Friday, March 10, 2017

MAJLIS PENYAMPAIAN HADIAH SAYEMBARA MENULIS CERPEN 2016


Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya dan Gallery Bookstore telah menganjurkan sayembara menulis cerpen untuk kalangan mahasiswa yang berumur 30 tahun dan ke bawah, sama ada menuntut di dalam mahupun di luar negara, asalkan warganegara Malaysia. Sayembara ini dilancarkan pada tahun yang lalu dan tarikh tutup penyertaannya ialah 15 Oktober 2016.

Sayembara ini membenarkan setiap peserta menghantar sehingga tiga cerpen dan mestilah menepati syarat seperti 13 hingga 15 muka surat setiap cerpen dan paling penting bertemakan 'kemanusiaan'.

Majlis penyampaian hadiah telah diadakan pada 23 Februari 2017 di Dewan Semarak, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Lima orang pemenang utama dan 25 pemenang hadiah saguhati telah dipilih daripada 400 penyertaan yang telah diterima oleh urus setia. 30 cerpen yang dipilih sebagai pemenang turut dikumpulkan sebagai sebuah antologi cerpen yang diterbitkan sendiri oleh Gallery Bookstore Sdn. Bhd. 

Cerpen saya berjudul 'Kakak Saya Hidup Semula' dipilih sebagai pemenang hadiah saguhati dalam sayembara ini dan turut dimuatkan dalam antologi yang diterbitkan. Pada bulan Januari saya telah menerima mel elektronik sebagai pengesahan sebagai salah seorang pemenang dan dikehendaki membuat pengesahan kehadiran pada hari penyampaian hadiah. Majlis penyampaian hadiah menemukan saya dengan beberapa sahabat-sahabat baru dan susuk-susuk yang begitu dikenali sekitar sastera Malaysia. Seorang juri sempat menyampaikan rasa sukanya terhadap cerpen saya yang bersifat eksperimen. (Jemputlah baca cerpen sederhana saya itu-saya masih cuba-cuba belajar menulis, bereksperimen)

Antologi Cerpen Mahasiswa: Kimchi boleh didapati dan dibeli di seluruh kedai rangkaian Gallery Bookstore dan juga melalui atas talian.  




#AntologiCerpen
#AntologiKIMCHI
#AntologiCerpenMahasiswaKimchi

No comments:

Post a Comment