Masih segarkah ingatan kalian
seputar sedekad lalu
saat ketika dua konkrit kembar gah
tersungkur menyembah
dunia pun terbeliak tidak menyangka
melihat runtuh simbol agung kuasa dunia.
Dek serangan berani mati
jiwa tidak berdosa jadi mangsa
riuh sedunia menuding jari
angkara siapa jadi agenda
perpaduan dunia tergendala.
Sedekad sudah ditinggalkan masa
sisa-sisanya masih ada
aksara Islamfobia jadi masyur tiba-tiba
kita dituduh pengganas pula
oh, retorik dunia!
-kerana nila setitik rosak susu sebelanga.
Di bawah langit redup
ayuh, meratib harmoni
semoga kemanusiaan dihormati
keamanan dikecapi!
MOHD HANIFF MOHAMMAD YUSOFF
Universiti Utara Malaysia
-Disiarkan dalam Berita Minggu, 18 September 2011