Sunday, June 13, 2010

TEMUDUGA PENERBIT RANCANGAN


Surat panggilan temuduga SPA

Berkongsi pengalaman itu indah dan puas rasanya apabila dapat dikongsikan dengan orang lain. Harus diingat segala yang kita perolehi bukanlah milik kita yang hakiki. Saya terpanggil untuk berkongsi kisah saya menjalani temuduga (saya kira lebih sesuai frasa ‘ujibakat’ digunakan). Pertengahan tahun lalu, saya mencuba mengisi borang permohonan kerja atas talian yang diuruskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA). Saya tidak meletakkan harapan yang tinggi kerana masih dalam pengajian tetapi sekurang-kurangnya, saya dapat mengumpul pengalaman dan berjumpa dengan orang.

Sebenarnya, saya menerima beberapa surat panggilan temuduga sebelum ini tetapi saya abaikan sahaja. Seterusnya, pada bulan Mei 2010, saya mendapat surat panggilan temuduga untuk jawatan Penerbit Rancangan Gred 41. Hati saya membuak-buak untuk mencuba tambahan pula tengah cuti semester. Beberapa hari kemudian, saya mendapat surat yang lebih kurang sama. Ya,lebih kurang sama kerana juga surat panggilan temuduga Penerbit Rancangan tetapi Gred 27 pula.

Temuduga diadakan di Jabatan Penyiaran Negeri, Radio Televisyen Malaysia (RTM) Kedah. Pada tanggal 17 Mei saya menghadiri temuduga yang pertama tersebut. Hari itu terdapat ramai juga peserta yang hadir. Saya bergiliran tiga terakhir pada hari tersebut dan penat menunggu kerana pada pukul 4 petang lebih baru tiba giliran saya. Untuk ujian suara kami diminta membaca dua petikan berita yang telah disediakan iaitu petikan pertama ialah dalam bahasa Melayu dan petikan kedua adalah pilihan (sama ada bahasa Inggeris, bahasa Mandarin atau bahasa Tamil). Petikan bahasa Inggeris menjadi pilihan saya. Seterusnya bagi ujian penyampaian ialah; 1) penyampaian berita (wajib)- isinya telah diberi tetapi kami perlu mengarang ayatnya sendiri. 2) kami diberi pilihan sama ada untuk memilih jenis penyampaian yang diinginkan (sama ada pengulas acara sukan atau pengulas siaran langsung atau laporan wartawan lokasi atau juruhebah). Saya memilih untuk menjadi juruhebah kerana kami bebas untuk mengemudi rancangan sendiri tetapi perlu disesuaikan dengan waktu pagi. Saya menamakan rancangan tersebut ‘Forum’ dan saya membawakan topik ‘Bahasa Melayu’. Saya siap berpantun lagi (kreativiti namanya, harap dapat menyumbangkan markah).

Temuduga seterusnya, saya lebih semangat kerana pengalaman menjadi bekalan saya. Hari itu juga saya lebih mesra dengan peserta yang lain berbanding dengan yang sebelumnya (terima kasih kakak dan abang yang menegur saya). Bilangan yang hadir pada hari tersebut juga tidaklah seramai yang pertama. Saya bergiliran ke-12 hari itu. Semasa masuk ke konti, suasana ceria dihidupkan oleh seorang kakak yang cam muka saya pada yang pertama kali yang lalu. Juri sempat bertanya sama yang pertama saya membuat yang terbaik atau tidak? Saya dengan selamba menjawab ‘tak bagus’. Mereka ketawa berjemaah ketika itu. Kata mereka, saya sendiri menghakimi diri saya. ‘Kalau macam tu, kamu kena buat yang terbaik yang ni’, pesan salah seorang juri pada saya. Saya melangkah masuk ke sebuah lagi bilik iaitu konti. Ya, saya merasakan saya telah melakukannya dengan terbaik dan lebih puas rasanya jika dibandingkan dengan temuduga yang pertama kalinya. Ketika keluar dari konti, juri seperti kagum dengan usia saya yang masih muda.

Saya pernah menyimpan impian untuk berkhidmat dalam bidang penyiaran. Saya juga mengimpikan mempunyai rancangan bual bicara sendiri. Saya sering bercita-cita mengendalikan sebuah rancangan berbentuk majalah. Selepas STPM yang lalu saya pernah menghantar resume dan gambar untuk pencarian pengacara di RTM. Saya dipanggil untuk ditemuduga, tapi saya abaikan sahaja. Awal tahun ini, RTM telah datang memeriahkan Karnival 3K (Kesenian, Kebudayaan dan Keusahawanan) di UUM. Saya tidak melepaskan peluang untuk menyertai sesi ujibakat penyampai berita.

Semuanya pengalaman yang indah buat saya tetapi saya tahu banyak lagi perkara yang harus saya pelajari dan pastinya banyak cabaran dalam bidang penyiaran ini. Berbalik kepada kedua-dua temuduga yang saya hadiri, saya tidak tahu bilakah keputusannya. Biarlah takdir yang menentukan masa depan saya kerana perancangan Dia adalah yang terbaik. Saya sudah melakukan yang semampunya pada kedua-dua temuduga (saya rasa frasa ujibakat lebih sesuai) tersebut.




Ujibakat penyampai berita RTM



Saturday, June 12, 2010

PROSES PENGHASILAN CERPEN 'DUNIA BARUKU',e@siswa JANUARI 2010

Kali ini saya ingin kongsikan proses penghasilan cerpen saya iaitu ‘Dunia Baruku’ yang telah pun disiarkan dalam majalah e@siswa Januari 2010. Secara peribadinya, saya masih baru dalam bidang penulisan ini. Masih banyak lagi yang perlu saya pelajari. Masih banyak juga lompang-lompang yang perlu saya tutupi. Apabila diminta sebuah cerpen oleh editor e@siswa ketika itu, saya terpinga-pinga. Akhirnya, saya terima sahaja tawaran yang diberikan sebagai cabaran. Rasanya sebulan juga selepas diminta oleh editor, barulah saya mengirimkan cerpen itu kepadanya. Tambahan pula ketika itu, saya harus menguliti buku-buku serta nota-nota untuk menghadapi peperiksaan akhir semester. Usai sahaja peperiksaan, saya cuba menyiapkan tugasan yang diberikan. Editor meminta saya untuk menghasilkan sebuah cerpen yang berkaitan dengan pembukaan sekolah untuk dimuatkan dalam edisi Januari. Editor turut menambah, agar dimesrakan dengan konsep 1 Malaysia. Saya agak kebuntuan idea ketika itu kerana harus menepati tema yang diberikan sehinggalah saya berjaya menghasilkannya seperti yang sudah diterbitkan. Pertama kali apabila editor menerimanya, dia menyatakan ‘sedihnya’ kerana saya telah mematikan ahli keluarga watak utama cerpen ini pada permulaan cerita. Saya juga mengabadikan latar tempat perkampungan melalui cerpen ini. Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada bekas editor e@siswa sebelum ini (kini e@siswa diterajui oleh editor baru ya) dan juga ketua editor majalah bahagian akademik Karangkraf yang memberi peluang ini dan kepercayaan kepada saya. Setelah itu, editor meminta saya untuk mendapatkan cerpen dari sahabat-sahabat saya. Saya mempromosikannya di Facebok, sehinggalah Nur Adilla menghantar khidmat pesanan ringkas kepada saya (lama juga menanti maklum balas dari sahabat-sahabat ketika itu) dan cerpennya mengisi dada e@siswa pada bulan Februari 2010 dan cerpen Syukri Sapuan pula pada bulan Mac 2010.

Friday, June 4, 2010

MEDIA CETAK MASIH BELUM SERIUS MEMARTABATKAN BAHASA KEBANGSAAN

Oleh; MOHD HANIFF MOHAMMAD YUSOFF

Dewasa ini pelbagai isu bahasa Melayu yang dibangkitkan seperti isu PPSMI yang sudah pun menemui kesimpulan muktamad, isu istilah bahasa Melayu dan bahasa Malaysia serta masalah bahasa rojak yang tidak berkesudahan. Mengikut perlembagaan persekutuan, bahasa Melayu telah diangkat sebagai bahasa kebangsaan negara. Oleh yang demikian, segala urusan rasmi haruslah menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantaraan. Sebaliknya, akta yang terkandung dalam perlembagaan ini tidak pernah menidakkan kepentingan bahasa lain seperti bahasa Inggeris yang diiktiraf sebagai bahasa global. Walaubagaimanapun, bahasa ibunda juga harus dimartabatkan seiring dengan bahasa Inggeris yang senantiasa diagung-agungkan. Sebagai penutur bahasa Melayu, kita sewajarnya berbangga dengan bahasa ibunda kita dan berusaha mengangkasakan bahasa Melayu.

Dalam mengatur strategi memartabatkan bahasa ibunda, media cetak memainkan peranan yang penting. Media cetak yang dimasudkan bolehlah menggolongkan akhbar, majalah, risalah, brosur, poster dan sebagainya yang sealiran. Media cetak juga merupakan salah satu bentuk komunikasi. Komunikasi telah mengalami revolusi dan dalam masa yang sama mencerminkan perkembangan media cetak. Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga, media cetak didefinisikan sebagai saluran komunikasi yang berupa bahan cetakan atau terbitan. Media cetak juga sebenarnya mampu berfungsi sebagai medium memperkasakan bahasa Melayu di tahap yang lebih tinggi.

