Wednesday, December 30, 2009

'DUNIA BARUKU' dalam e@siswa JANUARI 2010



Alhamdulillah cerpen pertama saya disiarkan dalam majalah e@siswa Januari 2010. Cerpen yang bertajuk 'Dunia Baruku' ini berkisahkan perjalanan kehidupan seorang pelajar tingkatan tiga dengan alam kehidupannya yang baru selepas pemergiaan baba, umi dan abangnya buat selamanya. Cerpen ini disesuaikan dengan pembukaan sekolah bagi sesi 2010. Selamat membaca dan dapatkan segera di pasaran !

Thursday, December 24, 2009

MINGGU PENULIS REMAJA (MPR) 2009

TARIKH; 19- 25 DISEMBER 2009.

TEMPAT; GOLDEN STRAITS VILLAS BEACH RESORT, PORT DICKSON.

Sunday, December 13, 2009

EJAAN KATA MAJMUK MANTAP

Kesemua kata majmuk di bawah dieja secara berdekatan tanpa dipisahkan.

ANTARABANGSA
BERITAHU
BUMIPUTERA
JAWATANKUASA
KAKITANGAN
KERJASAMA
OLAHRAGA
MATAHARI
SETIAUSAHA
SUKARELA
SURUHANJAYA
TANDATANGAN
TANGGUNGJAWAB
WARGANEGARA
PESURUHJAYA
SUKACITA
DUKACITA
PERIBADI
PERIBAHASA
PERIKEMANUSIAAN
KEPADA
DARIPADA
APABILA
MANAKALA
BARANGKALI
KADANGKALA
PADAHAL
DARIHAL
BAGAIMANA

Thursday, December 10, 2009

DEWASA



DEWASA

Kini kubergerak bebas
Bersama sayap kematangan
Terbang mencari haluan
Pegangan jua pendirian

-MOHD HANIFF MOHAMMAD YUSOFF
10/12/2009

Tuesday, December 8, 2009

PERGI BUAT SELAMANYA


Kali ini cerita yang ingin saya kongsikan bernada sedih sedikit. Saya menyimpan keratan akhbar ini dari tahun lepas. Hampir setahun. Catatan kali ini berkaitan perginya kawan lama saya kepada Maha Pencipta. Perginya sahabat saya ini telah memberi jawapan kepada saya.......

Entah mengapa tahun lepas, hati saya melonjak-lonjak untuk menemuinya. Dirinya muncul dalam minda saya secara tiba-tiba. Namanya pun saya ingat-ingat lupa. Mungkin teringat akan sahabat lama, bisik hati kecil saya. Sebenarnya, sahabat saya ini merupakan sahabat saya sewaktu di darjah enam (200). Kami bukan sekelas tapi dia amat baik terhadap saya. Selepas itu, saya tidak lagi mengetahui akan kehidupannya. Dek kerana hati dan minda asyik mendesak untuk mencarinya, saya cuba mencarinya di laman sosial seperti di Myspace dan Friendster. Namun hampa.

Sehinggalah pada suatu hari, Allah memberi jawapan kepada hati dan minda saya yang asyik teringatkan dia melalui surat khabar. Hati saya mula sebak. Ya, dia lah, sahabat yang saya cari selama ini. Saya teliti gambarnya, saya cari namanya. Tidak mustahil lagi, dia lah orangnya. Sahabat saya ini telah dijemput oleh Maha Pencipta setelah beberapa hari terlantar di hospital akibat kemalangan. Saya tidak dapat menahan air mata saya daripada mengalir...

Saya cuba menghantar emel kepada wartawan yang menulis berita itu untuk mendapatkan pengesahan, tetapi langsung tiada balasan. Walaubagaimanapun saya berbangga kerana pernah menjadi sahabatnya. Walaupun kami bukanlah terlalu rapat, tetapi arwah seorang yang baik dan arwah tidak pernah menyingung perasaan saya. Setahun sudah arwah pergi meninggalkan Buana ini buat selamanya.

~al-fatihah~

KAU SAHABAT KAU TEMAN- HIJJAZ

Telah tiba saat waktu kau tinggalkan kami
Kerana takdir yang Maha Esa telah menetapkan
Sedih rasanya hati ini bila mngenangkan
Kau sahabatku kau teman sejati

Tulus ikhlasmu luhur budimu bagai tiada pengganti
Senyum tawamu juga katamu menghiburkan kami
Memori indah kita bersama terus bersemadi
Kau sahabatku kau teman sejati

Sudah ditakdirkan kau pergi dulu
Di saat kau masih diperlukan
Tuhan lebih menyayangi dirimu
Ku pasrah diatas kehendak yang Esa

Ya Allah,tempatkannya di tempat yang mulia
Tempat yang kau janjikan nikmat untuk hamba Mu
Sahabatku akan ku teruskan perjuangan ini
Walau ku tahu kau tiada di sisi

Perjuangan kita masih jauh beribu batu
Selagi roh masih di jasad hidup diteruskan
Sedih rasa hati ini mengenangkan dikau
Bagai semalam kau bersama kami

Moga amanlah dan bahagia dikau di sana
Setangkai doa juga Fatehah terus kukirimkan
Moga di sana kau bersama para solehin
Ku sahabatku kau teman sejati

Saturday, December 5, 2009

MINGGU PENULIS REMAJA (MPR) 2009



Menyoroti tahun 2008 yang lalu, saya begitu teruja melihat iklan program MPR 2008. Seingat saya, saya bertambah teruja untuk menyertainya setelah membaca rencana mengenai MPR hasil tulisan abang Khairul Nizam Abd. Raub menerusi ruangan 'Siswa MPR' dalam majalah Dewan Siswa sepanjang tahun 2008. Setiap bulan pelbagai topik yang menarik diketengahkan oleh abang Khairul Nizam dan kejayaan mantan-mantan MPR menjadi inspirasi saya. Saya telah menghantar borang pemohonan beserta salinan karya untuk mengikuti program MPR 2008. Alhamdulillah, saya terpilih. Namun kegembiraan saya hanya sementara setelah mengetahui tarikhnya yang bertembung dengan kelas bahasa Inggeris saya di universiti. Saya pasrah dan menyimpan hasrat untuk memohonnya pada tahun berikutnya.

