Saturday, November 24, 2018

CERITA-CERITA SAYA YANG MENYAPA DI BULAN NOVEMBER

Pagi sudah ranum, cerita-cerita yang pernah saya karang kembali menyapa saya dalam pertemuan yang begitu indah di bulan November. Sejujurnya sebegitu banyak hal dan kekangan untuk saya berkarya pada tahun ini. Tidak produktif seperti penulis-penulis lain. Tetapi November begitu mengujakan apabila perasaan karya disiarkan itu saya nikmati lagi. Kali ini berganda-ganda rasanya. Terdapat tiga buah cerpen saya disiarkan dalam bulan November 2018 seperti berikut.

Cerpen 'Dia Bersumpah Telah Membunuh Saka Keperempuanan' telah disiarkan dalam akhbar New Sabah Times. Cerpen ini mengisahkan Suhail yang telah kembali menjadi seorang lelaki sejati dan memandu dirinya mendekati cinta hakiki.

Cerpen 'Seperti Apakah Rasanya Piza' merungkai tentang sebuah persahabatan. Teknik imbas kembali menjadi penggerak penceritaan. Cerpen ini saya karang dengan rasa-rasa, seperti ada ingatan pada seorang sahabat sepermainan. Dan cerpen ini disiarkan dalam akhbar Selangorkini dan dinilai untuk Hadiah Sastera Selangor 2018.

Cerpen 'Rumah di dalam Pasu Bunga' merupakan cerpen yang hampir setahun dikarang, seterusnya melalui proses penambahbaikan dan akhirnya menemui pembaca melalui akhbar Harian Ekspress pada 18 November 2018 yang lalu. Cerpen ini adalah tentang penafian budaya dan sejarah di sebuah daerah. 

O ya, saya sememangnya dilahirkan di Sandakan, Sabah. Keterujaan untuk melihat karya saya menembusi akhbar di Sabah memang dipendam sejak lama. Saya juga sudah dimaklumkan urus setia bahawa dua buah cerpen saya ini iaitu 'Dia Bersumpah Telah Membunuh Saka Keperempuannan' dan 'Rumah di dalam Pasu Bunga' akan dibicarakan dalam program SUNTIK yang akan datang bersama 10 buah cerpen yang lain dan sebuah cerpen akan dipilih sebagai cerpen terbaik bulanan. 

Saya masih berharap sisa-sisa sebulan terakhir tahun ini masih ada rezeki yang menyapa. Mahu melihat cerpen saya disiarkan lagi memandangkan fokus terhadap penulisan pada tahun hadapan seharusnya telah pun bermula.