Saturday, December 12, 2020

KARYA PILIHAN SUNTIK 10/2020


 Syukur kepada Tuhan, karya kedua yang menerima pengiktirafan penilai SUNTIK untuk tahun 2020. 

Monday, May 11, 2020

KARYA PILIHAN SUNTIK 4/2020


Lama saya tidak menaip di sini, meninggalkan coretan. Keterbatasan yang bercabang-cabang tidak memberi ruang untuk saya menyusur diam-diam, meninggalkan jejak di sini. Syukur, cerpen pertama  tulisan saya yang tersiar tahun ini dipilih penilai iaitu Ruhaini Matdarin sebagai cerpen terbaik bulanan antara karya yang disiarkan sepanjang bulan Mac 2020. Sebagai anak kelahiran Sabah, cerpen saya dinilai dan akan dipanjangkan untuk penilaian Hadiah Sastera Sabah. Oh ya, tahun ini sepatutnya penganjuran Hadiah Sastera Sabah 2018/2019, semoga usaha dan perjalanannya baik-baik sahaja.  Selamat berpuasa!

Wednesday, March 13, 2019

SARINGAN AKHIR KATEGORI CERPEN REMAJA HSKU 2017


[ Antologi Kuroshio, Tintarona Publications Sdn. Bhd., 2019]

Saya sebenarnya sudah mula membeli buku sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2019 (PBAKL19) memandangkan saya akan ke Sabah dari Kuala Lumpur dan tidak mahu memenuhi beg saya dengan segala buku yang saya suka. Jadi, saya mengambil pendekatan membeli secara sedikit demi sedikit buku yang berada dalam senarai yang ingin dibeli di PBAKL19 nanti termasuklah antologi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2017 (HSKU 2017) yang saya kira akan sukar untuk dijumpai di kedai-kedai buku.

Membaca laporan panel juri akan menemukan kita pada karya yang turut dibawa ke peringkat akhir untuk diadili yang mana karya yang lebih berhak menerima hadiah utama dan hadiah penghargaan. Ya, saya menemukan cerpen saya juga dalam senarai akhir ini. Cerpen ini merupakan cerpen keempat saya yang disenarai pada peringkat akhir untuk kategori cerpen remaja, kali ini kategori cerpen remaja HSKU 2017. Cerpen yang dimaksudkan ialah 'Alien, Nasi dan Puyu Pekasam' . Cerpen ini disiarkan pada 8 Januari 2017 dalam Mingguan Malaysia, benar-benar di awal tahun. 

Bagaimana hendak membaca cerpen ini? Baiklah, saya akan muncul dengan kumpulan cerpen yang kedua tidak lama lagi [berkemungkinan besar juga mula dijual di PBAKL19] dan cerpen ini turut terkandung dalam kumpulan cerpen tersebut. Selepas kemunculan kumpulan cerpen pertama iaitu Zombi Rumi, saya kira sudah tiba masanya untuk tampil dengan buah tangan terbaharu. Nantikan hebahan terkini dari saya di media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter saya ya.

Salam manis.


Sunday, January 6, 2019

CERPEN 'SEMILIR ANGIN PASIR SALAK'


Tuhan mengizinkan cerpen ini menemui pembaca pada tanggal 6 Januari 2019, sekali gus merupakan cerpen pertama siaran akhbar Mingguan Malaysia pada tahun 2019 dan juga merupakan karya sulung saya pada tahun ini. Jangka masa saya menantikan penyiarannya juga lama iaitu dalam tiga bulan, berbanding sebelum-sebelum ini (merujuk cerpen yang disiarkan dalam Mingguan Malaysia)  yang paling lama dalam sebulan lebih (paling cepat, saya kirim hari Khamis, disiarkan hari Ahad).

Pasir Salak mengingatkan saya pada sejarahnya juga pada kenangan saya sekeluarga menziarahi kompleks Pasir Salak pada tahun 2002 yang lalu. Oh...terlalu lama!

Selamat membaca. Semoga beroleh manfaatnya!

