Saturday, July 22, 2017

SAMBUTAN AIDILFITRI ITBM DAN PENYAMPAIAN HADIAH


Lama juga saya mengambil keputusan untuk menghadirkan diri. Saya diperangkap oleh tesis saya sendiri. Selagi belum selesai bahagian kerja yang ingin diselesaikan, saya tidak mahu ke mana-mana. Saya juga tidak mahu menyusahkan sesiapa. Begitulah fikiran saya pada pertama kali dihubungi supaya mengesahkan kehadiran sebagai salah seorang pemenang. 

Sebenarnya sudah dua tahun berturut-turut saya tidak ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL). Benar, iaitu pada tahun 2015 dan 2016. Pada tahun ini baru berkesempatan berkunjung, siap menghadiri Perhimpunan 1000 penulis. Selalunya, saya tidak akan melepaskan peluang untuk membeli buku-buku terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan setiap tahun memang diadakan dua peraduan.Tahun ini merupakan kali pertama saya menyertai peraduan 'Beli Buku & Menang'. Sebelum ini saya tak sempat untuk sertai dan saya biarkan borang itu kosong tanpa sebarang tulisan, tapi kali ini saya tekad untuk sertai. 

Majlis yang akan berlangsung lagi dua hari membuatkan saya bertukar fikiran memandangkan urus setia begitu berhemah ketika berhubung dan saya tidak terfikir wakil yang sesuai untuk menggantikan saya memandangkan saya sendiri tidak tahu siapa yang akan hadir. Oleh yang demikian, saya memutuskan untuk hadir dan membeli tiket ETS pada hari Selasa untuk berangkat ke Kuala Lumpur pada keesokan harinya. 

Pada hari Khamis, saya bersiap awal memandangkan majlis akan bermula pada pukul 11 pagi dan saya sendiri tidak pernah ke ITBM, apatah lagi pagi itu saya seorang diri perlu membawa diri ke sana. Syukur saya tiba di sana sebelum majlis bermula, disambut baik oleh warga ITBM. Mujur juga kak Ainunl yang nampak saya ketika di hadapan pintu masuk memanggil nama saya, terus di bawa urus setia ke meja pemenang. Saya katakan pada Kak Ainunl saya malu. Maklumlah, pertama kali ke Wisma ITBM dan saya ni penulis kerdil saja.

Saya tidak menyangka diumumkan sebagai pemenang tempat pertama pada hari tersebut dan memperoleh hadiah buku-buku ITBM terbitan 2017 yang bernilai RM 10 000. Saya rasa seolah sedang bermimpi. Bermimpikah saya? Hahaha.

Pada majlis tersebut, selain menjamu selera dan membeli buku-buku yang dijual, sempat juga berjumpa dengan penulis-penulis yang ada termasuk adik-beradik Minggu Penulis Remaja (MPR) yang lain. Selalunya majlis-majlis sebeginilah mudah untuk berjumpa dengan adik-beradik MPR. Sempat juga bersembang dengan abang senior MPR dan tok guru di MPR dulu iaitu Dr. Shamsuddin Othman. Perbualan kami berkisahkan pengajian saya dan peluang kerjaya selepas tamat pengajian. Teringat lagi, ketika sesi bedah karya yang pertama, Dr. Sham memlih puisi saya yang disiarkan dalam Berita Harian yang berjudul 'Bahagia Itu Milik Kami' untuk dibedah. Seterusnya, menghampiri penghujung program, kami dibahagiakan kumpulan untuk sesi bedah karya yang dihasilkan ketika di program MPR pula dan saya di bawah kumpulan Dr. Sham.

Saya pulang kerika sudah pun pukul 2.00 petang pada hari tersebut. Yang seronoknya, saya tidak perlu bersusah-payah menunggu teksi, sebaliknya ITBM menyediakan pengangkutan untuk ke stesen LRT yang berhampiran. Saya begitu berpuas hati dengan layanan warga ITBM, memang tidak menyesal menghadirkan diri! Layanan yang diberikan membahagiakan!


Para pemenang Peraduan Beli Buku dan Menang Koleksi 2017
Para pemenang Peraduan Kritik Buku ITBM-PBAKL 2017

Persembahan puisi oleh saudara Za'im Yusoff

Persembahan oleh YB Budiman

Bersama tuan rumah Encik Khair, Kak Salina Ibrahim (MPR 1991), Kak Raihani Mohd. Saaid (MPR 1997), Shamsul Amin (MPR 2010) dan saya (MPR 2009)

Bersama Pok Nik (MPR 2004)  yang turut memenangi tempat ketiga peraduan 'Beli Buku dan Menang Koleksi 2017'