Tahun 2009, saya memasang impian untuk menyertai MPR 2009. Sehingga pertengahan 2009, saya masih belum mendengar sebarang berita mengenai MPR 2009. Sehinggalah pada suatu hari, saya dimaklumkan Kak Zeti (penyelaras MPR)bahawa program MPR 2009 tidak dapat dijalankan atas sebab-sebab tertentu. Waktu itu, saya masih belum mengalah. Saya mengeluh di laman sesawang MPR dan laman sosial 'Facebook' pengikut MPR.Harapan kami tidak berkubur begitu sahaja. Alhamdulillah, doa saya dan mungkin beberapa orang lagi termakbul. MPR 2009 akhirnya diadakan juga. Saya terus memohon dengan menghantar borang pemohonan MPR 2009 bersama-sama dengan salinan karya saya.

Alhamdulillah, kak Zeti telah memaklumkan kepada saya bahawa saya terpilih melalui emel. Sehari sebelum menyambut Aidiladha, saya mendapat pula surat tawaran rasmi dari Dewan Bahasa dan Pustaka. Alhamdulillah, syukur kepada-Nya.

Menghampiri tanggal 19 Disember ini, perasaan saya sangat teruja, gembira dan berdebar-debar untuk bertemu sahabat-sahabat baru yang hebat-hebat belaka, bertemu fasi-fasi yang berpengalaman, bertemu mantan-mantan MPR, bertemu editor-editor majalah terbitan DBP dan sudah pastinya mengutip ilmu yang berharga di samping pengalaman yang bernilai !


Nota kaki; kepada saudara NOOR FAIZAL GHAZALI, MOHD AMIRUL HAMUDIN, MUHAMMAD SYUKRI SAPUAN, AHMAD MUZIRU IDHAM ADNAN, SHAMSUL AMIN serta saudari NURAINI RUZI dan NUR ADILLA ABD RAHIM. ~JUMPA KALIAN DI SANA~ MOGA UKHWAH YANG TERBINA TERUS BERBUNGA MEKAR BUAT SELAMANYA !

Kepada saudara SHUKRI MOHD ALI, nampaknya belum ada rezeki untuk kita berjumpa. Saya percaya anda seorang penulis muda yang cukup bagus dan semoga menjadi warga MPR 2010 nanti ! =)

Sunday, November 29, 2009

RENUNG

Apabila renung sejarah semalam,
ada keringat
ada ketabahan
ada perjuangan
ada pengorbanan
bersama-sama jarum semangat kental
menyulam kemerdekaan !

MOHD HANIFF MOHAMMAD YUSOFF
UNIVERSITI UTARA MALAYSIA

*DEWAN SISWA NOVEMBER 2009
-HAK CIPTA TERPELIHARA-

Friday, November 27, 2009

DEWAN SISWA DAN TUNAS CIPTA EDISI NOVEMBER 2009



-TUNAS CIPTA NOV. 2009
Hasil penulisan saya berbentuk pendapat mengenai isu utama dalam Tunas Cipta Jun 2009 telah dipilih untuk disiarkan dalam majalah Tunas Cipta November 2009 bersama-sama dengan surat saudari Jamilah Mohd Norddin (mantan MPR 2007)dan surat daripada Mohd Fadhli Hamzah yang merupakan sahabat saya.

-DEWAN SISWA NOV. 2009
Kali terakhir puisi saya disiarkan dalam Dewan Siswa ialah edisi Ogos 2008 yang lalu melalui puisi 'Apabila Tewasnya Iman'. Dewan Siswa November 2009 telah menyiarkan puisi pendek saya sekali lagi yang bertajuk 'Renung'.

UPAYA BAHASA MELAYU SELEPAS PEMANSUHAN PPSMI

Upaya Bahasa Melayu selepas pemansuhan PPSMI (Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Ingggeris) masih boleh dipertikaikan. Kita masih belum benar-benar mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. DBP telah melaksanakan tugas mereka dengan baik, malah mereka juga menegur penggunaan istilah yang salah. Bahasa rojak masih menjadi menu kita dalam urusan rasmi. Contohnya 'RAKAN COP'. Bukankah ianya merupakan pertembungan dua bahasa? Cukup menyedihkan apabila kita sebagai penuturnya membutakan mata. Begitu juga dengan penggunaan istilah BAJET. DBP telah menegur bahawa istilah BELANJAWAN paling tepat! Siapakah yg harus dipersalahkan?
Mengapa kita tidak menghormati peranan DBP? Bukan itu sahaja, DBP dipersalahkan pula kerana tidak menjalankan tugasnya. Harap kita lebih peka terhadap bahasa kita, jangan mudah menunding jari !

'BAHASA DIJANA, BANGSA DI MERCU'

DBP BOLEH DENDA- BERITA HARIAN -19 OKTOBER 2009



Tajuk ini menjadi tajuk muka hadapan akhbar Berita Harian tanggal 19 Oktober 2009 yang lalu. Tulisan berita ini mengupas bahawa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mempunyai hak untuk mengambil tindakan kepada pihak awam yang tidak menggunakan bahasa Melayu dalam urusan mereka.

Saya melihat bahawa, akta ini mampu untuk memartabatkan bahasa Melayu. Selama ini DBP hanya boleh memberi nasihat sahaja. Nasihat yang diberikan mungkin tidak diendahkan langsung oleh sesetengah pihak. Bagai mencurah air ke daun keladi. DBP telah menjalankan tugas mereka untuk menegur dan menasihat pihak-pihak tertentu yang menyalahgunakan bahasa Melayu. Sudah memang menjadi tugas dan tanggungjawab DBP untuk berbuat demikian. Malangnya, suara mereka tidak dipeduli. Apabila nasihat DBP tidak diendahkan, DBP pula dipersalahkan dengan kenyataan sinis bahawa DBP tidak menjalankan tugas. Orang ramai tidak nampak usaha yang dilakukan DBP. Hanya pandai beromongan kosong tanpa bukti yang kukuh.

Bahasa Melayu tidak akan diperlekehkan lagi setelah wujudnya akta ini. Semoga orang ramai lebih peka terhadap perkembangan bahasa Melayu dan tidak sewenang-wenangnya menuding jari dan menyatakan kesalahan DBP jika tidak pernah tahu usaha-usaha yang pernah dilakukan oleh DBP dalam memartabatkan bahasa Melayu.

BAHASA JIWA BANGSA !

SALAM AIDILADHA

Salam Aidiladha diucapkan. Semoga ibadah korban yang dilakukan diterima oleh Allah S.W.T. Aidiladha membuatkan kita teringat akan sejarah silam yang pasti akan terus segar dalam minda kita. Ceritera pengorbanan Nabi Ibrahim a.s yang ingin menyembelih anaknya, Nabi Ismail a.s. Nabi Ibrahim telah didatangi mimpi untuk menyembelih anaknya. Nabi Ibrahim menurut sahaja mimipi itu kerana tidak mahu mengingkari perintah Allah itu. Nabi Ismail juga merelakannya. Namun, Allah telah menukar Nabi Ismail dengan kibas dan Nabi Ibrahim diperintahkan untuk menyembelihnya. Allah hanya menguji keimanan Nabi Ibrahim. Sungguh teguh keimanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Sesungguhnya pengorbanan itu mempunyai skop makna yang cukup luas.

Monday, November 23, 2009

ERTI PERTEMUAN



ERTI PERTEMUAN

Tercipta sudah sejarah
Kisah permulaan kehidupan manusia
Ceritera Adam dan Hawa
Ditemukan di Syurga
Oleh Yang Maha Esa

Terjalin ikatan dua jiwa
Lumrah berpasangan
Naluri insan sejati

Setelah ingkar arahan Tuhan
Adam dan Hawa dicampakkan ke dunia
Dalam gelita tanpa tujuan
Mencari-cari di mana pedoman

Bermunajat Adam mengemis simpati
Mengharapkan keampunan Ilahi
Adam dan Hawa ditemukan kembali
Bermulanya kehidupan di Bumi

Kasih Adam dan Hawa bertaut kembali
Tersirat hikmah disebalik pertemuan
Lumrah kejadian saling memerlukan
Fitrah hidup berpasangan

-HAK CIPTA TERPELIHARA-
MOHD HANIFF MOHAMMAD YUSOFF

*NOTA; SEGALA UNSUR PLAGIAT ADALAH DILARANG !

Sunday, November 22, 2009

TANDATANGAN PUAN NISAH HAJI HARON


Kumpulan cerpen 'Impian Tsu-Ryi'

Sempena seminar penulisan novel Tarikan Penamu, saya sempat membeli sebuah buku kumpulan cerpen remaja tulisan Puan Nisah Haji Haron yang bertajuk 'Impian Tsu-Ryi'
Kumpulan cerpen ini memuatkan 15 cerpen termasuk cerpen popular beliau 'Annyss Sophlea'
Saya sempat mengambil tandatangan dari Puan Nisah. Pada tandatangan tersebut, Puan Nisah ada menulis 'Haniff, terus menulis !' Kata-kata itu menjadi perangsang kepada saya untuk terus menulis tanpa jemu. Terima kasih, Puan Nisah Haji Haron. Insya-Allah, kalau ada rezeki, kita jumpa lagi !




Majalah Dewan Siswa Oktober 2009

SEMINAR PENULISAN NOVEL TARIKAN PENAMU UUM/GPMS caw.UUM/DBP


Ingin saya kongsikan di sini sebuah pengalaman yang amat menarik yang pernah saya alami berkaitan SEMINAR PENULISAN NOVEL TARIKAN PENAMU anjuran UNIVERSITI UTARA MALAYSIA (UUM), GABUNGAN PELAJAR MELAYU SEMENANJUNG (GPMS) cawangan UUM dan DBP WILAYAH UTARA.

Pada asalnya, saya tidak tahu-menahu langsung berkaitan seminar atau program ini, sehinggalah seorang sahabat saya menanyakan kepada saya sama ada saya mahu atau tidak menjadi MC untuk sebuah program berkaitan penulisan novel. Terus saya menyatakan persetujuan. Waktu itu, hanya dua perkara sahaja yang terlinta di fikiran saya iaitu,pertama ianya merupakan peluang kepada saya sebagai MC. Minat yang ada harus dikembangkan. Kedua, ianya berkaitan novel, pastinya banyak ilmu yang dapat saya pelajari.

Saya telah mendapat panggilan telefon daripada pengarah projek iaitu Kak Fadzilah meminta kepastian daripada saya. Saya menyatakan minat namun tidak berjanji sepenuhnya, bimbang tarikh yang diberikan bertembung dengan tarikh-tarikh yang penting.

Menghampiri tarikh program, saya menyatakan kepastian untuk menjadi MC pada hari itu.
Kak Farah selaku AJK Protokol, telah menyiapkan teks untuk saya. Kak Farah cukup baik terhadap saya.

Malam sehari sebelum program, usai sahaja kelas malam, kak Farah dan beberapa lagi AJK menjemput saya ke tempat akan belangsungnya program untuk acara raptai.
Terus-terang saya katakan di sini bahawa saya tidak mengenali seorang pun daripada mereka. Mereka semua ialah senior daripada saya. Mereka menyatakan saya sebagai pengerusi majlis yang bagus cuma perlu diperbaiki untuk lebih mantap pada hari sebenarnya.

Esoknya, saya segak berbaju Melayu biru. Saya juga dilayan sebagai VVIP oleh semua AJK program. Terima kasih pada abang-abang dan kakak-kakak yang melayan saya dengan baik.

Saya juga terasa teruja sangat kerana penceramah pada hari itu ialah Puan Nisah Haji Haron dan Pak Azizi. Pelbagai ilmu yang telah dicurahkan oleh mereka berdua. Banyak yang telah saya pelajari daripada mereka. Saya juga tidak melepaskan peluang menanya soalan pada Puan Nisah. Saya juga amat terkejut kerana Puan Nisah menyatakan bahawa dia pernah membaca tulisan saya dalam majalah.

