Monday, September 19, 2011

FRAGMEN 11 SEPTEMBER

Masih segarkah ingatan kalian

seputar sedekad lalu

saat ketika dua konkrit kembar gah

tersungkur menyembah

dunia pun terbeliak tidak menyangka

melihat runtuh simbol agung kuasa dunia.

Dek serangan berani mati

jiwa tidak berdosa jadi mangsa

riuh sedunia menuding jari

angkara siapa jadi agenda

perpaduan dunia tergendala.

Sedekad sudah ditinggalkan masa

sisa-sisanya masih ada

aksara Islamfobia jadi masyur tiba-tiba

kita dituduh pengganas pula

oh, retorik dunia!

-kerana nila setitik rosak susu sebelanga.

Di bawah langit redup

ayuh, meratib harmoni

semoga kemanusiaan dihormati

keamanan dikecapi!

MOHD HANIFF MOHAMMAD YUSOFF

Universiti Utara Malaysia


-Disiarkan dalam Berita Minggu, 18 September 2011

Sunday, September 18, 2011

Nota buat Varsiti Tercinta

Aku kaku tidak terdaya

saat diserang perasaan

deru angin pun mencengkam erat

memeluk tubuhku bersama kenangan

aku rebah dalam rasa

kalah menyeka air mata.

Sudah lamaku mengitar hidup

di bumantara ini

mengutip nilai agung darjat manusia

bukan sahaja di dunia,

bahkan untuk akhirat jua

dan hari ini berakhir sudah

perjalananku di sini.

Selamat tinggal varsiti semesta

terima kasih atas segala cinta!

MOHD HANIFF MOHAMMAD YUSOFF

Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa

Kolej Akademik COLGIS

Universiti Utara Malaysia


-Disiarkan dalam sisipan Varsiti, Berita Harian edisi 15 September 2011


Thursday, September 8, 2011

TERIMA KASIH DAUN KELADI

Bukan mudah untuk menjadi penulis. Saya juga pernah terfikir bahawa berada dalam dunia penulisan juga punya gosip dan kontroversi seperti dunia artis. Bukan semua orang suka akan karya kita dan setiap tangan yang menulis itu punya caranya yang berbeza-beza.

Kita menulis untuk dibaca oleh khalayak masyarakat, dan bagi saya sia-sia sahaja menulis jika tujuannya bukanlah untuk dihidangkan kepada masyarakat. Oleh yang demikian, setiap kali mengirimkan karya, saya sematkan juga azam agar karya saya disiarkan. Paling mengembirakan pastinya apabila kita mengetahui, ada yang sudi membaca karya kita.

Melalui laman sosial Facebook oleh seseorang yang saya tidak kenal, lalu memperkenalkan dirinya sebagai seorang insan yang seringkali mengikuti karya-karya eceran saya melalui majalah dan akhbar. Sebagai bukti, dia telah menaip semula puisi-puisi saya dalam bentuk berilustrasi menarik.

Terima kasih ‘Ostwalt Argentum’ atas sokongan dan kesudian anda membaca serta mengumpul karya-karya saya.