#SAYANGSAYANG

Monday, January 31, 2011

PUISI SAYA DALAM TUNAS CIPTA, FEBRUARI 2011

Alhamdulillah, puisi saya dipilih untuk disiarkan dalam majalah TUNAS CIPTA Februari 2011. Kali ini disiarkan bersama-sama dengan karya Kak Wardah, Kak Yana, Kak Nissa, Abg Zulfazlan dan Tuan Zahiruddin serta karya penulis yang lain. Ini kali kedua puisi saya menembusi TUNAS CIPTA. Tajuk puisi saya ialah 'GUGURNYA GUGUS CINTA'. Jangan ketinggalan untuk mendapatkan majalah TUNAS CIPTA edisi Februari 2011 di pasaran dan selamat membaca!

PENULIS MUDA, JANGAN CEPAT MELATAH!

Penulis Muda, Jangan Cepat Melatah!

Kelahiran penulis muda sememangnya digalakkan bagi meneruskan delegasi penulisan kreatif negara. Tunas Cipta sendiri memperlihatkan kepada kita betapa ramainya penulis muda mempersembahkan karya mereka dan ada sahaja nama-nama baru yang begitu berbakat mula mempamerkan diri.

Sebagai penulis muda, kita sewajarnya tidak boleh cepat melatah. Tidak dinafikan karya yang kita hasilkan belum tentu lagi dapat mencairkan hati editor untuk menyiarkannya. Oleh yang demikian, janganlah menyimpan harapan yang menggunung agar karya kita disiarkan. Jika tidak disiarkan pula, jangalah cepat berputus asa dan berhenti menulis. Harus juga diingat, kita menulis bukan mengejar nama dan honorarium semata-mata!

Kita juga harus menyedari bahawa sebagai penulis muda, banyak lagi ilmu yang perlu kita pelajari. Menjadi kemestian sebagai penulis muda untuk membaca karya-karya penulis mapan. Apabila karya kita dikritik, janganlah cepat melenting. Sebaliknya perbaiki dan jadikan kritikan yang diberikan sebagai pelajaran yang berguna. Terimalah kritikan yang diberi untuk memperbaiki kelemahan yang ada dan mempertingkatkan kualiti karya kita.

Penulis muda juga perlu mengetahui mengenai etika sebagai penulis. Tidak dinafikan keghairah sebagai penulis itu semakin membuak-buak apabila melihat karya sendiri disiarkan.Walau bagaimanapun, jangan biarkan keghairahan itu menutup rasa malu dalam diri untuk menghormati etika! Nah, Puan Nisah Haji Haron melalui penulisannya dalam Luahan Minda edisi November 2010 yang lalu telah memperingatkan kita untuk menghormati etika.

Peringatan buat diri saya dan juga penulis-penulis muda yang lain agar tidak mudah melatah dalam mengisi hari-hari kehidupan sebagai seorang penulis. Biarlah kita merangkak dari mulanya kerana menjadi penulis yang baik bukanlah semudah yang disangkakan. Menulislah tanpa jemu dan belajarlah dari kesilapan dan teguran yang diberikan. Semoga karya kita memberi manfaat kepada para pembaca. Selamat menulis!

Mohd Haniff Mohammad Yusoff

Universiti Utara Malaysia

Majalah TUNAS CIPTA, Januari 2011

25 JANUARI, 23 TAHUN MENGHIRUP KEHIDUPAN

25 Januari merupakan hari ulangtahun kelahiran saya. Sebenarnya saya berkongsi tarikh yang sama dengan adik saya, Cuma tahun sahaja yang berbeza. Tahun ini, genap usia saya 23 tahun. Rasa seperti tidak percaya sahaja. Bagi saya angka 23 itu sudah mampu untuk menceritakan tentang diri yang semakin matang untuk menempuh kehidupan. Ada apa dengan 23? Bukanlah sekadar angka semata-mata tetapi membuatkan saya termanggu berfikir, apakah yang telah saya lakukan sepanjang 23 tahun bernafas di Bumi Tuhan ini. Macam-macam perasaan yang saya rasakan. Sebenarnya, saya sudah boleh merangka masa hadapan saya secara perlahan-lahan mulai sekarang. Setiap orang ada kemahuan masing-masing dan setiap orang ada caranya yang tersendiri.

25 Januari 2011- Terima kasih kepada mereka yang mengingati hari ulangtahun kelahiran saya. Terima kasih atas ucapan, doa, sambutan, hadiah dan sebagainya. Saya amat menghargainya. Doakan kejayaan saya di dunia dan juga di akhirat.







Kek yang ditaja



Amal Meor, Masliha, Jue dan Mas Hartika meraikan ulangtahun kelahiran saya

Makan malam saya turut ditaja


Antara kad ucapan dan hadiah yang saya terima

terima kasih

Thursday, January 20, 2011

SAYA YANG DILABEL 'BERLAGAK'

Saya tidak tahu apakah agendanya sehingga saya dikatakan sebagai belagak seperti orang lama di laman sembang maya. Ketika itu, benar –benar rasa tersentap jantung ini. Mengapa saya dikatakan begitu??? Bagaimana pula dengan maruah saya, apabila nama saya diprovokasikan begitu di sebuah laman blog yang menjadi tumpuan golongan penulis? Ya, saya masih mentah dalam dunia penulisan ini, tetapi di manakah sikap saya yang didefinisikan sebegitu rupa? Mujur, ada rakan-rakan penulis yang lebih senior dari saya memujuk, dan terima kasih kepada moderator yang juga senior menyahkan tulisan itu dari laman sembang maya tersebut. Itu kisah tahun lalu yang tidak mungkin saya lupakan dalam ingatan saya!