Penulis Muda, Jangan Cepat Melatah!
Kelahiran penulis muda sememangnya digalakkan bagi meneruskan delegasi penulisan kreatif negara. Tunas Cipta sendiri memperlihatkan kepada kita betapa ramainya penulis muda mempersembahkan karya mereka dan ada sahaja nama-nama baru yang begitu berbakat mula mempamerkan diri.
Sebagai penulis muda, kita sewajarnya tidak boleh cepat melatah. Tidak dinafikan karya yang kita hasilkan belum tentu lagi dapat mencairkan hati editor untuk menyiarkannya. Oleh yang demikian, janganlah menyimpan harapan yang menggunung agar karya kita disiarkan. Jika tidak disiarkan pula, jangalah cepat berputus asa dan berhenti menulis. Harus juga diingat, kita menulis bukan mengejar nama dan honorarium semata-mata!
Kita juga harus menyedari bahawa sebagai penulis muda, banyak lagi ilmu yang perlu kita pelajari. Menjadi kemestian sebagai penulis muda untuk membaca karya-karya penulis mapan. Apabila karya kita dikritik, janganlah cepat melenting. Sebaliknya perbaiki dan jadikan kritikan yang diberikan sebagai pelajaran yang berguna. Terimalah kritikan yang diberi untuk memperbaiki kelemahan yang ada dan mempertingkatkan kualiti karya kita.
Penulis muda juga perlu mengetahui mengenai etika sebagai penulis. Tidak dinafikan keghairah sebagai penulis itu semakin membuak-buak apabila melihat karya sendiri disiarkan.Walau bagaimanapun, jangan biarkan keghairahan itu menutup rasa malu dalam diri untuk menghormati etika! Nah, Puan Nisah Haji Haron melalui penulisannya dalam Luahan Minda edisi November 2010 yang lalu telah memperingatkan kita untuk menghormati etika.
Peringatan buat diri saya dan juga penulis-penulis muda yang lain agar tidak mudah melatah dalam mengisi hari-hari kehidupan sebagai seorang penulis. Biarlah kita merangkak dari mulanya kerana menjadi penulis yang baik bukanlah semudah yang disangkakan. Menulislah tanpa jemu dan belajarlah dari kesilapan dan teguran yang diberikan. Semoga karya kita memberi manfaat kepada para pembaca. Selamat menulis!
Mohd Haniff Mohammad Yusoff
Universiti Utara Malaysia
Majalah TUNAS CIPTA, Januari 2011
No comments:
Post a Comment