Wednesday, December 21, 2011

ULANGTAHUN KE-2 KITA

19 Disember 2011, genaplah dua tahun usia keluarga kami. Saya tertanya-tanya di manakah letaknya taraf karya kami setakat dua tahun ini. Usia dua tahun itu masih mentah jika hendak dibandingkan dengan penulis-penulis hebat yang lain. Jika sebelum ini kita hanya menulis mengikut apa yang kita suka, apa kata selepas dua tahun ini, kita cuba perbaiki karya kita menjadi lebih baik. Menulis dengan rasa tanggungjawab dan lebih teliti dalam pemilihan kata ataupun ayat. Ya, menulislah terlebih dahulu dan selepas itu barulah memikirkan perihal sisi lain seperti diksi, kualiti dan sebagainya. Peramlah karya anda sehingga matang agar tampak atau seiring pertambahan usia keluarga kita. Saya tidak menafikan, menulis bukanlah kerja mudah. Adakalanya, kita sering merasa terbeban untuk menulis dek pelbagai kekangan. Saya suka untuk memetik kata-kata abang Lutfi Ishak, katanya carilah guru!
Sepanjang usia dua tahun ini, tahniah kepada ahli keluarga kita yang terus cerlang dalam bidang penulisan. Yang belum ada novel, sudah pun ada novel. Yang sudah ada novel, sudah beranak-anak novelnya. Satu perkembangan yang baik, dan ahli keluarga kami juga mempunyai kumpulan puisinya sendiri. Syabas! Saya sendiri pun masih belum ber’ANAK’ lagi. Sabar je la.
Tahniah juga kepada beberapa orang yang sudah pun bertunang dan beberapa orang yang sudah berumah tangga. Kami sekeluarga mengucapkan tahniah dan semoga berbahagia.
Tahniah juga kepada beberapa orang ahli keluarga kita yang telah melanjutkan pelajaran ke luar negara dan insya-Allah akan ada lagi seorang ahli keluarga kita yang akan melanjutkan pelajaran ke luar negara.
Sesuatu yang boleh kita jadikan semangat untuk kita terus menulis ialah kejayaan adik kita, Nur Adilla Abd Rahim yang berjaya mendapat hadiah utama untuk kategori cerpen remaja dalam Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2010. Sesuatu yang amat membanggakan! Masih saya ingat, ketika ‘Kala Hujan’ disiarkan, usia keluarga kita baru sahaja sekitar empat bulan. Tahniah Adilla!
Keluarga MPR 2009, ayuh teruskan menjaga tautan antara kita agar terus terjalin kukuh dan mesra. Menulislah tanpa jemu. Selamat menyambut ulangtahun ke-2 kita!

1 comment:

  1. Selamat Ulangtahun ke-2 untuk keluarga MPR 09. Terharu Effa baca entry ini. Abang anip tag lah semua rakan MPR baca entry ni. Rindu sangat2 pada rakan MPR. Membaca entry ini mengembalikan nostaldia dan membuatkan effa semakin menyayangi keluarga MPR kita. Terus berkarya! dan berkarya!

    ReplyDelete