Friday, December 25, 2015

CERPEN: BENARLAH SAYA BUKAN LAGI SEORANG PENUKANG!


Alhamdulillah, ketika mengetahui hal ini saya tengah demam sebenarnya. Terima kasih kepada editor portal Roket Kini yang memilih untuk menyiarkan cerpen terbaru saya ini. 'Benarlah, Saya Bukan Lagi Seorang Penukang!'  merupakan sebuah cerpen yang cuba menyelami dunia penulisan itu sendiri.

Selamat membaca!

Tuesday, December 1, 2015

ANTOLOGI WAJAH KITA


Lama juga saya dan rakan-rakan menanti kelahirannya. Kira-kira empat tahun. Sejarahnya bermula dengan penganjuran bengkel pemantapan karya untuk alumni Minggu Penulis Remaja (MPR) yang dikelolakan oleh DBP. Cerpen saya di dalamnya antara yang terawal saya hasilkan kerana saya bermula dengan genre puisi dan saya kira banyak juga yang perlu saya pelajari dalam teknik penulisan cerpen. Cerpen saya berjudul 'Wasilah Antara Kita' antara cerpen yang dimuatkan di dalamnya bersama cerpen-cerpen lain oleh mantan MPR yang turut menyertai bengkel tersebut. Walau bagaimanapun, terima kasih kepada DBP kerana merealisasikan kelahiran antologi ini, sekurang-kurangnya terubat sedikit duka saya yang terbantut harapan untuk melihat antologi karya mantan MPR 2009 sekeluarga dibukukan. 

KATEGORI CERPEN REMAJA HSKU 2014

Tahun 2014 merupakan tahun kedua cerpen saya disenaraikan dalam senarai akhir selepas 'Asar di Penghujung Tahun' pada tahun lalu, juga dalam kategori Cerpen Remaja. Kali ini dua cerpen saya yang disiarkan pada tahun lalu disenaraikan. Syukur, walaupun belum berpeluang menaiki podium HSKU. Menang atau kalah bukanlah persoalan utama, yang penting terus menumpahkan tinta tanpa pernah jemu. Tahniah juga kepada karya yang diangkat untuk tahun 2014.




Kedua-dua cerpen saya ini boleh dibaca dalam kumpulan cerpen sulung saya yang diberi judul 'Zombi Rumi'. Boleh dibeli secara terus daripada pihak penerbit, Legasi Oakheart.


Saturday, November 28, 2015

'MEMBILANG TITIS HUJAN' : MENULIS REALITI

'Membilang Titis Hujan' merupakan sebuah cerpen yang saya nukilkan dengan rasa-rasa sebak yang memberat di jiwa. Kerana saya nukilkan realiti yang saya lalui sekitar awal tahun ini. Dan rasa-rasa itu masih terasa sehingga hari ini dengan satu-persatu dugaan yang hadir tanpa orang lain mengetahui. Adakalanya tidak mampu untuk luahkan semua kerana terlalu berat tersimpan di dada, tak terangkat untuk dikongsi, lalu saya gantikan dengan senyum berisi agar tugasan orang sekeliling tidak terganggu dek perjalanan kehidupan saya yang mungin sedang diduga Ilahi.

'Membilang Titis Hujan' diinterpretasi daripada keadaan ayah saya yang diserang strok sekitar bulan Mac yang lalu. Alhamdulillah, segalanya semakin membahagiakan. Benar, hidup ini adakalanya seperti roda. Kita harus redha!

Terima kasih editor Fazallah Pit yang memilih cerpen sederhana saya ini untuk menghiasi wajah Selangor Kini edisi 11-18 September 2015. 


Kredit gambar: Norfarahin Athirah.

Wednesday, July 29, 2015

Tuesday, June 23, 2015

2015 : ANTARA PERSAHABATAN DAN DUGAAN

Sebelum saya terus mencoret, saya ucapkan selamat menjalani ibadah puasa kepada semua pengungjung blog ini. Saya masih lagi beremosi, adakalanya ketidakstabilan emosi ini saya pendam seorang diri. Tetapi bukan beerti saya mahu menjauhkan diri, cuma mengambil waktu tenang dan bermuhasabah diri. 

