Saturday, December 31, 2011

BENGKEL PEMANTAPAN KARYA MPR


Catatan tertangguh sebenarnya. 14-16 Disember yang lalu, saya telah menyertai Bengkel Pemantapan Karya MPR di DBP. Sejak berakhirnya MPR 2009 yang lalu, saya sebenarnya mencari-cari, juga ternanti-nanti akan pertemuan kami yang seterusnya. Pertemuan itu ada tetapi alangkah baiknya kalau dapat berjumpa dengan kesemuanya-fikir saya. Saya juga berharap agar keluarga MPR 2009 dapat bersama-sama dalam program ini, tetapi hanya saya dan Syukri sahaja dapat menyertainya. Walau bagaimanapun, saya dapat berkenalan dengan ahli keluarga MPR yang lain, dari tahun 2002 sehinggalah ke 2011. Saya melihat program ini bukan lagi program seperti saya menyertai MPR 2009 yang lalu tetapi lebih kepada dorongan untuk lebih serius dalam berkarya. Kami dikehendaki untuk menghasilkan cerpen dan juga novel. Terima kasih kepada para pembimbing yang cukup bermotivasi memberikan galakkan iaitu Kak Salina, Kak Nisah dan Cikgu Shamsuddin. Terima kasih juga kepada urus setia yang bertungkus-lumus menjayakannya. Semoga berjumpa lagi!

Wednesday, December 21, 2011

ULANGTAHUN KE-2 KITA

19 Disember 2011, genaplah dua tahun usia keluarga kami. Saya tertanya-tanya di manakah letaknya taraf karya kami setakat dua tahun ini. Usia dua tahun itu masih mentah jika hendak dibandingkan dengan penulis-penulis hebat yang lain. Jika sebelum ini kita hanya menulis mengikut apa yang kita suka, apa kata selepas dua tahun ini, kita cuba perbaiki karya kita menjadi lebih baik. Menulis dengan rasa tanggungjawab dan lebih teliti dalam pemilihan kata ataupun ayat. Ya, menulislah terlebih dahulu dan selepas itu barulah memikirkan perihal sisi lain seperti diksi, kualiti dan sebagainya. Peramlah karya anda sehingga matang agar tampak atau seiring pertambahan usia keluarga kita. Saya tidak menafikan, menulis bukanlah kerja mudah. Adakalanya, kita sering merasa terbeban untuk menulis dek pelbagai kekangan. Saya suka untuk memetik kata-kata abang Lutfi Ishak, katanya carilah guru!
Sepanjang usia dua tahun ini, tahniah kepada ahli keluarga kita yang terus cerlang dalam bidang penulisan. Yang belum ada novel, sudah pun ada novel. Yang sudah ada novel, sudah beranak-anak novelnya. Satu perkembangan yang baik, dan ahli keluarga kami juga mempunyai kumpulan puisinya sendiri. Syabas! Saya sendiri pun masih belum ber’ANAK’ lagi. Sabar je la.
Tahniah juga kepada beberapa orang yang sudah pun bertunang dan beberapa orang yang sudah berumah tangga. Kami sekeluarga mengucapkan tahniah dan semoga berbahagia.
Tahniah juga kepada beberapa orang ahli keluarga kita yang telah melanjutkan pelajaran ke luar negara dan insya-Allah akan ada lagi seorang ahli keluarga kita yang akan melanjutkan pelajaran ke luar negara.
Sesuatu yang boleh kita jadikan semangat untuk kita terus menulis ialah kejayaan adik kita, Nur Adilla Abd Rahim yang berjaya mendapat hadiah utama untuk kategori cerpen remaja dalam Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2010. Sesuatu yang amat membanggakan! Masih saya ingat, ketika ‘Kala Hujan’ disiarkan, usia keluarga kita baru sahaja sekitar empat bulan. Tahniah Adilla!
Keluarga MPR 2009, ayuh teruskan menjaga tautan antara kita agar terus terjalin kukuh dan mesra. Menulislah tanpa jemu. Selamat menyambut ulangtahun ke-2 kita!

Saturday, December 10, 2011

TEMUDUGA TV AL-HIJRAH


Ini bukanlah pertama kali berhadapan dengan temuduga yang dianjurkan oleh stesen penyiaran. Kali ini dengan tv berkonsepkan islamik yang terbaru di Malaysia iaitu TV Al-hijrah. Jujurnya saya tidak membuat persediaan untuk menghadapi temuduga ini. Sekdar pergi berbekalkan keyakinan yang ada. Seperti biasa perasan berdebar itu muncul sahaja tika berhadapan dengan situasi seperti ini. Setelah nama dipanggil, saya melangkah masuk ke bilik temuduga dengan rasa yang bercampur. Selain memperkenalkan diri, saya diminta untuk mengacarakan rancangan sendiri di hadapan kamera. Setelah itu, pelbagai soalan yang diajukan kepada saya dan salah satunya ialah berkaitan ilmu yang paling saya minat dan saya memilih ilmu sastera dan menghuraikan kepada penemuduga yang juga Eksekutif Penyelidikan Editorial di TV Al-Hijrah tentang kontroversi novel Interlok. Terima kasih kepada mereka yang membawa saya ke temuduga tersebut!