#SAYANGSAYANG

Thursday, May 9, 2013

PASCA LAWATAN SAMBIL BELAJAR KE KUALA LUMPUR


Malam itu, saya mengharungi hujan lebat untuk ke stesen LRT. Dingin benar-benar menusuk ke temulang. Ketika berada di KL Sentral, apabila menghampiri detik 11 malam, kereta api yang bakal saya naiki ditunda pula jadual perjalanannya beberapa minit. Ketika perlahan-lahan meninggalkan Kuala Lumpur yang basah, saya melihat kenangan bergentayangan di jendela tren Senandung Mutiara dan malam itu saya benar-benar beradu dalam keadaan kedinginan dalam tren sehingga membawa kepada kesihatan saya agak tidak stabil beberapa hari ini.

Hampir seminggu berada di Kuala Lumpur membuatkan saya sukar untuk melupakan setiap episod kenangan yang saya lalui. Yang pastinya, perjalanan ke Kuala Lumpur bersama sahabat sekuliah iaitu Siti Hamira dan Judy Hakim adalah amat berharga. Tujuan utama kami adalah sama iaitu menerjah Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2013 dan membeli-belah di Kuala Lumpur [Oppps].

Lawatan kami ke Pesta Buku bermula pada pagi 1 Mei dan memandangkan jatuh pada cuti umum, maka berduyun-duyunlah manusia yang menuju ke PWTC ketika itu. Jadi, lawatan pertama ini tidaklah memberi kepuasan yang maksimum kepada saya, tambahan pula sukar untuk mencari tempat untuk menjamu selera dan kami berempat ketika itu mengambil keputusan untuk makan di Jalan Masjid India sahaja.

Ketidakpuasan saya menjelajah PBAKL 2013 saya tunda pada hari terakhirnya memandangkan ITBM juga menyediakan Slot Cantuman Mimpi di Sofa Putih pada hari terakhir. Memang meriah, apabila ITBM pun menawarkan harga runtuh pada hari terakhir. Pada hari terakhir juga kami mempromosikan Cantuman Mimpi buat pengunjung yang hadir. Paling saya ingat pastinya situasi Cantuman Mimpi di pegang oleh seorang kanak-kanak berusia 11 tahun. Saya katakan kepadanya bahawa dia boleh belajar menulis cerpen melalui antologi ini dan memandangkan dia juga meminati lukisan, saya menunjukkan ‘doodle’  comel San kepadanya. Ternyata memang dia membeli Cantuman Mimpi dan kebetulan pula ayahnya seorang juru hebah KLfm. Adik ini juga sebenarnya sudah membaca karya-karya berat seperti tulisan Ramlee Awang Murshid. Ternyata, Cantuman Mimpi begitu mendapat sambutan sehingga menjadi karya terlaris di gerai ITBM sepanjang PBAKL 2013. Pastinya ini semua usaha gigih setiap daripada yang terlibat dalam menjayakan Cantuman Mimpi. Tahniah adik-beradik Legasi Oakheart!

PBAKL 2013 turut menemukan saya dengan insan-insan yang mengikuti perkembangan penulisan saya. Paling saya terkejut ketika saya disapa oleh seseorang ketika berada di gerai UPSB untuk mencari novel laris 1515 sebagai kajian dalam kuliah. Saya tidak menghampakan permintaan mereka untuk bergambar dan memberikan tandatangan. Alahai, betul-betul buatkan saya terharu, nantikanlah buku saya pula nanti. [Entah bila la kan?]

Sepanjang berada di Kuala Lumpur juga, kaki saya telah merayap ke Pasar Seni sebanyak dua kali. Selain melihat keunikan yang ada, sempat juga saya dan kawan menjalani terapi  memasukkan kaki ke dalam kolam dan membiarkan ikan-ikan itu membersihkan kaki kami. Seronok! Pengalaman yang baharu! Kaki saya juga telah ke DBP sebanyak dua kali dan sempat bertemu dengan Kak Mah dan penulis muda Hanna Johan, siap dapat novel comel dia lagi beserta tandatangannya. Bagi menambahkan keseronokan di usia remaja [remaja sangat!], saya dan kawan saya yang sorang ni telah membawa kaki dan hati kami ke AEON Wangsa Maju dan Mid Valley. Pada ketika kawan saya yang sorang ini pergi ke tempat kerja, saya membawa diri seorang diri ke sekitar Jalan Masjid India dan SOGO. Pantang nampak kedai buku, pasti saya singgah dan sempatlah membeli beberapa buku rujukan untuk kuliah. Sambil-sambil tu membelek-belek kain yang murah di sana sementara untuk menuggu kawan yang sorang ni habis kerja. Ahhh...kalau lama-lama di sana memang melayang duit. Jumpa lagi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2014! Saya tinggalkan beberapa keping gambar untuk berbicara!







3 comments:

  1. Tahniah! Hebatnya. Selamat membaca.

    ReplyDelete
  2. 267

    done follow/singgah sini.. jom follow/singgah blog teman.. heee.. http://tengkubutang.blogspot.com/

    klu minat kucen leh follow blog ni jugak.. =)
    http://kucenkucenbelog.blogspot.com/

    ReplyDelete
  3. wow abang haniff... berjalan sakan na.... adikmu ini hanya dapat membaca saja. Semoga kita berjumpa. Merindui abangku ini...

    ReplyDelete