Monday, December 17, 2018

SAYEMBARA MENULIS PUISI GERAKAN DEKAD BAHASA KEBANGSAAN ZON UTARA 2018

Ketika berada di UKM, saya sudah menerima panggilan tentang majlis penyampaian hadiah yang akan diadakan beserta tarikh dan tempatnya. Seawal itu juga saya sudah membayangkan ketidakhadiran saya memandangkan pada tarikh tersebut saya mempunyai jemputan majlis perkahwinan sahabat baik saya. Saya mengirim tiga buah puisi kepada penganjur dengan harapan ada yang tersangkut sebagai pemenang. Saya pernah berasa kesal kerana tidak menyertainya beberapa tahun lalu dan kali ini saya tidak mahu berasa kesal lagi. Tiga buah puisi saya kirimkan penghujung bulan Oktober  menggunakan kiriman Pos Laju, bimbang kiriman tidak sampai pada tarikh yang sepatutnya.


Syukur, dikhabarkan 123 puisi telah dinilai dan 8 buah puisi telah dibawa ke peringkat akhir termasuklah sebuah puisi saya yang berjudul 'Bahasa adalah Seorang Ibu dalam Rumah Kaca'. Puisi-puisi yang telah diadili oleh Dr. Shamsuddin Othman ini telah diumumkan keputusannya pada tanggal 15 Disember 2018 yang lalu. Puisi saya merupakan salah sebuah puisi yang dipilih sebagai penerima hadiah saguhati. Syukur.


HADIAH SASTERA SELANGOR 2018

Sejujurnya saya perlu ke Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) kerana telah mendaftar sebagai pembentang dalam sebuah seminar yang dianjurkan. Kebetulan pula majlis perkahwinan Fysah dalam minggu yang sama. Beberapa hari selepas itu sememangnya saya bercadang untuk menginap di Universiti Kebangsaan Malaysia, melangsaikan tugas yang belum selesai. Kebetulan pula penganjuran Hadiah Sastera Selangor 2018 diadakan ketika saya benar-benar berada di sana. Editor sastera juga memperingat agar dapat menghadirkan diri. Segalanya teratur, tersusun. 

Saya ke sana dengan menumpang keluarga Legasi Oakheart yang turut membuka rerurai sempena Hadiah Sastera Selangor 2018. Dapatlah saya berjumpa, bertegur sapa dan merakam kenangan dengan penulis-penulis lain yang selama ini hanya bertegur di Facebook atau di Instagram. oh ya, sempat juga saya beli novel terbaharu FIXI berjudul Pesona terus dari penulisnya, Arif Zulkifli.



Malam yang penuh kenangan itu telah menyangkutkan cerpen tunggal saya dalam Selangor Kini untuk tahun 2018 yang berjudul 'Seperti Apakah Rasanya Piza' dalam senarai Hadiah Penghargaan kategori Cerpen. 


Terima kasih juri yang memilih. Terima kasih editor sastera Fazallah dan akhbar Selangor Kini untuk ruang dan peluang. Terima kasih kerajaan Selangor yang menganjurkan HSS 2018 dan mengiktiraf karya sastera.