Sunday, December 30, 2012

RIWAYAT PENULISANKU (2012)


Terasa cepat benar masa berlalu (ungkapan yang sangat klise). 2012 pula akan melabuhkan tirainya. Alhamdulillah, saya masih lagi menulis pada tahun 2012. Jika, pada tahun 2011 saya begitu berhasrat untuk melihat cerpen saya di media, ‘Tempe Malaya’ telah merealisasikannya. Tahun 2012, sasaran saya ialah ingin menulis lebih banyak cerpen dan salah satunya perlu menembusi dinding kebal Mingguan Malaysia. 2012 juga punya cerita yang tersendiri, apabila, 4 minggu berturut-turut karya saya disiarkan di surat khabar. Mana tidak senyum lebar. Saat indah ini dimulakan dengan penyiaran puisi ‘Bisik Cinta Sang Angin’ dalam Mingguan Malaysia bertarikh 29 Januari 2012, seterusnya puisi ‘Angkuh di Bumi Tuhan’ disiarkan dalam Berita Minggu pada 5 Februari 2012. Minggu berikutnya pula puisi ‘Falsafah Nan Renta’ menjadi pilihan editor untuk disiarkan dalam akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 12 Februari dan seterusnya melengkapi empat minggu berturut-turut ialah penyiaran cerpen ‘Naskhah Tok Lah’ dalam Berita Minggu yang bertarikh 19 Februari 2012.
            Sebenarnya untuk tahun ini juga begitu menggembirakan apabila dipelawa oleh editor Tunas Cipta untuk mengisi ruangan Buah Pena Alumni MPR. Sekurang-kurangnya ada juga karya saya disiarkan dalam Tunas Cipta memandangkan saya tidak meletakkan fokus untuk menghantar karya ke Tunas Cipta pada tahun 2012. Walau bagaimanapun terdapat beberapa ralat dalam rencana juga cerpen yang saya kirimkan setelah diedit. Cerpen itu juga sebenarnya telah saya karang sejak tahun 2010 lagi dan apabila membacanya setelah disiarkan begitu, sangat mengguris hati saya-jujur.
            2012 juga amat bermakna memandangkan saya telah mempunyai antalogi bersama beberapa orang penulis muda yang lain di bawah label Legasi Oakheart. Saya kira ini merupakan medan yang sangat bagus kepada kami memandangkan kami penulis baharu. Bukan mudah untuk menjadi ‘seseorang’ dalam mandala ini. Macam-macam yang pernah saya lalui- saya pernah menjadi bahan provokasi sebagai orang yang berlagak seperti orang lama, manuskrip ditolak-perkara biasa bagi seorang penulis, sudah mendatangani perjanjian-tidak menerima duit pendahuluan-dijanjikan penerbitan manuskrip sebelum PBAKL bla bla bla- tak terbit-terbit, dijanjikan mengikut giliran selepas novel bla bla bla-saya umpamakan bulan memang tidak akan jatuh ke riba, tulisan yang disiarkan diedit sehingga membawa makna yang lain dan saya rasa mahu menangis! Oleh yang demikian, berada dalam keluarga Legasi Oakheart sudah menggembirakan saya, membuatkan saya sukar untuk menaruh percaya pada kelompok yang lain kerana saya sedar, saya hanya sezarah cuma.
            Berikut saya perturunkan hasil penulisan saya yang disiarkan sepanjang tahun 2012:
Januari
-Puisi ‘Bisik Cinta Sang Angin’ – Mingguan Malaysia, 29 Januari
Februari
-Puisi ‘Angkuh di Bumi Tuhan’ – Berita Minggu, 5 Februari
-Puisi ‘Falsafah Nan Renta’ – Mingguan Malaysia, 12 Februari
-Cerpen ‘Naskhah Tok Lah’ – Berita Minggu, 19 Februari
April
-Puisi ‘Kau Dagang Hijau Mereka – Tunas Cipta
-Puisi ‘Adalah Engkau Penghukum’ – Mingguan Malaysia, 29 April
Jun
-Cerpen ‘Katak di Bawah Tempurung’- Mingguan Malaysia, 10 Jun
Julai
-Cerpen ‘Jerami Kasih’- Harmoni 1-15 Julai
-Luahan Minda ‘Memperkenalkan SN Wajar diteruskan’ – Tunas Cipta
September
-Puisi ‘Wasiat Lewat Petang’ – Berita Harian Ahad, 30 September
-Antalogi Puisi Elegan, Tadahan Jiwa Penulis
            1.Hikayat Rindu Buat Penyair
            2. Jubah dan Kopiahmu
            3. Pinjamkan Aku Potret Semalam
            4. Molek Sebiji Epal
Disember
-Rencana Buah Pena Alumni MPR ‘Kisah Percintaan Saya’- Tunas Cipta
-Cerpen ‘Seredup Belantara Cinta’ – Tunas Cipta 

4 comments:

  1. Tahniah, Haniff. Moga lebih berjaya untuk tahun 2013. Lebih bekerja keras dan jangan mudah berpuas hati dan mudah berputus asa.

    ReplyDelete
  2. Amin. Ya, saya belum puas menulis lagi. Masa yang ada ini akan digunakan untuk menulis, menulis dan menulis.

    ReplyDelete
  3. Seronoknya abang anip, ajarkan aina cerpen!!!! Tahniah untuk 2012. semoga ilham terus mekar mengembang di tahun 2013!

    ReplyDelete
  4. Wah! Hebat sangat-sangat la abang Anip ni. Banyak kena belajar ni. Nak jadi hebat macam abang Anip juga. Agak-agak tahun 2013, lagi panjang senarainya.

    ReplyDelete