Saturday, July 16, 2011

SAYA BLOGGER KATEGORI MASIH BELAJAR


SAYA BLOGGER MASIH BELAJAR

Catatan kali ini adalah merupakan segmen anjuran pemilik blog Chegu Zubir. Ya, saya merupakan blogger yang masih belajar dan hampir sampai ke penghujung pengajian. Sekarang berusia 23 tahun. Merupakan mahasiswa Universiti Utara Malaysia dalam bidang pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa @ International Affairs. Sekarang saya perlu menghadapi latihan praktikal selama empat bulan dan akan berkonvo pada tahun 2012 nanti. Doakan kejayaan saya!




Tuesday, July 12, 2011

SERONOKNYA MEMIMIKKAN MUKA



CHORAL SPEAKING, dalam bahasa Melayunya paduan suara beirama. Pernah menyertai pertandingan choral speaking? Semasa zaman sekolah dulu, aku ialah wakil sekolah dan asrama. Seronok bermimik-mimik muka ni. Sesuai sangatlah dengan perwatakan aku yang suka senyum ni. Bermula dengan mewakili sekolah ketika di tingkatan dua lagi. Sewaktu tu, untuk pertandingan peringkat daerah Kinta, kami bertanding di sekolah gergasi bagi choral speaking negeri Perak iaitu Methodist Girl School (MGS) Ipoh. Rentetan itu, dek senyumanku yang menawan ini, aku diserap pula untuk mewakili asrama dalam kategori Choral Speaking bagi Gerak Kerja Kokurikulum Asrama (GERKORAMA) Zon 4 (KINTA) Negeri Perak dan kami beroleh naib johan di belakang SMK RAJA PERMAISURI BAINUN selaku juara, dan meninggalkan SMK GUNUNG RAPAT di tempat ketiga. Dalam tahun yang sama, kami dipilih oleh pihak sekolah untuk membuat persembahan semasa berlangsungnya hari penghargaan di hadapan Raja Muda Perak. Seterusnya mewakili asrama lagi ketika di tingkatan tiga dan bertanding di SMK RAJA PERMAISURI BAINUN. Keputusannya, tuan rumah masih mengekalkan kejuaraan, naib johan disandang pula oleh SMK RAJA PEREMPUAN IPOH@ RAJA PEREMPUAN SCHOOL (RPS) dan kami SMK SULTAN YUSSUF @SULTAN YUSSUF SCHOOL (SYS) sekadar berpuas hati di tempat ketiga walaupun kecewa sangat sebab kami mensasarkan johan untuk tahun tu. Kalau peringkat GERKORAMA KINTA, muka aku memang sudah dicam oleh pelajar-pelajar sekolah lain. Siap ada yang boleh ingat lagi aku masuk pertandingan apa tiap-tiap tahun dan semasa di tingkatan empat dan lima, aku beralih kategori pula kepada Sayembara Puisi dan Lagu. Seronok ber’choral speaking’ ni sebab rasa seronok sangat bila perlu memimikkan muka dan bermain nada. Ketika di universiti pun, aku ada menyertai pertandingan choral speaking tetapi pengalamannya tidaklah sehebat sewaktu mewakili sekolah dan asrama dahulu.

Tuesday, July 5, 2011

RINDU KEDAMAIAN

Alhamdulillah, akhirnya saya memiliki majalah Tunas Cipta Jun 2010. Terima kasih kepada editor yang memilih puisi saya untuk disiarkan. Kerdilnya saya jika hendak dibandingkan dengan karya-karya rakan penulis yang lain. Kali ini sebumbung dengan Khalil Zaini, Amirul Ridzuan, Kak Yana yang comel, Kak Hani Salwa yang comel juga. Tidak terkecuali sebumbung dengan keluarga MPR 2009 yang lain iaitu adik Ahmad Muziru Idham Adnan dan si Penghuluwati, Nuraini Ruzi.

Rindu Kedamaian

Saat mereka menakluk dunia

muslihat retorik bermuka-muka

menghancurkan bahagia tercipta

berderai segala kerikil impian

dedebu kenangan berhamburan.

Aku masih termangu di sini

bersama doa harap tanpa henti

berikan aku ruang

untuk menghela nafas kedamaian

persis mereka

asyik bersorak

bertepuk gembira.

Kedamaian datanglah kembali

memeluk erat seluruh nadiku!

Mohd Haniff Mohammad Yusoff

Universiti Utara Malaysia

~TUNAS CIPTA JUN 2011~

Friday, July 1, 2011

APA SALAHNYA LELAKI MEMBACA NOVEL?

Tidak salah sekiranya seorang yang bernama lelaki untuk membaca novel. Mentaliti kita masih terikat dengan ideologi yang kita cipta sendiri tanpa pernah memberikan kita sebab musabab yang sepatutnya. Pembaca novel sering disogokkan dengan gelaran ‘jiwang’. Apakah maksud frasa ‘jiwang’ yang kalian gemburkan itu? Seperkara lagi, orang kita sering mengaitkan novel itu dengan kisah cinta manusia semata-mata. Seolah-olah itu sahaja tema yang terdapat dalam setiap novel. Gender bukanlah ukuran untuk membaca novel. Buanglah mentaliti kolot sebegitu jauh-jauh. Sesak jiwa mendengarnya.