Friday, October 23, 2009

KOLEJ SULTAN ABDUL HAMID MELAHIRKAN MODAL INSAN GEMILANG


KOLEJ SULTAN ABDUL HAMID MELAHIRKAN MODAL INSAN GEMILANG- rauangan Sekolahku Akarku, DEWAN SISWA SEPTEMBER 2009

Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH) merupakan antara sekolah premier yang terunggul di Malaysia. Terletak berhampiran pusat bandar Alor Star, KSAH menjadi kebanggaan warga Alor Star. KSAH juga meniti dibibir-bibir masyarakat sekeliling atas pelbagai kejayaan yang telah ditempa selama ini. Tahun 2008 yang lalu, KSAH mencatat sejarah apabila menyambut usianya yang ke-100.
Sejarah Penubuhan.

KSAH diasakan pada 8 Disember 1908 sebagai Government English School (GES) di sebuah bangunan berhampiran Balai Nobat, Alor Star. Pengetua pertamanya ialah Encik Mohd Iskandar(bapa Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohammad).
GES merupakan sekolah Inggeris pertama di Kedah. Pada tahun 1911, GES dipindahkan ke Jalan Penjara Lama dan sekali lagi dipindahkan ke Jalan Langgar (tapak sekarang) pada tahun 1917. Pada tahun 1935 nama GES telah ditukar menjadi Sultan Abdul Hamid College (SAHC).

Sejak penubuhannya, KSAH telah melalui rentetan sejarah perkembangan yang panjang. Banyak perubahan telah berlaku dari semasa ke semasa. Bagi menampung bilangan pelajar yang semakin ramai, bilik darjah telah ditambah di kedua-dua ‘’wing’’ kiri dan kanan bangunan perdana. Bangunan asrama lelaki dan sebuah bangunan perpustakaan yang dikenali sebagai ‘’Stuart Library’’ telah didirikan pada tahun 1930. Kemudian, sebuah dewan besar dan bangunan makmal sains dibina pada tahun 1939.

Semasa Perang Dunia Kedua, sekolah terpaksa ditutup dan dibuka semula pada tahun 1945. Pada tahun 1956, pentadbiran KSAH telah diasingkan kepada Kolej ‘’Primary’’ dan Kolej ‘’Secondary’’. Sejak dari itu, wujudlah sebuah sekolah rendah yang kemudiannya dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Seri Iskandar.

Antara mantan pelajar KSAH ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Al-Haj Sultan Abdul Halim Mua’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Negeri Kedah. KSAH telah melahirkan ramai tokoh di peringkat kebangsaan dan antarabangsa bersesuaian dengan mottonya, ‘’Schoolar, Sportman, Gentleman’’ seperti dua orang Perdana Menteri iaitu YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Tun Dr. Mahathir Mohamad, lima orang Menteri Besar Kedah, tiga orang Menteri Kabinet, lima orang Ketua Hakim Negara serta seorang Presiden Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Sambutan 100 Tahun KSAH yang disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah pada hari kemuncaknya (Centenary Celebration Day) pada 26 Julai 2008 yang lalu. Pelbagai aktiviti telah diadakan sempena Sambutan 100 Tahun KSAH. Aktiviti-aktiviti tersebut ialah Pengkisahan Sejarah SAHC 100 Years of Excellence di Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah, Majlis Tahlil dan Forum Perdana di Masjid Zahir Alor Star serta Karnival 100 Tahun KSAH selama tiga hari.
AKADEMIK

KSAH turut gah dalam bidang akademik.. Syarat kelayakan untuk mendapat pendidikan di KSAH ialah memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). KSAH turut menawarkan pakej Pra- Universiti. Asalnya KSAH merupakan sebuah sekolah yang hanya menempatkan pelajar lelaki sahaja tetapi bagi pakej Pra-Universiti, pelajar perempuan diterima masuk. Setakat ini hanya terdapat 127 orang pelajar perempuan.
Setiap tahun, KSAH mencatatkan kelulusan 100 % dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR). Begitu juga dengan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). KSAH mencatatkan kelulusan 100 % dalam SPM pada saban tahun. Bagi keputusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) tahun lalu, KSAH mencatatkan 98.13% pelajar yang lulus serta layak mendapat sijil. Pada tahun 2008, keputusan PMR menunjukkan keputusan yang membanggakan iaitu seramai 79 orang pelajar KSAH telah mendapat A dalam semua mata pelajaran.

Nama KSAH cukup teguh di arena kokurikulum. Ada sahaja kejayaan yang diraih di peringkat daerah, negeri, kebangsaan mahupun antarabangsa. KSAH cukup sinonim dengan kejayaan pasukan Forum Remajanya yang merangkul kejuaraan di peringkat negeri saban tahun. Tahun 2008 menyaksikan sekali lagi pasukan Forum Remaja KSAH menjadi johan di peringkat Negeri Kedah dan mendapat tempat keempat di peringkat kebangsaan.

Pasukan Pancaragam KSAH telah dinobatkan sebagai johan Pertandingan Pancaragam Sekolah-sekolah Negeri Kedah 2008. Pasukan ini turut mengungguli Persiapan Terbaik. Selain itu, Pasukan pancaragam KSAH mengukuhkan lagi kejuaraan mereka apabila drum majornya, Majdi bin Ahmad dipilih sebagai Drum Major Terbaik.

Baru-baru ini, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara telah mengadakan Majlis Penyampaian Hadiah Anugerah Citra Majalah yang melibatkan penyertaan sekolah-sekolah menengah di utara semenanjung. KSAH mempamerkan keunggulan pelajarnya dalam arena penulisan apabila membolot empat hadiah pada hari tersebut.

KSAH juga cemerlang dalam bidang sukan dan olahraga, malah beberapa orang pelajar KSAH merupakan wakil negeri Kedah dalam Sukan Malaysia (SUKMA) yang berlangsung di Terengganu pada tahun lalu. Mereka telah berjaya menyumbangkan pingat emas untuk badminton berpasukan dan gangsa untuk ragbi dan boling padang. Melalui Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Premier Zon Utara, KSAH telah menjadi johan dalam pertandingan ragbi dan bola sepak. Selain itu, KSAH menggondol tempat ketiga bagi pertandingan hoki. Sememangnya, kecemerlangan KSAH dalam gelanggang kokurikulum tidak boleh disangkal lagi.

‘’Setelah 101 tahun berdiri teguh menabur bakti dalam arena pendidikan negara, KSAH telah melahirkan ramai tokoh-tokoh terkemuka yang telah berkhidmat kepada negara. Saya berbangga menjadi pemimpin utama di KSAH kerana para pendidik, para pelajar dan warga KSAH senantiasa berganding bahu bagi memastikan nama KSAH sentiasa harum dari segala aspek. Harapan saya agar KSAH dapat dimartabatkan sebagai sebuah institusi ilmu yang mampu menganjak paradigma sekaligus membina modal insan kelas pertama yang gemilang’’ harapan pengetua KSAH, Tuan Haji Morazuki Hashim

KSAH bermatlamat melahirkan pelajar yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia dan bertanggungjawab untuk mencapai kesejahteraan diri serta menyumbang kepada agama, bangsa dan negara. Sewajarnya kita berbangga kerana mempunyai instiusi pendidikan seperti KSAH.

1 comment:

  1. Assalamualaikum abg Anip.hebat betul kolej sultan abdul hamid ni ya..abd anip pun byk kerakyatan

    ReplyDelete