang turut dijadikan bahan perbincangan kami adalah, ada penulis yang terlebih dahulu menyiarkan karya mereka di blog mereka dan kemudiannya menghantar ke media. Situasi ini menunjukkan penulis telah menafikan hak penerbitan eksklusif.

Jangka Hayat Hak Penerbitan Eksklusif

Bagi majalah yang berkonsepkan bulanan, sebulanlah hak penebitan atau penyiaran eksklusif yang dipegang oleh majalah tersebut. Contohnya, karya kita disiarkan pada bulan Mac, maka selama sebulan yakni pada bulan Mac itu, hak penerbitan atau penyiaran eksklusif dipegang oleh majalah terbabit. Pada bulan April, kita boleh kongsikannya di blog. Bagi akhbar mingguan yang mempunyai ruangan sastera, jangka hayatnya hanya sehari. Contohnya, cerpen kita disiarkan pada hari ahad ini, dan pada keesokan harinya, kita sudah boleh menyiarkannya di blog kita untuk dikongsikan bersama pembaca blog. Apabila kita menyiarkan di blog kita, moleklah sekiranya kita memberi kredit kepada majalah atau akhbar yang menyiarkan karya kita beserta bulan ataupun tarikh.

Semoga perkongsian kali ini memberi manfaat kepada para pembaca yang menyinggah di blog ini. Segala yang baik hanya datang daripada Allah Ta'ala. Segala kekurangan itu datangnya dari diri saya yang hina ini.


Sunday, February 19, 2012

NASKHAH TOK LAH


Alhamdulillah, pagi semalam saya menerima khidmat pesanan ringkas (sms) dan emel dari seorang rakan penulis yang memberitahu perihal karya keempat untuk tahun ini yang disiarkan dalam akhbar selama empat minggu berturut-turut. Kali ini cerpen pula, 'Naskhah Tok Lah'. Teringat pada cerpen pertama saya yang disiarkan dalam Berita Minggu, 'Tempe Malaya', yang sering menjadi usikan kawan-kawan. Saya tersenyum. Ramai kawan-kawan amat mengingati 'Tempe Malaya'. Terima kasih! Cerpen kedua di Berita Minggu ini tidak lagi menggunakan latar tempat Kampung Malaya, tetapi sebuah negeri Yalama. Seperti 'Tempe Malaya', saya tidak berterus terang dalam cerpen tentang apa yang ingin saya sampaikan, tetapi pembaca boleh mengangak apabila membaca nama-nama watak seperti 'Tok Lah' dan 'Seman'. Semoga tahun ini, saya lebih rancak menulis cerpen!

*Oh ya, kepada yang bertanya,bila saya hantar cerpen ini: jawapan saya: 26 Januari 2012.

Sunday, February 12, 2012

FALSAFAH NAN RENTA


Kita perlu akui keagungan
cendekia lama
di setiap sudut mayapada
ideolagi mereka tetap subur
melata
fikir mereka melampau
sempadan masa
saat itu, kita mengucup
kagum nan harum.

"Kitalah pentafsir setiap
falsafah mereka
menaakul nukilan tulisan
nan magis mereka
jua mencongak pemikiran
nan kritis mereka
demi lestari peradaban
bangsa".
Kita, umat zaman globalisasi
berteriak propaganda sana
sini
menjulang kononnya
falsafah nan suci
hakikatnya, persis sampah
nan keji.

Falsafah nan renta tetap
dipuja
bestari kata disulam hikmah
pantang larang ditegur indah
tatapan pedoman
selamanya.

MOHD HANIFF MOHAMMAD YUSOFF
Hutan Kampung, Alor Setar.

MINGGUAN MALAYSIA, 12 FEBRUARI 2012

ANGKUH DI BUMI TUHAN

Kitalah pemuja kuasa peterana

juga taksub pada emas permata

yang punya magis menggila

menawan dunia sekelip mata

-kononnya.

Berjalanlah kita dengan sepatu angkuh

hidung kian meninggi

mendada tanpa berpaling

menunding tanpa menjeling

menguis-nguis tanha lembah

terkebil-kebil mencari permaidani indah.

Demikianlah kita si manusia alpa

bongkak di BUmi Tuhan

atas segala pinjaman.

MOHD HANIFF MOHAMMAD YUSOFF

Kuala Lumpur

-Disiarkan dalam Berita Minggu, 5 Februari 2011

-sebumbung dengan Mohd Helmi Ahmad! =)

Saturday, February 11, 2012

SEPEKAT KOPI UNTUK MEREKA

Saya tidak perlukan sesiapa untuk percayakan kata hati saya kerana setiap hati punya bicaranya yang tersendiri. Setelah beberapa bulan di kotaraya, saya mengambil keputusan untuk terus sahaja pulang ke desa. Kekangan yang terlalu menekan saya sehingga tiada lagi jalan terbaik untuk saya pilih. Saya teringatkan kepada mereka yang telah banyak menolong saya, menghadiahkan saya itu dan ini tanpa saya duga serta menjaga saya dengan baik. Paling penting saya tidak pernah menyesal selama akrab bersama mereka, kerana merekalah ‘cikgu’ yang mendidik saya. Terima kasih untuk sebuah kebahagiaan, dan maafkan saya atas segala kekurangan. Luahan rasa SEPEKAT KOPI ini telah lama saya nukilkan dan rasanya ingin saya kongsikan walaupun hakikatnya saya tahu banyak compangnya.

SEPEKAT KOPI

Aku menilik ketulusan mata kalian seketika

setelah itu kita memesan kopi tiga

dan aku mentafsir dari jiwa ke jiwa

mengapa kopi jua yang kita pilih bersama

sedangkan,

adakalanya kita tidak sefikir

tidak sekata.

Asalnya, kita dari ceruk desa berbeza

kerana tinta, kita bersatu

menulis kisah tanpa jemu.

Aku merenung zulmat kopi

dan aku mengerti

keakraban kita sepekat kopi.

-ANiP

Wangsa Walk-Jalan Semarak-Bangsar-Hutan Kampung

BEREKSPERIMEN MENGHANTAR KARYA

Assalamualaikum Warahmatullah Hiwabarakatuh dan salam Satu Malaysia. Bebesar hati rasanya jika ada yang bertandang ke blog saya. Baiklah, sebelum membebel dalam catatan kali ini, eloklah saya teruskan niat asal saya. Catatan kali ini saya fokuskan perkongsian saya dengan para pembaca tentang dunia penulisan. Sekadar berkongsi, jika ia bermanfaat, ambillah sebagai panduan bersama.

Mungkin adalah biasa jika kita membuat kajian terlebih dahulu sebelum menulis sesuatu. Kajian yang dilakukan bagi memastikan jalan cerita yang ingin disampaikan tidak goyah, melainkan cerita tersebut memang 100% rekaan semata-mata. Selain itu mengkaji media penerbitan terlebih dahulu. Baiklah, bukan itu yang ingin saya sentuh sebenarnya.

Saya sebenarnya suka bereksperimen. Contohnya tentang cara penghantaran karya melalui emel. Kekadang, kita pasti tertanya-tanya bagaimanalah cara yang diinginkan oleh editor. Perlu buat lampiran semua ke? Perlu letak surat permohonan penyiaran karya di emel ke? atau lampirkan sahaja?

Seterusnya, saya juga suka melihat corak pemilihan karya di media. Adakalanya, editor tidak begitu kejam, asalkan tulisan itu punya mesej pasti akan disiarkan. Adakalanya ada editor yang mementingkan isu semasa, hantar sahaja hari ni, pasti minggu ini atau minggu depan disiarkan.

Seperkara lagi, saya suka bertanya pada kawan-kawan apabila karya mereka disiarkan. Soalan saya pastinya berapa lama masa yang ditunggu. Sejujurnya, berdasarkan pengalaman saya ianya tidak menentu. Tambahan lagi jika dihantar ke akhbar. Berdasarkan pengalaman saya, paling lama saya pernah tunggu ialah sebulan lebih, paling sekejap beberapa hari sahaja. Walau bagaimanapun, saya percaya, kalau karya itu bagus, pasti ianya disiarkan dengan cepat.

