Tuesday, November 23, 2010

KOTAK-KOTAK DEMOKRASI DARI N.FAIZAL (MANTAN MPR 2009)

Mantan Minggu Penulis Remaja (MPR) 2009 tampil lagi dengan buah tangan yang terbaru. Kali ini daripada hasil tinta N. Faizal Ghazali. Agak berbeza dengan mantan MPR 2009 yang lain kerana Faizal tampil dengan kumpulan puisinya. Tahniah Faizal! Kepada mantan MPR 2009 yang lain, teruskan melangkah!


Himpunan Puisi N.Faizal Ghazali Kotak-kotak Demokrasi

RM 19.00

Monday, November 15, 2010

SALAM AIDILADHA 1431



Salam Adiladha kepada semua yang bertandang ke sini.

Bajailah sukma dengan keinsafan dalam menghayati kisah pengorbanan tulus Nabi Ibrahim dan anakandanya, Nabi Ismail.

-Mohd Haniff Mohammad Yusoff

SELAMANYA BERNYAWA

SELAMANYA BERNYAWA

Sekian abad bertapak

di gugusan Nusantara

bercambah mengakari utuh

persada agung empayar Melayu

daulatnya masih dijaga

biarpun diracun bertalu.

Tiupkan roh cinta aspresiasi

pada bahasa pegangan hati

bahasa ini nafas jati diri

selamanya tetap bernyawa

dijulang tinggi.

MOHD HANIFF MOHAMMAD YUSOFF

Universiti Utara Malaysia

Berita Minggu, 14 November 2010

BERSIMPUH DI PUTRAJAYA

Minggu lepas, saya disapa dengan khidmat pesanan ringkas (sms) dari Siti Fatimah. Terkejut juga membaca smsnya kerana saya tidak menyangka puisi saya yang dicipta pada saat akhir dalam keadaan yang sibuk dengan tugasan dipilih sebagai pemenang. Saya menjangkakan puisi ‘ Bersimpuh di Putrajaya’ saya sudah diadili dan tidak terpilih untuk memenangi pertandingan Menulis Puisi Putrajaya Melalui Facebook ini. Saya menyertainya juga setelah dipujuk oleh sahabat saya N.Faizal Ghazali (Peserta Terbaik Puisi MPR 2009). Berdasarkan jemputan yang saya terima, saya dikehendaki hadir ke Putrajaya sempena majlis penangguhan Bulan Bahasa Kebangsaan dan majlis penyampaian hadiah pada 13 November 2010 yang lalu tetapi saya tidak dapat hadir.Tahniah juga kepada Ahmad Muziru Idham Adnan (mantan MPR 2009) yang menang berganda dan Siti Fatimah (insya-Allah bakal mantan MPR 2010).

RUMAH SAYA DAN BANJIR



Bencana alam itu datangnya dari Allah sebagai ujian kepada hambanya. Kali ini hujan turun begitu rancak. Ketika saya di UUM, hujan berterusan berhari-hari tanpa menunjukkan petanda untuk berhenti. Gelisah juga melihat air longkang terus deras mengalir ibarat geombang air laut yang mengganas. Hati juga tidak tenteram bila dikhabarkan air sudah melimpah dan banjir di beberapa kawasan. Lebuh raya juga ditutup kerana dinaiki air. Berdetik juga sukma saya terhadap keadaan keluarga apakala membaca akhbar yang turut menyaraikan Jalan
Hutan Kampung ditutup. Ketika asyik menikmati cendol pulut di Jo Cendol , saya mendapat perkhabaran bahawa peperiksaan akhir UUM ditunda kerana banjir yang melanda telah memutuskan perhubungan antara Jitra dan Alor Setar. Bayangkanlah 80 peratus kawasan Alor Setar dinaiki air. Esoknya pula saya mendapat berita, rumah saya turut dimasuki air buat pertama kalinya. Keluarga saya sempat bertindak mengalihkan barang ke tingkat atas apabila mendapati air sudah mula memasuki rumah jiran tetangga.

Friday, November 5, 2010

MELAKUKAN KAJIAN SEBELUM MENGIRIM KARYA

Merujuk kepada catatan Nurul Farehah Jaamad yang bertajuk ‘Belajar Menulis Sesuatu Karya’ , saya tertarik untuk kongsikan apa yang saya tahu agar kita tidak mudah menyalahkan editor yang tidak memilih karya kita untuk disiarkan.

Mengenali konsep sesuatu bahan bacaan dan mengenali kemahuan editornya adalah sesuatu yang penting. Oleh yang demikian tidaklah kita menulis dan menghantar karya tanpa tujuan. Memang, kita menulis bukanlah kerana nama, tetapi tidak mahukah melihat karya kita dibaca dan menjadi bahan tatapan pembaca? Salah satu faktor kita menulis adalah untuk dibaca agar pembaca memperolehi sesuatu dari karya kita.

Jika anda mengirimkan karya melalui emel, contohnyan untuk siaran Mingguan Malaysia dan Berita Minggu, jangan lupa untuk menyertakan surat permohonan karya. Analoginya mudah, jika kita hendak masuk ke rumah orang, berilah salam dan ketuk pintu terlebih dahulu. Tidak beradab jika terus menerjah masuk. Jangan lupa sertakan biodata anda sekali.

Jika untuk siaran akhbar, cubalah menulis perihal isu-isu semasa. Setahu saya, editor memang menggalakkan karya yang bertemakan isu-isu semasa. Mereka juga mengharapkan karya-karya penulis baru. Peluang untuk penulis-penulis baru sentiasa terbuka. Perasankah anda? Berita Minggu sendiri menyiarkan karya penulis-penulis baru kerana karya-karya penulis mapan disiarkan dalam Berita Harian pada hari Sabtu. Nah, peluang sememangnya ada.

Menulislah Tanpa Jemu

Haniff