Sunday, January 29, 2012

BISIK CINTA SANG ANGIN

sumber gambar: Google Images


Angin tenang mengesot perlahan

menyusuri desa ke desa, menyelinap celah-celah kota

menyapa inderaloka dunia yang kian berdebu

jagat angkuh manusia masih begitu

menunggu nikmat jatuh ke riba

sarwa anggota membatu kudrat membisu

membiarkan nasib bangsa kian layu.

Setiap ceruk mahupun lohong

angin menyusur lalu

memberi salam pada sekalian nyawa

tanpa mereka menyedari hakikat angin

membisik cinta pada setiap telinga

agar kembali mencari Yang Esa.

Angin meneruskan perjalanan

menghampirimu dengan segala pesan

agar dirimu mengerti keagungan Tuhan

celik mentafsir kehidupan.

Demikian keramahan angin bertandang

dan sampai masanya akan beransur pulang

meninggalkan kita dengan bisik cinta untuk dikenang.

Esok ,

jika diizin Sang Pencipta

sang angin akan kembali datang

menjenguk jiwa-jiwa nan walang.

MOHD HANIFF MOHAMMAD YUSOFF

Kuala Lumpur

-MINGGUAN MALAYSIA, 29 JANUARI 2012-

Sunday, January 15, 2012

901 ADA CERITERANYA

Ya, 901 punya ceriteranya tersendiri dalam lipatan sejarah negara. Setelah sekian lama turun naik mahkamah, akhirnya Anwar Ibrahim dibebaskan daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya. Oh ya, dalam gambar di atas ada gambar kawan saya, Hafizi Hassan namanya. Dia pernah belanja saya burger. =)

Kredit gambar: MyMetro dan ManKecik.

Thursday, January 12, 2012

RIWAYAT PENULISANKU (2011)

Salam. Selamat tahun baru! Lambatnya memberi ucapan. Salah satu azam tahun baru ini, saya ingin lebih berjaya lagi dalam dunia penulisan. Huh…ya, memang susah sebenarnya menulis ni. Untuk tahun lalu yang lalu iaitu 2011 [menaip sambil mengunyah ’Twisties’ perisa tomato], azam saya untuk melihat cerpen saya di akhbar telah pun tercapai. Biarpun hanya satu, tetapi satu kenikmatan bagi saya yang masih belajar ini. Untuk 2011, sebanyak lapan buah sajak saya berjaya menembusi media iaitu melalui majalah Tunas Cipta, majalah Fokus SPM, majalah Jendela Utara, akhbar Berita Minggu, sisipan Varsiti Berita Harian dan akhbar Harakah. Satu-sataunya cerpen saya iaitu ‘Tempe Malaya’ [selepas tu terus saya suka tempe!] disiarkan dalam Berita Minggu. Oh ya dan satu puisi tradisional berbentuk nazam tulisan saya yang disiarkan dalam Tunas Cipta [Nazam Cinta]. Selain itu, terdapat juga beberapa tulisan saya yang bukan kreatif yang turut disiakan seperti dalam Tunas Cipta dan Pelita Bahasa. Itu bedasarkan karya yang tersiar di media. Tidak kurang juga kenangan paling manis pada tahun 2011 ialah apabila lirik boria hasil nukilan saya telah dinobatkan sebagai Lirik Pantun Boria Terbaik UUM Caltural Festival 2011. Terima kasih kepada Biro Kesenian dan Kebudayaan DPP Bank Rakyat yang mempercayai bakat saya untuk menghasilkan lirik tersebut. [Piala kemenangan menjadi kenangan]

Begitulah riwayat penulisan saya sepanjang tahun 2011. Semoga tahun ini, hasilnya lebih gemilang!

Tuesday, January 10, 2012

SAYA 'FOLLOW' TWITTER MADA ILDA

Lewat benar rasanya saya memperturunkan entri berkisarkan politik semasa negara. Oh, bukan sahaja perihal politik tetapi lebih kepada isu semasa. Ya sudah menjadi kelaziman ketika di universiti dahulu, sensitif kepada isu-isu semasa adalah suatu kewajipan kepada kami yang belajar politik. Adakalanya, itulah soalan perbincangan dalam kelas dan syarahan oleh pensyarah bukan lagi menjadi medium utama dalam pengajaran. Sejujurnya, saya suka untuk melihat sesuatu isu itu bergerak mengikut plotnya terdahulu. Maksud saya, saya tidak semudah-mudahnya untuk terus menjatuhkan hukuman. Memerhati dan berfikir adalah jalan terbaik untuk kita rungkaikan permasalahan sekeliling. Memaki hamun membabi buta bukanlah tindakan yang profesional. Saya tertarik dengan kes Adam Adli [saya turut mengikuti twitternya…hahaha]. Pemuda yang bakal bergelar guru ini dianggap cukup biadap atas tindak tanduknya. Saya juga tidak setuju dengan tindakannya. Jujur, saya memujinya, dia seorang mahasiswa yang berani kerana tetap lantang biarpun dibidas oleh pelbagai pihak. Bukan mudah untuk kita mencari mahasiswa yang kental jiwanya seperti Adam Adli. Mungkin caranya tidak tepat. Maaf, kenyataan itu tidak menunjukkan saya memihak kepadanya. Cuba kita selami siapakah yang mempengaruhi beliau dan untuk mendidiknya bukanlah secara kekerasan, kita harus ingat dia masih muda dan jiwanya memang bergelojak. AUKU yang sebelum ini mengikat para mahasiswa daripada berpolitik telah dileraikan. Saya melihat ianya sesuatu yang bagus kepada mahasiswa yang punya pengetahuan tentang politik dan amatlah tragedis dan sadis kepada mahasiswa yang sekadar tahu politik itu adalah rusuhan, perhimpunan dan berteriak sekuat rasa beramai-ramai. Suka saya menegaskan berbeza ideologi atau fahaman bukanlah musabab untuk mewujudkan permusuhan antara kita. Dek politik, kita berbalah dan semoga suatu hari nanti kita akan mengucup siasah yang mulus suci.

SELESAI SUDAH PENGAJIANKU

Banyak sebenarnya catatan yang terlepas yang sepatutnya saya kongsikan di sini. Perihal keputusan penuh peperiksaan akhir dan keseluruhannya telah pun saya perolehi. Agak mendebarkan sebenarnya menantikan keputusan praktikal saya. Tambahan pula, penyarah yang meyelia saya bukanlah calang-calang orangnya. Pensyarah ‘killer’ gelarannya. Saat ketika mula-mula mengetahui, saya di bawah seliaannya, saya berfikiran positif kerana saya tahu perancangan Allah itu Maha Hebat dan saya bersyukur tanpa bantahan. Saat hati saya redha, ada juga bunyi-bunyi yang melemahkan semangat saya. ‘Habislah ko’, ‘Nasiblah aku tak dapat Encik R’…….antara kata-kata yang telah mengguris hati saya sebab sebagai seorang sahabat saya perlukan sokongan! [Sila cari buku tips untuk menjadi SAHABAT yang cemerlang!] Tajuk yang dicadangkan kepada saya juga bukanlah sesuatu yang mudah tetapi saya menerima tajuk itu tanpa bantahan. Hakikatnya tajuk itu berjaya saya kupas satu persatu dan bagi saya sesuatu yang amat menyeronokkan apabila sebagai seorang pelajar politik menulis sesuatu yang ilmiah dengan pemikiran yang kritis. Bagi saya, agak rugi jika saya membuat laporan praktikal mengenai sesuatu yang sememangnya di hadapan mata. Terima kasih Encik R kerana memberikan keputusan yang terbaik untuk saya, walaupun tidak memperolehi A+++, sekurang-kurangnya saya tahu laporan ilmiah saya bukanlah mencedok apa yang ada di hadap mata. Alhamdulillah, keputusan saya secara keseluruhan belajar di UUM amat memuaskan hati saya. [Tidak sabar rasanya untuk tunggu hari konvokesyen].