Monday, April 6, 2015

DUGAAN BUAT KAMI SEKELUARGA

Bagaimana ya untuk memulakannya ya? Saya sendiri sukar untuk menceritakannya. Dan sebenarnya ramai juga sahabat saya yang tidak tahu akan perihal ini. Sebenarnya, pada hari ini, pada hari catatan ini ditaip merupakan hari ke-16 ayah saya mengharung dugaan. Dugaan juga buat kami sekeluarga. Petang Ahad itu, ayah tiba-tiba terasa kebas pada anggota badan pada sebelah kanannya. Tanpa berlengah lagi kami terus membawanya ke bahagian kecemasan Hospital Sultanah Bahiyah. Hampir sejam lebih menunggu di bahagian zon kuning, barulah ayah dipanggil untuk menjalani City Scan. Setelah itu ayah masih ditempatkan di zon kuning. Petang itu ketika di atas kerusi roda, saya lihat matanya berkaca-kaca. Mungkin ayah tidak menyangka petang itu dia tidak berkeadaan seperti biasa. Mungkin juga pelbagai perkara yang menghurung dalam kepalanya, maklumlah dia berperanan sebagai ketua keluarga. Saya terasa sayu. Sebak betul rasanya melihat dia menangis pada petang itu, Saya keluar dari zon kuning dan menangis di hadapan sahabat saya yang turut berada di hospital ketika itu. Dia memujuk saya.

Lebih kurang pukul 3 pagi, ayah ditempatkan di wad, di tingkat 4. Adik dan emak yang menemani ayah di hospital. Saya dan adik bongsu menjaga rumah. Malam itu, saya betul-betul tidak dapat lena. Macam-macam yang bermain di fikiran. Saya asyik menangis. Kak Ros, Mimi dan adiknya tidak berhenti-henti memberi kata semangat pada saya menerusi aplikasi Whatsapp. Saya akui pada mulanya saya juga tidak kuat memandangkan saya anak sulung, belum berkerjaya pula. Bagaimana harus saya lalui hari-hari mendatang? Tetapi kalau saya bandingkan perasaan saya dengan mak, pasti yang ditanggung mak lebih-lebih lagi, tetapi Mak tidak menunjukkan rasa resah ataupun sedih. Dia di sisi ayah sering memberi kata semangat. 

4 hari 3 malam ayah ditahan di wad. Saya merasa untuk tidur di wad menemani ayah bersama mak pada malam ketiga. Kini ayah di rumah, alhamdulillah ada perkembangan sedikit, namun masih belum kuat lagi. Dia perlu menjalani fisioterapi, pemeriksaan berkala di hospital kerana tekanan darahnya yang tinggi dan pastinya perlu menghabiskan ubat-ubat yang diberikan doktor, malah perlu bergantung lagi pada ubat yang diberikan setelah habis. Setiap hari saya akan bangun awal bersama mak untuk menguruskan perniagaan kedai santan kami. Sekitar pukul 3 pagi atau pukul 4 pagi kami sudah bangun. Penat memang penat, tetapi inilah jalan takdir saya sekeluarga untuk kelangsungan mencari rezeki. 

Saya mohon maaf kerana tidak sempat untuk memberitahu segala yang berlaku pada mereka yang masih tidak tahu. Ketika itu, perasaan saya tidak tenteram. Maafkan saya juga jika ada yang berkecil hati kerana saya memungkiri janji untuk berjumpa. Ketika ini, yang lebih utama ialah keluarga saya, masa untuk diri saya bersama sahabat-sahabat atau untuk dunia saya sendiri harus saya ketepikan seketika jika ianya boleh diketepikan seketika. Saya mohon maaf dan doakanlah kesejahteraan ayah saya juga agar dia sembuh dari strok dan menjalani kehidupan seperti selalu. Terima kasih.