Monday, December 17, 2018

SAYEMBARA MENULIS PUISI GERAKAN DEKAD BAHASA KEBANGSAAN ZON UTARA 2018

Ketika berada di UKM, saya sudah menerima panggilan tentang majlis penyampaian hadiah yang akan diadakan beserta tarikh dan tempatnya. Seawal itu juga saya sudah membayangkan ketidakhadiran saya memandangkan pada tarikh tersebut saya mempunyai jemputan majlis perkahwinan sahabat baik saya. Saya mengirim tiga buah puisi kepada penganjur dengan harapan ada yang tersangkut sebagai pemenang. Saya pernah berasa kesal kerana tidak menyertainya beberapa tahun lalu dan kali ini saya tidak mahu berasa kesal lagi. Tiga buah puisi saya kirimkan penghujung bulan Oktober  menggunakan kiriman Pos Laju, bimbang kiriman tidak sampai pada tarikh yang sepatutnya.


Syukur, dikhabarkan 123 puisi telah dinilai dan 8 buah puisi telah dibawa ke peringkat akhir termasuklah sebuah puisi saya yang berjudul 'Bahasa adalah Seorang Ibu dalam Rumah Kaca'. Puisi-puisi yang telah diadili oleh Dr. Shamsuddin Othman ini telah diumumkan keputusannya pada tanggal 15 Disember 2018 yang lalu. Puisi saya merupakan salah sebuah puisi yang dipilih sebagai penerima hadiah saguhati. Syukur.


HADIAH SASTERA SELANGOR 2018

Sejujurnya saya perlu ke Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) kerana telah mendaftar sebagai pembentang dalam sebuah seminar yang dianjurkan. Kebetulan pula majlis perkahwinan Fysah dalam minggu yang sama. Beberapa hari selepas itu sememangnya saya bercadang untuk menginap di Universiti Kebangsaan Malaysia, melangsaikan tugas yang belum selesai. Kebetulan pula penganjuran Hadiah Sastera Selangor 2018 diadakan ketika saya benar-benar berada di sana. Editor sastera juga memperingat agar dapat menghadirkan diri. Segalanya teratur, tersusun. 

Saya ke sana dengan menumpang keluarga Legasi Oakheart yang turut membuka rerurai sempena Hadiah Sastera Selangor 2018. Dapatlah saya berjumpa, bertegur sapa dan merakam kenangan dengan penulis-penulis lain yang selama ini hanya bertegur di Facebook atau di Instagram. oh ya, sempat juga saya beli novel terbaharu FIXI berjudul Pesona terus dari penulisnya, Arif Zulkifli.



Malam yang penuh kenangan itu telah menyangkutkan cerpen tunggal saya dalam Selangor Kini untuk tahun 2018 yang berjudul 'Seperti Apakah Rasanya Piza' dalam senarai Hadiah Penghargaan kategori Cerpen. 


Terima kasih juri yang memilih. Terima kasih editor sastera Fazallah dan akhbar Selangor Kini untuk ruang dan peluang. Terima kasih kerajaan Selangor yang menganjurkan HSS 2018 dan mengiktiraf karya sastera. 

Saturday, November 24, 2018

CERITA-CERITA SAYA YANG MENYAPA DI BULAN NOVEMBER

Pagi sudah ranum, cerita-cerita yang pernah saya karang kembali menyapa saya dalam pertemuan yang begitu indah di bulan November. Sejujurnya sebegitu banyak hal dan kekangan untuk saya berkarya pada tahun ini. Tidak produktif seperti penulis-penulis lain. Tetapi November begitu mengujakan apabila perasaan karya disiarkan itu saya nikmati lagi. Kali ini berganda-ganda rasanya. Terdapat tiga buah cerpen saya disiarkan dalam bulan November 2018 seperti berikut.

Cerpen 'Dia Bersumpah Telah Membunuh Saka Keperempuanan' telah disiarkan dalam akhbar New Sabah Times. Cerpen ini mengisahkan Suhail yang telah kembali menjadi seorang lelaki sejati dan memandu dirinya mendekati cinta hakiki.