Saya berkesempatan menjamu selera tengah hari dengan Pak Azizi dan Puan Nisah Haji Haron. Banyak yang kami bualkan. Saya juga merisik mengenai MPR 2009, kalau-kalau Puan Nisah merupakan salah seorang tenaga pengajar kali ini. Puan Nisah kata, masih belum ada apa-apa lagi. Puan Nisah juga menyatakan sertailah apa jua seminar atau bengkel yang ada. Timba ilmu yang ada.

Saya juga sempat bergambar dengan Puan Nisah, membeli buku kumpulan cerpen beliau dan mendapatkan tandatangan daripada beliau.

Hari itu cukup bermakna bagi saya. Terima kasih kepada abang-abang dan kakak-kakak yang melayan saya dengan baik. Terima kasih atas peluang yang diberikan.

JANJI MIFTAHUL RAUDHAH


Saya sudah lama mengenali penulis muda ini melalui tulisannya di majalah-majalah. Puisi-puisinya sering kali mendapat komen positif dari abang Faisal Tehrani dalam Dewan Siswa. Perasaan ingin berkenalan dengan insan ini kian menebal dalam diri saya. Saya berusaha mencari laman sosialnya di internet. Alhamdulillah, kini saya telah berhubung dengannya melalui internet.

Saya juga menyimpan hasrat untuk memiliki novel pertama beliau yang bertajuk 'Janji Miftahul Raudhah' Puas saya mencari di pekan Alor Setar tapi tidak jumpa.
Memang hampa.

Tapi kehampaan itu terubat juga apabila saya menemui novel ini di salah sebuah gerai di tapak ekspo konvo UUM. Terus saya beli tanpa banyak bicara. Sekarang, saya sudah memiliki novelnya dan penulis novel ini yang lebih gemar disapa sebagai eja minta komen dari saya terhadap novelnya.

-Nanti saya komen novel kak eja ni ya....-
=)

EKSPO PENUTUPAN KONVO UUM


Salam Satu Malaysia ! Setelah sekian lama tidak mencoretkan kisah di sini, rindu untuk menulis di blog dan berkongsi pengalaman membuak-buka di dada. Setelah usai peperiksaan akhir semester, dapatlah saya sedikit ruang untuk menulis di sini. Catatan kali ini berkisar Ekspo Penutupan Konvo UUM. Malam itu saya dikehendaki menghadiri Ekspo Penutupan Konvo kerana terlibat dengan integrasi pada malam itu yang menyumbang sebanyak 15 % untuk markah aktiviti kokurikulum saya. Malam itu merupakan malam kemuncak dan terdapat persembahan oleh artis-artis popular yang dibawa oleh pihak majalah MEDIA HIBURAN dari KARANGKRAF. Setelah mengambil kehadiran, saya dan beberapa orang teman melawat ke gerai-gerai yang dibuka. Saya juga tidak melepas peluang menaiki buaian pusing. Huh..tingginya. Tiba-tiba terasa gayat apabila buaian berhenti betul-betul di tahap yang tertinggi.

Saya juga sempat membeli burger ikan pada malam itu. Selalunya kita hanya pernah merasai burger ayam dan daging sahaja. Saya pun mencubanya beberapa orang teman yang lain. Dagingnya lebih lembut dan enak. Satu pengalaman yang baru.

Tatkala sedang asyik menjamah burger ikan, saya mendengar suara pengacara pentas persis seorang personaliti yang amat saya kagumi. Ya...tidak silap lagi. Dialah orangnya. Abang Muaz, dj radio Muzik FM. Saya betul-betul meminati suara dan gaya pengacaraannya. Dia juga merupakan pengacara di RTM. Tidak sangka pula dia mengemudi acara persembahan artis pada malam itu. Esoknya, saya terus memberitahunya di Facebook bahawa saya juga ada pada malam itu. Dia menghantar komentar di facebook saya bahawa tidak tahu pula saya merupakan penuntut UUM. Kalau tidak tentu dapat berjumpa. Baiknya abang Muaz nie.

Pada malam itu juga, saya mengajak kawan saya Hazlinda ke gerai majalah Karangkraf. Mungkin ada majalah yang boleh saya beli untuk di bawa pulang. Mereka memberikan diskaun untuk membeli majalah di situ. Saya pun membelinya. Dengan hanya RM 5, kami diberi 5 majalah yang berlainan dan salah satunya merupakan majalah MEDIA HIBURAN edisi minggu itu. Saya dan Hazlinda disuruh untuk bergambar dengan majalah MEDIA HIBURAN. Saya pun posing habis dan gambar kami telah disiarkan dalam MEDIA HIBURAN, 2 minggu selepas itu (cover pelakon-pelakon NUR KASIH). Huhu...mungkin melihat saya yang begitu aktif bertanya persis seorang wartawan dan tidak jemu-jemu bertanya mengenai karangkraf, seorang wartawan MEDIA HIBURAN, abang Sudyrman terus memberi kad nama karangkrafnya. Seronok sangat apabila dapat bersembang dengan para wartawan di situ.

Pengunjung ekspo pada malam itu semakin ramai membanjari dataran melihat persembahan artis. Tambah-tambah lagi apabila, Nur Shahila Amir Hamzah atau Shila OIAM tampil ke pentas dengan persembahan penuh tenaga menerusi lagu MEMORI TERCIPTA dan ADA-ADA SAJA. Artis lain yang turut menjayakan persembahan pada malam itu ialah HAIZA, CHAQ MENTOR, RIZ dan FAZLI ZALNAL

Seperkara lagi, malam itu saya telah membeli novel yang saya cari-cari selama ini iaitu 'JANJI MIFTAHUL RAUDHAH', hasil tulisan Sayidah Mu'izzah Kamarul Shukri. Alhamdulillah.