Saya tahu rencana Tuhan sebaik-baiknya, pengaturan kitaran hidup oleh-Nya punya hikmah yang perlu kita percaya. Saya sendiri tidak menduga tahun ini saya sekeluarga diduga hebat. Tetapi, susah-susah kita, pasti ada lagi yang lebih susah. Saya fikir dalam-dalam. 

Tahun ini sahabat-sahabat saya diduga hebat. Rosnida, yang saya panggil kakak. 7 Jun yang lalu, sehari selepas ulang tahun kelahiran emak saya, emak Rosnida dijemput Ilahi pada waktu pagi. Hati saya juga terusik medengar perkhabaran ini memandangkan saya juga mengenali Mak Chom (emak Rosnida). Kali terakhir saya melawat Mak Chom yang sememangnya tidak berapa sihat ialah pada Februari yang lalu. Saya usap-usap jemari Mak Chom yang tidak lagi berdaya untuk digerakkan. Saya tidak menyangka itu kali terakhir saya mendengar dia berbicara. Mak Chom pergi dalam lenanya dengan tenang pada pagi itu. Saya, adik dan emak saya yang juga mengenali Mak Chom pergi menziarah jenazah buat kali terakhir. Rosnida yang sepatutnya menghantar tesis penuhnya pada hari Khamis berikutnya telah meminta tarikh untuk menunda dan hari ini (23 Jun 2015) beliau selamat membentangkan tesisnya (melalui proses viva). Berat sungguh dugaan sahabat saya yang saya gelarkan 'kakak' ini.

Saya menemani Rosnida untuk menghantar tesisnya dan di UUM pula saya bertemu beberapa orang sahabat rapat saya dari ijazah sarjana muda sehingga peringkat sarjana. Ada antara kami sudah menyambng peringkat PhD. Yang memjadi bualan kami ketika itu ialah kesamaan antara kami yang diuji Tuhan serta tentang pilihan yang memberikan kami tiada pilihan untuk membuat keputusan. Saya betul-betul tersentuh saat diri saya dipelut erat lama-lama oleh sahabat, Persahabatan oh persahabatan. Hati saya sudah basah oleh tangisan rasa. Sejak diberitakan keluarga saya diuji, inilah pertama kali kami bertemu, bersentuh sisi. Katanya mereka rindukan saya. Saya tahu pelukan erat itu juga adalah semangat mereka untuk saya.

Menjelangnya Ramadan kali ini, antara kami diuji lagi. Kali ini diberitakan ayahanda Hafeez pula pergi menyahut panggilan Ilahi. Hati saya betul-betul sebak kerana Hafeez begitu rapat dengan saya sejak 'degree'. Saya ialah telinganya untuk mendengar segala luahan rasanya. Dan saya memegang pelbagai rahsia perjalanan kehidupannya yang tidak dikongsi kepada sahabat yang lain. Pertemuan beberapa hari sebelum itu sudah menumpahkan air mata saya dan Hafeez ketika kami sama-sama bercerita tentang apa yang sedang kami tanggung.

"Ya Allah sesungguhnya Engkau Maha Besar menguji kami dengan begitu indah. Kami redha dengan aturan yang Kau rencanakan. Tabahkanlah hati kami dalam menempuh ujian-Mu. Tetapkanlah rasa cinta dan iman kami di jalan-Mu. Amin"

Tahun ini, saya dan sahabat-sahabat saya benar-benar diuji. Saya terfikir juga mungkin Tuhan juga mahu menguji keikhlasan persahabatan antara kami. 

Alhamdulillah.

Alhamdulillah.

Alhamdulillah. 

Sunday, May 31, 2015

CERPEN DALAM SELANGOR KINI : CERPEN JEMBALANG


Alhamdulillah, cerpen saya yang seterusnya disiarkan di media ialah cerpen yang berjudul 'Jembalang Muncul di Perpustakaan Kampung Kami'. Cerpen ini telah disiarkan dalam akhbar Selangor Kini edisi 29 Mei- 5 Jun 2015. Terima kasih editor Selangor Kini! 