Cerpen 'Seperti Apakah Rasanya Piza' merungkai tentang sebuah persahabatan. Teknik imbas kembali menjadi penggerak penceritaan. Cerpen ini saya karang dengan rasa-rasa, seperti ada ingatan pada seorang sahabat sepermainan. Dan cerpen ini disiarkan dalam akhbar Selangorkini dan dinilai untuk Hadiah Sastera Selangor 2018.

Cerpen 'Rumah di dalam Pasu Bunga' merupakan cerpen yang hampir setahun dikarang, seterusnya melalui proses penambahbaikan dan akhirnya menemui pembaca melalui akhbar Harian Ekspress pada 18 November 2018 yang lalu. Cerpen ini adalah tentang penafian budaya dan sejarah di sebuah daerah. 

O ya, saya sememangnya dilahirkan di Sandakan, Sabah. Keterujaan untuk melihat karya saya menembusi akhbar di Sabah memang dipendam sejak lama. Saya juga sudah dimaklumkan urus setia bahawa dua buah cerpen saya ini iaitu 'Dia Bersumpah Telah Membunuh Saka Keperempuannan' dan 'Rumah di dalam Pasu Bunga' akan dibicarakan dalam program SUNTIK yang akan datang bersama 10 buah cerpen yang lain dan sebuah cerpen akan dipilih sebagai cerpen terbaik bulanan. 

Saya masih berharap sisa-sisa sebulan terakhir tahun ini masih ada rezeki yang menyapa. Mahu melihat cerpen saya disiarkan lagi memandangkan fokus terhadap penulisan pada tahun hadapan seharusnya telah pun bermula. 



Wednesday, October 17, 2018

ANTOLOGI KARYA DARIPADA DIARI RAHSIA


Saya begitu merasakan proses penerbitan antologi ini tidak terlalu memakan masa yang lama. Saya bersyukur kerana turut terselit sebagai penyumbang bersama sahabat-sahabat penulis yang lain.  Sebenarnya ini merupakan antologi kedua saya bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Antologi pertama tidak saya temukan dalam jasad yang nyata, tetapi menurut rekod, telah berjaya diterbitkan. Dunia pembukuan memang rumit! (?)

Coretan saya yang dimuatkan dalam antologi ini merupakan tulisan saya dalam ruangan Buah Pena Alumni MPR yang disiarkan dalam majalah Tunas Cipta pada tahun 2012. Selain itu turut dimuatkan sebuah cerpen saya yang pernah disiarkan dalam sebuah majalah terbitan DBP sekitar tahun 2015. Antologi ini sudah boleh dibeli secara atas talian atau boleh saja bermesej peribadi menanyakannya kepada penulis yang terlibat.

Saya mengucapkan selamat mendapatkannya dan membaca dengan hati yang senang. Oh ya, saya kira lebih sesuai juga diujarkan salam perkenalan kepada yang sudi membeli dan membacanya. Kira-kiranya ungkapan sebegitu sesuai juga memandangkan tulisan-tulisan di dalamnya lebih menjurus kepada proses permulaan dan tabiat penulis.

Sunday, July 22, 2018

LELAH


Sebetulnya, mudah sungguh putus asa itu menghasut. Malam selalu menghadirkan mimpi ngeri untuk bertemu esok pagi. Tugas-tugas saya adakalanya terkeluar dari landasan yang sepatutnya, jauh membelok sebelum benar-benar disedarkan. Seperkara yang perlu diingatkan, adalah unsur luar yang turut menekan tanpa pengetahuan dan belas kasihan. Saya masih memerlukan ruang dan mencari ruang memperbetulkan, kembali ke asal, bergerak di atas landasan.Semoga dipermudahkan.

Sunday, May 20, 2018

MAJLIS PENYAMPAIAN HADIAH SAYEMBARA MENULIS CERPEN 2017

Memasuki musim kedua, Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya dengan kerjasama Gallery Bookstore sekali lagi menganjurkan Sayembara Menulis Cerpen pada tahun 2017. Sambutan yang menggalakkan pada musim pertama dengan 400 lebih penyertaan diteruskan lagi pada musim kedua dalam usaha melahirkan pelapis dalam arena penulisan kreatif terutamanya penulisan cerpen. Saya juga tidak melepaskan peluang untuk menyertainya setelah memenangi hadiah saguhati pada musim yang pertama. 

Borang penyertaan beserta syarat-syarat penyertaan

Sayembara ini meletakkan 'Kemanusiaan' sebagai tema pertandingan dan membuka penyertaannya kepada mahasiswa-mahasiswi yang berstatus warganegara Malaysia berumur 30 tahun dan ke bawah dan masih menuntut sama ada di dalam, mahupun di luar negara. Pada asalnya, majlis penyampaian hadiah dijadualkan berlangsung pada penghujung bulan Mac 2018 di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Walau bagaimanapun, majlis ditunda pada 3 Mei 2018 (Khamis) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2018.

Musim kedua menyaksikan penyertaan yang berganda-ganda daripada musim pertama apabila pihak urus setia menerima lebih daripada 1000 penyertaan bagi menempatkan 30 karya terbaik. Karya-karya telah diadili oleh panel hakim yang telah dilantik seperti Profesor Dr. Mohamad Mokhtar Abu Hassan (Katua Hakim) Profesor Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi, Profesor Madya Dr. Mawar Safei, Profesor Madya Dr. Hashim Ismail, Dr. Tengku Intan Marlina Tengku Mohd Ali, Dr. Madiawati Mamat@Mustaffa dan Dr. Hamizah Ismail.
Pemenang-pemenang hadiah utama

Bergambar bersama kesemua pemenang Sayembara Menulis Cerpen 2017

Bersama Akif Jebat (nama pena), salah seorang pemenang

Dua orang adik saya dari USM. 


Cerpen saya yang berjudul 'Sahabat Saya Seorang Biawak' diumumkan sebagai juara pada pagi kejadian. Secara jujurnya dengan jumlah penyertaan yang sebegitu menggalakkan, saya tidak menyangka cerpen saya yang dipilih sebagai juara. Cerpen saya dan 29 lagi karya pemenang yang diumumkan pada majlis penyampaian hadiah yang begitu meninggalkan nostalgia itu dimuatkan dalam Antologi Cerpen Mahasiswa Dahan Berbunga, terbitan Gallery Bookstore. Boleh dibeli di seluruh rangkaian kedai buku Gallery Bookstore ataupun dapatkannya melalui atas talian.

Syukur, alhamdulillah.
Kehilangan kata-kata
Bergambar bersama pemenang-pemenang utama dan pemenang-pemenang dari UKM (UKM unggul dengan 12 orang mahasiswanya memenangi sayemabra ini) selepas majlis jamuan




Kenangan terindah

Antologi Cerpen Mahasiswa Dahan Berbunga


#cerpen #penulisankreatif #sayembara #GalleryBookstore #AkademiPengajianMelayuUM

Sunday, April 29, 2018

NOVEL HUJAN PAGI



Petang semalam, saya sudah menerima pesanan yang telah ditempah seminggu yang lalu iaitu sebuah novel. Novel Hujan Pagi karya Pak Samad atau Sasterawan Negara (SN) A. Samad Said ini diterbitkan semula sempena ulang tahun penerbitannya yang ke-30 tahun. Edisi kali ini merupakan edisi terhad dan ditampilkan dalam bentuk berkulit keras dan sampul berjaket. Lebih istimewa, setiap pembelian akan diturunkan tanda tangan oleh Pak Samad sendiri. 


Saturday, July 22, 2017

SAMBUTAN AIDILFITRI ITBM DAN PENYAMPAIAN HADIAH


Lama juga saya mengambil keputusan untuk menghadirkan diri. Saya diperangkap oleh tesis saya sendiri. Selagi belum selesai bahagian kerja yang ingin diselesaikan, saya tidak mahu ke mana-mana. Saya juga tidak mahu menyusahkan sesiapa. Begitulah fikiran saya pada pertama kali dihubungi supaya mengesahkan kehadiran sebagai salah seorang pemenang. 

