Thursday, May 27, 2010

BUMI MEMEKIK

Bumi mentafsir manusia kini

berkiblat songsang

tiada darah iman yang mengalir

dek jahil ajaran Muhammad.


Bumi jadi saksi

bayi anugerah tercipta

tiada dosa

jadi mangsa

dibuang merata-rata

tinggal jasad tidak bernyawa

roh kemanusiaan sirna

mati dalam kekalutan dunia.


Bumi memekik memaki manusia

kejamnya manusia, si khalifah di Bumi!

MOHD HANIFF MOHAMMAD YUSOFF

Sintok Kedah.

MINGGUAN MALAYSIA

AHAD, 9 MEI 2010

PENDUSTA MALAM

Kotarayaku

masih bernyawa

biarpun malam menyelimuti Buana.

Di lorong-lorong sepi

tidak pernah lekang dek manusia

menagih wang jijik

melepaskan nafsu serakah

tidak kurang pula

ada insan bergelimpangan

umpama bangkai bernyawa

menjadi hamba dadah durjana.

Di jalan raya lain pula cerita

kesunyian malam dipukul

bingit motosikal

oleh biadap jalanan.

Wajah malam kotarayaku

menakutkan masa depan bangsa

inikah generasi peneraju?

bimbang kemerdekaan tercalar

maruah nusa tergadai.

MOHD HANIFF MOHAMMAD YUSOFF

Sintok Kedah.

HARIAN METRO

SELASA, 13 APRIL 2010

TOKO BUKU CIKGU ABU HASSAN MORAD






Sebagai mukadimah, berada di Universiti Utara Malaysia (UUM) mungkin tidak sama dengan universiti di pusat bandar seperti Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia yakni pasti dekat dan senang untuk menghadiri acara-acara sastera dan bahasa. UUM, jauh dari segala kebingitan kota. Saya sendiri jika melanjutkan pelajaran di salah satu universiti-universiti tersebut, saya ingin sekali pergi ke DBP, KARANGKRAF dan penerbit-penerbit majalah yang lain. Saya juga ingin ke kedai buku yang berlambak di pusat bandar, pasti senang untuk saya mencari dan membeli buku yang diinginkan. Ya, kali ini ingin kongsikan kisah ke kedai buku yang cantik lagi menarik!

Walaubagaimanapun, terdetik di hati saya untuk pergi ke sebuah kedai buku milik cikgu Abu Hassan Morad di Padang Sera. Perasaan saya semakin cemburu apabila membaca catatan Kak Nisah Haron di blognya. Bertambah keinginan ke sana apakala melihat gambar kedai bukunya yang cantik. Rugi rasanya, jika kedudukan saya yang dekat dengannya tetapi tidak pernah ke sana. Itu desus hati saya. Saya pendamkannya.

Suatu hari saya telah keluar bersama sahabat saya. Katanya dia ingin keluar bersama saya dan meminta saya menetapkan tarikhnya. Saya pun tetapkanlah tarikh yang tidak sibuk. Tujuan kami hanyalah untuk keluar makan sahaja.

Dalam perjalanan pulang saya sempat mengajaknya untuk mencari kedudukan kedai buku cikgu Abu Hassan Morad ini. Sebelum ini saya pernah merungut kepada anaknya, Kak Ummu Hani Hassan yang saya teringin ke kedainya. Berkali-kali bertanya kepadanya di mana lokasinya di Facebook kerana saya belum pernah menjumpai kedai buku mereka.

