#SAYANGSAYANG

Saturday, April 30, 2011

NAZAM CINTA

Nazam Cinta

Allah Allah, Azzawajal, Tuhan kami,
Kami sujud , mohon ampun, dosa kami.

Dengan Allah, kami mulakan, nazam ini,
Nazam cinta, buat pedoman, insafi diri.

Cinta indah, tiada siapa, menyangkalnya,
Anugerah Tuhan, Maha Pemurah, untuk hamba-Nya.

Cinta kekasih, tak ke mana, hanya sia-sia,
Macam bunga, kembang sementara, layu kemudiannya.

Tanpa ilmu, gelitalah hidup, tiada tuju,

Cintailah ilmu selamanya, tanpa jemu.

Ibu bapa, pengorbanan mereka, jangan dilupa,
Kasih mereka, sampai ke syurga, hidup sejahtera.

Cintailah Allah, cintai Rasullullah, paling utama,
Cinta agung, tiada bandingan, hidup pun terpelihara.

Sampai di sini, nazam cinta, santapan nurani,
Salah silap, mohon ampun, harap dimaafi.

Allah Allah , Azawajal ,tuhan kami,
Kami mohon, ampun akan, dosa kami.

Mohd Haniff Mohammad Yusoff

Kolej Akademik COLGIS,

Universiti Utara Malaysia

Majalah TUNAS CIPTA, APRIL 2011

AKTIVITI SASTERA DI UUM


Perlayaran saya di Universiti Utara Malaysia hampir ke penghujungnya. Sewaktu di universiti, saya turut membabitkan diri dalam bidang penulisan dan sastera. Berikut merupakan sebahagian daripada penglibatan saya:

Aktiviti:

1. Menyertai Sayembara Puisi Pusat Budaya dan Seni 2008

2. Menyertai Sayembara Puisi Sempena Konvokesyen ke-22 UUM

3. Menyertai Pesta Pantun Piala TNC 2009

4. Peserta Seminar Puisi Melayu Nusantara

5. Ahli jawatankuasa dan fasilitator program Tunas Sastera Pusat Budaya dan Seni bersama SMK Pulau Nyior.

6. Peserta Bengkel Puisi Moden bersama Puzi Hadi

7. Pengacara Majlis dan ahli jawatankuasa Seminar Penulisan Novel Tarikan Penamu bersama Nisah Haron dan Azizi Hj. Abdullah anjuran UUM/GPMS UUM/DBP Wilayah Utara.

8. Ahli jawatankuasa Bengkel Penulisan Novel Tarikan Penamu bersama Nisah Haron anjuran UUM/Persatuan Bahasa Melayu UUM/DBP Wilayah Utara.

Kejayaan/Pencapaian:

1. Naib Johan Pertandingan Menulis Cerpen Perkampungan Puisi I 2008

2. Johan Pertandingan Menulis Cerpen Bulan Asimilasi Budaya dan Akademik I 2010

3. Johan Pertandingan Menulis Cerpen Bulan Asimilasi Budaya dan Akademik II 2011

4. Anugerah Khas Juri: Rangkap Pantun Boria Terbaik UUM Cultural Festival 2011

Dijemput untuk menjadi pengadil:

1. Pertandingan Mendeklamasikan Sajak Bulan Asimilasi Budaya dan Akademik I 2010

2. Pertandingan Mendeklamasikan Sajak Bulan Asimilasi Budaya dan Akademik II 2011

3. Pertandingan Akhir Debat Piala TNC 2010

4. Sayembara Puisi anjuran DPP Yayasan Al-Bukhari 2010

5. Sayembara Puisi anjuran DPP Telekom Malaysia 2011


Friday, April 29, 2011

PBAKL-2011 (HARAPAN TINGGAL HARAPAN)

Saya lupakan hasrat menerjah Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011 (PBAKL2011). Banyak kekangan yang saya alami dan saya capai keputusan muktamad untuk tidak ke sana, biarpun mengidam merasai nikmat membeli-belah di sana. Sebelum ini, saya begitu teruja kerana saya dikhabarkan tentang sesuatu berita gembira yang berkaitan dengan saya dan PBAKL 2011, namun harapan tinggal harapan dan akhirnya saya yang kecewa. Saya lupakan perihal tersebut agar hati tidak terus meratap dan berharap lagi!!!