Saturday, January 9, 2010
PERJALANAN MPR 2009
Saya mengambil masa yang agak lama untuk meninggalkan catatan mengenai Minggu Penulis Remaja (MPR) 2009 di sini. Saya mencari-cari kata kunci yang sesuai untuk saya kongsikan di sini kerana pengalaman yang saya perolehi cukup indah. Saya juga sempat membaca catatan ahli keluarga MPR 2009 lain di blog masing-masing. Semuanya mengembalikan kenangan saya pada MPR 2009. Saya bersyukur kerana dipilih menjadi sebahagian daripada mereka.
Bertitik-tolak daripada tawaran yang diberikan kepada saya untuk menyertai MPR 2008 yang terpaksa saya tolak, saya tidak putus harapan untuk menyertai MPR pada tahun berikutnya. Alhamdulillah, jodoh saya dengan MPR 2009. Menghampiri tanggal 19 Disember 2009, hati saya berdebar-debar. Perasaan bercampur baur. Walaupun terdetik kegembiraan di hati, saya juga gusar sebelum tibanya tarikh itu.
Sepanjang seminggu program berlangsung, saya telah menimba banyak ilmu, jua pengalaman yang cukup bernilai. Saya akui, menulis tanpa ilmu ibarat menulis tanpa matlamat dan hasilnya hanya luahan rasa yang tidak membangunkan pembaca. Saya mengerti, ilmu yang saya perolehi ini mampu untuk membantu saya dalam penulisan saya selepas ini. Para pembimbing juga tidak lokek untuk berkongsi ilmu dan pengalaman mereka bersama para peserta. Terima kasih kepada para pembimbing dan para penceramah yang telah banyak menabur bakti. Terima kasih!
Kami juga dibawa melawat ke Menara Dewan Bahasa dan Pustaka. Pertamanya, kami dibawa ke Pusat Dokumentasi Melayu (PDM). Pelbagai jenis bahan bacaan yang terdapat di PDM dan sesuai untuk bacaan semua peringkat umur. Hati saya melonjak-lonjak gembira apabila dibawa melawat ke bahagian majalah di tingkat 20. DBP telah menerbitkan sepuluh buah majalah iaitu, DEWAN PELAJAR, DEWAN SISWA, DEWAN MASYARAKAT, DEWAN BAHASA, PELITA BAHASA, DEWAN KOSMIK, DEWAN BUDAYA, DEWAN EKONOMI, TUNAS CIPTA dan DEWAN SASTERA. Kami sempat berkenalan dengan sidang editorial majalah dan mengenali secara lebih dekat majalah-majalah terbitan DBP.
Perjalanan MPR 2009 juga membawa saya menemui sahabat-sahabat baru yakni ahli keluarga MPR 2009. Kami semua seakan serasi bersama. Tanggal 25 Disember 2009, berlabuhlah tirai program MPR 2009 selama seminggu. Gembira dan sedih bercampur rasa. Kenangan tercipta terpatri bersama.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment