Wednesday, August 11, 2010

KISAH-KISAHKU BERSAMA RAMADHAN


Ramadhan bertamu lagi, menyubur rindu yang selama ini terpendam di hati. Sewaktu catatan ini ditulis, hampir selesai ibadah puasa untuk hari yang pertama. Menginjak ke usia dewasa, kita semakin matang dalam mengharungi bulan puasa. Jika dibandingkan dengan usia kanak-kanak yang telah kita lewati, suasananya cukup berbeza. Saya sendiri mempunyai pengalaman dan memori sewaktu berpuasa sejak usia kanak-kanak. Berstatus kanak-kanak ketika itu sebenarnya adalah proses untuk belajar berpuasa. Saya pernah ditanya sama ada saya suka berpuasa atau tidak, dan jawapan saya tidak kerana tidak dapat makan dan minum. Saya dan adik-adik telah diajar berpuasa sejak tadika lagi. Perit pada mulanya, berhampas pulas saya merungut kepada emak untuk membatalkan puasa. Di sini, saya kongsikan kisah saya bersama Ramadhan.

KISAH SATU; Ketika itu di kampung, saya dan sepupu sepakat untuk merungut membatalkan puasa. Kata saya pada emak, cukuplah sekadar minum air sahaja kerana saya benar-benar kehausan. Mungkin sudah tidak tahan mendengar rungutan, emak beri kebenaran untuk minum. Apabila sampai di peti sejuk, kami serba salah pula. Rasa sayang pula untuk membatalkan puasa.

KISAH DUA; Emak memang rajin buat kuih raya. Cik lah akan pesan dekat emak untuk buat beberapa jenis kuih raya untuk di bawa pulang ke kampung. Satu hari saya lihat emak bikin satu resipi kuih raya. Nampak sedap sahaja sebak berperisa coklat. Emak menggunakan serbuk coklat. Tin serbuk coklat itu, saya tenung. Asyik menenung emak membuat biskut raya itu, datanglah jiran bertandang. Emak memang ramai kawan. Lamanya mereka bersembang. Saya pun mencari-cari tin serbuk coklat yang saya tenung tadi. Ya, saya menjumpainya di dalam almari. Shhhhhhhhhhh...ini rahsia kita semua ya. Saya mencolek serbuk coklat itu, lalu disinggahkan ke dalam mulut. Puihhhhhhhhhhh...saya ludah kembali di sinki. Pahit la rasanya. Menyesal sangat.

KISAH TIGA; Berbuka puasa bersama rakan-rakan memang seronok. Saya sudah merasai pengalaman ini sejak di tingkatan empat lagi. Menjadi pelajar asrama banyak memberikan pengalaman kepada saya. Menjelang waktu berbuka membuatkan kami berpusu-pusu ke Dewan Makan asrama. Tinggal di asrama menjadikan ikatan kami sangat erat persis adik-beradik. Tidak heranlah jika waktu berbuka, kami bertukar-tukar juadah dan lauk. Cukup nostalgik bagi saya.

KISAH EMPAT; Saya pernah sakit teruk ketika darjah empat dahulu dan saya tidak berpuasa ketika itu. Apa yang saya makan, tidak dapat diterima perut. Lemah sahaja keadaan saya ketika itu dan saya tidak ke sekolah hampir sebulan gara-gara kesihatan saya yang tidak mengizinkan. Ketika makan, saya hanya dibenarkan makan nasi putih+sup+ikan bakar. Itulah santapan saya setiap hari dan saya dijaga begitu rapi oleh keluarga. Sangat dimanjakan ketika itu.

KISAH LIMA; Saya juga mengalami demam campak ketika PMR (cukup perit ya, sehingga pengawas peperiksaan perasan dengan parut saya dan ingin memutuskan agar saya mengambil peperiksaan di dalam dewan seorang diri. Pantas saya cantas kata-katanya, saya sudah sihat cuma tinggal parut, padahal ada burung-burung kecil yang mengelilingi kepala saya ketika menjawab peperiksaan). Ketika itu belum bulan puasa. Alhamdulillah resultnya biasa-biasa sahaja, tapi saya menangis dan merajuk kerana bukan result itu yang saya hendakkan. Tukar kisahnya, kami dibenar pulang awal biarpun belum tiba cuti sekolah. Ketika itu, saya sekeluarga dikejutkan berita bahawa Tok Wan saya tengah tenat. Saya dan ayah pulang ke kampung berdua. Tok Wan menghembuskan nafas terakhir pada bulan puasa. Saya juga sempat berpuasa dengan Tok saya. Kami bertiga (saya, ayah, Tok berbuka bersama setelah Tok Wan pergi selamanya). Emak dan adik-adik telah pulang ke Ipoh lebih awal. Itu juga merupakan kali terakhir saya berbuka puasa bersama Tok kerana 100 hari selepas perginya arwah Tok Wan, Tok pula menghadap Ilahi dan itu adalah Ramadhan serta Syawal terakhir bersamanya. Kubur Tok Wan dan Tok hanya sebelah sahaja. Saya rindukan mereka! Al-Fatihah.

Setakat itu sahaja kisah saya untuk dikongsikan bersama. Ada yang melucukan, ada yang membahagiakan dan tidak kurang juga kisah yang menyentuh hati saya. Selamat berjabat mesra dengan Ramadhan Al-Mubarak, semoga beroleh barakah-Nya.

Friday, August 6, 2010

DAPATKAN DEWAN SISWA DAN FOKUS SPM OGOS 2010!!!

Bulan Ogos bertamu lagi dan kebiasaannya, tema kemerdekaan menjadi pilihan. Begitu juga dengan dua artikel saya yang disiarkan dalam dua majalah untuk edisi Ogos kali ini. Terima kasih saya ucapkan kepada editor yang memberi peluang kepada saya. Semasa bercuti semester yang lalu, saya menerima satu khidmat pesanan ringkas (sms) yang saya tidak kenal nombornya. Sms tersebut rupa-rupanya daripada seorang eidtor yang meminta saya menulis sebuah rencana untuk disiarkan dalam majalah. Saya cuba merealisasikan impian editor tersebut. Walau bagaimanapun, saya berharap agar para pembaca dapat mengambil manfaat daripada tulisan saya tersebut.

Sudilah membaca rencana saya yang bertajuk ‘Remaja Kreatif dan Inovatif Memacu Kegemilangan’ dalam majalah DEWAN SISWA Ogos 2010 serta rencana saya yang bertajuk ’53 Tahun Merdeka: Malaysia Melewati Kegemilangan’ dalam majalah FOKUS SPM Ogos 2010.







Selamat membaca dan dapatkan di pasaran dengan segera. Kepada yang sudah mendapatkannya, terima kasih saya ucapkan!!!

BICARA TENTANG 'MANTRA'


Saya bukanlah orang yang layak untuk berbicara mengenai filem tetapi sebagai peminat seni, saya juga mempunyai ruang pemikiran saya yang tersendiri mengenai filem terutamanya filem tempatan. Saya telah berkesempatan untuk menonton filem Mantra baru-baru ini bersama beberapa orang sahabat saya di Alor Setar. Pasaran filem di Malaysia lebih tertumpu dengan genre seram sejak kebelakangan ini setelah pihak yang bertanggungjawab memberi kebebasan kepada pengkaray untuk berkarya filem bergenre seram mengikut kreativiti masing-masing. Seingat saya sebelum ini, filem yang bergenre seram perlu menamatkannya dengan menjadikan kesimpulan bahawa segala peristiwa seram itu adalah khayalan atau mimpi semata-mata. Pengakhiran yang sia-sia bagi saya. Mantra tidak menarik perhatian saya untuk bercerita mengenai jalan ceritanya. Ceritanya tidak mampu membuatka saya menjerit!!! Kisahnya berkisarkan pengamal ilmu hitam yang akhirnya memakan diri sendiri. Walau bagaimanapun, saya tertarik dengan latar tempatnya menjadikan penjara Pudu sebagai salah satu latarnya. Sebagai mana kita ketahui, penjara Pudu yang sebelum ini utuh berdiri, akhirnya tersembam menyembah Bumi. Filem Mantra tidak memberi kepuasan kepada saya apabila menontonnya. Mungkin sudah terlalu banyak filem bergenre seram sekarang, oleh yang demikian latar belakang jalan ceritanya ada sedikit persamaan. ‘Klise’ ini yang membuatkan penonton semakin bosan.