Friday, June 4, 2010

MEDIA CETAK MASIH BELUM SERIUS MEMARTABATKAN BAHASA KEBANGSAAN

Oleh; MOHD HANIFF MOHAMMAD YUSOFF

Dewasa ini pelbagai isu bahasa Melayu yang dibangkitkan seperti isu PPSMI yang sudah pun menemui kesimpulan muktamad, isu istilah bahasa Melayu dan bahasa Malaysia serta masalah bahasa rojak yang tidak berkesudahan. Mengikut perlembagaan persekutuan, bahasa Melayu telah diangkat sebagai bahasa kebangsaan negara. Oleh yang demikian, segala urusan rasmi haruslah menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantaraan. Sebaliknya, akta yang terkandung dalam perlembagaan ini tidak pernah menidakkan kepentingan bahasa lain seperti bahasa Inggeris yang diiktiraf sebagai bahasa global. Walaubagaimanapun, bahasa ibunda juga harus dimartabatkan seiring dengan bahasa Inggeris yang senantiasa diagung-agungkan. Sebagai penutur bahasa Melayu, kita sewajarnya berbangga dengan bahasa ibunda kita dan berusaha mengangkasakan bahasa Melayu.

Dalam mengatur strategi memartabatkan bahasa ibunda, media cetak memainkan peranan yang penting. Media cetak yang dimasudkan bolehlah menggolongkan akhbar, majalah, risalah, brosur, poster dan sebagainya yang sealiran. Media cetak juga merupakan salah satu bentuk komunikasi. Komunikasi telah mengalami revolusi dan dalam masa yang sama mencerminkan perkembangan media cetak. Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga, media cetak didefinisikan sebagai saluran komunikasi yang berupa bahan cetakan atau terbitan. Media cetak juga sebenarnya mampu berfungsi sebagai medium memperkasakan bahasa Melayu di tahap yang lebih tinggi.

Media cetak di negara ini dilihat masih belum serius dalam memartabatkan bahasa kebangsaan. Masih terdapat kelompangan yang mungkin tidak disedari yang mampu menggugat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Masih banyak ruang yang harus diperbaiki oleh media cetak untuk memartabatkan bahasa Melayu. Media cetak masih terus-menerus menerus mempraktikkan bahasa bahasa Melayu yang salah dari segi hukum tatabahasanya. Hukum tatabahasa tidak dipedulikan, asalkan ayatnya mampu untuk menyampaikan apa yang ingin disampaikan. Mentaliti seperti ini harus dielakkan kerana mampu mencemarkan keindahan bahasa Melayu yang sememangnya cukup indah jika hukum tatabahasa tidak dipedulikan. Umpamanya, penggunaan kata sendi ‘di’ dan ‘ke’ harus diberi perhatian. Hal ini kerana, penggunaan kata sendi ini perlu disesuaikan dengan situasi dan keadaan. Begitu juga dengan struktur ayat yang dibina. Dek kerana mengabaikan hukum tatabahasa, struktur ayat yang dibina juga salah. Adakalanya, media cetak memandangnya sebagai perkara remeh kerana menganggap struktur ayat yang dibina lebih menarik dan mampu menarik perhatian masyarakat awam yang membacanya. Realitinya, media cetak tidak peka dengan hukum tatabahasa dan struktur ayat yang dibina. Sikap sambil lewa pengamal media seperti ini harus dimansuhkan.

Media cetak masih menghidangkan menu bahasa rojak kepada masyarakat umum. Ini boleh dibuktikan melalui poster-poster yang dihasilkan dan ditampal. Bahasa Melayu dicampuradukkan dengan bahasa asing secara berleluasa. Tiada rasa bersalah yang dirasai kerana telah menjadi rutin seharian kita dan bahasa rojak ini terus diamalkan. Poster-poster yang dihasilkan banyak mengaplikasikan bahasa rojak iaitu pertembungan dua bahasa yang berbeza dan disatukan bersama. Kononnya, bahasa rojak lebih mudah untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat. Cetusan idea seperti ini harus dipandang serius oleh kita sebagai pengamal bahasa Melayu. Kita melihat bahasa rojak lebih dekat dengan kita kerana kita sendiri sering mempraktikkan bahasa rojak. Bahasa Melayu juga mengalami revolusi dan menerima beberapa perkataan dari bahasa Inggeris seperti globalisasi. Penerimaan bahasa inggeris ke dalam bahasa Melayu menunjukkan perkembangan positif bahasa Melayu. Namun, bahasa rojak sama sekali tidak diterima dalam bahasa Melayu, malah mencemarkan bahasa Melayu. Bahasa rojak sebenarnya merosakkan bahasa Melayu telah lama membina tamadunnya sendiri. Menjadi kebanggaan apabila bahasa Melayu merupakan antara kelompok bahasa yang mempunyai penutur paling ramai di dunia.

Media cetak juga lebih mengutamakan bahasa asing berbanding mendaulatkan bahasa ibunda sendiri. Bahasa asing menjadi pilihan untuk digunakan dalam promosi di papan iklan, poster dan sebagainya. Moleklah sekiranya kita menggunakan bahasa Melayu berbanding bahasa asing. Secara tidak langsung dapat memartabatkan bahasa kebangsaan. Penggunaan bahasa Melayu harus diperluaskan di tempat-tempat awam. Tuntasnya, dapat memupuk rasa cinta akan bahasa Melayu. Mendokong matlamat ini, semua pengamal media cetak harus lebih bertanggungjawab dalam usaha memartabatkan bahasa ibunda. Kikiskan keegoaan dan mentaliti yang kolot dalam usaha memperluaskan penggunaan bahasa Melayu.

Dalam masa yang sama, masih terdapat media cetak yang bertungkus lumus berusaha memartabatkan bahasa Melayu. Umpamanya, Dewan Bahasa dan Pustaka menerbitkan beberapa majalah serta risalah yang menggunakan bahasa Melayu yang betul dan ini secara tidak langsung mengetengahkan penggunaan bahasa Melayu yang betul kepada masayarakat. Akhbar arus perdana seperti Berita Harian, Berita Minggu dan Minggua Malaysia mengambil inisiatif dengan mewujudkan ruangan sastera Melayu. Usaha seperti ini mampu memberi nafas kepada bahasa Melayu untuk terus bernyawa. Hakikatnya, pelbagai lagi usaha boleh dilakukan oleh pengamal media cetak untuk terus memacu bahasa Melayu di peringkat yang lebih tinggi.

Rasionalnya, terdapat usaha-usaha media cetak dalam memperkasakan bahasa Melayu namun belum menyeluruh. Selain itu, masih terdapat beberapa pihak dan individu yang masih buta terhadap tanggungjawab untuk memartabatkan bahasa kebangsaan. Media cetak khususnya, perlu lebih serius dalam memartabatkan bahasa Melayu kerana media cetak mempunyai pengaruh yang kuat dan mampu untuk mempengaruhi masyarakat mendaulatkan bahasa Melayu. Setiap warganegara perlu mempunyai rasa cinta yang tinggi terhadap bahasa kebangsaan kita. Siapa lagi yang harus mengagungkan bahasa kebangsaan kalau bukan kita sebagai penuturnya. Bahasa jiwa bangsa dan bahasa mencerminkan bangsa!

BAHASA DIJANA, BANGSA DI MERCU!

2 comments:

  1. Salam ABg Anip,

    Pada saya isu bahasa rojak tidak perlu dirisaukan sangat kerana sekarang pun kita sebagai rakyat MAlaysia terutamanya orang0orang Melayu tidak dapat mengelak daripada bahasa rojak yang bercampur dengan dialek tipa-tiap negeri.Isu PPSMI patut dipandang serius kerana PPSMI dapat menguncup bahasa kebangsaan kita.

    ReplyDelete
  2. Salam saudara Iskandar Zulkarnain...
    Muka kamu seperti junior saya yang bernama Muiz...

    Ya, bahasa rojak telah menjadi kebiasaan kita. Memang benar jika kita singkap, kita sememangnya kaya dengan loghat negeri masing-masing dan loghat ini sebenarnya juga merupakan identiti masyarakat setempat. Walaubagaimanapun perhatian serius harus diberikan kepada percampuran bahasa Melayu dengan bahasa asing. Catatan abg Anip juga menjurus kepada media cetak yang sewajarnya lebih mendaulatkan bahasa kebangsaan.

    ReplyDelete