Saturday, October 30, 2010

GEDUNG YANG MEMBERIKU NAFAS CITA-CITA

Sudah beberapa tahun saya meninggalkan alam persekolahan. Alam persekolahan sememangnya meninggalkan banyak kenangan sebelum mengerti erti dewasa. Saya ingin memperkenalkan sekolah-sekolah saya yang saya sayangi. Usai sahaja pra-sekolah, emak membawa saya pulang ke Ipoh untuk meneruskan persekolaha di Ipoh pula kerana saya tinggal bersama tok dan tok wan saya ketika pra-sekolah selama dua tahun di Kedah. Dari darjah satu sehingga darjah enam, saya bersekolah di SEKOLAH KEBANGSAAN TAMBUN, IPOH PERAK.

SEKOLAH KEBANGSAAN TAMBUN IPOH, PERAK.

Pada mulanya agak kekok melihat mereka yang tidak saya kenali. Saya hanya berkawan dengan kawan-kawan yang tinggal berhampiran dengan rumah saya sahaja. Maklumlah, saya berprasekolah di Kedah. Biasalah pada permulaan sahaja, apabila sudah saling mengenali, riuh juga kelas dibuatnya. Di sekolah ini saya mengenali erti persahabatan. Alhamdulillah, kami masih berhubung sehingga kini. Sebenarnya, masing-masing membawa haluan sendiri selepas tamat sekolah rendah. Rata-rata mendapat tawaran ke sekolah berasrama, sama ada sekolah berasrama penuh ataupun sekolah asrama harian.

SMK RAJA CHULAN IPOH, PERAK.

Secara automatik, kami yang bersekolah di SEKOLAH KEBANGSAAN TAMBUN akan didaftarkan ke SMK RAJA CHULAN (kini tidak lagi kerana telah wujud SMK TAMBUN dan juga SEKOLAH KEBANGSAAN RAJA CHULAN). Tidak banyak yang dapat saya kongsikan kerana hanya sebulan sahaja saya di sini. Walau bagaimanapun, saya tetap menyayanginya kerana, walaupun sebulan, saya tetap menimba ilmu di situ.

SMK SULTAN YUSSUF, BATU GAJAH PERAK @ SULTAN YUSSUF SCHOOL (SYS)

Setelah mendapat surat tawaran, hati saya gundah gulana untuk menerima tawaran tersebut. Maklumlah terpaksa berjauhan dengan keluarga. Akhirnya saya membuat keputusan untuk menerima demi masa depan yang lebih gemilang. Selama lima tahun saya di sini , banyak sudah yang telah saya timba sebagai pelajar asrama. Menjadi sebahagian daripada Yussufian cukup membanggakan. Maklumlah, siapa yang tidak bangga berada di sebuah sekolah yang ditakrifkan sebagai sekolah premier dan juga sekolah di raja?

KOLEJ SULTAN ABDUL HAMID, ALOR SETAR KEDAH.

Usai sahaja SPM, saya sekeluarga berpindah dan menetap di Kedah. Saya bertekad untuk meneruskan pengajian di peringkat STPM. Asalnya, saya ditawarkan sekolah yang lama, jadi saya minta ditukarkan ke Kedah dan Jabatan Pelajaran Negeri Kedah menawarkan saya sebuah sekolah yang cukup gah, Kolej Sultan Abdul Hamid. Berada di tengah-tengah pekan serta berada pada statusnya yang tersendiri membuatkan saya bimbang jika tidak dapat menerima persekitarannya. Alhamdulillah, sekolah ini persis sekolah saya yang sebelumnya, berstatus sekolah premier juga sekolah di raja. Cuma kali ini di negeri Kedah. Persekitarannya juga tidak banyak bezanya.

1 comment: