Wednesday, August 21, 2013

KAD RAYA | TRADISI MENGIRIM KAD RAYA | KAD RAYA SELEBRITI

Kad raya yang diterima pada tahun 2013

Pada tahun ini, saya masih menerima kiriman kad hari raya cuma bilangannya tidaklah sebanyak dahulu. Paling banyak saya pernah menerima 50 keping kad hari raya pada tahun 2004. Tahun-tahun sebelum itu, juga selalunya mencecah 20 keping dan apabila kedengaran hon motosikal posmen di pintu pagar, saya dan adik-adik berebut mendapatkan posmen. Kegirangan dan kebahagian menerima kad hari raya ketika itu sukar untuk diterjemahkan. Namun, bilangannya semakin lama semakin sedikit dan kita juga maklum akan perkembangan teknologi yang lebih menjadi pilihan pada era ini. 

Saya sendiri pada tahun ini tidak sempat untuk mengirimkan kad hari raya walaupun sekeping seperti tahun-tahun sebelumnya. Sebenarnya saya juga gemar mengutus kad raya buat sahabat-sahabat, guru-guru dan tidak lupa juga buat editor-editor majalah dan juga dalam kalangan selebriti. Oh ya, untuk beberapa tahun juga saya mengirim kad raya buat Yang di-Pertuan Agong. Sesiapa yang mengirimkan kad raya buat Yang di-Pertuan Agong, pasti akan menerima balasan sebuah kad raya khas yang serba kuning. Saya juga pernah menerima kad raya daripada editor-editor majalah DBP dan juga Karangkraf. Selalunya, kad raya daripada selebriti ni cantik-cantik. Saya pernah menerimanya daripada Dafi, Aizat Amdan, Sheila Amzah, In-Team, UNIC, Amar dan juga Aznil Hj. Nawawi.

Perasaan menerima kad ucapan hari raya adalah sesuatu yang berbeza dengan menerima ucapan melalui SMS ataupun menerusi laman sosial. Terima kasih kepada mereka yang sudi mengirimkan kad hari raya buat saya. Ada tu, siap hadiahkan butang baju Melayu buat saya. Terima kasih la ya!

Bergaya bersama kad raya Aizat Amdan


Thursday, August 15, 2013

IKLAN RAYA MAXIS 2013 | TAJUL CULLEN | SEMANGAT SILATURRAHIM

Pastinya sudah ramai yang menonton iklan raya Maxis ini. Rata-rata cukup gemar dengan iklan ini. Saya sendiri memilih iklan ini selaku juara iklan raya kali ini walaupun mendapat persaingan daripada iklan-iklan raya yang lain. Setiap tahun kita begitu teruja untuk menonton iklan raya yang adakalanya begitu menyentuh dan menggelikan hati. Iklan Petronas umpamanya sering menjadi sebutan ramai. Saya juga mengharapkan Bernas juga tampil dengan iklan rayanya memandangkan iklan rayanya pada tahun lalu tentang sepasang adik beradik yatim piatu pulang ke kampung untuk berhari raya begitu menyentuh, namun tiada pula iklan dari mereka pada tahun ini. Walau bagaimanapun, terdapat juga iklan raya yang asyik memerihalkan isu yang agak klise seputar bulan puasa dan sambutan hari raya Aidilfitri. Anda juga boleh melihat sisi lain Zizan Razak selaku pelawak popular (masa kini) dalam iklan raya Mamee, namun jalan ceritanya begitu mudah untuk diduga. Iklan raya Maxis tidaklah terlalu berat untuk difahami tetapi cuba memahamkan penonton akan pentingnya hubungan silaturrahim. Jika ditanya mengapa saya memberi markah yang lebih kepada iklan ini, saya akan menjawab kerana syarikat telekomunikasi ini menidakkan promosi produknya sendiri dalam iklan ini. Adakalanya kepentingan sendiri itu perlu diabaikan demi kesejahteraan sejagat. Tahniah Maxis!

Kredit Video: Youtube/Akaun Youtube milik pelakon iklannya sendiri, Tajul Cullen.