Hari raya menjelma lagi dan kerisauan dalam kalangan pemuda-pemudi tahun ini masih berkisarkan tentang soalan 'bila nak kahwin?' Seperti juga tahun-tahun lalu, ramai yang meletakkan emosi mengatasi akal budi dalam mempersiapkan jawapan sebagai pantulan kepada soalan 'berapi' yang satu ini. Laman media sosial sebagai alternatif komunikasi pada masa kini mejadi medan percaturan strategi dan cetusan idea serangan jawapan yang bakal dilontarkan apabila ditembak dengan soalan 'berapi' ini. Pada suatu lapangan mungkin ianya sebuah koleksi jenaka anak muda dalam mencipta reaksi atau bolehlah dikatakan sebagai 'serangan balas'. Namun hakikat sebenar pada suatu sudut, jawapan balas anak-anak muda terhadap soalan yang diajukan tidak mencerminkan kematangan anak-anak muda, jauh sekali menggambarkan ketinggian pendidikan dan juga tatasusila kita sebagai seorang Melayu. Seorang Melayu itu begitu menjunjung adab serta kesantunan.
Hari raya Aidilfitri adalah peluang untuk kita mengeratkan tali persaudaraan dan memohon serta memberi kemaafan. Dalam konteks ini, keterlaluan kita membiarkan darah muda bermaharaja di jiwa sebenarnya mencemar kemuliaan Aidilfitri sebenar tanpa kita sedari. Sewajarnya kita bermaafan di hari nan mulia tetapi kita pula cuba mengguris perasaan orang lain walaupun memang benar kita bukanlah pengaju soalan yang memulakan percaturan ini. Selalunya orang yang lebih dewasa akan memulakan serangan soalan 'bila nak kahwin?' ini, walau bagaimanapun kita masih mempunyai pilihan untuk menjawab dengan kesantunan dan budi bahasa yang tinggi. Ya, kita masih mempunyai pilihan untuk menjawab dengan sebaik perkataan tanpa melontarkan kata-kata yang tidak sepatutnya kepada orang yang lebih dewasa daripada kita.
Peredaran zaman memperlihatkan perbezaan suasana dan situasi dalam masyarakat. Kita harus faham pada zaman dahulu, umur 12 tahun pun sudah boleh menjadi seorang guru. Yang berkahwin pada belasan tahun juga adalah perkara biasa dalam kalangan masyarakat terutamanya golongan wanita. Zaman-zaman ini mungkin dilalui oleh golongan yang lebih dewasa daripada kita dan kita juga harus memahami jurang pendidikan dan pendedahan yang tidak setara antara zaman dahulu dengan zaman sekarang. Sebagai anak muda yang berpelajaran, adalah tidak wajar kita menuturkan kata-kata yang boleh menyingung perasaan orang lain. Apalah gunanya belajar tinggi hingga ke menara gading tetapi memperlihatkan keperibadian sebagai seorang yang tidak berintelektual.
Seperkara lagi, bersangka baiklah sesama kita. Mungkin yang bertanya tiada niat pun untuk menyakiti hati kita dengan soalan 'bila nak kahwin?', jadi begitu kejam jika kita menjawabnya dengan niat untuk menjatuhkan kata-katanya. Jika di khalayak, pastinya memalukannya pula. Bersangka baiklah tanpa ada keraguan di hati. Hari raya bukanlah medan untuk menyimpan demdam, apatah lagi bermusuhan, dan apatah lagi dek kerana soalan 'bila nak kahwin?' sahaja. Sebagai yang lebih muda, kitalah sepatutnya lebih beralah untuk bersangka baik dan menghormati yang lebih dewasa. Tidak fasal-fasal, baru hari raya pertama, kita sudah mengumpul dosa. Jawablah soalan 'bila nak kahwin?' dengan jawapan yang berhemah dan penuh adab. Hati-hati dalam berkata-kata!
Raikan Aidilfitri dengan kesyukuran dan dengan jiwa yang bersih!
Selamat hari raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin.
Selamat hari raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin.
Asslmualaikum admin, buatlah cerpen full di blog atau mana-mana website. Saya teringin nak baca cerpen rumah di dalam pasu bunga tapi potongan akhbarnya sekerat..tak penuh..
ReplyDelete