-Harap ekspo konvo UUM akan datang lebih meriah-
=)

Saturday, November 21, 2009

APABILA TEWASNYA IMAN

APABILA TEWASNYA IMAN
(Dewan Siswa Ogos 2008)

Nafsu keserakahan
merobek iman di dada
meranapkan benteng utama
akhirnya tersungkur di lembah hina
lenyapnya peradaban seorang manusia

HAK CIPTA TERPELIHARA
MOHD HANIFF MOHAMMAD YUSOFF

SEINDAH MENTARI SENJA

SEINDAH MENTARI SENJA

Hembusan bayu penuh syahdu
menyentuh sanubariku
tika mentari senja melambai harapan
aku mentafsir hari mendatang.

Diriku bagaikan terdampar di tepian pantai
setelah dibawa arus tanpa haluan
lemas mindaku mengenangkan diri
yang masih jauh untuk menghampiri Syurga-Mu.

Perjalanan yang akan ternoktah ini
membuatkan aku bangkit dari mimpi
memburu cahaya Ilahi
agar kumenemui silau hala yang diredhai.
Akan kukutip sisa-sisa pelayaranku
sebagai pengajaran terbaik
sebagai pelajaran yang beerti
melawan nafsu yang rakus.

Gelora keinsafan yang menghempas jiwa
memecahkan buih-buih kejahilan
dalam kesepian senja
kudamba keampunan-Mu
moga hidupku seindah mentari senja.

Friday, October 23, 2009

KOLEJ SULTAN ABDUL HAMID MELAHIRKAN MODAL INSAN GEMILANG


KOLEJ SULTAN ABDUL HAMID MELAHIRKAN MODAL INSAN GEMILANG- rauangan Sekolahku Akarku, DEWAN SISWA SEPTEMBER 2009

Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH) merupakan antara sekolah premier yang terunggul di Malaysia. Terletak berhampiran pusat bandar Alor Star, KSAH menjadi kebanggaan warga Alor Star. KSAH juga meniti dibibir-bibir masyarakat sekeliling atas pelbagai kejayaan yang telah ditempa selama ini. Tahun 2008 yang lalu, KSAH mencatat sejarah apabila menyambut usianya yang ke-100.
Sejarah Penubuhan.

KSAH diasakan pada 8 Disember 1908 sebagai Government English School (GES) di sebuah bangunan berhampiran Balai Nobat, Alor Star. Pengetua pertamanya ialah Encik Mohd Iskandar(bapa Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohammad).
GES merupakan sekolah Inggeris pertama di Kedah. Pada tahun 1911, GES dipindahkan ke Jalan Penjara Lama dan sekali lagi dipindahkan ke Jalan Langgar (tapak sekarang) pada tahun 1917. Pada tahun 1935 nama GES telah ditukar menjadi Sultan Abdul Hamid College (SAHC).

Sejak penubuhannya, KSAH telah melalui rentetan sejarah perkembangan yang panjang. Banyak perubahan telah berlaku dari semasa ke semasa. Bagi menampung bilangan pelajar yang semakin ramai, bilik darjah telah ditambah di kedua-dua ‘’wing’’ kiri dan kanan bangunan perdana. Bangunan asrama lelaki dan sebuah bangunan perpustakaan yang dikenali sebagai ‘’Stuart Library’’ telah didirikan pada tahun 1930. Kemudian, sebuah dewan besar dan bangunan makmal sains dibina pada tahun 1939.

Semasa Perang Dunia Kedua, sekolah terpaksa ditutup dan dibuka semula pada tahun 1945. Pada tahun 1956, pentadbiran KSAH telah diasingkan kepada Kolej ‘’Primary’’ dan Kolej ‘’Secondary’’. Sejak dari itu, wujudlah sebuah sekolah rendah yang kemudiannya dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Seri Iskandar.

Antara mantan pelajar KSAH ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Al-Haj Sultan Abdul Halim Mua’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Negeri Kedah. KSAH telah melahirkan ramai tokoh di peringkat kebangsaan dan antarabangsa bersesuaian dengan mottonya, ‘’Schoolar, Sportman, Gentleman’’ seperti dua orang Perdana Menteri iaitu YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Tun Dr. Mahathir Mohamad, lima orang Menteri Besar Kedah, tiga orang Menteri Kabinet, lima orang Ketua Hakim Negara serta seorang Presiden Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Sambutan 100 Tahun KSAH yang disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah pada hari kemuncaknya (Centenary Celebration Day) pada 26 Julai 2008 yang lalu. Pelbagai aktiviti telah diadakan sempena Sambutan 100 Tahun KSAH. Aktiviti-aktiviti tersebut ialah Pengkisahan Sejarah SAHC 100 Years of Excellence di Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah, Majlis Tahlil dan Forum Perdana di Masjid Zahir Alor Star serta Karnival 100 Tahun KSAH selama tiga hari.
AKADEMIK

KSAH turut gah dalam bidang akademik.. Syarat kelayakan untuk mendapat pendidikan di KSAH ialah memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). KSAH turut menawarkan pakej Pra- Universiti. Asalnya KSAH merupakan sebuah sekolah yang hanya menempatkan pelajar lelaki sahaja tetapi bagi pakej Pra-Universiti, pelajar perempuan diterima masuk. Setakat ini hanya terdapat 127 orang pelajar perempuan.
Setiap tahun, KSAH mencatatkan kelulusan 100 % dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR). Begitu juga dengan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). KSAH mencatatkan kelulusan 100 % dalam SPM pada saban tahun. Bagi keputusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) tahun lalu, KSAH mencatatkan 98.13% pelajar yang lulus serta layak mendapat sijil. Pada tahun 2008, keputusan PMR menunjukkan keputusan yang membanggakan iaitu seramai 79 orang pelajar KSAH telah mendapat A dalam semua mata pelajaran.

Nama KSAH cukup teguh di arena kokurikulum. Ada sahaja kejayaan yang diraih di peringkat daerah, negeri, kebangsaan mahupun antarabangsa. KSAH cukup sinonim dengan kejayaan pasukan Forum Remajanya yang merangkul kejuaraan di peringkat negeri saban tahun. Tahun 2008 menyaksikan sekali lagi pasukan Forum Remaja KSAH menjadi johan di peringkat Negeri Kedah dan mendapat tempat keempat di peringkat kebangsaan.

Pasukan Pancaragam KSAH telah dinobatkan sebagai johan Pertandingan Pancaragam Sekolah-sekolah Negeri Kedah 2008. Pasukan ini turut mengungguli Persiapan Terbaik. Selain itu, Pasukan pancaragam KSAH mengukuhkan lagi kejuaraan mereka apabila drum majornya, Majdi bin Ahmad dipilih sebagai Drum Major Terbaik.

Baru-baru ini, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara telah mengadakan Majlis Penyampaian Hadiah Anugerah Citra Majalah yang melibatkan penyertaan sekolah-sekolah menengah di utara semenanjung. KSAH mempamerkan keunggulan pelajarnya dalam arena penulisan apabila membolot empat hadiah pada hari tersebut.

KSAH juga cemerlang dalam bidang sukan dan olahraga, malah beberapa orang pelajar KSAH merupakan wakil negeri Kedah dalam Sukan Malaysia (SUKMA) yang berlangsung di Terengganu pada tahun lalu. Mereka telah berjaya menyumbangkan pingat emas untuk badminton berpasukan dan gangsa untuk ragbi dan boling padang. Melalui Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Premier Zon Utara, KSAH telah menjadi johan dalam pertandingan ragbi dan bola sepak. Selain itu, KSAH menggondol tempat ketiga bagi pertandingan hoki. Sememangnya, kecemerlangan KSAH dalam gelanggang kokurikulum tidak boleh disangkal lagi.

‘’Setelah 101 tahun berdiri teguh menabur bakti dalam arena pendidikan negara, KSAH telah melahirkan ramai tokoh-tokoh terkemuka yang telah berkhidmat kepada negara. Saya berbangga menjadi pemimpin utama di KSAH kerana para pendidik, para pelajar dan warga KSAH senantiasa berganding bahu bagi memastikan nama KSAH sentiasa harum dari segala aspek. Harapan saya agar KSAH dapat dimartabatkan sebagai sebuah institusi ilmu yang mampu menganjak paradigma sekaligus membina modal insan kelas pertama yang gemilang’’ harapan pengetua KSAH, Tuan Haji Morazuki Hashim

KSAH bermatlamat melahirkan pelajar yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia dan bertanggungjawab untuk mencapai kesejahteraan diri serta menyumbang kepada agama, bangsa dan negara. Sewajarnya kita berbangga kerana mempunyai instiusi pendidikan seperti KSAH.

Thursday, October 22, 2009

KESIBUKKAN SAYA

Saya memohon maaf kepada pemerhati blog saya kerana tidak sempat meng'update' blog saya. Terima kasih atas perhatian anda. Di bawah ini saya sertakan jadual saya;

27 Sept. 2009- Hantar tugasan individu POLITIK ASIA TENGGARA
27 Sept. 2009- Pembentangan kumpulan NASIONALISME & KONFLIK DLM SISTEM ANTARABANGSA

29 Sept. 2009- Terlibat dengan Program Tunas Sastera bersama Puzi Hadi. Pada sebelah petangnya pula, bertindak sebagai fasilitator untuk aktiviti eksplorasi

30 Sept. 2009- Ujian Pertengahan Sem HUBUNGAN ANTARABANGSA

1 Okt. 2009- Hantar tugasan kumpulan STRUKTUR, PROSES,POLITIK DAN PENTADBIRAN KERAJAAN MALAYSIA

4 Okt. 2009- Hantar tugasan individu NASIONALISME & KONFLIK DLM SISTEM ANTARABANGSA

10 Okt. 2009- Peperiksaan akhir PROCESS WRITING

11 Okt. 2009- Pembentangan kumpulan POLITIK ASIA TENGGARA

13 Okt. 2009- Menjadi MC untuk SEMINAR PENULISAN NOVEL TARIKAN PENAMU UUM/GPMS/DBP bersama novelis dan cerpenis, PUAN NISAH HAJI HARON dan sasterawan negara, EN. AZIZI BIN ABDULLAH

18 Okt. 2009- Pembentangan kumpulan TEORI-TEORI POLITIK

19 Okt. 2009- Ujian Pertengahan Sem STRUKTUR, PROSES,POLITIK DAN PENTADBIRAN KERAJAAN MALAYSIA

21 Okt. 2009- Pembentangan individu PROCESS WRITING

25 Okt. 2009- Hantar laporan tugasan kumpulan NASIONALISME & KONFLIK ETNIK DLM SISTEM ANTARABANGSA

JADUAL PEPERIKSAAN AKHIR SEM INI;

10 Okt 2009- PROCESS WRITING

31 Okt. 2009- POLITIK ASIA TENGGARA

10 Nov. 2009- HUBUNGAN ANTARABANGSA

12 Nov. 2009- TEORI-TEORI POLITIK

15 Nov. 2009- NASIONALISME & KONFLIK ETNIK DLM SISTEM ANTARABANGSA

16 nOV. 2009- STRUKTUR, PROSES, POLITIK & PENTADBIRAN KERAJAAN MALAYSIA

Sunday, October 4, 2009

FAKIR DI BUMI SENDIRI-FOKUS SPM MAC 2006

FAKIR DI BUMI SENDIRI

Gerimis
Yang silih berganti
Masih membawa derita

Awan yang kelam
Memadamkan segala harapan
Impian yang dicipta
Sekadar bayang-bayang

Rentak dunia
Menagjar aku
Mengejar ilmu
Agar harapanku bersinar
Impianku tercapai
Melakar pelangi bahagia

Di sini
Aku amsih setia
Mengemis secebis ilmu.


MOHD HANIFF BIN MOHAMMAD YUSOFF
Hutan Kampung, Alor Setar, Kedah

TUNAS SASTERA UUM


Salam pertemuan...seminggu selepas raya saya dihimpit oleh tugasan Universiti yang masih belum selesai...tambahan pula saya mempunyai pembentangan dan mid sem untuk subjek International Relations (IR)...rasa lelah juga tapi saya kuatkan semangat untuk menghadapinya...itu belum termasuk dengan program Tunas Sastera yang saya ikuti. Sehari suntuk saya menghabiskan masa di Pusat Budaya, sedangkan esoknya saya mempunyai mid sem IR...tapi saya rasa lega apabila dapat melalui semuanya...tido pun ala kadar...
Berbicara mengenai Tunas Sastera tersebut, saya pada asalnya hanya menulis nama sebagai peserta tetapi Kak Shila telah membuka ruang kepada saya untuk menjadi ajk sekali...Program ni memang dinantikan oleh saya, untuk megetahui selok belok penulisan puisi...banyak juga input yang saya perolehi daripada penceramah, saudara Puzi Hadi.

Pada hari tersebut juga, saya telah ditugaskan untuk menjadi fasi kumpulan 4. Tertanya-tanya juga siapalah yang akan menjadi anak buah saya...em, anak-anak buah saya terdiri daripada 4 orang pelajar tingkatan 4 SMK Tun Sharifah Rodziah dan 4 orang pelajar tingkatan 6 bawah SMK Pulau Nyior.Hanya seorang sahaja daripada mereka ialah lelaki...

Saya dan rakan-rakan lain ditugaskan untuk memimpin mereka ke destinasi yang telah ditetapkan kepada setiap kumpulan...kami yang bertindak sebagai fasi pun kena lari ke sana sini. Penat...penat...penat... Hujan pun turun selebatnya petang tu...habis lenjun kami semua...dalam kebasahan hujan, kami teruskan explorasi...

Explorasinya cukup menarik, setiap 'check-point' ada sahaja denda yang perlu dilakukan oleh anak-anak buah ni...haha..kelakar pun ada...padan muka korang...

Tapi semuanya berjalan lancar...kumpulan saya tidak sempat untuk menghabiskan ke semua check-point. Tinggal dua sahaja lagi...sabar je la...kita dah cuba buat yang terbaik...

Program tu memang menarik sangat...dapat ilmu dan dapat kenalan baru...kepada ahli kumpulan 4, jaga diri,teruskan usaha mencapai cita-cita dan kepada mereka yang memang meminati sastera teruskan meulis...jangan nakal-nakal ye dik...ikhlas dari abang Anip...

Sunday, September 20, 2009

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

Salam Aidilfitri buat semua. Alhamdulillah usai sudah ibadah puasa kita. Moga berjumpa lagi kita pada Ramadhan akan datang. Insya-Allah. Bagaiman dengan sambuatn raya anda hari ini? Hari ini satu Syawal 1430 Hijrah bersamaan 20 09 2009 (cantik nombornya). Semoga semuanya gembira pada hari raya kali ini. Saya biasa sahaja. Tiada yang menarik sangat. Dulu semasa tinggal di Ipoh, merasa juga nikmat 'balik kampung' tu, tapi sekarang tidak lagi setelah kami sekeluarga pindah ke Kedah. Ayah dan mak orang Kedah. Hari ni, saya sempat beraya bersama kawan-kawan dan pergi rumah cikgu Arifah. Cikgu ekonomi saya sewaktu di tingakatan 6 dahulu. Insya-Allah, esok hendak pergi berjumpa kawan-kawan lagi. Waktu inilah dapat berkumpul, masing-masing dah bawa haluan sendiri meneruskan pengajian...

Kepada semua pemerhati dan pembaca blog saya (yang tidak seberapa ini), saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menyambut hari raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin.

Friday, September 18, 2009

KAD RAYA


Salam pertemuan kembali. Harap semuanya sihat walafiat. Semasa catatan ini ditulis, tinggal sehari sahaja lagi hendak menyambut Aidilfitri. Pastinya ramai yang sibuk dengan persiapan untuk menyambut hari raya. Namun saya lebih tertarik untuk meninggalkan catatan berkenaan kad raya kali ini. Banyakkah kad raya yang anda dapat untuk tahun ini? Berapa? Ada sampai sepuluh keping ? Sebenarnya saya merupakan salah seorang insan yang cukup setia untuk mengirim kad raya pada setiap tahun. Apabila tibanya Ramadhan, saya akan berkunjung ke pejabat pos untuk membeli setem dengan jumlah yang agak luar biasa dari kebiasaannya. Selepas itu, saya membuat perhitungan kepada siapa kad raya yang dibeli hendak dihantar. (kepada rakan-rakan taulan, sanak-saudara, sahabat-sahabat pena dan untuk personaliti pun ada). Bagi saya kad raya mempunyai nilai ingatan yang cukup bermakna. Pelbagai jenis kad raya yang dijual dipasaran.Ada yang berbunyi, ada yang bergambar kartun, ada yang besar, ada yang panjang, dan ada yang berbentuk pelbagai-jenuh juga la hendak membuat pilihan. Zaman kini, sistem pesanan ringkas (SMS) lebih menjadi pilihan masyarakat untuk mengirimkan ucapan hari raya. Tidak saya nafikannya kerana jumlah kad raya yang saya terima saban tahun juga menunjukkan penurunan setahun demi setahun. Begitulah peredaran zaman namanya, tetapi kad raya masih menjadi pilihan walaupun jumlahnya tidak sebanyak dahulu. Sebaik sahaja tiba di rumah semalam, saya membelek-belek kad raya yang dikirimkan kepada saya. Jumlahnya sedikit menurun dari tahun sebelumnya tetapi itu bukanlah perioriti yang utama. Paling penting tanda ingatan dan keikhlasan seseorang. Terima kasih saya ucapkan kepada mereka.

PERGINYA YASMIN AHMAD


Keadaan masa yang tidak menentu membuatkan saya terpaksa melupakan niat saya untuk meninggalkan catatan di laman saya ini. ‘Talentime’, merupakan filem terakhir allahyarham Yasmin Ahmad. Sudah kah anda menontonnya??? Saya sudah tetapi agak lewat kerana bukan melihat di panggung wayang tetapi di komputer riba rakan. Hati saya agak tersentuh dengan sentuhan karya allahyarham Yasmin Ahmad itu. Kehidupan masyarakat diangkat sebagai tema utama. Melalui karya beliau, saya dapat merasa keikhlasannya berkarya. Secara jujurnya ingin saya nyatakan di sini bahawa, filem-filem Yasmin mempunyai keaslian berbanding filem-filem yang lain. Idea yang cuba disampaikan tidak mempunyai persamaan dengan filem-filem yang lain dan mungkin tidak pernah terfikir oleh kita. Setahu saya, allahyarham Yasmin Ahmad mengabadikan kisah keluarganya di dalam filem-filemnya. Mungkin inilah keaslian karya-karya allahyarham. Filem Sepet dan Mukhsin telah membawa pulang pelbagai anugerah di peringkat antarabangsa dan ini menunjukkan bahawa karya allahyarham diiktiraf di peringkat dunia. Namun, beliau telah pergi meninggalkan kita. Allahyarham yang sedang membentangkan kertas kerja projek sempena SATU MALAYSIA bersama Siti Nurhaliza Production, tiba-tiba rebah di Sri Pentas. Seterusnya, allahyarham telah dikejarkan ke hospital serta menjalani pembedahan. Pada tanggal 25 Julai 2009, allahyarham dijemput Maha Pencipta. Perginya seorang penggiat seni yang cukup sinonim dengan iklan pendeknya yang menyentuh rasa serta filem-filem yang amat dekat dengan masyarakat. Walaupun pengarah ‘originality’ ini telah pergi, namun karya-karyanya tetap hidup selamanya… Seperkara lagi mengenai lagu tema 'TALENTIME' cintaan sepenuhnya Pete Teo. Satu susunan muzik yang menarik dan bagus, disesuaikan dengan rangkap lirik yang agak sederhana tetapi bermakna.


Lirik Lagu Pergi - Aizat (OST Talentime)

Sayu terpisah
hikayat indah kini hanya tinggal sejarah
berhembus angin rindu
begitu nyamannya terhidu wangian kasihmu
hujan lebat mencurah kini
bagaikan tiada henti
kaulah laguku kau irama terindah
tak lagi kudengari
kau pergi.. pergi..
sepi tanpa kata
terdiam dan kaku tak daya kau kulupa
apa pun kata mereka
biarkan kenangan berbunga di ranting usia


Monday, August 3, 2009

BAHAGIA ITU MILIK KAMI- BERITA HARIAN, 18 JULAI 2009

BAHAGIA ITU MILIK KAMI

Teratak kasih yang kami bina
musnah sekelip mata
ditusuk peluru berdarah
menembusi jasad kemanusiaan.

Hilang segala kasih
lenyap segala sayang
punah segala impian
lupus kebahagiaan.

Laskar angkuh itu
retoriknya menggegar dunia
muslihatnya mengaburi mata insani
mengaut hak kami
merampas keadilan.

Kami nyanyikan syair kedamaian
beralunkan doa harapan
kembalikan bahagia semalam
yang pernah digenggam
kerana bahagia itu milik kami!

Mohd Haniff Mohammad Yusoff
Hutan Kampung, Alor Setar

Monday, July 6, 2009

KUNANTIKAN MPR 2009 !

ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAH HIWABARAKATUH... Bagi mereka yang meminati penulisn kreatif, pasti ingin menyertai Minggu Penulis Remaja (MPR) anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka. Begitu juga dengan aku. MPR tidak pernah tercicir untuk melahirkan graduan yang berjaya. Perasaan untuk belajar dunia penulisan semakin membuak-buak. Aku telah mengisi borang penyertaan MPR 2008. Dek kekangan waktu di universiti, aku terpaksa menghantar borang penyertaan pada saat-saat akhir dengan menggunakan pos ekspress. Aku amat berharap agar aku terpilih untuk menyertainya. Aku telah menerima panggilan telefon dari pihak DBP yang mengatakan bahawa aku telah terpilih menyertai MPR 2008. Alhamdulillah...teruja dan gembira sangat. Impianku untuk mendalami ilmu penulisan kreatif bakal tercapai. Aku juga menyimpan hasrat untuk bertemu penulis-penulis muda yang lain untuk berkenalan dan berkongsi pandangan. Namun, hanya Tuhan yang mampu menentukan segala-galanya. Tarikh MPR 2008 bertindih dengan kelas bahasa inggerisku di universiti. Aku terpaksa melupakan impianku untuk menyertai MPR 2008. Oleh yang demikian, aku menyimpan hasrat untuk menyertai MPR 2009....semoga tercapai! Insya-Allah.

Friday, July 3, 2009

CINTAKU DENGAN PENULISAN

Mengimbas kembali detik permulaan saya menulis, saya masih belum mengerti mengenai dunia penulisan dan sastera Melayu yang sebenar. Namun, mungkin asyik diasuh untuk menulis dan menghantar karya ke majalah-majalah, saya semakin jatuh cinta dengan dunia penulisan. Sewaktu di bangku sekolah rendah, masa senggang saya dihabiskan untuk menulis dan menghantar hasil tulisan saya untuk pelbagai ruangan dalam majalah-majalah tempatan. Nama saya semakin kerap tersiar dalam majalah KUNTUM. Saya masih ingat akan mottonya iaitu 'mendidik sambil menghibur'. Tidak saya nafikan, sedikit sebanyak, situasi ini merangsang saya untuk terus menulis. Puisi pertama saya yang disiarkan dalam KUNTUM ialah 'Seekor ikan'. Selepas itu, puisi-puisi saya yang telah disiarkan dalam Kuntum ialah, 'Malam', Sinar Kejayaan', Insan Mulia', 'Perpustakaan'

Kini saya lebih tertumpu untuk menghantar puisi, rencana serta tulisan untuk ruangan surat pembaca ke majalah DEWAN SISWA, DEWAN MASYARAKAT, DEWAN KOSMIK dan TUNAS CIPTA.