Sahabat saya yang baik hati ini teruskan pemanduan. Saya menoleh ke kiri serta ke kanan mencari di mana tokonya. Semakin ke dalam laluannya, kami pun bertanya pada orang setempat. Kami meneruskan sedikit sahaja lagi perjalanan dan kami menjumpainya. Cukup membahagiakan. Hati saya melonjak kegirangan. Pantas saya hantar mesej pada Kak Ummu mengatakan saya inginkan potongan harga. Walaubagaimanapun, cikgu Abu Hassan dan Kak Ummu tiada. Mereka di Kuala Lumpur ketika itu sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Kami disambut dengan senyuman oleh bonda kak Ummu. Sempat juga bersembang dengan bonda Kak Ummu. Saya pun bertanya kepada bondanya, ‘’mak cik, boleh saya tanya, nama sebenar Kak Ummu, Umi Hani kan? ‘’(wahai mantan MPR 2009, masih ingatkah kalian pada soalan yang kita jawab pada malam itu?) Jawab bonda Kak Ummu, ‘’Ya, itulah namanya dalam kad pengenalan.’’ Kami juga dibawa oleh bonda Kak Ummu bersiar-siar di kawasan luar kedai buku tersebut.



Saya sempat membeli antalogi 12! Insya-Allah, kalau ada rezeki, boleh ke sana lagi.





BENGKEL BERSAMA PUAN NISAH HAJI HARON





Dek kerana saya menjalankan tugas sebagai pengacara majlis dengan baik pada musim yang lalu, saya ditawarkan untuk menjadi ahli jawatankuasa pula untuk program yang sama pada tahun ini. Walau bagaimanapun suasananya agak berbeza kerana ajk yang lain merupakan ajk yang baru.


Saya juga mendapat tahu tarikh program telah diawalkan kira-kira lima hari sebelum bengkel diadakan. Itu tidak menjadi masalah pada saya kerana memasuki bulan Mac, memang tumpuan saya hanya pada program ini. Memang janji saya pada diri. Habis tawaran menjadi pengacara yang saya tolak begitu sahaja. Ada yang menawarkan saya untuk menjadi program yang sama oleh dua orang yang berbeza. Maaf, saya tolak. Gayanya seperti sombong tetapi saya terpaksa kerana saya juga harus kasihankan diri saya. Saya penat. Seperkara lagi, saya agak cerewet jika dipilih sebagai pengacara majlis kerana saya inginkan ajk protokol yang betul-betul bertanggungjawab!


Hari yang dirancang pun tiba. Saya bangun pagi penuh bersemangat untuk berjumpa Kak Nisah Haron. Pagi itu saya sempat berbicara dengan Kak Nisah melalui telefon Kak Zie iaitu Ketua Pengarah Projek untuk beberapa program dan salah satunya bengkel penulisan ini. Kak Nisah inginkan kepastian jadualnya pada hari itu. Kak Nisah, ramah orangnya.

Hari pertama dimulakan pada petang itu dengan bilik yang cukup selesa. Bengkel dijalankan dengan penuh selesa. Kak Nisah tanya pada kami, apa yang ingin kami pelajari. Saya mencadangkan asas penulisan cerpen dn Kak Nisah meneruskan bengkel dengan persetujuan kami semua. Petang itu hujan turun dengan lebatnya di luar setelah sekian lama hujan tidak menimpa Bumi Sintok.


Hari kedua diadakan lebih awal dan perjalanan bengkel perlu diberhentikan lebih awal kerana Kak Nisah perlu bergegas pulang pada petang itu juga kerana ada hal keluarga yang tidak dapat dielakka. Sepatutnya keesokan harinya baru Kak Nisah akan pulang. Hari kedua, bengkel bertambah menarik. Kali ini, Kak Nisah juga menggunakan papan putih untuk mengajar. Banyak ilmu yang kami perolehi. Antara yang saya ingat ialah penulis pegang kepada dua perkara iaitu cerita yang baik dan penceritaan yang baik.


Setelah usai sahaja bengkel, saya sempat bersembang dengan Kak Nisah. Ya, Kak Nisah ramah orangnya dan saya selesa berbual dengannya. Saya juga berkesempatan menghantar Kak Nisah ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim pada petang itu.


~Kak Nisah, terima kasih dan semoga bersua lagi~