Sunday, November 29, 2009

RENUNG

Apabila renung sejarah semalam,
ada keringat
ada ketabahan
ada perjuangan
ada pengorbanan
bersama-sama jarum semangat kental
menyulam kemerdekaan !

MOHD HANIFF MOHAMMAD YUSOFF
UNIVERSITI UTARA MALAYSIA

*DEWAN SISWA NOVEMBER 2009
-HAK CIPTA TERPELIHARA-

Friday, November 27, 2009

DEWAN SISWA DAN TUNAS CIPTA EDISI NOVEMBER 2009



-TUNAS CIPTA NOV. 2009
Hasil penulisan saya berbentuk pendapat mengenai isu utama dalam Tunas Cipta Jun 2009 telah dipilih untuk disiarkan dalam majalah Tunas Cipta November 2009 bersama-sama dengan surat saudari Jamilah Mohd Norddin (mantan MPR 2007)dan surat daripada Mohd Fadhli Hamzah yang merupakan sahabat saya.

-DEWAN SISWA NOV. 2009
Kali terakhir puisi saya disiarkan dalam Dewan Siswa ialah edisi Ogos 2008 yang lalu melalui puisi 'Apabila Tewasnya Iman'. Dewan Siswa November 2009 telah menyiarkan puisi pendek saya sekali lagi yang bertajuk 'Renung'.

UPAYA BAHASA MELAYU SELEPAS PEMANSUHAN PPSMI

Upaya Bahasa Melayu selepas pemansuhan PPSMI (Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Ingggeris) masih boleh dipertikaikan. Kita masih belum benar-benar mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. DBP telah melaksanakan tugas mereka dengan baik, malah mereka juga menegur penggunaan istilah yang salah. Bahasa rojak masih menjadi menu kita dalam urusan rasmi. Contohnya 'RAKAN COP'. Bukankah ianya merupakan pertembungan dua bahasa? Cukup menyedihkan apabila kita sebagai penuturnya membutakan mata. Begitu juga dengan penggunaan istilah BAJET. DBP telah menegur bahawa istilah BELANJAWAN paling tepat! Siapakah yg harus dipersalahkan?
Mengapa kita tidak menghormati peranan DBP? Bukan itu sahaja, DBP dipersalahkan pula kerana tidak menjalankan tugasnya. Harap kita lebih peka terhadap bahasa kita, jangan mudah menunding jari !

'BAHASA DIJANA, BANGSA DI MERCU'

DBP BOLEH DENDA- BERITA HARIAN -19 OKTOBER 2009



Tajuk ini menjadi tajuk muka hadapan akhbar Berita Harian tanggal 19 Oktober 2009 yang lalu. Tulisan berita ini mengupas bahawa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mempunyai hak untuk mengambil tindakan kepada pihak awam yang tidak menggunakan bahasa Melayu dalam urusan mereka.

Saya melihat bahawa, akta ini mampu untuk memartabatkan bahasa Melayu. Selama ini DBP hanya boleh memberi nasihat sahaja. Nasihat yang diberikan mungkin tidak diendahkan langsung oleh sesetengah pihak. Bagai mencurah air ke daun keladi. DBP telah menjalankan tugas mereka untuk menegur dan menasihat pihak-pihak tertentu yang menyalahgunakan bahasa Melayu. Sudah memang menjadi tugas dan tanggungjawab DBP untuk berbuat demikian. Malangnya, suara mereka tidak dipeduli. Apabila nasihat DBP tidak diendahkan, DBP pula dipersalahkan dengan kenyataan sinis bahawa DBP tidak menjalankan tugas. Orang ramai tidak nampak usaha yang dilakukan DBP. Hanya pandai beromongan kosong tanpa bukti yang kukuh.

Bahasa Melayu tidak akan diperlekehkan lagi setelah wujudnya akta ini. Semoga orang ramai lebih peka terhadap perkembangan bahasa Melayu dan tidak sewenang-wenangnya menuding jari dan menyatakan kesalahan DBP jika tidak pernah tahu usaha-usaha yang pernah dilakukan oleh DBP dalam memartabatkan bahasa Melayu.

BAHASA JIWA BANGSA !

SALAM AIDILADHA

Salam Aidiladha diucapkan. Semoga ibadah korban yang dilakukan diterima oleh Allah S.W.T. Aidiladha membuatkan kita teringat akan sejarah silam yang pasti akan terus segar dalam minda kita. Ceritera pengorbanan Nabi Ibrahim a.s yang ingin menyembelih anaknya, Nabi Ismail a.s. Nabi Ibrahim telah didatangi mimpi untuk menyembelih anaknya. Nabi Ibrahim menurut sahaja mimipi itu kerana tidak mahu mengingkari perintah Allah itu. Nabi Ismail juga merelakannya. Namun, Allah telah menukar Nabi Ismail dengan kibas dan Nabi Ibrahim diperintahkan untuk menyembelihnya. Allah hanya menguji keimanan Nabi Ibrahim. Sungguh teguh keimanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Sesungguhnya pengorbanan itu mempunyai skop makna yang cukup luas.

Monday, November 23, 2009

ERTI PERTEMUAN



ERTI PERTEMUAN

Tercipta sudah sejarah
Kisah permulaan kehidupan manusia
Ceritera Adam dan Hawa
Ditemukan di Syurga
Oleh Yang Maha Esa

Terjalin ikatan dua jiwa
Lumrah berpasangan
Naluri insan sejati

Setelah ingkar arahan Tuhan
Adam dan Hawa dicampakkan ke dunia
Dalam gelita tanpa tujuan
Mencari-cari di mana pedoman

Bermunajat Adam mengemis simpati
Mengharapkan keampunan Ilahi
Adam dan Hawa ditemukan kembali
Bermulanya kehidupan di Bumi

Kasih Adam dan Hawa bertaut kembali
Tersirat hikmah disebalik pertemuan
Lumrah kejadian saling memerlukan
Fitrah hidup berpasangan

-HAK CIPTA TERPELIHARA-
MOHD HANIFF MOHAMMAD YUSOFF

*NOTA; SEGALA UNSUR PLAGIAT ADALAH DILARANG !

Sunday, November 22, 2009

TANDATANGAN PUAN NISAH HAJI HARON


Kumpulan cerpen 'Impian Tsu-Ryi'

Sempena seminar penulisan novel Tarikan Penamu, saya sempat membeli sebuah buku kumpulan cerpen remaja tulisan Puan Nisah Haji Haron yang bertajuk 'Impian Tsu-Ryi'
Kumpulan cerpen ini memuatkan 15 cerpen termasuk cerpen popular beliau 'Annyss Sophlea'
Saya sempat mengambil tandatangan dari Puan Nisah. Pada tandatangan tersebut, Puan Nisah ada menulis 'Haniff, terus menulis !' Kata-kata itu menjadi perangsang kepada saya untuk terus menulis tanpa jemu. Terima kasih, Puan Nisah Haji Haron. Insya-Allah, kalau ada rezeki, kita jumpa lagi !




Majalah Dewan Siswa Oktober 2009

SEMINAR PENULISAN NOVEL TARIKAN PENAMU UUM/GPMS caw.UUM/DBP


Ingin saya kongsikan di sini sebuah pengalaman yang amat menarik yang pernah saya alami berkaitan SEMINAR PENULISAN NOVEL TARIKAN PENAMU anjuran UNIVERSITI UTARA MALAYSIA (UUM), GABUNGAN PELAJAR MELAYU SEMENANJUNG (GPMS) cawangan UUM dan DBP WILAYAH UTARA.

Pada asalnya, saya tidak tahu-menahu langsung berkaitan seminar atau program ini, sehinggalah seorang sahabat saya menanyakan kepada saya sama ada saya mahu atau tidak menjadi MC untuk sebuah program berkaitan penulisan novel. Terus saya menyatakan persetujuan. Waktu itu, hanya dua perkara sahaja yang terlinta di fikiran saya iaitu,pertama ianya merupakan peluang kepada saya sebagai MC. Minat yang ada harus dikembangkan. Kedua, ianya berkaitan novel, pastinya banyak ilmu yang dapat saya pelajari.

Saya telah mendapat panggilan telefon daripada pengarah projek iaitu Kak Fadzilah meminta kepastian daripada saya. Saya menyatakan minat namun tidak berjanji sepenuhnya, bimbang tarikh yang diberikan bertembung dengan tarikh-tarikh yang penting.

Menghampiri tarikh program, saya menyatakan kepastian untuk menjadi MC pada hari itu.
Kak Farah selaku AJK Protokol, telah menyiapkan teks untuk saya. Kak Farah cukup baik terhadap saya.

Malam sehari sebelum program, usai sahaja kelas malam, kak Farah dan beberapa lagi AJK menjemput saya ke tempat akan belangsungnya program untuk acara raptai.
Terus-terang saya katakan di sini bahawa saya tidak mengenali seorang pun daripada mereka. Mereka semua ialah senior daripada saya. Mereka menyatakan saya sebagai pengerusi majlis yang bagus cuma perlu diperbaiki untuk lebih mantap pada hari sebenarnya.

Esoknya, saya segak berbaju Melayu biru. Saya juga dilayan sebagai VVIP oleh semua AJK program. Terima kasih pada abang-abang dan kakak-kakak yang melayan saya dengan baik.

Saya juga terasa teruja sangat kerana penceramah pada hari itu ialah Puan Nisah Haji Haron dan Pak Azizi. Pelbagai ilmu yang telah dicurahkan oleh mereka berdua. Banyak yang telah saya pelajari daripada mereka. Saya juga tidak melepaskan peluang menanya soalan pada Puan Nisah. Saya juga amat terkejut kerana Puan Nisah menyatakan bahawa dia pernah membaca tulisan saya dalam majalah.

Saya berkesempatan menjamu selera tengah hari dengan Pak Azizi dan Puan Nisah Haji Haron. Banyak yang kami bualkan. Saya juga merisik mengenai MPR 2009, kalau-kalau Puan Nisah merupakan salah seorang tenaga pengajar kali ini. Puan Nisah kata, masih belum ada apa-apa lagi. Puan Nisah juga menyatakan sertailah apa jua seminar atau bengkel yang ada. Timba ilmu yang ada.

Saya juga sempat bergambar dengan Puan Nisah, membeli buku kumpulan cerpen beliau dan mendapatkan tandatangan daripada beliau.

Hari itu cukup bermakna bagi saya. Terima kasih kepada abang-abang dan kakak-kakak yang melayan saya dengan baik. Terima kasih atas peluang yang diberikan.

JANJI MIFTAHUL RAUDHAH


Saya sudah lama mengenali penulis muda ini melalui tulisannya di majalah-majalah. Puisi-puisinya sering kali mendapat komen positif dari abang Faisal Tehrani dalam Dewan Siswa. Perasaan ingin berkenalan dengan insan ini kian menebal dalam diri saya. Saya berusaha mencari laman sosialnya di internet. Alhamdulillah, kini saya telah berhubung dengannya melalui internet.

Saya juga menyimpan hasrat untuk memiliki novel pertama beliau yang bertajuk 'Janji Miftahul Raudhah' Puas saya mencari di pekan Alor Setar tapi tidak jumpa.
Memang hampa.

Tapi kehampaan itu terubat juga apabila saya menemui novel ini di salah sebuah gerai di tapak ekspo konvo UUM. Terus saya beli tanpa banyak bicara. Sekarang, saya sudah memiliki novelnya dan penulis novel ini yang lebih gemar disapa sebagai eja minta komen dari saya terhadap novelnya.

-Nanti saya komen novel kak eja ni ya....-
=)

EKSPO PENUTUPAN KONVO UUM


Salam Satu Malaysia ! Setelah sekian lama tidak mencoretkan kisah di sini, rindu untuk menulis di blog dan berkongsi pengalaman membuak-buka di dada. Setelah usai peperiksaan akhir semester, dapatlah saya sedikit ruang untuk menulis di sini. Catatan kali ini berkisar Ekspo Penutupan Konvo UUM. Malam itu saya dikehendaki menghadiri Ekspo Penutupan Konvo kerana terlibat dengan integrasi pada malam itu yang menyumbang sebanyak 15 % untuk markah aktiviti kokurikulum saya. Malam itu merupakan malam kemuncak dan terdapat persembahan oleh artis-artis popular yang dibawa oleh pihak majalah MEDIA HIBURAN dari KARANGKRAF. Setelah mengambil kehadiran, saya dan beberapa orang teman melawat ke gerai-gerai yang dibuka. Saya juga tidak melepas peluang menaiki buaian pusing. Huh..tingginya. Tiba-tiba terasa gayat apabila buaian berhenti betul-betul di tahap yang tertinggi.

Saya juga sempat membeli burger ikan pada malam itu. Selalunya kita hanya pernah merasai burger ayam dan daging sahaja. Saya pun mencubanya beberapa orang teman yang lain. Dagingnya lebih lembut dan enak. Satu pengalaman yang baru.

Tatkala sedang asyik menjamah burger ikan, saya mendengar suara pengacara pentas persis seorang personaliti yang amat saya kagumi. Ya...tidak silap lagi. Dialah orangnya. Abang Muaz, dj radio Muzik FM. Saya betul-betul meminati suara dan gaya pengacaraannya. Dia juga merupakan pengacara di RTM. Tidak sangka pula dia mengemudi acara persembahan artis pada malam itu. Esoknya, saya terus memberitahunya di Facebook bahawa saya juga ada pada malam itu. Dia menghantar komentar di facebook saya bahawa tidak tahu pula saya merupakan penuntut UUM. Kalau tidak tentu dapat berjumpa. Baiknya abang Muaz nie.

Pada malam itu juga, saya mengajak kawan saya Hazlinda ke gerai majalah Karangkraf. Mungkin ada majalah yang boleh saya beli untuk di bawa pulang. Mereka memberikan diskaun untuk membeli majalah di situ. Saya pun membelinya. Dengan hanya RM 5, kami diberi 5 majalah yang berlainan dan salah satunya merupakan majalah MEDIA HIBURAN edisi minggu itu. Saya dan Hazlinda disuruh untuk bergambar dengan majalah MEDIA HIBURAN. Saya pun posing habis dan gambar kami telah disiarkan dalam MEDIA HIBURAN, 2 minggu selepas itu (cover pelakon-pelakon NUR KASIH). Huhu...mungkin melihat saya yang begitu aktif bertanya persis seorang wartawan dan tidak jemu-jemu bertanya mengenai karangkraf, seorang wartawan MEDIA HIBURAN, abang Sudyrman terus memberi kad nama karangkrafnya. Seronok sangat apabila dapat bersembang dengan para wartawan di situ.

Pengunjung ekspo pada malam itu semakin ramai membanjari dataran melihat persembahan artis. Tambah-tambah lagi apabila, Nur Shahila Amir Hamzah atau Shila OIAM tampil ke pentas dengan persembahan penuh tenaga menerusi lagu MEMORI TERCIPTA dan ADA-ADA SAJA. Artis lain yang turut menjayakan persembahan pada malam itu ialah HAIZA, CHAQ MENTOR, RIZ dan FAZLI ZALNAL

Seperkara lagi, malam itu saya telah membeli novel yang saya cari-cari selama ini iaitu 'JANJI MIFTAHUL RAUDHAH', hasil tulisan Sayidah Mu'izzah Kamarul Shukri. Alhamdulillah.

-Harap ekspo konvo UUM akan datang lebih meriah-
=)

Saturday, November 21, 2009

APABILA TEWASNYA IMAN

APABILA TEWASNYA IMAN
(Dewan Siswa Ogos 2008)

Nafsu keserakahan
merobek iman di dada
meranapkan benteng utama
akhirnya tersungkur di lembah hina
lenyapnya peradaban seorang manusia

HAK CIPTA TERPELIHARA
MOHD HANIFF MOHAMMAD YUSOFF

SEINDAH MENTARI SENJA

SEINDAH MENTARI SENJA

Hembusan bayu penuh syahdu
menyentuh sanubariku
tika mentari senja melambai harapan
aku mentafsir hari mendatang.

Diriku bagaikan terdampar di tepian pantai
setelah dibawa arus tanpa haluan
lemas mindaku mengenangkan diri
yang masih jauh untuk menghampiri Syurga-Mu.

Perjalanan yang akan ternoktah ini
membuatkan aku bangkit dari mimpi
memburu cahaya Ilahi
agar kumenemui silau hala yang diredhai.
Akan kukutip sisa-sisa pelayaranku
sebagai pengajaran terbaik
sebagai pelajaran yang beerti
melawan nafsu yang rakus.

Gelora keinsafan yang menghempas jiwa
memecahkan buih-buih kejahilan
dalam kesepian senja
kudamba keampunan-Mu
moga hidupku seindah mentari senja.