Monday, December 17, 2018

SAYEMBARA MENULIS PUISI GERAKAN DEKAD BAHASA KEBANGSAAN ZON UTARA 2018

Ketika berada di UKM, saya sudah menerima panggilan tentang majlis penyampaian hadiah yang akan diadakan beserta tarikh dan tempatnya. Seawal itu juga saya sudah membayangkan ketidakhadiran saya memandangkan pada tarikh tersebut saya mempunyai jemputan majlis perkahwinan sahabat baik saya. Saya mengirim tiga buah puisi kepada penganjur dengan harapan ada yang tersangkut sebagai pemenang. Saya pernah berasa kesal kerana tidak menyertainya beberapa tahun lalu dan kali ini saya tidak mahu berasa kesal lagi. Tiga buah puisi saya kirimkan penghujung bulan Oktober  menggunakan kiriman Pos Laju, bimbang kiriman tidak sampai pada tarikh yang sepatutnya.


Syukur, dikhabarkan 123 puisi telah dinilai dan 8 buah puisi telah dibawa ke peringkat akhir termasuklah sebuah puisi saya yang berjudul 'Bahasa adalah Seorang Ibu dalam Rumah Kaca'. Puisi-puisi yang telah diadili oleh Dr. Shamsuddin Othman ini telah diumumkan keputusannya pada tanggal 15 Disember 2018 yang lalu. Puisi saya merupakan salah sebuah puisi yang dipilih sebagai penerima hadiah saguhati. Syukur.


HADIAH SASTERA SELANGOR 2018

Sejujurnya saya perlu ke Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) kerana telah mendaftar sebagai pembentang dalam sebuah seminar yang dianjurkan. Kebetulan pula majlis perkahwinan Fysah dalam minggu yang sama. Beberapa hari selepas itu sememangnya saya bercadang untuk menginap di Universiti Kebangsaan Malaysia, melangsaikan tugas yang belum selesai. Kebetulan pula penganjuran Hadiah Sastera Selangor 2018 diadakan ketika saya benar-benar berada di sana. Editor sastera juga memperingat agar dapat menghadirkan diri. Segalanya teratur, tersusun. 

Saya ke sana dengan menumpang keluarga Legasi Oakheart yang turut membuka rerurai sempena Hadiah Sastera Selangor 2018. Dapatlah saya berjumpa, bertegur sapa dan merakam kenangan dengan penulis-penulis lain yang selama ini hanya bertegur di Facebook atau di Instagram. oh ya, sempat juga saya beli novel terbaharu FIXI berjudul Pesona terus dari penulisnya, Arif Zulkifli.



Malam yang penuh kenangan itu telah menyangkutkan cerpen tunggal saya dalam Selangor Kini untuk tahun 2018 yang berjudul 'Seperti Apakah Rasanya Piza' dalam senarai Hadiah Penghargaan kategori Cerpen. 


Terima kasih juri yang memilih. Terima kasih editor sastera Fazallah dan akhbar Selangor Kini untuk ruang dan peluang. Terima kasih kerajaan Selangor yang menganjurkan HSS 2018 dan mengiktiraf karya sastera. 

Saturday, November 24, 2018

CERITA-CERITA SAYA YANG MENYAPA DI BULAN NOVEMBER

Pagi sudah ranum, cerita-cerita yang pernah saya karang kembali menyapa saya dalam pertemuan yang begitu indah di bulan November. Sejujurnya sebegitu banyak hal dan kekangan untuk saya berkarya pada tahun ini. Tidak produktif seperti penulis-penulis lain. Tetapi November begitu mengujakan apabila perasaan karya disiarkan itu saya nikmati lagi. Kali ini berganda-ganda rasanya. Terdapat tiga buah cerpen saya disiarkan dalam bulan November 2018 seperti berikut.

Cerpen 'Dia Bersumpah Telah Membunuh Saka Keperempuanan' telah disiarkan dalam akhbar New Sabah Times. Cerpen ini mengisahkan Suhail yang telah kembali menjadi seorang lelaki sejati dan memandu dirinya mendekati cinta hakiki.

Cerpen 'Seperti Apakah Rasanya Piza' merungkai tentang sebuah persahabatan. Teknik imbas kembali menjadi penggerak penceritaan. Cerpen ini saya karang dengan rasa-rasa, seperti ada ingatan pada seorang sahabat sepermainan. Dan cerpen ini disiarkan dalam akhbar Selangorkini dan dinilai untuk Hadiah Sastera Selangor 2018.

Cerpen 'Rumah di dalam Pasu Bunga' merupakan cerpen yang hampir setahun dikarang, seterusnya melalui proses penambahbaikan dan akhirnya menemui pembaca melalui akhbar Harian Ekspress pada 18 November 2018 yang lalu. Cerpen ini adalah tentang penafian budaya dan sejarah di sebuah daerah. 

O ya, saya sememangnya dilahirkan di Sandakan, Sabah. Keterujaan untuk melihat karya saya menembusi akhbar di Sabah memang dipendam sejak lama. Saya juga sudah dimaklumkan urus setia bahawa dua buah cerpen saya ini iaitu 'Dia Bersumpah Telah Membunuh Saka Keperempuannan' dan 'Rumah di dalam Pasu Bunga' akan dibicarakan dalam program SUNTIK yang akan datang bersama 10 buah cerpen yang lain dan sebuah cerpen akan dipilih sebagai cerpen terbaik bulanan. 

Saya masih berharap sisa-sisa sebulan terakhir tahun ini masih ada rezeki yang menyapa. Mahu melihat cerpen saya disiarkan lagi memandangkan fokus terhadap penulisan pada tahun hadapan seharusnya telah pun bermula. 



Wednesday, October 17, 2018

ANTOLOGI KARYA DARIPADA DIARI RAHSIA


Saya begitu merasakan proses penerbitan antologi ini tidak terlalu memakan masa yang lama. Saya bersyukur kerana turut terselit sebagai penyumbang bersama sahabat-sahabat penulis yang lain.  Sebenarnya ini merupakan antologi kedua saya bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Antologi pertama tidak saya temukan dalam jasad yang nyata, tetapi menurut rekod, telah berjaya diterbitkan. Dunia pembukuan memang rumit! (?)

Coretan saya yang dimuatkan dalam antologi ini merupakan tulisan saya dalam ruangan Buah Pena Alumni MPR yang disiarkan dalam majalah Tunas Cipta pada tahun 2012. Selain itu turut dimuatkan sebuah cerpen saya yang pernah disiarkan dalam sebuah majalah terbitan DBP sekitar tahun 2015. Antologi ini sudah boleh dibeli secara atas talian atau boleh saja bermesej peribadi menanyakannya kepada penulis yang terlibat.

Saya mengucapkan selamat mendapatkannya dan membaca dengan hati yang senang. Oh ya, saya kira lebih sesuai juga diujarkan salam perkenalan kepada yang sudi membeli dan membacanya. Kira-kiranya ungkapan sebegitu sesuai juga memandangkan tulisan-tulisan di dalamnya lebih menjurus kepada proses permulaan dan tabiat penulis.

Sunday, July 22, 2018

LELAH


Sebetulnya, mudah sungguh putus asa itu menghasut. Malam selalu menghadirkan mimpi ngeri untuk bertemu esok pagi. Tugas-tugas saya adakalanya terkeluar dari landasan yang sepatutnya, jauh membelok sebelum benar-benar disedarkan. Seperkara yang perlu diingatkan, adalah unsur luar yang turut menekan tanpa pengetahuan dan belas kasihan. Saya masih memerlukan ruang dan mencari ruang memperbetulkan, kembali ke asal, bergerak di atas landasan.Semoga dipermudahkan.

