Tuesday, January 26, 2010


Puisi saya yang bertajuk
' Insan Tercipta '
disiarkan dalam DEWAN SISWA FEBRUARI 2010.

Dapatkan segera di pasaran !

Friday, January 15, 2010

UNIKNYA MPR 2009 PADA KEAKRABAN KAMI







Saya yakin ramai mantan MPR 2009 akan mengangkat tangan tanda setuju apabila membaca tajuk catatan saya ini. Serius! Kenyataan ini memang benar . Menghampiri penghujung program, saya ada mendengar daripada urusetia perihal keakraban kami semua. Ada juga yang menyangka kami pernah berjumpa sebelum ini, padahal sama sekali tidak. Oleh yang demikian, saya lebih gemar menggunakan istilah keluarga MPR 2009 bagi merujuk kepada mantan-mantan MPR 2009.

Mungkin minat dalam penulisan telah menyatukan kami. Dalam kalangan kami, tidak timbul sebarang masalah persefahaman. Masing-masing saling menghormati. Ramai juga dalam kalangan mereka lebih muda daripada saya lebih selesa memanggil saya ‘Abang Haniff @ Abang Anip’, tanda hormat mereka.

Kami juga amat rapat dengan urusetia. Ada sahaja gelak tawa yang kami kongsikan bersama. Ada sahaja kenangan yang tercipta antara kami. Mereka amat baik dan mesra dengan kami. Saya juga berasa terlalu berat untuk meninggalkan mereka. Mereka juga merasai perasaan yang sama. Saya juga menitiskan air mata saat air mata Pok Leh bergenag ketika di KL Sentral. Sebenarnya, saya cuba menahan, tapi tidak lagi tertahan apabila melihat air mata Pok Leh bergenang. Dalam gerabak keretapi yang perlahan-lahan meninggalkan kota Kuala Lumpur, saya serta tiga orang lagi mantan MPR 2009 mengalirkan air mata. Saya percaya, mereka juga merasai apa yang saya rasakan waktu itu.


Ketika di Port Dickson, kami mempunyai pengalaman bermain bola tampar bersama. Cukup menyeronokkan. Walaupun tidak pernah bermain bola tampar secara profesional, tetapi semangat kesukanan itu datang dengan sendiri. Saya sendiri berkali-kali ketawa melihat aksi lucu sahabat-sahabat yang lain.


Menghampiri penghujung episod MPR 2009, Saya sudah merasai kesedihan untuk berpisah dengan sahabat-sahabat, para pembimbing dan urusetia. Pada hari terakhir sewaktu di dalam bas menuju ke DBP, saya lebih suka berjaga daripada melayani mimpi-mimpi indah. Hati saya mulai sebak saat bas mula bergerak perlahan untuk berhenti di kawasan Rehat dan Rawat Serdang. Saya tahu ada peserta yang akan turun di situ kerana saya yang menguruskan borang balik mereka. Entah mengapa, air mata saya meleleh di pipi saat itu. Sayu.

Ketika di DBP, seorang demi seorang dijemput oleh waris atau ahli keluarga mereka. Sebelum itu, kami sempat makan tengah hari bersama-sama. Walaupun seketika cuma, saat itu sangat berharga kerana selepas itu masing-masing akan bawa halaun sendiri menuju destinasi yang berbeza. Entah bila lagi akan dapat berkumpul bersama.

Saya antara kelompok terakhir yang berangkat pulang ke rumah. Ketika itu tinggal saya, Syukri, Yani, Fadhli, Rashidi, Aini dan Adilla. Saya juga sempat bersembang bersama Kak Zeti dan Kak Mah, malah sempat bermain dengan anak Kak Zeti lagi. Comel dan aktif betul anak Kak Zeti si Iman tu. Mereka mengakui keakraban kami. Petang itu, Pok Leh menghantar Syukri ke perhentian bas. Rashedi dan Yani ikut sekali. Petang itu juga, saya, Fadhli, Aini dan Adilla menjamah makanan bersama. Nikmatnya lebih terasa apabila makan berjemaah.

Saat kami dilepaskan untuk menaiki keretapi, air mata saya mengalir. Pada air mata itu tersimpan kenangan indah antara kami. Bukan sahaja kenangan dalam kalangan para mantan MPR 2009 tetapi dengan urusetia dan para pembimbing kami. Memang sukar untuk menghadapi perpisahan ini.

Semoga karya kita bertemu di media. Semoga kita berjumpa lagi. Semoga ukhwan ini berkekalan abadi. Insya-Allah. Salam rindu dari saya.


Saturday, January 9, 2010

PERJALANAN MPR 2009




Saya mengambil masa yang agak lama untuk meninggalkan catatan mengenai Minggu Penulis Remaja (MPR) 2009 di sini. Saya mencari-cari kata kunci yang sesuai untuk saya kongsikan di sini kerana pengalaman yang saya perolehi cukup indah. Saya juga sempat membaca catatan ahli keluarga MPR 2009 lain di blog masing-masing. Semuanya mengembalikan kenangan saya pada MPR 2009. Saya bersyukur kerana dipilih menjadi sebahagian daripada mereka.



Bertitik-tolak daripada tawaran yang diberikan kepada saya untuk menyertai MPR 2008 yang terpaksa saya tolak, saya tidak putus harapan untuk menyertai MPR pada tahun berikutnya. Alhamdulillah, jodoh saya dengan MPR 2009. Menghampiri tanggal 19 Disember 2009, hati saya berdebar-debar. Perasaan bercampur baur. Walaupun terdetik kegembiraan di hati, saya juga gusar sebelum tibanya tarikh itu.
Sepanjang seminggu program berlangsung, saya telah menimba banyak ilmu, jua pengalaman yang cukup bernilai. Saya akui, menulis tanpa ilmu ibarat menulis tanpa matlamat dan hasilnya hanya luahan rasa yang tidak membangunkan pembaca. Saya mengerti, ilmu yang saya perolehi ini mampu untuk membantu saya dalam penulisan saya selepas ini. Para pembimbing juga tidak lokek untuk berkongsi ilmu dan pengalaman mereka bersama para peserta. Terima kasih kepada para pembimbing dan para penceramah yang telah banyak menabur bakti. Terima kasih!


Kami juga dibawa melawat ke Menara Dewan Bahasa dan Pustaka. Pertamanya, kami dibawa ke Pusat Dokumentasi Melayu (PDM). Pelbagai jenis bahan bacaan yang terdapat di PDM dan sesuai untuk bacaan semua peringkat umur. Hati saya melonjak-lonjak gembira apabila dibawa melawat ke bahagian majalah di tingkat 20. DBP telah menerbitkan sepuluh buah majalah iaitu, DEWAN PELAJAR, DEWAN SISWA, DEWAN MASYARAKAT, DEWAN BAHASA, PELITA BAHASA, DEWAN KOSMIK, DEWAN BUDAYA, DEWAN EKONOMI, TUNAS CIPTA dan DEWAN SASTERA. Kami sempat berkenalan dengan sidang editorial majalah dan mengenali secara lebih dekat majalah-majalah terbitan DBP.

Perjalanan MPR 2009 juga membawa saya menemui sahabat-sahabat baru yakni ahli keluarga MPR 2009. Kami semua seakan serasi bersama. Tanggal 25 Disember 2009, berlabuhlah tirai program MPR 2009 selama seminggu. Gembira dan sedih bercampur rasa. Kenangan tercipta terpatri bersama.