Aku bukanlah pelajar sastera! Ramai yang suka mengaitkan mereka yang suka menulis mempunyai hubung kait dengan subjek kesusasteraan. Sewaktu di tingkatan empat dan lima, aku merupakan pelajar aliran sains tulen, jauh sekali untuk menelaah Kesusasteraan Melayu. Tambahan pula aku tiada mentor yang boleh membimbing aku. Pernah aku membilik buku rujukan kesusasteraan di kedai dan aku rasakan agak sukar untuk aku menghadapinya jika tiada asas dan tiada mentor di sisi. Ketika di peringkat tingkatan enam atau pra-universiti, aku juga tidak mengambil subjek kesusasteraan Melayu. Memikirkan asas yang tiada, aku lupakan untuk menambah subjek itu sebagai subjek tambahan. Lagipun, memang tiada pakej itu di sekolah aku. Melanjutkan pelajaran pada peringkat Ijazah Sarjana Muda di universiti juga menjauhkan aku dengan ilmu kesusasteraan. Walau bagaimanapun, jika diberi peluang, aku ingin menyambung pelajaran pada peringkat sarjana dalam bidang bahasa Melayu atau Kesusasteraan Melayu. Untungnya jika seseorang penulis itu mempunyai ilmu kesusasteraan. Dapatlah mereka mengaplikasikannya dalam penulisan mereka dan jika menulis mengenai kritikan sastera, pasti kritikan mereka tampak hidup!
No comments:
Post a Comment