Thursday, December 11, 2014

NIPNIP MENGEMBARA : KE KOREAKAH KITA? #1

Disember sudah hampir ke pertengahan dan sebenarnya banyak lagi catatan tertanguh saya. Terima kasih kepada yang sering singgah di sini. Saya sering memantau statistik pengunjung ke blog ini. Nyata, ada juga yang sudi. Catatan perjalanan dan pengalaman saya ke Korea pada bulan Mei yang lalu masih belum dilunaskan. Kasihan pada mereka yang menanti.

Saya bersama beberapa orang pensyarah dan beberapa orang rakan telah ke Korea pada tanggal 14 Mei 2014 yang lalu. Sebenarnya, Universiti Hankuk di Seoul melalui Jabatan Pengajian Bahasa Melayu-Indonesia menganjurkan persidangan/seminar sempena ulang tahun ke-50 jabatan tersebut. Ketika di dalam kelas Kajian Terjemahan pada awal tahun ini, pensyarah saya ada mempelawa kami untuk ke sana bersama. Saya dan dua orang lagi sahabat berminat untuk ke sana, walau bagaimanapun, kami tidak membentang kertas kerja. Yang membentang ialah tiga orang pensyarah dan dua senior dari kursus pengajian kami di UUM.

13 Mei :Perjalanan saya bermula dari UUM ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim. Penerbangan kami sekitar 9.30 malam ke Kuala Lumpur. Ketika ini saya dalam resah, bimbang juga barang-barang peting tertinggal. Maklumlah, pertama kali ke luar negara. Malam itu juga penerbangan dari Alor Setar tidak berlepas seperti yang dijadualkan. Lebih kurang sejam juga perubahan masa penerbangan dan kira pukul 11 lebih juga kami tiba di KLIA-2. KLIA-2 masih baru beberapa minggu dibuka rasanya ketika itu. Walau bagaimanapun tidaklah perlu bimbang kerana ada sahaja orang yang memegang papan 'ask me' yang bersedia membantu jika kita tersalah jalan mahupun arah.

Malam itu saya bersama seorang pensyarah dan dua lagi sahabat saya melepaskan lelah sebelum menunggu pagi esok di kawasan berhampiran pejabat syarikat penerbangan Air Asia. Kawasan tersebut berkarpet dan dekat dengan tandas. Ramai juga yang bermalam di situ sementara menunggu penerbangan masing-masing. Beg-beg kami dijadikan sepadan 'rumah' kami.

14 Mei : Tidur kami tidaklah begitu lena, tambahan pula di tempat awam sebegitu. Seorang demi seorang mandi dan mempersiapkan diri sementara menanti Subuh tiba. Kemudahan surau juga disediakan di KLIA-2 di tingkat bawah. Usai sahaja Subuh, kami meninggalkan kawasan berkarpet yang menjadi tempat bermalam kami sebelumnya. Kami mencari tempat untuk bersarapan yang sememangnya banyak di situ dan kami memilih untuk bersarapan di sebuah Kopitiam. Saya lupa nama kedainya.

KLIA-2 ni luas juga rupanya. Beberapa minit lagi sebelum pukul 7 pagi, kami bergegas ke balai perlepasan antarabangsa yang terletak di atas. Selepas melalui pemeriksaan kastam pada kali pertama, kami terasa kagum seketika kerana kami memasuki pula sebuah gedung membeli belah yang begitu besar. Kekaguman itu hanya seketika kerana kami perlu bergegas ke bahagian pemeriksaan kastam kedua pula yang sebenarnya memerlukan kami bergerak pantas. Tolonglah percaya bahawa KLIA-2 sangat besar dan janganlah terlambat. 

Ketika melalui pemeriksaan kastam, sememangnya kebimbangan sentiasa ada. Saya ditahan seketika kerana paparan imej menunjukkan di dalam beg saya mempunyai ubat gigi. Saya pun mengeluarkannya tetapi dipulangkan kembali kerana saiznya yang kecil. Ya, harus diingat jika hendak terbang, terdapat had minima untuk cecair. 

Sebaik melangkah masuk ke dalam perut pesawat Air Asia X, saya mengharapkan perjalanan kami dipermudahkan. Mujur saya dan dua orang lagi sahabat saya sudah memesan makanan ketika menempah tiket. Perjalanan yang kira-kira 7-8 jam itu tidak boleh dibiarkan perut kosong. Saya memesan Nasi Lemak Pak Nasir...hahaha.

Saya duduk sebelah orang yang berada di tingkap, jadi sesekali saya mencuri pandang melihat awan. Cuaca begitu baik sekali hari itu. Perjalanan yang jauh membuatkan saya sedikit sakit kepala. Berkali-kali cuba untuk lena dan melihat jam. Nyata, belum sampai ke Korea lagi.

Kami tiba di Lapangan terbang Incheon kira-kira pukul 3.20 petang (waktu Korea). Kami juga diberitahu bahawa suhu ketika itu ialah 21*C. Yeahhh, kami sudah menghirup udara Seoul! Panas dinginya seronoklah! 

Pemeriksaan Kastam di Lapangan Terbang Incheon agak bersistematik dan banyak kaunter pemeriksaan kastam yang dibuka. Jadi tidak perlu mengambil masa yang lama. Seterusnya kami menaiki keretapi untuk mengambil bagasi. Setelah itu barulah kami menjengah keluar dari balai ketibaan dan mendapatkan penganjur yang menunggu kami di sana. 

Tandas di Korea memang tidak mempunyai air, jadi berhati-hati! Jika ke sana, biasakan diri membawa air dalam botol kecil untuk kemudahan. Kami sempat bersolat jamak di tempat-tempat duduk yang disediakan memandangkan penganjur masih menunggu peserta-peserta seminar yang belum sampai, mungkin sepenerbangan juga dengan kami.Kami diberitahu juga bahawa ramai yang sudah tiba di sana sehari sebelumnya lagi. 

Kami dibawa menaiki bas untuk ke President Hotel untuk menghadiri majlis pelancaran. Agak penat juga sebenarnya. Setibanya di tempat berlangsungnya majlis pelancaran, mata saya menangkap beberapa wajah yang saya kenal. Ya, sarjana dan juga penulis!

Nantikan sambungannya bersama gambar-gambar ketika di sana. 
Inilah tempat berkarpet yang saya maksudkan. 

Pagi, baru lepas mandi.

Malam sebelum bertolak ke Korea. 

1 comment: