Friday, June 17, 2011

AKU BUKAN PELAJAR SASTERA!

Aku bukanlah pelajar sastera! Ramai yang suka mengaitkan mereka yang suka menulis mempunyai hubung kait dengan subjek kesusasteraan. Sewaktu di tingkatan empat dan lima, aku merupakan pelajar aliran sains tulen, jauh sekali untuk menelaah Kesusasteraan Melayu. Tambahan pula aku tiada mentor yang boleh membimbing aku. Pernah aku membilik buku rujukan kesusasteraan di kedai dan aku rasakan agak sukar untuk aku menghadapinya jika tiada asas dan tiada mentor di sisi. Ketika di peringkat tingkatan enam atau pra-universiti, aku juga tidak mengambil subjek kesusasteraan Melayu. Memikirkan asas yang tiada, aku lupakan untuk menambah subjek itu sebagai subjek tambahan. Lagipun, memang tiada pakej itu di sekolah aku. Melanjutkan pelajaran pada peringkat Ijazah Sarjana Muda di universiti juga menjauhkan aku dengan ilmu kesusasteraan. Walau bagaimanapun, jika diberi peluang, aku ingin menyambung pelajaran pada peringkat sarjana dalam bidang bahasa Melayu atau Kesusasteraan Melayu. Untungnya jika seseorang penulis itu mempunyai ilmu kesusasteraan. Dapatlah mereka mengaplikasikannya dalam penulisan mereka dan jika menulis mengenai kritikan sastera, pasti kritikan mereka tampak hidup!



Monday, June 13, 2011

BUNGA BANGSA

BUNGA BANGSA

Embun harapan menitis

menunaskan bunga bangsa

yang indah

kelopak pekertinya

yang subur

pemikirannya.

Kembanglah bunga bangsaku

berbakti pada nusa

berjasa pada agama

harummu akan dipuja

sepanjang masa

biarpun kelopakmu

kian sirna dimamah usia.

MOHD HANIFF MOHAMMAD YUSOFF

Jendela Utara April 2011

~HAK CIPTA TERPELIHARA~

Friday, June 10, 2011

KEMALANGAN

Berdasarkan tarikh catatan ini, sebulan yang lalu aku kemalangan di universiti. Fobia atau trauma itu masih ada saat aku teringat kembali akan kejadian. Entah mengapa petang itu, hati gundah gulana tapi aku biarkan sahaja. Aku pujuk hati agar tidak sebegitu. Rencana Tuhan siapa yang tahu, kita sendiri hanya mampu merancang. Petang itu aku kemalangan motosikal. Benar-benar menyentap rasa hatiku. Saat itu, aku rasakan aku menghampiri mati. Mati menjemput tanpa pernah kita ketahui bila. Malam itu aku mengadu pada Tuhan yang aku sedar aku telah jauh darinya. Sakit yang kutanggung menginsafkanku. Tidak ramai yang mengetahui aku kemalangan. Kata kawan aku, perwatakkan aku yang ceria menutup kesakitan yang aku tanggung sehingga ramai yang tidak menyedarinya. Sakit rasanya…manakan tidak, bahuku terseret di tengah jalan dan sehingga koyak bajuku. Sebulan sudah berlalu, ingatan Tuhan itu akan aku ingat sampai bila-bila. Kawan-kawan, hati-hati ya di jalan raya!

Friday, June 3, 2011

KEMBAR


Seronok ke ada kembar? Bagaimana ya kehidupan berkembar? Kalau bicara mengenai kembar, apa yang terlintas di fikiran kita adalah mempunyai wajah yang seiras. Bagaimana dengan perasaan mereka? Sama ke? Seronok jugakan kalau ada kembar ni, sekurang-kurangnya kita ada tempat untuk mengadu dan berkongsi masalah. Aku tiada kembar, tapi ada sahabat yang aku gelarkan kembar. Baik orangnya. Kalau ada masalah kami akan kongsi bersama. Terima kasih kembar! Dalam dunia ni, pandai-pandailah cari kawan ya!


Thursday, June 2, 2011

SELAMAT TINGGAL UUM

Sedih rasanya melangkah pergi meninggalkan ujana ilmu ini. Sayup rasanya hati apabila melihat kembali kenangan-kenangan yang tercipta. Segalanya bermula pada tahun 2008, apabila aku mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Utara Malaysia @ UUM dalam bidang pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa. Panjang sungguh nama kos aku ni. Dalam masa yang sama, aku ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang pengajian Ijazah Sarjana Muda Penulisan Kreatif di ASWARA dan aku mengambil keputusan untuk memilih UUM yang lebih dekat. Tiga tahun menjaring ilmu di situ membuatkan aku rasa belum bersedia untuk meninggalkan segala-galanya yang aku temui di sana. Saat hari terakhir aku menghayunkan langkah, aku mengalirkan air mata dan air mata itu bukti cintaku. Selamat tinggal kawan-kawan, semoga bersua lagi!