Saturday, May 30, 2015

PERADUAN ULAS BUKU ITBM 2015

Kumpulan Cerpen Remaja Tetamu Istimewa: Istimewanya kerana Memaknakan Elemen Sosiobudaya Melayu


 Tajuk buku: Kumpulan Cerpen Remaja, Tetamu Istimewa
Penulis: Mohd Helmi Ahmad
Harga: RM 20 (SM)/ RM 25 (SS)
ISBN:978-967-430-401-0
Tahun terbit: 2014
Pengulas: Mohd Haniff Mohammad Yusoff
FB: Haniff Yusoff


Berdiri sebagai karya sastera remaja sewajarnya memberi sesuatu yang bermanfaat kepada golongan remaja itu sendiri dalam membentuk peribadi serta pekerti bagi melahirkan generasi yang berkualiti. Othman Puteh (1989) menerusi bukunya Sastera Remaja ditinjau daripada Beberapa Perspektif berpendapat sastera remaja itu pada dasarnya harus memberikan pendidikan selain hiburan kepada pembaca terutamanya golongan remaja.
              Kumpulan cerpen remaja Tetamu Istimewa karangan Mohd Helmi Ahmad secara keseluruhannya menampilkan cerpen yang kaya dengan nilai-nilai murni untuk diteladani dan rata-ratanya berpaksikan sosiobudaya Melayu. Setiap satunya menonjolkan suasana, perlakuan dan adat resam yang sememangnya begitu akrab dalam kalangan masyarakat Melayu. Penyertaan elemen sosiobudaya dalam bahan bacaan untuk golongan remaja adalah suatu usaha yang wajar dalam memperkasakan jati diri kelompok ini.
                 Menurut A.C. Milner (dalam Ahmad Jelani Halimi, 2008) pengembara dan pelaut asing yang datang ke Tanah Melayu suatu masa dahulu mendapati setiap orang iaitu bangsa Melayu mempunyai kesedaran akan perpaduan, perkongsian bahasa, kesusasteraan dan cara hidup yang sama. Sosiobudaya Melayu yang didukung oleh pelbagai elemen merupakan lambang keutuhan jati diri dan identiti masyarakat Melayu itu sendiri. Mohd Koharuddin Mohd Balwi (2005) berpendapat budaya dan ketamadunan sesuatu masyarakat saling berkaitan kerana setiap tamadun dibina oleh budaya sesuatu masyarakat. Pantun di bawah merupakan contoh dalam mengungkap betapa signifikannya budi dan bahasa dalam masyarakat Melayu.

Yang kurik itu kendi,
Yang merah itu saga,
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa.
(Kurik Kundi Merah Saga, 2005)

Jika melihat ruang lingkup pantun di atas dengan skala yang lebih besar, pantun di atas sebenarnya menggambarkan betapa Melayu itu sememangnya dihadirkan dengan nilai-nilai kehalusan dan kesantunan. Pantun sendiri merupakan salah satu daripada elemen sosiobudaya Melayu yang cukup tinggi nilainya biarpun didepani prahara zaman yang tidak terduga.
            Kumpulan cerpen remaja Tetamu Istimewa menampilkan 15 buah cerpen yang pernah mendapat tempat di dalam majalah dan juga akhbar tempatan. Cerpen pertama yang berjudul ‘Rancanganku Rancangan-Mu’ mengisahkan Amirul yang menghabiskan masa cuti semesternya di kampung bersama datuk dan neneknya. Perancangan asal yang sepatutnya bercuti di Cameron Highland tidak tercapai dek tugasan si ayah yang perlu menghadiri seminar di Pangkor. Cerpen ini dihadirkan dengan suasana kehidupan perkampungan Melayu yang begitu damai dikelilingi petak-petak bendang. Turut dikisahkan dalam cerpen ini ialah ikan-ikan darat dan ulam-ulaman menjadi menu dalam hidangan. Penulis juga memperkenalkan permainan tradisi masyarakat Melayu iaitu wau dalam cerpen ini.

Pengalaman bermain wau tidak dapat kulupakan. Atuk banyak mengajarku mengenali warisan dan budaya orang Melayu. Dari menangkap ikan, makanan kampung, hinggalah permainan tradisional. Kata atuk, kalau kita yang tidak menjaganya, siapa lagi? Jangan biarkan ianya ditelan zaman.  (hlm. 8)

            Melayu itu sememangnya dihadirkan dengan kesantunan budi pekerti yang tiada tolok bandingnya. Cerpen ‘Kedondong untuk Cikgu’ dan ‘Haruan di Pinggir Sawah’ menemukan pembaca dengan watak seorang guru yang perlu berhadapan dengan karenah anak muridnya yang adakalanya begitu mencabar kesabarannya sebagai seorang guru. Melalui cerpen ‘Kedondong untuk Cikgu’, Zahir yang selalu tidak menyempurnakan kerja sekolahnya, malah digambarkan sebagai murid yang selekeh akhirnya merealisasikan impian gurunya yang mengidam buah kedondong. Cerpen ‘Haruan di Pinggir Sawah’ pula mengisahkan Kamal yang sering dimarahi cikgunya kerana bercita-cita untuk menjadi penangkap ikan haruan dan di penghujung cerita pembaca akan ditemukan dengan kekesalan Cikgu Haris yang sering memarahi anak muridnya itu setelah mengetahui kehidupan sebenar anak muridnya itu yang serba kekurangan. Cerpen-cerpen ini memunculkan keluhuran budi seorang anak murid terhadap gurunya di mana mereka tidak menyimpan dendam sebaliknya menzahirkan rasa kasih dan hormat pada guru mereka. ‘Piala Penentuan’ juga dihiasi dengan molek pekerti dalam masyarakat Melayu yang wajar dicontohi oleh golongan remaja apabila watak utamanya Amar memohon restu daripada ayah dan ibunya apabila dia mempunyai perlawanan badminton dan dalam masa yang sama minatnya itu ditentang oleh ibunya sendiri.

Sebelum Amar melangkah ke gelanggang, semalam dia ada beritahu ayah dan ibunya yang dia akan menyertai pertandingan badminton itu. Dia memohon restu dari kedua orang tuanya itu. Walaupun luka kekecewaan yang dicalarkan emaknya masih berparut, semua itu diketepikan. “Mak seandainya Amar tidak berjaya membawa pulang piala kemenangan, Amar akan gantung racket. Amar akan ikut segala cakap mak. Amar janji mak. Ayah doakan Amar.” (hlm. 87)

            Amalan petua yang dipanjangkan generasi turun-temurun adalah sesuatu yang begitu sinonim dalam kalangan masyarakat Melayu. Biarpun dunia begitu taasub pada revolusi dan teknologi, amalan petua masih dipraktikkan sehingga ke hari ini dan melalui kumpulan cerpen remaja Tetamu Istimewa, Mohd Helmi Ahmad menjelmakannya dalam cerpen ‘Tetamu Istimewa’ dan ‘Pulut Durian Santan Kelapa’. Cerpen yang menjuduli kumpulan cerpen ini iaitu ‘Tetamu Istimewa’ memberi pendedahan kepada pembaca mengenai amalan tradisi dalam menangani demam campak. Cerpen ‘Tetamu Istimewa’ membawa pembaca mendekati watak emak yang begitu rapi menjaga watak adik yang sedang mengalami demam campak dengan dimandikan dengan air penawar, malah watak emak juga tidak mengoreng dan menumis sebaliknya menyediakan ikan rebus sahaja untuk dijamu pada watak adik. Cerpen ‘Pulut Durian Santan Kelapa’ pula akan membawa kita kepada petua dalam menghilangkan rasa panas badan terutamanya selepas menikmati raja buah, durian.

Petua ayah, ambil kulit durian yang dimakan dan masukkan sedikit air dalam pangsa kulit durian itu. Kemudian minum. Harapnya panas menjaram di dalam badan hilang, tidak pun kurang. (hlm. 117)

