DI SOFA KATA: CAKNA ANAK MUDA DALAM USAHA MELESTARIKAN
BAHASA DAN SASTERA MELAYU
Oleh:
Mohd Haniff Mohammad Yusoff
JUDUL: DI SOFA KATA
NO ISBN: 978-967-430-306-8
PENULIS: NUR FATIHA FADILA
JENIS: KUMPULAN ESEI BAHASA DAN
SASTERA
TERBITAN: INSTITUT TERJEMAHAN DAN
BUKU MALAYSIA (ITBM)
MUKA SURAT: 225
HARGA: SM RM25 / SS RM30
NO RESIT: ITBM02000873
NASKHAH
tulisan Nur Fatiha Fadila ini merupakan himpunan rencana tulisan beliau yang
pernah disiarkan dalam majalah-majalah tempatan dan dibahagikan kepada dua
bahagian. Bahagian pertama diberi judul ‘Wacana
Bahasa Melayu’ dan bahagian kedua diberi judul ‘Esei dan Kritikan Sastera’. Penulis muda ini begitu cakna
memerihalkan isu bahasa dan sastera Melayu dalam tulisan-tulisannya. Mengangkat
bahasa ibunda dan sastera Melayu dalam penulisannya merupakan usaha murni dalam
mendidik serta menyedarkan para pembaca akan keunggulan bahasa ibunda dan betapa
signifikannya memelihara sastera Melayu.
Bahasa Melayu mempunyai susur galur
perkembangannya yang tersendiri, malah perkembangannya juga turut dikaitkan
dengan agama Islam. Nur Fatiha Fadila tidak terlepas daripada mengisahkan
sejarah bahasa Melayu melalui eseinya yang berjudul ‘Bahasa dan Bangsa Melayu: Satu Penelitian Sejarah’.
Nur Fatiha Fadila merupakan penuntut
program sarjana Kesusasteraan Melayu di Universiti Putra Malaysia memerihalkan
keupayaan bahasa Melayu yang tidak boleh dipandang enteng. Sebagai warga yang
menutur bahasa Melayu, kita sewajarnya menaruh rasa percaya dan bangga akan
bahasa Melayu. Menerusi esei yang berjudul ‘Bahasa
Tunjang Ketamadunan Negara dan Bangsa’, penulis menerangkan bahasa Melayu
melalui zaman kegemilangannya ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka dan melalui
zaman cabaran ketika zaman penjajahan. Walau bagaimanapun, keperihatinan para
pemimpin dalam membentuk dasar selepas mencapai kemerdekaan memberikan
kehidupan semula kepada bahasa Melayu seperti kewujudan Dasar Pendidikan
Negara. Selain itu, ketamadunan negara dan bangsa dilangsungkan dengan usaha
memperkasakan bahasa Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Sesebuah
tamadun memerlukan bahasa sebagai imejan kepada peradaban dan negaranya.
Begitulah juga dengan Malaysia. Walaupun diduduki oleh rakyat pelbagai kaum dan
etnik dengan bangsa Melayu, Cina dan India sebagai kelompok terbesar, Malaysia
tetap memerlukan satu bahasa sebagai identiti negara dan tamadunnya.” (halaman
25-26)
Penulis
masih menekankan tentang kewibawaan bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda dalam esei
yang berjudul ‘Bahasa Tempatan Citra
Jenama Tempatan’. Secara jujur penulis mengkritik sikap masyarakat kita
yang tidak berbangga menggunakan bahasa Melayu sebagai label atau jenama
sesuatu produk. Penulis turut membandingkan sikap rakyat di negara ini dengan
rakyat negara lain seperti masyarakat Korea yang begitu berbangga dengan produk
atau jenama keluaran mereka.
Isu
bahasa dalam sektor pendidikan di Malaysia turut diberi perhatian oleh penulis.
Kebelakangan ini, pelbagai isu yang diperdebatkan membabitkan bahasa dalam bidang
pendidikan negara. Esei ‘Pengajaran dan
Pembelajaran Bahasa Melayu di Malaysia’ membawa pembaca menyoroti
pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu dalam sistem pendidikan di Malaysia
dari peringkat prasekolah sehingga ke peringkat institusi pengajian tinggi. Tulisan
yang diberi judul ‘Peranan Guru dalam
Pelestarian Bahasa Melayu’ ada menyatakan bahawa peranan guru bukan sekadar
memperkenalkan para pelajar dengan ilmu linguistik semata-mata tetapi harus
juga memberi pendedahan terhadap aspek-aspek bahasa yang lain seperti
kesantunan berbahasa dan keindahan bahasa.
