Berkongsi pengalaman itu indah dan puas rasanya apabila dapat dikongsikan dengan orang lain. Harus diingat segala yang kita perolehi bukanlah milik kita yang hakiki. Saya terpanggil untuk berkongsi kisah saya menjalani temuduga (saya kira lebih sesuai frasa ‘ujibakat’ digunakan). Pertengahan tahun lalu, saya mencuba mengisi borang permohonan kerja atas talian yang diuruskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA). Saya tidak meletakkan harapan yang tinggi kerana masih dalam pengajian tetapi sekurang-kurangnya, saya dapat mengumpul pengalaman dan berjumpa dengan orang.
Sebenarnya, saya menerima beberapa surat panggilan temuduga sebelum ini tetapi saya abaikan sahaja. Seterusnya, pada bulan Mei 2010, saya mendapat surat panggilan temuduga untuk jawatan Penerbit Rancangan Gred 41. Hati saya membuak-buak untuk mencuba tambahan pula tengah cuti semester. Beberapa hari kemudian, saya mendapat surat yang lebih kurang sama. Ya,lebih kurang sama kerana juga surat panggilan temuduga Penerbit Rancangan tetapi Gred 27 pula.
Temuduga diadakan di Jabatan Penyiaran Negeri, Radio Televisyen Malaysia (RTM) Kedah. Pada tanggal 17 Mei saya menghadiri temuduga yang pertama tersebut. Hari itu terdapat ramai juga peserta yang hadir. Saya bergiliran tiga terakhir pada hari tersebut dan penat menunggu kerana pada pukul 4 petang lebih baru tiba giliran saya. Untuk ujian suara kami diminta membaca dua petikan berita yang telah disediakan iaitu petikan pertama ialah dalam bahasa Melayu dan petikan kedua adalah pilihan (sama ada bahasa Inggeris, bahasa Mandarin atau bahasa Tamil). Petikan bahasa Inggeris menjadi pilihan saya. Seterusnya bagi ujian penyampaian ialah; 1) penyampaian berita (wajib)- isinya telah diberi tetapi kami perlu mengarang ayatnya sendiri. 2) kami diberi pilihan sama ada untuk memilih jenis penyampaian yang diinginkan (sama ada pengulas acara sukan atau pengulas siaran langsung atau laporan wartawan lokasi atau juruhebah). Saya memilih untuk menjadi juruhebah kerana kami bebas untuk mengemudi rancangan sendiri tetapi perlu disesuaikan dengan waktu pagi. Saya menamakan rancangan tersebut ‘Forum’ dan saya membawakan topik ‘Bahasa Melayu’. Saya siap berpantun lagi (kreativiti namanya, harap dapat menyumbangkan markah).
Temuduga seterusnya, saya lebih semangat kerana pengalaman menjadi bekalan saya. Hari itu juga saya lebih mesra dengan peserta yang lain berbanding dengan yang sebelumnya (terima kasih kakak dan abang yang menegur saya). Bilangan yang hadir pada hari tersebut juga tidaklah seramai yang pertama. Saya bergiliran ke-12 hari itu. Semasa masuk ke konti, suasana ceria dihidupkan oleh seorang kakak yang cam muka saya pada yang pertama kali yang lalu. Juri sempat bertanya sama yang pertama saya membuat yang terbaik atau tidak? Saya dengan selamba menjawab ‘tak bagus’. Mereka ketawa berjemaah ketika itu. Kata mereka, saya sendiri menghakimi diri saya. ‘Kalau macam tu, kamu kena buat yang terbaik yang ni’, pesan salah seorang juri pada saya. Saya melangkah masuk ke sebuah lagi bilik iaitu konti. Ya, saya merasakan saya telah melakukannya dengan terbaik dan lebih puas rasanya jika dibandingkan dengan temuduga yang pertama kalinya. Ketika keluar dari konti, juri seperti kagum dengan usia saya yang masih muda.
Saya pernah menyimpan impian untuk berkhidmat dalam bidang penyiaran. Saya juga mengimpikan mempunyai rancangan bual bicara sendiri. Saya sering bercita-cita mengendalikan sebuah rancangan berbentuk majalah. Selepas STPM yang lalu saya pernah menghantar resume dan gambar untuk pencarian pengacara di RTM. Saya dipanggil untuk ditemuduga, tapi saya abaikan sahaja. Awal tahun ini, RTM telah datang memeriahkan Karnival 3K (Kesenian, Kebudayaan dan Keusahawanan) di UUM. Saya tidak melepaskan peluang untuk menyertai sesi ujibakat penyampai berita.
Semuanya pengalaman yang indah buat saya tetapi saya tahu banyak lagi perkara yang harus saya pelajari dan pastinya banyak cabaran dalam bidang penyiaran ini. Berbalik kepada kedua-dua temuduga yang saya hadiri, saya tidak tahu bilakah keputusannya. Biarlah takdir yang menentukan masa depan saya kerana perancangan Dia adalah yang terbaik. Saya sudah melakukan yang semampunya pada kedua-dua temuduga (saya rasa frasa ujibakat lebih sesuai) tersebut.