             Adat resam yang menunjangi masyarakat Melayu turut disisipkan dalam cerpen-cerpen tulisan penulis dari negeri Jelapang Padi ini. Cerpen ‘Bunga Telur Kenduri Kahwin’ yang telah teruji kualitinya apabila diangkat sebagai pemenang Hadiah Penghargaan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2010 agak menarik untuk dibicarakan. Cerpen yang turut mengemukakan elemen sosiobudaya Melayu ini mencetuskan pertembungan dua pendapat dari dua zaman yang berbeza antara anak dan juga ayah. Pertembungan perbezaan pendapat ini melibatkan antara perlaksanaan majlis kenduri kahwin secara adat warisan dan juga perlaksanaan majlis kenduri kahwin secara moden yang melibatkan perkhidmatan katering. Si ayah begitu terasa tercabar dengan tindakan anaknya kerana si ayah begitu setia sebagai pengamal budaya Melayu di kampungnya. Pembaca juga diperkenalkan dengan beberapa perkataan yang sememangnya begitu sinonim dalam majlis kenduri kahwin masyarakat Melayu secara tradisi seperti ‘tukang gerau’ dan ‘bentara’. Melalui cerpen ini juga, kemeriahan suasana majlis perkahwinan masyarakat Melayu secara tradisi dikisahkan oleh watak atuk kepada cucunya. Tuntasnya, cerpen ini memperlihatkan keupayaan penulis dalam membijakkan pembaca dengan memberi pendedahan dan pengetahuan mengenai majlis perkahwinan masyarakat Melayu yang telah diamalkan sejak dari dahulu.
                Mohd Helmi Ahmad turut menjelmakan adat resam masyarakat Melayu melalui cerpen ‘Rombongan Masuk Jawi’ yang mengisahkan amalan bersunat mengikut tuntutan ajaran Islam kepada kanak-kanak lelaki.

“Bersunat wajib bagi lelaki Muslim. Kebanyakan ulama berpendapat bahawa, bersunat wajib dilakukan ketika si anak hampir cukup umur atau akil baligh.” (hlm. 94)

Cerpen ini sebenarnya menjelaskan kepada kita bahawa Islam menjadi akar umbi dalam perlaksanaan adat resam masyarakat Melayu. Ajaran Islam bergerak seiring dengan amalan masyarakat Melayu agar tuntutan agama tidak diabaikan dan segala adat istiadat atau amalan tidak melanggar hukum-hukum agama.

                Sosiobudaya Melayu dilihat sebagai elemen yang penting untuk diterapkan dalam bahan bacaan agar golongan remaja dapat membentuk sahsiah mereka . Othman Puteh (1995) menegaskan karya yang bernilai sastera haruslah digarap dengan penuh kehalusan, perenungan, pentaksiran, memiliki sisi keistimewaan di samping memerlukan daya kepekaan untuk memahami makna kehidupan. Kumpulan cerpen remaja Tetamu Istimewa yang diselitkan dengan elemen sosiobudaya Melayu dalam helaian-helaiannya perlu dijadikan bahan bacaan dalam usaha melahirkan remaja yang unggul pekerti, yang kenal usulnya dan yang teguh jati diri, sekali gus memartabatkan sastera remaja itu sendiri. 

Kumpulan cerpen remaja, Tetamu Istimewa
*Ulasan buku ini disediakan sebagai penyertaan Pertandingan Ulas Buku ITBM 2015

Rujukan
Ahmad Jelani Halimi. (2008). Sejarah dan tamadun bangsa Melayu. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Kurik Kundi Merah Saga. (2005). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd Helmi Ahmad. (2014). Tetamu Istimewa. Kuala Lumpur: Institut Terjemahan dan Buku Malaysia.

Mohd Koharuddin Mohd Balwi. (2005). Peradaban Melayu. Skudai: Penerbit Universiti Teknologi Malaysia.

Othman Puteh. (1989). Sastera remaja ditinjau daripada beberapa perspektif. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Othman Puteh. (1995). Pengisian dunia sastera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.



Wednesday, May 27, 2015

NANTIKAN KELAHIRANNYA!


Antologi ini diterbitkan oleh Terfaktab dan akan menemui anda di pasaran tidak lama lagi!

Tuesday, May 26, 2015

CERPEN DALAM BERITA HARIAN AHAD : DAERAH SUBUH

Alhamdulillah, saya panjatkan syukur pada Tuhan. Cerpen saya yang seterusnya disiarkan dalam Berita Harian Ahad. Kali terakhir cerpen saya menghiasi Berita Harian Ahad ialah cerpen 'Manusia Sekerat Ular Sekerat Belut' yang disiarkan pada tahun 2013 yang lalu. Terima kasih kepada editor yang memilih untuk menyiarkan 'Daerah Subuh'. Penawar demam saya ketika ini.