Media cetak di negara ini dilihat masih belum serius dalam memartabatkan bahasa kebangsaan. Masih terdapat kelompangan yang mungkin tidak disedari yang mampu menggugat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Masih banyak ruang yang harus diperbaiki oleh media cetak untuk memartabatkan bahasa Melayu. Media cetak masih terus-menerus menerus mempraktikkan bahasa bahasa Melayu yang salah dari segi hukum tatabahasanya. Hukum tatabahasa tidak dipedulikan, asalkan ayatnya mampu untuk menyampaikan apa yang ingin disampaikan. Mentaliti seperti ini harus dielakkan kerana mampu mencemarkan keindahan bahasa Melayu yang sememangnya cukup indah jika hukum tatabahasa tidak dipedulikan. Umpamanya, penggunaan kata sendi ‘di’ dan ‘ke’ harus diberi perhatian. Hal ini kerana, penggunaan kata sendi ini perlu disesuaikan dengan situasi dan keadaan. Begitu juga dengan struktur ayat yang dibina. Dek kerana mengabaikan hukum tatabahasa, struktur ayat yang dibina juga salah. Adakalanya, media cetak memandangnya sebagai perkara remeh kerana menganggap struktur ayat yang dibina lebih menarik dan mampu menarik perhatian masyarakat awam yang membacanya. Realitinya, media cetak tidak peka dengan hukum tatabahasa dan struktur ayat yang dibina. Sikap sambil lewa pengamal media seperti ini harus dimansuhkan.

Media cetak masih menghidangkan menu bahasa rojak kepada masyarakat umum. Ini boleh dibuktikan melalui poster-poster yang dihasilkan dan ditampal. Bahasa Melayu dicampuradukkan dengan bahasa asing secara berleluasa. Tiada rasa bersalah yang dirasai kerana telah menjadi rutin seharian kita dan bahasa rojak ini terus diamalkan. Poster-poster yang dihasilkan banyak mengaplikasikan bahasa rojak iaitu pertembungan dua bahasa yang berbeza dan disatukan bersama. Kononnya, bahasa rojak lebih mudah untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat. Cetusan idea seperti ini harus dipandang serius oleh kita sebagai pengamal bahasa Melayu. Kita melihat bahasa rojak lebih dekat dengan kita kerana kita sendiri sering mempraktikkan bahasa rojak. Bahasa Melayu juga mengalami revolusi dan menerima beberapa perkataan dari bahasa Inggeris seperti globalisasi. Penerimaan bahasa inggeris ke dalam bahasa Melayu menunjukkan perkembangan positif bahasa Melayu. Namun, bahasa rojak sama sekali tidak diterima dalam bahasa Melayu, malah mencemarkan bahasa Melayu. Bahasa rojak sebenarnya merosakkan bahasa Melayu telah lama membina tamadunnya sendiri. Menjadi kebanggaan apabila bahasa Melayu merupakan antara kelompok bahasa yang mempunyai penutur paling ramai di dunia.

Media cetak juga lebih mengutamakan bahasa asing berbanding mendaulatkan bahasa ibunda sendiri. Bahasa asing menjadi pilihan untuk digunakan dalam promosi di papan iklan, poster dan sebagainya. Moleklah sekiranya kita menggunakan bahasa Melayu berbanding bahasa asing. Secara tidak langsung dapat memartabatkan bahasa kebangsaan. Penggunaan bahasa Melayu harus diperluaskan di tempat-tempat awam. Tuntasnya, dapat memupuk rasa cinta akan bahasa Melayu. Mendokong matlamat ini, semua pengamal media cetak harus lebih bertanggungjawab dalam usaha memartabatkan bahasa ibunda. Kikiskan keegoaan dan mentaliti yang kolot dalam usaha memperluaskan penggunaan bahasa Melayu.

Dalam masa yang sama, masih terdapat media cetak yang bertungkus lumus berusaha memartabatkan bahasa Melayu. Umpamanya, Dewan Bahasa dan Pustaka menerbitkan beberapa majalah serta risalah yang menggunakan bahasa Melayu yang betul dan ini secara tidak langsung mengetengahkan penggunaan bahasa Melayu yang betul kepada masayarakat. Akhbar arus perdana seperti Berita Harian, Berita Minggu dan Minggua Malaysia mengambil inisiatif dengan mewujudkan ruangan sastera Melayu. Usaha seperti ini mampu memberi nafas kepada bahasa Melayu untuk terus bernyawa. Hakikatnya, pelbagai lagi usaha boleh dilakukan oleh pengamal media cetak untuk terus memacu bahasa Melayu di peringkat yang lebih tinggi.

Rasionalnya, terdapat usaha-usaha media cetak dalam memperkasakan bahasa Melayu namun belum menyeluruh. Selain itu, masih terdapat beberapa pihak dan individu yang masih buta terhadap tanggungjawab untuk memartabatkan bahasa kebangsaan. Media cetak khususnya, perlu lebih serius dalam memartabatkan bahasa Melayu kerana media cetak mempunyai pengaruh yang kuat dan mampu untuk mempengaruhi masyarakat mendaulatkan bahasa Melayu. Setiap warganegara perlu mempunyai rasa cinta yang tinggi terhadap bahasa kebangsaan kita. Siapa lagi yang harus mengagungkan bahasa kebangsaan kalau bukan kita sebagai penuturnya. Bahasa jiwa bangsa dan bahasa mencerminkan bangsa!

BAHASA DIJANA, BANGSA DI MERCU!