Sunday, May 20, 2018

MAJLIS PENYAMPAIAN HADIAH SAYEMBARA MENULIS CERPEN 2017

Memasuki musim kedua, Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya dengan kerjasama Gallery Bookstore sekali lagi menganjurkan Sayembara Menulis Cerpen pada tahun 2017. Sambutan yang menggalakkan pada musim pertama dengan 400 lebih penyertaan diteruskan lagi pada musim kedua dalam usaha melahirkan pelapis dalam arena penulisan kreatif terutamanya penulisan cerpen. Saya juga tidak melepaskan peluang untuk menyertainya setelah memenangi hadiah saguhati pada musim yang pertama. 

Borang penyertaan beserta syarat-syarat penyertaan

Sayembara ini meletakkan 'Kemanusiaan' sebagai tema pertandingan dan membuka penyertaannya kepada mahasiswa-mahasiswi yang berstatus warganegara Malaysia berumur 30 tahun dan ke bawah dan masih menuntut sama ada di dalam, mahupun di luar negara. Pada asalnya, majlis penyampaian hadiah dijadualkan berlangsung pada penghujung bulan Mac 2018 di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Walau bagaimanapun, majlis ditunda pada 3 Mei 2018 (Khamis) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2018.

Musim kedua menyaksikan penyertaan yang berganda-ganda daripada musim pertama apabila pihak urus setia menerima lebih daripada 1000 penyertaan bagi menempatkan 30 karya terbaik. Karya-karya telah diadili oleh panel hakim yang telah dilantik seperti Profesor Dr. Mohamad Mokhtar Abu Hassan (Katua Hakim) Profesor Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi, Profesor Madya Dr. Mawar Safei, Profesor Madya Dr. Hashim Ismail, Dr. Tengku Intan Marlina Tengku Mohd Ali, Dr. Madiawati Mamat@Mustaffa dan Dr. Hamizah Ismail.
Pemenang-pemenang hadiah utama

Bergambar bersama kesemua pemenang Sayembara Menulis Cerpen 2017

Bersama Akif Jebat (nama pena), salah seorang pemenang

Dua orang adik saya dari USM. 


Cerpen saya yang berjudul 'Sahabat Saya Seorang Biawak' diumumkan sebagai juara pada pagi kejadian. Secara jujurnya dengan jumlah penyertaan yang sebegitu menggalakkan, saya tidak menyangka cerpen saya yang dipilih sebagai juara. Cerpen saya dan 29 lagi karya pemenang yang diumumkan pada majlis penyampaian hadiah yang begitu meninggalkan nostalgia itu dimuatkan dalam Antologi Cerpen Mahasiswa Dahan Berbunga, terbitan Gallery Bookstore. Boleh dibeli di seluruh rangkaian kedai buku Gallery Bookstore ataupun dapatkannya melalui atas talian.

Syukur, alhamdulillah.
Kehilangan kata-kata
Bergambar bersama pemenang-pemenang utama dan pemenang-pemenang dari UKM (UKM unggul dengan 12 orang mahasiswanya memenangi sayemabra ini) selepas majlis jamuan




Kenangan terindah

Antologi Cerpen Mahasiswa Dahan Berbunga


#cerpen #penulisankreatif #sayembara #GalleryBookstore #AkademiPengajianMelayuUM

Sunday, April 29, 2018

NOVEL HUJAN PAGI



Petang semalam, saya sudah menerima pesanan yang telah ditempah seminggu yang lalu iaitu sebuah novel. Novel Hujan Pagi karya Pak Samad atau Sasterawan Negara (SN) A. Samad Said ini diterbitkan semula sempena ulang tahun penerbitannya yang ke-30 tahun. Edisi kali ini merupakan edisi terhad dan ditampilkan dalam bentuk berkulit keras dan sampul berjaket. Lebih istimewa, setiap pembelian akan diturunkan tanda tangan oleh Pak Samad sendiri.