Sebenarnya sudah dua tahun berturut-turut saya tidak ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL). Benar, iaitu pada tahun 2015 dan 2016. Pada tahun ini baru berkesempatan berkunjung, siap menghadiri Perhimpunan 1000 penulis. Selalunya, saya tidak akan melepaskan peluang untuk membeli buku-buku terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan setiap tahun memang diadakan dua peraduan.Tahun ini merupakan kali pertama saya menyertai peraduan 'Beli Buku & Menang'. Sebelum ini saya tak sempat untuk sertai dan saya biarkan borang itu kosong tanpa sebarang tulisan, tapi kali ini saya tekad untuk sertai. 

Majlis yang akan berlangsung lagi dua hari membuatkan saya bertukar fikiran memandangkan urus setia begitu berhemah ketika berhubung dan saya tidak terfikir wakil yang sesuai untuk menggantikan saya memandangkan saya sendiri tidak tahu siapa yang akan hadir. Oleh yang demikian, saya memutuskan untuk hadir dan membeli tiket ETS pada hari Selasa untuk berangkat ke Kuala Lumpur pada keesokan harinya. 

Pada hari Khamis, saya bersiap awal memandangkan majlis akan bermula pada pukul 11 pagi dan saya sendiri tidak pernah ke ITBM, apatah lagi pagi itu saya seorang diri perlu membawa diri ke sana. Syukur saya tiba di sana sebelum majlis bermula, disambut baik oleh warga ITBM. Mujur juga kak Ainunl yang nampak saya ketika di hadapan pintu masuk memanggil nama saya, terus di bawa urus setia ke meja pemenang. Saya katakan pada Kak Ainunl saya malu. Maklumlah, pertama kali ke Wisma ITBM dan saya ni penulis kerdil saja.

Saya tidak menyangka diumumkan sebagai pemenang tempat pertama pada hari tersebut dan memperoleh hadiah buku-buku ITBM terbitan 2017 yang bernilai RM 10 000. Saya rasa seolah sedang bermimpi. Bermimpikah saya? Hahaha.

Pada majlis tersebut, selain menjamu selera dan membeli buku-buku yang dijual, sempat juga berjumpa dengan penulis-penulis yang ada termasuk adik-beradik Minggu Penulis Remaja (MPR) yang lain. Selalunya majlis-majlis sebeginilah mudah untuk berjumpa dengan adik-beradik MPR. Sempat juga bersembang dengan abang senior MPR dan tok guru di MPR dulu iaitu Dr. Shamsuddin Othman. Perbualan kami berkisahkan pengajian saya dan peluang kerjaya selepas tamat pengajian. Teringat lagi, ketika sesi bedah karya yang pertama, Dr. Sham memlih puisi saya yang disiarkan dalam Berita Harian yang berjudul 'Bahagia Itu Milik Kami' untuk dibedah. Seterusnya, menghampiri penghujung program, kami dibahagiakan kumpulan untuk sesi bedah karya yang dihasilkan ketika di program MPR pula dan saya di bawah kumpulan Dr. Sham.

Saya pulang kerika sudah pun pukul 2.00 petang pada hari tersebut. Yang seronoknya, saya tidak perlu bersusah-payah menunggu teksi, sebaliknya ITBM menyediakan pengangkutan untuk ke stesen LRT yang berhampiran. Saya begitu berpuas hati dengan layanan warga ITBM, memang tidak menyesal menghadirkan diri! Layanan yang diberikan membahagiakan!


Para pemenang Peraduan Beli Buku dan Menang Koleksi 2017
Para pemenang Peraduan Kritik Buku ITBM-PBAKL 2017

Persembahan puisi oleh saudara Za'im Yusoff

Persembahan oleh YB Budiman

Bersama tuan rumah Encik Khair, Kak Salina Ibrahim (MPR 1991), Kak Raihani Mohd. Saaid (MPR 1997), Shamsul Amin (MPR 2010) dan saya (MPR 2009)

Bersama Pok Nik (MPR 2004)  yang turut memenangi tempat ketiga peraduan 'Beli Buku dan Menang Koleksi 2017'