Thursday, August 4, 2011

TEMPE MALAYA : SATU PERMULAAN

Membaca cerpen adik-beradik Minggu Penulis Remaja 2009 khasnya di akhbar mingguan membuatkan saya benar-benar cemburu. Tahun ini saya rasa tamparannya hebat sekali. Bermula dengan Januari 2011, berderetan cerpen alumni MPR 2006 iaitu cerpen milik kak Ainunl Muaiyanah, abang Fairuz dan abang Zulfazlan disiarkan di akhbar. Seorang lagi yang saya kira cukup aktif tahun ini ialah abang Aidil Khalid (alumni MPR 2007-merangkap penghulu). Hebat betul mereka!

Tamparan bertambah terasa tentulah apabila membaca nama-nama yang cukup saya akrab semasa di MPR 2009 yang lalu. Tahun ini cerpen Siti Munirah, Amirul Hamudin, Nurul Farehah dan A. Muziru Idham sudah disiarkan di akhbar mingguan. Saya cuba menulis cerpen setelah asyik mengarang puisi dan cerpen ketiga saya ini disiarkan di Berita Minggu pada 31 Julai 2011 yang lalu. Alhamdulillah, ada juga karya yang disiarkan pada bulan Julai. Terdapat dua lagi cerpen dalam simpanan yang akan saya edit lagi untuk dihantar ke media. [Susah-memang susah untuk menulis cerpen sebenarnya].

Berbalik pada cerpen saya, ‘Tempe Malaya’, saya bukanlah menghidangkan tempe semata-mata. Idea menulis cerpen ini saya perolehi ketika perkataan ‘mantan’ dijadikan isu. Saya sedar banyak lagi yang perlu saya pelajari. Saya akui menulis itu bukanlah perkara yang mudah! Terima kasih kepada mereka yang telah membacanya. Terima kasih atas segala dorongan yang diberikan dan ‘Tempe Malaya’ adalah satu permulaan.



1 comment: