Thursday, December 18, 2014

NIPNIP MENGEMBARA : KE KOREAKAH KITA? #2

14 Mei 2014 : Setibanya di Hotel President, acara perasmian bakal bermula. Mujur, jamuan turut diadakan memandangkan kami dalam keletihan dan kelaparan. Dari lapangan terbang kami terus di bawa ke situ dengan menaiki bas. Sepanjang perjalanan, kami begitu teruja dengan pemandangan di Seoul. Keadaan muka Bumi di Korea berbukit-bukit, jadi penempatan di sana memang terletak di kawasan yang tinggi. 

Ketika mula melangkah masuk ke dalam dewan yang dikhaskan untuk majlis perasmian, saya ternampak muka-muka yang saya kenali seperti Kak Ummu Hani dan Prof. Dr. Mawar. Selain itu terdapat juga beberapa lagi sarjana dari Malaysia yang hebat-hebat belaka. Kami disambut mesra dan dijamu dengan pelbagai makanan. Makanan yang disajikan seperti salmon, daging bakar dan beberapa pencuci mulut. Saya juga sempat disapa pelajar Universiti Hankuk untuk mencuba makanan tradisi mereka iaitu berupa beras Korea. Manis rasanya. Tersangat manis.

Acara perasmian berlangsung dengan ringkas dan jayanya. Kami dihidangkan juga persembahan oleh pelajar-pelajar Universiti Hankuk. Paling mencuri tumpuan pastinya tarian mereka mengikut lagu 'Manusia Biasa' dendangan penyanyi Indonesia, Yuvie dan Nuno. Oh ya, seminar ini turut disertai sarjana daripada Brunei dan Indonesia selain Malaysia. 

Seusai majlis, kami meminta pertolongan daripada beberapa orang pelajar @ ahli jawatankuasa program untuk membawa kami ke rumah tetamu (guest house) yang telah kami tempah secara atas talian. Memandangkan program seminar ini tidak menyediakan penginapan, maka kami harus mencarinya sendiri. 

Kami menaiki teksi ke rumah tetamu yang telah ditempah dan kami mengalami masalah apabila tiba di Itaewon kerana pemandu teksi tidak tahu lokasi setepatnya Ines Inn, rumah tetamu ang kami tempah. Kami ke sana dengan tiga teksi dan saya menaiki teksi bersama Dr. Rohizah dan Siti Hamira. Saya mengucap panjang apabila teksi mula melalui lorong kecil dan begitu menjunam rasanya. Saya hanya terfikir teksi itu mampu untuk terbalik ke belakang. Betul-betul menakutkan. Dan akhirnya, teksi itu meninggalkan kami di kedai runcit berhampiran. Menurut pelajar yang mengiringi kami, pemandu teksi seolah-olah marah apabila melalui laluan menjunam tadi. Ketika di kedai runcit pula, kami cuba menghubungi yang lain, namun gagal memandangkan kami tidak dapat mengakses internet. Ketika masih berdiri di sisi kedai runcit itu, kami disapa pula seorang lelaki Inggeris dan beliau sudah mengagak kami akan ke Ines Inn. Katanya ramai orang Malaysia yang selalu menginap di situ dan dia membawa kami sehingga kami berdiri betul-betul di hadapan Ines Inn. 

Kami menunggu yang lain yang masih belum tiba jua. Beberapa minit kemudian, kami melihat kelibat mereka dari kejauhan. Rupa-rupanya, nasib mereka juga sama, pemandu teksi meniggalkan mereka begitu sahaja memandangkan mereka tidak tahu di mana Ines Inn dan mungkin faktor jalannya. 

Seterusnya, kami menguruskan perihal rumah penginapan kami pula. Kami menunggu pemilik Ines Inn datang untuk memberi kunci. Keadaan mejadi lebih teratur apabila seoarang pelajarnya memang begitu fasih berbahasa Melayu (Indonesia) memandangkan ayah dan ibunya merupakan orang Korea dan Indonesia. Ines Inn saya kira sangat selesa. Kami diberikan dua bilik di dalam rumah itu. Sebuah bilik yang agak besar yang diberikan kepada kaum perempuan dan sebuah bilik kecil yang diberikan kepada lelaki kerana hanya saya dan Dr. Hisham sahaja lelaki dalam kumpulan kami. Sebuah lagi bilik di dalam rumah itu pula telah dinginapi orang lain. Rumahnya cukup selesa. Ada TV, ada dapur, bilik air yang lengkap dengan air panas dan perkhidmatan internet tanpa wayar yang sangat laju. Selain memberi kunci, Tuan Rumah juga memberi beberapa peringatan. Terutama tentang kebersihan, malah tong sampah sisa makanan tidak boleh bercampur dengan sampah yang lain dan sememangnya begitulah di Korea. Oh ya, plug di Ines Inn hanya ada dua lubang sahaja dan saya kira di Korea memang begitu dan jika hendak ke Korea, bersedialah juga dengan soket yang hanya dua lubang sahaja. 

15 Mei 2014 : Matahari di Korea lebih awal menyapa. Pukul 3 lebih sudah masuk waktu Subuh dan pukul 5 lebih sudah cerah seperti pukul 7 pagi di Semenanjung Malaysia. Pagi itu, kami tidaklah terlalu terkejar memandangkan kebanyakkan delegasi kami membentang pada sebelah petang kecuali Dr. Rohizah dan Kak Norwati. Kami keluar dari rumah kami (Ines Inn) dan menuju ke jalan besar untuk menaiki teksi ke Universiti Hankuk. 

Universiti Hankuk tidaklah sebesar universiti di Malaysia, malah pelajar di sana agak terkejut apabila kami menyatakan bahawa kami perlu menaiki bas untuk menghadiri kelas. Semianr berlangsung agak lewat kerana terdapat sambutan hari guru di dewan. Ya, mereka menyambutnya pada tanggal 15 Mei dan bagi mereka, sesiapa sahaja yang memeberi tunjuk ajar kepada mereka, layak untuk diraikan. Saya juga mendapat bunga daripada seorang daripada mereka yang turut mengiringi kami ke Ines Inn, pada hari sebelumnya. 

Tengah hari itu kami menikmati makanan tengah hari di kafe yang disediakan oleh penganjur. Kalau di Korea, sayur menjadi lauk yang utama. Nasinya seperti pulut tetapi tidaklah seperti pulut di Malaysia. Air yang disediakan ialah air kosong dan kami diberi air ala-ala Vitagen sebotol kecil. Sistem di kafenya begitu menarik perhatian. Sisa makanan yang tidak habis perlu dibuang sendiri oleh pengguna dan tray yang sudah tidak digunakan diletakkan di atas landasan (mesin) yang sedang bergerak yang membawa tray itu sehingga ke dalam dapur kafe tersebut.

Petang itu, kami mengambil keputusan untuk menaiki kereta api di Korea untuk ke Myeondong. Stesennya tidak jauh dari Universiti Hankuk. Susah juga nak faham sistemnya memandangkan semuanya dalam bahasa Korea. Untuk membeli tiket, sistemnya lebih kurang sama dengan sistem LRT di Malaysia yang perlu membeli tiket di mesin yang disediakan. 

Myeondong, pelbagai barang yang boleh didapati di sini. Macam pasar malam pun ada, macam Petaling Street pun ada, tetapi saya terpukau dengan kedai-kedai kasut yang ada. 

Nah, biarlah gambar yang berbicara.























1 comment:

  1. Abang Anip!!!!
    Saya pun ke Hankuk University dulu.
    Hehe, tiba-tiba rasa nak tulis entri pasal ke Korea jugak.
    Tapi kisah lama la.

    ReplyDelete