'Daerah Subuh', Berita Harian Ahad, 24 Mei 2015

Tuesday, May 12, 2015

CALON AKHIR CERPEN REMAJA HSKU 2013


Terkejut juga menerima ucapan tahniah menerusi aplikasi Whatsapp daripada abang Mohd Helmi Ahmad memandangkan saya tidak dapat melihat gambar yang dikirim. Alhamdulillah, cerpen remaja saya disenaraikan antara 16 yang terbaik Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2013. Walaupun tidak berjaya menempatkan diri antara 9 yang terbaik, berada antara kelompok 16 yang terbaik juga sudah membahagiakan saya. Berita ini mungkin agak lewat memandangkan majlis penyampaian hadiah telah dilangsungkan pada tahun (baca: 2014) lalu sedangkan antologi dan novel-novel yang diangkat sebagai pemenang baru sahaja menemui pembaca di PBAKL 2015 yang lalu. Berdasarkan rekod, hanya dua sahaja karya saya yang mendapat tempat dalam media terbitan Utusan pada tahun 2013 iaitu cerpen 'Asar di Penghujung Tahun ' ini dan sebuah puisi yang disiarkan dalam Mingguan Malaysia yang berjudul 'Memilih Juruterbang Nan Pejuang'.


Monday, April 6, 2015

DUGAAN BUAT KAMI SEKELUARGA

Bagaimana ya untuk memulakannya ya? Saya sendiri sukar untuk menceritakannya. Dan sebenarnya ramai juga sahabat saya yang tidak tahu akan perihal ini. Sebenarnya, pada hari ini, pada hari catatan ini ditaip merupakan hari ke-16 ayah saya mengharung dugaan. Dugaan juga buat kami sekeluarga. Petang Ahad itu, ayah tiba-tiba terasa kebas pada anggota badan pada sebelah kanannya. Tanpa berlengah lagi kami terus membawanya ke bahagian kecemasan Hospital Sultanah Bahiyah. Hampir sejam lebih menunggu di bahagian zon kuning, barulah ayah dipanggil untuk menjalani City Scan. Setelah itu ayah masih ditempatkan di zon kuning. Petang itu ketika di atas kerusi roda, saya lihat matanya berkaca-kaca. Mungkin ayah tidak menyangka petang itu dia tidak berkeadaan seperti biasa. Mungkin juga pelbagai perkara yang menghurung dalam kepalanya, maklumlah dia berperanan sebagai ketua keluarga. Saya terasa sayu. Sebak betul rasanya melihat dia menangis pada petang itu, Saya keluar dari zon kuning dan menangis di hadapan sahabat saya yang turut berada di hospital ketika itu. Dia memujuk saya.

Lebih kurang pukul 3 pagi, ayah ditempatkan di wad, di tingkat 4. Adik dan emak yang menemani ayah di hospital. Saya dan adik bongsu menjaga rumah. Malam itu, saya betul-betul tidak dapat lena. Macam-macam yang bermain di fikiran. Saya asyik menangis. Kak Ros, Mimi dan adiknya tidak berhenti-henti memberi kata semangat pada saya menerusi aplikasi Whatsapp. Saya akui pada mulanya saya juga tidak kuat memandangkan saya anak sulung, belum berkerjaya pula. Bagaimana harus saya lalui hari-hari mendatang? Tetapi kalau saya bandingkan perasaan saya dengan mak, pasti yang ditanggung mak lebih-lebih lagi, tetapi Mak tidak menunjukkan rasa resah ataupun sedih. Dia di sisi ayah sering memberi kata semangat. 

4 hari 3 malam ayah ditahan di wad. Saya merasa untuk tidur di wad menemani ayah bersama mak pada malam ketiga. Kini ayah di rumah, alhamdulillah ada perkembangan sedikit, namun masih belum kuat lagi. Dia perlu menjalani fisioterapi, pemeriksaan berkala di hospital kerana tekanan darahnya yang tinggi dan pastinya perlu menghabiskan ubat-ubat yang diberikan doktor, malah perlu bergantung lagi pada ubat yang diberikan setelah habis. Setiap hari saya akan bangun awal bersama mak untuk menguruskan perniagaan kedai santan kami. Sekitar pukul 3 pagi atau pukul 4 pagi kami sudah bangun. Penat memang penat, tetapi inilah jalan takdir saya sekeluarga untuk kelangsungan mencari rezeki. 

Saya mohon maaf kerana tidak sempat untuk memberitahu segala yang berlaku pada mereka yang masih tidak tahu. Ketika itu, perasaan saya tidak tenteram. Maafkan saya juga jika ada yang berkecil hati kerana saya memungkiri janji untuk berjumpa. Ketika ini, yang lebih utama ialah keluarga saya, masa untuk diri saya bersama sahabat-sahabat atau untuk dunia saya sendiri harus saya ketepikan seketika jika ianya boleh diketepikan seketika. Saya mohon maaf dan doakanlah kesejahteraan ayah saya juga agar dia sembuh dari strok dan menjalani kehidupan seperti selalu. Terima kasih.

Friday, March 20, 2015

#BloggerTalk : BLOG MENGUNTUNGKAN ATAU MERUGIKAN MASA ?

Tak sempat nak taip untuk segmen-segmen sebelum ni. Rindunya....rindu sangat dekat Sahabat Blogger (muah cikit). Terima kasih Mal sebab wujudkan segmen #BloggerTalk. Sekurang-kurangnya Sahabat Blogger masih bernyawa. Ya, masih!


Baiklah, kita rungkai satu persatu ya. Dunia blog bukanlah sebuah pilihan yang menjanjikan kau untuk menjadi kaya dalam sekelip mata, bukan jua tempat untuk kau menjadi retis internet. Bukan sama sekali, sayang. Walau bagaimanapun, melalui blog memberi kau pilihan untuk pelbagai cabang tujuan untuk kau kongsikan bersama pembaca. 

Berblog sangat menguntungkan apabila kita dapat berkongsi sesuatu melalui pengalaman yang kita lalui. Mungkin niat kita sekadar untuk menitip rasa, contohnya seperti pertama kali memasak sambal udang, pengalaman melancong ke Zimbabwe dan kenangan jatuh basikal. Bagi pembaca blog kita, yang kita taip di blog sangatlah berguna sebagai panduan bagi mereka yang belum pernah rasa apa yang kita rasa. Perkongsian yang mudah!

Mempunyai blog sangat menguntungkan. Dapat kenal-kenal dengan blogger lain, meluaskan rangkaian silaturrahim. Salam kenal kepada yang baru singgah sini. [Kenal Kek Nis? Kek Nis dah nak kahwin...itu sahaja.] Blog juga sebenarnya boleh jana pendapatan tapi kita tidaklah menjadikannya sebagai tujuan utama untuk mempunyai blog. Benda tu akan datang dengan sendirinya. Nanti Nuffnang bayarlah kat kita! 

Kadang-kadang aku rasa blog adalah tempat terbaik untuk aku meluahkan sesuatu dengan nada berlapis-lapis. Blog ni pun macam media sosial yang lain yang sebenarnya seperti diari elektronik. Kita sememangnya perlu untuk meluahkan atau memuntahkan segala yang terbuku di hati dan melalui blog kita mampu untuk melakukannya. Siapa yang untung dalam hal ni? Jiwa raga kita yang untung, daripada merana terseksa. 


Merugikan masa? Bukan ke dengan berblog dapat mengisi masa lapang? 

Sampai di sini dahulu huraian penuh ilmiah kita kali ini, Insya-Allah aku akan sertai lagi segmen SB yang lain. 

Salam manis.

#BloggerTalk

Sunday, March 15, 2015

AKAN DATANG!

Akan datang, sebuah lagi antologi yang memuatkan sebuah cerpen saya akan diterbitkan. Penerbitnya ialah sebuah penerbit alternatif dan merupakan kali pertama karya saya bersama mereka. Melihat senarai penulis bagi karya yang terpilih juga merupakan kali pertama kami disatukan dalam antologi. Segala perkhabaran terbaru akan saya maklumkan nanti. 

Tuesday, March 3, 2015

SEGMEN BLOGWALKING BERSAMA DYLLAREZAN


Assalamualaikum Warahmatullah Hiwabarakatuh

Kali ini saya menyertai segmen yang dianjurkan blogger Dyllarezan.

Salam perkenalan kepada blogger-bloger yang turut serta. 

Kepada yang ingin menyertainya boleh sahaja klik pada 'banner' di bawah.

Selamat berjalan-jalan!



Wednesday, January 28, 2015

TUNAS CIPTA FEBRUARI 2015 : KONGSI


Marilah berkongsi rasa dengan membaca Tunas Cipta Februari 2015. Oh ya, jemput baca cerpen terbaru saya juga iaitu 'Kongsi' di dalamnya. 
Terima kasih.