Sunday, November 22, 2009

SEMINAR PENULISAN NOVEL TARIKAN PENAMU UUM/GPMS caw.UUM/DBP


Ingin saya kongsikan di sini sebuah pengalaman yang amat menarik yang pernah saya alami berkaitan SEMINAR PENULISAN NOVEL TARIKAN PENAMU anjuran UNIVERSITI UTARA MALAYSIA (UUM), GABUNGAN PELAJAR MELAYU SEMENANJUNG (GPMS) cawangan UUM dan DBP WILAYAH UTARA.

Pada asalnya, saya tidak tahu-menahu langsung berkaitan seminar atau program ini, sehinggalah seorang sahabat saya menanyakan kepada saya sama ada saya mahu atau tidak menjadi MC untuk sebuah program berkaitan penulisan novel. Terus saya menyatakan persetujuan. Waktu itu, hanya dua perkara sahaja yang terlinta di fikiran saya iaitu,pertama ianya merupakan peluang kepada saya sebagai MC. Minat yang ada harus dikembangkan. Kedua, ianya berkaitan novel, pastinya banyak ilmu yang dapat saya pelajari.

Saya telah mendapat panggilan telefon daripada pengarah projek iaitu Kak Fadzilah meminta kepastian daripada saya. Saya menyatakan minat namun tidak berjanji sepenuhnya, bimbang tarikh yang diberikan bertembung dengan tarikh-tarikh yang penting.

Menghampiri tarikh program, saya menyatakan kepastian untuk menjadi MC pada hari itu.
Kak Farah selaku AJK Protokol, telah menyiapkan teks untuk saya. Kak Farah cukup baik terhadap saya.

Malam sehari sebelum program, usai sahaja kelas malam, kak Farah dan beberapa lagi AJK menjemput saya ke tempat akan belangsungnya program untuk acara raptai.
Terus-terang saya katakan di sini bahawa saya tidak mengenali seorang pun daripada mereka. Mereka semua ialah senior daripada saya. Mereka menyatakan saya sebagai pengerusi majlis yang bagus cuma perlu diperbaiki untuk lebih mantap pada hari sebenarnya.

Esoknya, saya segak berbaju Melayu biru. Saya juga dilayan sebagai VVIP oleh semua AJK program. Terima kasih pada abang-abang dan kakak-kakak yang melayan saya dengan baik.

Saya juga terasa teruja sangat kerana penceramah pada hari itu ialah Puan Nisah Haji Haron dan Pak Azizi. Pelbagai ilmu yang telah dicurahkan oleh mereka berdua. Banyak yang telah saya pelajari daripada mereka. Saya juga tidak melepaskan peluang menanya soalan pada Puan Nisah. Saya juga amat terkejut kerana Puan Nisah menyatakan bahawa dia pernah membaca tulisan saya dalam majalah.

Saya berkesempatan menjamu selera tengah hari dengan Pak Azizi dan Puan Nisah Haji Haron. Banyak yang kami bualkan. Saya juga merisik mengenai MPR 2009, kalau-kalau Puan Nisah merupakan salah seorang tenaga pengajar kali ini. Puan Nisah kata, masih belum ada apa-apa lagi. Puan Nisah juga menyatakan sertailah apa jua seminar atau bengkel yang ada. Timba ilmu yang ada.

Saya juga sempat bergambar dengan Puan Nisah, membeli buku kumpulan cerpen beliau dan mendapatkan tandatangan daripada beliau.

Hari itu cukup bermakna bagi saya. Terima kasih kepada abang-abang dan kakak-kakak yang melayan saya dengan baik. Terima kasih atas peluang yang diberikan.

1 comment: