PUISI MENGUPAS ISU SOSIAL
OLEH; ZAINAL ABDUL KADER, MINGGUAN MALAYSIA, 4 JULAI
Menurut Muhammad Haji Salleh, seorang penyair ialah seorang seniman yang mencipta karya dan secara langsung atau tidak langsung membincangkan kehidupan. Temanya diambil dan diolah daripada hidup seharian, tetapi dipersembahkan kepada pembaca atau pendengar dengan sudut pandangan yang agak luar biasa; dan dengan itu dapat membijaksanakan pembaca atau pendengarnya.
Ruangan puisi Mingguan Malaysia bertarikh 9 Mei 2010 telah menyiarkan tiga buah sajak yang bertemakan isu sosial iaitu Doa Si Kecil (Lim Swee Tin), Amanat (Mohd Zizee Setapa) dan Bumi Memekik (Mohd Haniff Mohammad Yusoff). Ketiga-ketiga sajak ini mengupas isu sosial iaitu masalah pembuangan bayi yang semakin menjadi sejak akhir-akhir ini.
Dalam tempoh lima bulan tahun 2010, saban minggu berita penemuan bayi yang dibuang atau ditinggalkan sama ada masih hidup atau tidak bernyawa lagi di tempat-tempat yang begitu menyedihkan, disiarkan oleh media akhbar dan media elektronik. Gambar-gambar bayi yang disiarkan begitu meruntun perasaan sesiapa saja yang menatapnya. Apatah lagi ada bayi-bayi yang sudah tidak bernyawa lagi itu sebahagian anggota badannya telah tiada lagi kerana dimakan oleh binatang buas seperti anjing-anjing liar atau biawak.
Sehubungan dengan itu, tiga sajak dari empat sajak yang disiarkan Mingguan Malaysia mengutarakan tema pembuangan bayi. Sajak Doa Si Kecil ditulis daripada sudut pandangan seorang bayi yang baru dilahirkan kemudian dibuang atau ditinggalkan oleh ibunya. Sajak Amanat menyatakan bahawa bayi merupakan satu amanat yang diamanahkan oleh Allah kepada manusia untuk memelihara dan menjaga dengan sempurna. Manakala sajak Bumi Memekik menggambarkan kemarahan penulis kepada manusia yang sanggup membuang dan membunuh bayi yang baru dilahirkan dalam keadaan yang begitu tragis.
Menurut Muhammad Haji Salleh, pujangga yang baik selalu cuba menilai, merenung dan mencari jawapan untuk masalah masyarakatnya. Dia membanding pengalaman manusia dan masyarakat dengan nilai-nilai utama manusia dan membuat ulasan tentangnya. Sastera mengesani manusia kerana persoalan yang dibincangkan sering kali menjadi persoalan yang dialami bersama.
Terkawal
Kenyataan ini ditemui dalam sajak Doa Si Kecil. Dengan menggunakan diksi yang ekonomis dan terkawal bahasanya, Lim Swee Tin tidak menyalah atau menghukum siapa yang yang bersalah. Sajak ini lebih bertimbangrasa sifatnya. Beliau ingin menggambarkan kepada pembaca bahawa perasaan yang ada pada seorang bayi yang ditinggalkan keseorangan di tengah kelam hanyalah perasaan takut yang amat sangat. Ini amat jelas pada rangkap pertama:
Gementar aku
sekeliling pun kelam
malam ini hanya angin,
selebihnya dingin.
Keseluruhan sembilan rangkap sajak ini menggunakan bahasa yang mudah difahami. Namun, sesiapa yang membaca seolah-olah merasai dan mendengar seorang bayi sedang berbisik di cuping telinga dengan suara yang tertahan-tahan dan teresak-esak. Lim dapat merasai gerak perasaan seorang bayi yang telah dibuang dan mungkin akan melalui saat-saat kematian. Inilah estetik yang dapat dikesani dalam sajak ini. Penyusunan diksi dalam sajak ini begitu melankolik apabila dibaca. Nadanya merayu-rayu dan mendayu-dayu kesedihan. Nilai estetik bergabung unsur intelektual yang jelas menampakkan falsafah keindahan dalam sajak ini.
Hal ini menepati pandangan Dharmawijaya bahawa estetik atau keindahan puisi biasanya dihubungkan dengan dayaguna bahasa, iaitu keupayaan penguasaan bahasa dan ketajaman rasa terhadap alam serta persekitaran untuk menjelmakan pengalaman jiwa seseorang penyair. Makna yang tersirat dalam sajak Lim ini dapat ditafsirkan oleh pembaca bahawa isu sosial ini harus ditangani secara berhemah dan bijaksana supaya tidak merebak menjadi penyakit masyarakat yang tidak dapat diubati.
Demikian juga dengan sajak Amanat oleh Mohd Zizee yang lebih bernada khutbah sifatnya. Keseluruhan empat rangkap sajak Amanat menempelak manusia yang tidak berperikemanusiaan. Tragedi adik Humairah yang didera dan bayi yang dibuang dan dibunuh begitu menyentap perasaan Mohd Zizee. Bagaikan disiat-siat, perasaan Mohd Zizee jelas digambarkan dalam rangkap pertama sajak:
Telah kau sadurkan kalbumu
dengan lelapis iblis
pada kerangka kecil
melampiaskan kebinatangan
masih jahil untuk mengenal
erti manisnya kehidupan.
Bahasa dalam sajak Amanat ini juga mudah difahami. Namun Mohd Zizee menggunakan kebijaksanaannya supaya sajak ini menampakkan kelainannya dengan mencipta diksi yang digabungkan menjadi satu iaitu bayi-bayi menjadi bebayi, lapis-lapis (lelapis), bilur-bilur (bebilur) dan bulu-bulu (bebulu). Pemilihan ini tidak menyalahi tatabahasa kerana dalam penulisan sajak, penyair bebas menulis pelbagai gaya penulisan. Malah penggabungan diksi ini telah dipelopori oleh penyair Kemala dalam penulisan sajak-sajaknya.
Janggal
Walaupun diksi yang dinyatakan di atas agak janggal bunyinya apabila dibaca, namun estetik dalam sajak ini masih ada. Dengan pemilihan diksi-diksi seperti melampiaskan kebinatangan, kecamuk insani, manusia jalang, gelegak lahar api dan meluluh daging dan kulit hitammu, Mohd Zizee dapat menyampaikan kepada pembaca bahawa manusia sekarang ini banyak mengalami sakit mental atau kecelaruan dalam hidup. Secara tidak langsung, Mohd Zizee berjaya meyakinkan pembaca bahawa kejadian yang berlaku itu berpunca daripada manusia yang hilang kewarasannya. Ini menepati pandangan Muhammad Haji Salleh yang menyatakan bahawa penyair yang berjaya ialah penyair yang bijaksana, yang menolong kita memahami kehidupan yang kompleks lagi rumit ini.
Berlainan pula dengan sajak Bumi Memekik, kemarahan Mohd Haniff begitu terpancar dalam rangkap ketiga sajak ini.
Bumi memekik, memaki manusia
kejamnya manusia, si khalifah di bumi!
Kemarahan ini adalah wajar kerana perasaan Mohd Haniff begitu tersentuh dengan pembuangan dan pembunuhan bayi yang semakin berleluasa. Rasa kemarahan Mohd Haniff terhadap masyarakat diluahkannya melalui sajak Bumi Memekik.
Bahasa dalam sajak ini juga mudah difahami. Namun diksi yang digunakan bersesuaian dengan kemarahan Mohd Haniff ketika menulis sajak ini. Ini dapat dikesan pada diksi-diksi seperti berkiblat songsang, tiada darah iman, dek jahil ajaran Muhammad, dibuang merata-rata, tinggal jasad tidak bernyawa, mati dalam kekalutan dunia, bumi memekik memaki manusia dan kejamnya manusia, si khalifah di bumi!.
Meskipun sajak Bumi Memekik ini mudah difahami secara tersurat, namun apabila Mohd Haniff menggunakan tajuk Bumi Memekik, nilai estetik dalam sajak ini jelas terpancar. Unsur personifikasi yang digunakan oleh Mohd Haniff menjadikan sajak ini ada kelainannya daripada sajak yang lain. Jelas nada kemarahan penyair dapat dikesan seawal tajuk sajak ini. Dalam hal ini, Mohd Haniff berjaya memikat pembaca dengan tajuk yang diciptanya. Ini sejajar dengan pandangan Muhammad Haji Salleh bahawa penyair yang baik harus selalu memperkaya dirinya dengan perbendaharaan kata bahasanya, selalu mencari dan mencuba keupayaannya kerana puisi yang baik ialah karya yang asli penuh imaginasi dan merdu pula pada bunyinya.
Kesimpulannya, ketiga-tiga sajak yang disiarkan Mingguan Malaysia merupakan kritikan sosial yang ingin disampaikan oleh penyair kepada masyarakat. Ini menepati pandangan Arbak Othman bahawa dalam kesusasteraan, kritikan sosial sering dianggap positif, kerana melalui pendedahan keburukan yang terjadi dalam masyarakat, pembaca dapat menikmati kebaikan moral apabila keburukan yang dilafazkan dalam puisi itu memerlukan tindakan pihak tertentu bagi mengatasi gejala buruk tersebut.
No comments:
Post a Comment