Bagaimana untuk mengatasi segala persoalan ini? Rajin-rajinlah bereksperimen. Sebenarnya bereksperimen dengan pengalaman sendiri pun boleh, atau bertanya sahaja kepada kawan-kawan penulis yang lain.

~Cuaca di Kedah sangatlah panas!

Friday, February 3, 2012

POLITIK ITU MENJENGKELKAN?

Betul ke menjengkelkan? Sejujurnya dulu saya pun benci politik. Kalau boleh, tidak mahu ambil peduli langsung dengan politik negara. Ketika tahun pertama menjadi mahasiswa politik pun, saya tidak nampak sesuatu yang menarik tentang politik ni. Rasanya ramai sahaja dalam kalangan remaja sekarang yang tidak minat akan politik. Barangkali yang tidak mahu ambil tahu pun ramai.

Walau bagaimanapun, lama-kelamaan persepsi saya berubah. Ya, pasti ramai yang akan mengatakan sebabnya kerana memang dunia itu yang perlu saya gelumang, kalau tidak pasti tidak lulus dalam peperiksaan. Hakikatnya, bukan. Saya mula ingin menyelongkar dunia politik ini apabila kebanyakkan pensyarah saya tidak sahaja bersyarah di hadapan. Sebaliknya sentiasa memberi peluang kepada kami untuk menyuarakan pendapat. Bermula daripada situ, saya belajar berfikir dan menilai sendiri. Pemikiran saya lebih terbuka dan menjadikan saya neutral. ‘Neutral’ bukan beerti lalang ya kawan-kawan. Pendirian saya adalah saya tidak mahu memihak mana-mana belah pihak sedangkan setiap daripadanya mempunyai agenda yang tersendiri.

Menjadi mahasiswa politik itu seronok! Belajar politik juga seronok! Seronok kerana saya belajar untuk menilai sesuatu perkara baik dari segi pro ataupun kontra tanpa mudah menjatuhkan hukuman. Keseronokkan yang lainnya adalah menjadikan pemikiran saya lebih terbuka dan luas.

Sunday, January 29, 2012

BISIK CINTA SANG ANGIN

sumber gambar: Google Images


Angin tenang mengesot perlahan

menyusuri desa ke desa, menyelinap celah-celah kota

menyapa inderaloka dunia yang kian berdebu

jagat angkuh manusia masih begitu

menunggu nikmat jatuh ke riba

sarwa anggota membatu kudrat membisu

membiarkan nasib bangsa kian layu.

Setiap ceruk mahupun lohong

angin menyusur lalu

memberi salam pada sekalian nyawa

tanpa mereka menyedari hakikat angin

membisik cinta pada setiap telinga

agar kembali mencari Yang Esa.

Angin meneruskan perjalanan

menghampirimu dengan segala pesan

agar dirimu mengerti keagungan Tuhan

celik mentafsir kehidupan.

Demikian keramahan angin bertandang

dan sampai masanya akan beransur pulang

meninggalkan kita dengan bisik cinta untuk dikenang.

Esok ,

jika diizin Sang Pencipta

sang angin akan kembali datang

menjenguk jiwa-jiwa nan walang.

MOHD HANIFF MOHAMMAD YUSOFF

Kuala Lumpur

-MINGGUAN MALAYSIA, 29 JANUARI 2012-

Sunday, January 15, 2012

901 ADA CERITERANYA

Ya, 901 punya ceriteranya tersendiri dalam lipatan sejarah negara. Setelah sekian lama turun naik mahkamah, akhirnya Anwar Ibrahim dibebaskan daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya. Oh ya, dalam gambar di atas ada gambar kawan saya, Hafizi Hassan namanya. Dia pernah belanja saya burger. =)

Kredit gambar: MyMetro dan ManKecik.

Thursday, January 12, 2012

RIWAYAT PENULISANKU (2011)

Salam. Selamat tahun baru! Lambatnya memberi ucapan. Salah satu azam tahun baru ini, saya ingin lebih berjaya lagi dalam dunia penulisan. Huh…ya, memang susah sebenarnya menulis ni. Untuk tahun lalu yang lalu iaitu 2011 [menaip sambil mengunyah ’Twisties’ perisa tomato], azam saya untuk melihat cerpen saya di akhbar telah pun tercapai. Biarpun hanya satu, tetapi satu kenikmatan bagi saya yang masih belajar ini. Untuk 2011, sebanyak lapan buah sajak saya berjaya menembusi media iaitu melalui majalah Tunas Cipta, majalah Fokus SPM, majalah Jendela Utara, akhbar Berita Minggu, sisipan Varsiti Berita Harian dan akhbar Harakah. Satu-sataunya cerpen saya iaitu ‘Tempe Malaya’ [selepas tu terus saya suka tempe!] disiarkan dalam Berita Minggu. Oh ya dan satu puisi tradisional berbentuk nazam tulisan saya yang disiarkan dalam Tunas Cipta [Nazam Cinta]. Selain itu, terdapat juga beberapa tulisan saya yang bukan kreatif yang turut disiakan seperti dalam Tunas Cipta dan Pelita Bahasa. Itu bedasarkan karya yang tersiar di media. Tidak kurang juga kenangan paling manis pada tahun 2011 ialah apabila lirik boria hasil nukilan saya telah dinobatkan sebagai Lirik Pantun Boria Terbaik UUM Caltural Festival 2011. Terima kasih kepada Biro Kesenian dan Kebudayaan DPP Bank Rakyat yang mempercayai bakat saya untuk menghasilkan lirik tersebut. [Piala kemenangan menjadi kenangan]

Begitulah riwayat penulisan saya sepanjang tahun 2011. Semoga tahun ini, hasilnya lebih gemilang!

Tuesday, January 10, 2012

SAYA 'FOLLOW' TWITTER MADA ILDA

Lewat benar rasanya saya memperturunkan entri berkisarkan politik semasa negara. Oh, bukan sahaja perihal politik tetapi lebih kepada isu semasa. Ya sudah menjadi kelaziman ketika di universiti dahulu, sensitif kepada isu-isu semasa adalah suatu kewajipan kepada kami yang belajar politik. Adakalanya, itulah soalan perbincangan dalam kelas dan syarahan oleh pensyarah bukan lagi menjadi medium utama dalam pengajaran. Sejujurnya, saya suka untuk melihat sesuatu isu itu bergerak mengikut plotnya terdahulu. Maksud saya, saya tidak semudah-mudahnya untuk terus menjatuhkan hukuman. Memerhati dan berfikir adalah jalan terbaik untuk kita rungkaikan permasalahan sekeliling. Memaki hamun membabi buta bukanlah tindakan yang profesional. Saya tertarik dengan kes Adam Adli [saya turut mengikuti twitternya…hahaha]. Pemuda yang bakal bergelar guru ini dianggap cukup biadap atas tindak tanduknya. Saya juga tidak setuju dengan tindakannya. Jujur, saya memujinya, dia seorang mahasiswa yang berani kerana tetap lantang biarpun dibidas oleh pelbagai pihak. Bukan mudah untuk kita mencari mahasiswa yang kental jiwanya seperti Adam Adli. Mungkin caranya tidak tepat. Maaf, kenyataan itu tidak menunjukkan saya memihak kepadanya. Cuba kita selami siapakah yang mempengaruhi beliau dan untuk mendidiknya bukanlah secara kekerasan, kita harus ingat dia masih muda dan jiwanya memang bergelojak. AUKU yang sebelum ini mengikat para mahasiswa daripada berpolitik telah dileraikan. Saya melihat ianya sesuatu yang bagus kepada mahasiswa yang punya pengetahuan tentang politik dan amatlah tragedis dan sadis kepada mahasiswa yang sekadar tahu politik itu adalah rusuhan, perhimpunan dan berteriak sekuat rasa beramai-ramai. Suka saya menegaskan berbeza ideologi atau fahaman bukanlah musabab untuk mewujudkan permusuhan antara kita. Dek politik, kita berbalah dan semoga suatu hari nanti kita akan mengucup siasah yang mulus suci.