Kecaknaan penulis turut dibuktikan dengan penulisannya
yang berjudul ‘Perlestarian Bahasa
Melalui Pembaharuan dan Pengembangan Nahu’. Melalui penulisan ini, penulis
menjadikan naskhah Nahu Melayu Mutakhir
sebagai rujukan utama. Penulisan ini pastinya akan lebih menarik jika dilakukan
perbandingan terhadap naskhah-naskhah tatabahasa Melayu sedia ada. Perbezaan
yang dilakukan mampu mencerminkan pendirian dan idea setiap ahli bahasa yang
berbeza dalam mengemukakan rumus ataupun formula nahu bahasa Melayu.
Bahasa dan masyarakat sememangnya tidak dapat dipisahkan
kerana bahasa menjadi medium yang penting dalam menjayakan sesebuah komunikasi.
Esei ‘Bahasa Perbualan Baharu dalam Masyarakat’
secara keseluruhannya menggambarkan situasi semasa masyarakat yang ‘mencipta’
bahasa baharu dengan mewujudkan bahasa slanga, percampuran kod, penukaran kod
dan bahasa singkatan. Situasi ini sewajarnya diberikan perhatian agar bahasa
Melayu tidak mudah diperalatkan. Kesantunan berbahasa juga perlu diamalkan
dalam komunikasi seharian agar dapat mewujudkan suasana yang harmoni dalam
kalangan masyarakat di samping menyumbang kepada komunikasi atau interaksi yang
berkesan.
Penulis juga mengaitkan bahasa
Melayu dengan keindahan bahasa Melayu itu sendiri yang tiada tolok bandingnya.
Fakta ini boleh dirujuk melalui esei yang bertajuk ‘Bahasa dalam Filem Melayu: Antara Dua Zaman’ dan ‘Manipulasi Kuasa Bahasa Kreatif’. Esei
yang berjudul ‘Stilistik: Medium
Penghasilan Karya Kreatif Imaginatif’ pula memberi pendedahan kepada
pembaca tentang penulisan yang berkesan.
Melalui bahagian kedua, Nur Fatiha
Fadila begitu tekun mengakrabi stilistik, bahasa dalam sastera serta pemikiran
beberapa tokoh sastera dalam karya-karya yang dipilih untuk dikaji. Penulis
yang mempunyai latar belakang sebagai pemegang Ijazah Sarjana Penulisan
(Penulisan Kreatif) mengaplikasikan segala ilmu yang ada untuk menghasilkan
penulisannya. Secara tidak langsung, penulisannya menjadi hidup dengan disokong
beberapa rujukan yang berkaitan.
Penulisannya juga tampak kritis
apabila mengaplikasikan beberapa teori di dalam penulisannya seperti Teori
Psikoanalisis Lacan dalam esei ‘Konflik
Kejiwaan Hikayat Qaziq dari Sudut Psikoanalisis Lacan’ dan mengaplikasikan Teori
Hegemoni dalam esei yang berjudul ‘Kuasa
dan Strategi Penguasaan Tersembunyi dalam “Hering”. Tuntasnya, teori-teori
ini menjadi tunjang untuk dijadikan analisis dalam teks sastera yang
dipilihnya.
Bukan mudah untuk melahirkan sebuah
tulisan yang berbentuk akademik seperti yang dilakukan oleh Nur Fatiha Fadila.
Pastinya rujukan yang sewajarnya perlu dilakukan agar fakta yang diperolehi tepat
dan tidak menyimpang. Bahasa yang digunakan oleh penulis juga segar dan teratur
sekaligus mencerminkan penulisnya seorang yang cermat dan santun dalam
berbahasa. Kumpulan Esei Bahasa & Sastera Di Sofa Kata ini sesuai untuk dijadikan bahan bacaan tanpa had
peringkat umur memandangkan bahasa dan sastera Melayu adalah milik kita sebagai
penutur aslinya!
* ulasan buku ini merupakan penyertaan Peraduan Ulas Buku ITBM 2014
No comments:
Post a Comment