#SAYANGSAYANG

Monday, July 12, 2010

DI SEBALIK WAJAH SEJARAH


DI SEBALIK WAJAH SEJARAH

Kuselak hijab indah mayapada

agungnya sebuah merdeka

mengecap nikmat sentosa

lahir dari keringat sejarah.

Di sebalik wajah sejarah

memori cinta luka bersyair perih

lakaran erti kehidupan

hadir sebagai pedoman.

Gemersik pagi berbisik lagi

‘sejarah, asalnya hari ini’.

MOHD HANIFF MOHAMMAD YUSOFF

Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah.

Berita Minggu, 4 Julai 2010


PUISI 'BUMI MEMEKIK' DIULAS DALAM MINGGUAN MALAYSIA

PUISI MENGUPAS ISU SOSIAL

OLEH; ZAINAL ABDUL KADER, MINGGUAN MALAYSIA, 4 JULAI

Menurut Muhammad Haji Salleh, seorang penyair ialah seorang seniman yang mencipta karya dan secara langsung atau tidak langsung membincangkan kehidupan. Temanya diambil dan diolah daripada hidup seharian, tetapi dipersembahkan kepada pembaca atau pendengar dengan sudut pandangan yang agak luar biasa; dan dengan itu dapat membijaksanakan pembaca atau pendengarnya.

Ruangan puisi Mingguan Malaysia bertarikh 9 Mei 2010 telah menyiarkan tiga buah sajak yang bertemakan isu sosial iaitu Doa Si Kecil (Lim Swee Tin), Amanat (Mohd Zizee Setapa) dan Bumi Memekik (Mohd Haniff Mohammad Yusoff). Ketiga-ketiga sajak ini mengupas isu sosial iaitu masalah pembuangan bayi yang semakin menjadi sejak akhir-akhir ini.

Dalam tempoh lima bulan tahun 2010, saban minggu berita penemuan bayi yang dibuang atau ditinggalkan sama ada masih hidup atau tidak bernyawa lagi di tempat-tempat yang begitu menyedihkan, disiarkan oleh media akhbar dan media elektronik. Gambar-gambar bayi yang disiarkan begitu meruntun perasaan sesiapa saja yang menatapnya. Apatah lagi ada bayi-bayi yang sudah tidak bernyawa lagi itu sebahagian anggota badannya telah tiada lagi kerana dimakan oleh binatang buas seperti anjing-anjing liar atau biawak.

Sehubungan dengan itu, tiga sajak dari empat sajak yang disiarkan Mingguan Malaysia mengutarakan tema pembuangan bayi. Sajak Doa Si Kecil ditulis daripada sudut pandangan seorang bayi yang baru dilahirkan kemudian dibuang atau ditinggalkan oleh ibunya. Sajak Amanat menyatakan bahawa bayi merupakan satu amanat yang diamanahkan oleh Allah kepada manusia untuk memelihara dan menjaga dengan sempurna. Manakala sajak Bumi Memekik menggambarkan kemarahan penulis kepada manusia yang sanggup membuang dan membunuh bayi yang baru dilahirkan dalam keadaan yang begitu tragis.

Menurut Muhammad Haji Salleh, pujangga yang baik selalu cuba menilai, merenung dan mencari jawapan untuk masalah masyarakatnya. Dia membanding pengalaman manusia dan masyarakat dengan nilai-nilai utama manusia dan membuat ulasan tentangnya. Sastera mengesani manusia kerana persoalan yang dibincangkan sering kali menjadi persoalan yang dialami bersama.

Terkawal

Kenyataan ini ditemui dalam sajak Doa Si Kecil. Dengan menggunakan diksi yang ekonomis dan terkawal bahasanya, Lim Swee Tin tidak menyalah atau menghukum siapa yang yang bersalah. Sajak ini lebih bertimbangrasa sifatnya. Beliau ingin menggambarkan kepada pembaca bahawa perasaan yang ada pada seorang bayi yang ditinggalkan keseorangan di tengah kelam hanyalah perasaan takut yang amat sangat. Ini amat jelas pada rangkap pertama:

Gementar aku

sekeliling pun kelam

malam ini hanya angin,

selebihnya dingin.

Keseluruhan sembilan rangkap sajak ini menggunakan bahasa yang mudah difahami. Namun, sesiapa yang membaca seolah-olah merasai dan mendengar seorang bayi sedang berbisik di cuping telinga dengan suara yang tertahan-tahan dan teresak-esak. Lim dapat merasai gerak perasaan seorang bayi yang telah dibuang dan mungkin akan melalui saat-saat kematian. Inilah estetik yang dapat dikesani dalam sajak ini. Penyusunan diksi dalam sajak ini begitu melankolik apabila dibaca. Nadanya merayu-rayu dan mendayu-dayu kesedihan. Nilai estetik bergabung unsur intelektual yang jelas menampakkan falsafah keindahan dalam sajak ini.

Hal ini menepati pandangan Dharmawijaya bahawa estetik atau keindahan puisi biasanya dihubungkan dengan dayaguna bahasa, iaitu keupayaan penguasaan bahasa dan ketajaman rasa terhadap alam serta persekitaran untuk menjelmakan pengalaman jiwa seseorang penyair. Makna yang tersirat dalam sajak Lim ini dapat ditafsirkan oleh pembaca bahawa isu sosial ini harus ditangani secara berhemah dan bijaksana supaya tidak merebak menjadi penyakit masyarakat yang tidak dapat diubati.

Demikian juga dengan sajak Amanat oleh Mohd Zizee yang lebih bernada khutbah sifatnya. Keseluruhan empat rangkap sajak Amanat menempelak manusia yang tidak berperikemanusiaan. Tragedi adik Humairah yang didera dan bayi yang dibuang dan dibunuh begitu menyentap perasaan Mohd Zizee. Bagaikan disiat-siat, perasaan Mohd Zizee jelas digambarkan dalam rangkap pertama sajak:

Telah kau sadurkan kalbumu

dengan lelapis iblis

pada kerangka kecil

melampiaskan kebinatangan

masih jahil untuk mengenal

erti manisnya kehidupan.

Bahasa dalam sajak Amanat ini juga mudah difahami. Namun Mohd Zizee menggunakan kebijaksanaannya supaya sajak ini menampakkan kelainannya dengan mencipta diksi yang digabungkan menjadi satu iaitu bayi-bayi menjadi bebayi, lapis-lapis (lelapis), bilur-bilur (bebilur) dan bulu-bulu (bebulu). Pemilihan ini tidak menyalahi tatabahasa kerana dalam penulisan sajak, penyair bebas menulis pelbagai gaya penulisan. Malah penggabungan diksi ini telah dipelopori oleh penyair Kemala dalam penulisan sajak-sajaknya.

Janggal

Walaupun diksi yang dinyatakan di atas agak janggal bunyinya apabila dibaca, namun estetik dalam sajak ini masih ada. Dengan pemilihan diksi-diksi seperti melampiaskan kebinatangan, kecamuk insani, manusia jalang, gelegak lahar api dan meluluh daging dan kulit hitammu, Mohd Zizee dapat menyampaikan kepada pembaca bahawa manusia sekarang ini banyak mengalami sakit mental atau kecelaruan dalam hidup. Secara tidak langsung, Mohd Zizee berjaya meyakinkan pembaca bahawa kejadian yang berlaku itu berpunca daripada manusia yang hilang kewarasannya. Ini menepati pandangan Muhammad Haji Salleh yang menyatakan bahawa penyair yang berjaya ialah penyair yang bijaksana, yang menolong kita memahami kehidupan yang kompleks lagi rumit ini.

Berlainan pula dengan sajak Bumi Memekik, kemarahan Mohd Haniff begitu terpancar dalam rangkap ketiga sajak ini.

Bumi memekik, memaki manusia

kejamnya manusia, si khalifah di bumi!

Kemarahan ini adalah wajar kerana perasaan Mohd Haniff begitu tersentuh dengan pembuangan dan pembunuhan bayi yang semakin berleluasa. Rasa kemarahan Mohd Haniff terhadap masyarakat diluahkannya melalui sajak Bumi Memekik.

Bahasa dalam sajak ini juga mudah difahami. Namun diksi yang digunakan bersesuaian dengan kemarahan Mohd Haniff ketika menulis sajak ini. Ini dapat dikesan pada diksi-diksi seperti berkiblat songsang, tiada darah iman, dek jahil ajaran Muhammad, dibuang merata-rata, tinggal jasad tidak bernyawa, mati dalam kekalutan dunia, bumi memekik memaki manusia dan kejamnya manusia, si khalifah di bumi!.

Meskipun sajak Bumi Memekik ini mudah difahami secara tersurat, namun apabila Mohd Haniff menggunakan tajuk Bumi Memekik, nilai estetik dalam sajak ini jelas terpancar. Unsur personifikasi yang digunakan oleh Mohd Haniff menjadikan sajak ini ada kelainannya daripada sajak yang lain. Jelas nada kemarahan penyair dapat dikesan seawal tajuk sajak ini. Dalam hal ini, Mohd Haniff berjaya memikat pembaca dengan tajuk yang diciptanya. Ini sejajar dengan pandangan Muhammad Haji Salleh bahawa penyair yang baik harus selalu memperkaya dirinya dengan perbendaharaan kata bahasanya, selalu mencari dan mencuba keupayaannya kerana puisi yang baik ialah karya yang asli penuh imaginasi dan merdu pula pada bunyinya.

Kesimpulannya, ketiga-tiga sajak yang disiarkan Mingguan Malaysia merupakan kritikan sosial yang ingin disampaikan oleh penyair kepada masyarakat. Ini menepati pandangan Arbak Othman bahawa dalam kesusasteraan, kritikan sosial sering dianggap positif, kerana melalui pendedahan keburukan yang terjadi dalam masyarakat, pembaca dapat menikmati kebaikan moral apabila keburukan yang dilafazkan dalam puisi itu memerlukan tindakan pihak tertentu bagi mengatasi gejala buruk tersebut.

Tuesday, July 6, 2010

DI KAKI CUTI

Cuti semester yang hampir dua bulan lebih telah sampai ke penghujungnya. Terdetik di sanubari saya, mampukah saya mendayung semester yang seterusnya dengan jayanya??? Saya tidak pasti cabaran apa pula yang bakal saya tempuh untuk semester yang baru.

Memegang status sebagai mahasiswa benar-benar menguji diri. Bukan tidak tabah untuk menghadapi tetapi adakalanya tidak terduga dengan cabaran yang mendatang. Realitinya, kehidupan di sekolah tidak sama dengan kehidupan di universiti.

Hati harus waspada agar tidak tersasar dari landasan. Selamat kembali ke semester baru buat teman-teman sekuliah. Saya juga mengharapkan keyakinan baru dan gemilangnya semester lima kali ini.

-MOHD HANIFF MOHAMMAD YUSOFF
SEMESTER 5/ SEMESTER PERTAMA 2010/2011
PENGURUSAN HAL EHWAL ANTARABANGSA, UUM.

Thursday, July 1, 2010

HSKU 2009

Berikut merupakan karya eceran yang akan dinilai untuk penilaian peringkat akhir Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) 2009. Tahniah kepada karya mereka yang telah disenaraipendekkan.

KATEGORI CERPEN

Daripada jumlah 125 cerpen, Panel Hakim menyenaraipendekkan 21 karya untuk penilaian peringkat akhir. Cerpen-cerpen itu adalah seperti yang berikut:

1. Akhir Parak Siang (Zaen Kasturi) Mingguan Malaysia, 29 Mac 2009

2. Dari Fail Tribuhak (Ghazali Lateh) Mingguan Malaysia, 23 Ogos 2009

3. Doa Akhir Tahun (Malim Ghozali PK) Mingguan Malaysia, 20 Disember 2009

4. Embus-embus Iman di Indus (Adip MN Damanhuri) Mingguan Malaysia, 17 Mei 2009

5. Falsampah (Serunai Faqir) Mingguan Malaysia, 25 Oktober 2009

6. Hikayat Penenun (Ana Balqis) Mingguan Malaysia, 31 Mei 2009

7. Holograf Klasik dari Nagasaki (Zulfazlan Jumrah) Mingguan Malaysia, 1 Nov 2009

8. Iluminasi (Zanazanzaly) Mingguan Malaysia, 5 April 2009

9. Jagung Manis, Kayu Gaharu (Rahman Haji Yusof) Mingguan Malaysia, 10 Mei

10. Ketuanan, Maaf dan Seorang Binatang (Marsli N.O) Mingguan Malaysia, 22 Mac 2009

11. Kisah Sebatang Pokok (S. M. Zakir) Mingguan Malaysia, 28 Jun 2009

12. Kompang Kenduri (Siti Jasmina Ibrahim) Mingguan Malaysia, 6 Disember 2009

13. Mahkota di Atas Jemala (Farahana Hussain) Al-Islam, Mac 09

14. Muhammad Ulul Albab (Faisal Tehrani) Mingguan Malaysia, 14 Jun 2009

15. Narasi Cinta di Pulau Seribu Kubah (Mawar Shafei) Mingguan Malaysia, 18 Januari 2009

16. Pascasejarah (Fahd Razy) Mingguan Malaysia, 12 Julai 2009

17. Rama-rama dari Taman Biru (Shamsiah Mohd Nor) Mingguan Malaysia, 18 Februari 2009

18. Resipi dari Istana 3 (Nisah Haron) Mingguan Malaysia, 15 Februari 2009

19. Sang Lelaki dan Puaka (Mohd. Hashim Osman) Mingguan Malaysia, 18 Okt 2009

20. Segregasi (Sayidah Mu‘izzah Kamarul Shukri) Al-Islam, Jan 2009

21. Tukang Sepatu dan Sahabat dari Bukit (Malim Ghozali PK) Mingguan Malaysia, 26 April 2009

KATEGORI CERPEN REMAJA

Berdasarkan skop dan ukuran yang telah ditetapkan, Panel Hakim mendapati sejumlah 56 buah cerpen sesuai dikategorikan sebagai cerpen remaja. Daripada jumlah tersebut, 19 judul disenarai pendekkan untuk dibawa ke peringkat akhir. Cerpen- cerpen itu adalah seperti yang berikut:

1. Ayam Patah Kepak (Hanif Hafiza) Mingguan Malaysia, 7 Jun 2009

2. Di Langit Tursina, Ada Bintang Yang Menunjuk Arah (Mawar Shafie) Mingguan Malaysia, 22 November 2009

3. Es Teller di Pagi Raya (Ummu Hani Abu Hassan) Mingguan Malaysia, 20 September 2009

4. Fort Margherita (Mohd Ali Salim) Mingguan Malaysia, 16 Ogos 2009

5. Hikmah di Sebalik Ujian-Nya (Mawarni Sulaiman) Harmoni, 15 Oktober 2009

6. Hipertensi (Ilias Zaidi) Mingguan Malaysia, 1 Februari 2009

7. Hujan Kenangan (Azmi Ibrahim) URTV, 1-15 Mac 2009

8. Kasut Tutankhamun (Fudzail) Mingguan Malaysia, 19 April 2009

9. Ketupat Palas dan Teluk Belanga (Citra Dinda) Harmoni, 15 September 2009

10. Khilaf (Wan Marzuki Wan Ramli) Mingguan Malaysia, 12 April 2009

11. Kimono Ungu Bersulam Bunga (Rebecca Ilham) Mingguan Malaysia, 3 Mei 2009

12. Munsyi (Husna Nazri) Utusan Melayu Mingguan, 2, 9 dan 16 November 2009

13. Pencinta Putih Kelir, Pewaris Merah Muleta (Nasriah Abdul Salam) Mingguan Malaysia, 8 Februari 2009

14. Puaka Pak Jaha (Nadia Khan) Mingguan Malaysia, 27 Disember 2009

15. Sanubari Seorang Anak (Siti Hajar Mohd Zaki) Mingguan Malaysia, 25 Januari 2009

16. Sehampar Ambal Tabriz (Najibah A. Bakar) Mingguan Malaysia, 6 September 2009

17. Semangat dalam Gelap (Ang Chin Huat) Mingguan Malaysia, 9 Ogos 2009

18. Serban Sehelai (Siti Hajar Mohd Zaki) Utusan Melayu Mingguan, 16 Mac 2009

19. Talkin Untuk Guru (Husna Nazri) Mingguan Malaysia, 24 Mei 2009

KATEGORI PUISI

Daripada sejumlah 404 buah puisi yang tersiar, Panel Hakim menyenarai pendekkan 91 karya dan seterusnya menyaring lagi sehingga kemudiannya memperoleh senarai 16 karya untuk penilaian peringkat akhir. Puisi- puisi tersebut adalah seperti yang berikut:

1. Aroma (S.M Zakir) Mingguan Malaysia, 27 Disember 2009

2. Ayah adalah Hadiah Allah (Salman Sulaiman) Wanita, Jun 2009

3. Bahasa Kita (Abizai) Mingguan Malaysia, 8 November 2009

4. Catatan Tentang Bukit (Husna Nazri) Mingguan Malaysia, 22 Mac 2009

5. Cerita Terpanggil-panggil, Penglipur Semakin Melara (Ariff Mohamad) Mingguan Malaysia, 4 Oktober 2009

6. Dia dan Sekawan Burung Putih (Kamal Sujak) Mingguan Malaysia, 3 Mei 2009

7. Ego Sebutir Pasir (Fudzail) Mingguan Malaysia, 6 Disember 2009

8. Ingatan kepada Kawan ‘XXI’ (Zaen Kasturi) Mingguan Malaysia, 10 Mei 2009

9. Ingatan kepada Kawan ‘XXII’ (Zaen Kasturi) Mingguan Malaysia, 11 Oktober 2009

10. Kalau Bapak Mahu Bermain Api (Rahimin Idris) Mingguan Malaysia, 24 Mei 2009.

11. Kita Canting Corak Terbaik (Zulkifli Zin) Mingguan Malaysia, 2 Ogos 2009

12. Membaca Keagungan Silam (Shukri Abdullah) Mingguan Malaysia, 18 Januari 2009

13. Meratib di Likur Keimanan (Zulfazlan Jumrah) Mingguan Malaysia, 30 Ogos 2009

14. Rumah Tercantik di Hati Kami (Anjanglie) Mingguan Malaysia, 1 Februari 2009

15. Sekeping Lukisan di Kaki Lima (Mohamad Saleeh Rahamad) Mingguan Malaysia, 27 Disember 2009

16. Seorang Tua di Kaki Tamadun (Fahd Razy), Mingguan Malaysia, 15 Februari 2009.

SUMBER; MINGGUAN MALAYSIA , 27 JUN 2010.