Friday, January 31, 2014

ULANG TAHUN KELAHIRAN KE-26

Oh usiaku kian berganjak, diriku bagaikan tidak percaya. Inikah dinamakan cinta? Rasanya baru sahaja menyambut usia jubli tembaga tahun lepas. Dan Januari datang lagi tanpa pernah kecundang dalam mendahului bulan-bulan yang lain. Januari kali ini juga indah tetapi sayang karya dalam penulisan tidak menyerlah. Januari tahun ini saya sudah bebas dari peperiksaan, tiada tekanan menghadap segala nota dan teori yang menyesakkan. Januari kalai ini juga kaki saya sempat merayap-rayap ke Kuala Lumpur, hampir seminggu juga di sana. Dan Januari saya batuk tanpa henti. Hehehe. 

Melalui blog saya yang indah menawan ini, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada setiap daripada anda yang mengucapkan selamat ulang tahun kelahiran kepada saya tidak kira secara verbal atau non-verbal. Hehehehe. Terima kasih atas ucap selamat yang disalurkan melalui Facebook, Twitter, SMS, WeChat dan juga WhatsApp. Oh ya terima kasih yang bagi hadiah dan yang janji nak bagi hadiah. Saya tunggu dengan penuh setia. Berikut beberapa ucapan yang menarik perhatian saya. Ada artis ucap selamat juga tau! 

Melalui Facebook, saya menerima ucap selamat daripada seorang pelakon dan juga penggiat teater, Shafaren Hamid. Di Twitter selalu juga berbalas tweet dengan beliau. Seterusnya, blogger terkenal Malaya, Ben Ashaari pun ucap selamat di dinding twitter saya. Terima kasih Abang Ben!

Ucapan menerusi Facebook
Melalui Twitter, saya turut menerima ucap selamat daripada Kak Farah. Farah mana? Ala Farah AF 2 Breep....breep...tu. Kebetulan, sebenarnya kami menyambut hari pertambahan usia pada tarikh yang sama. 

Ucapan daripada Farah Diana menerusi Twitter

Oh ya melalui Twitter ni, saya tertarik sangat dengan ucapan Shamsul Amin. Saya rasa saya ni seperti selebriti pula tau! 


Usaha yang baik oleh Shamsul Amin


Kalaulah betul-betul 'trending' #HappyBirthdayMohdHaniffMohammadYusoff tu, tahun depan rasanya saya kena buat album berduet dengan Dato' Siti Nurhaliza Taruddin. 

Terima kasih juga buat FAMILY SKYPE, boleh cari kami di twitter dengan kata kunci : #familyskype Eh, terpromosi pula. Mereka membuat ucapan melalui aplikasi WhatsApp. Walaupun kami tidak pernah berjumpa, tetapi keakraban antara kami tetap terasa.

Oh ya, saya juga nak ucapkan terima kasih kepada seorang abang ini atas kreativitinya mengedit gambar saya di bawah ini:

Terima kasih Bang Najeeb!
Ya, dia juga seorang blogger, bolehlah ke blog beliau seperti alamat blognya yang tercatat dalam gambar di atas. Terima kasih abang Najeeb, nak hadiah juga!!! 

Yang memberi dan kirimkan hadiah, terima kasih tidak terhingga. Yang berjanji dan belum dilunasm saya tunggu penuh setia. Hehehe. Setulus ikhlas dari hati, saya ingin mengucapkan ribuah terima kasih atas ucapan dan tanda ingatan yang kalian berikan. Semoga penambahan umur ini lebih mematangkan diri dari segala sudut dan segi. =)


Antara hadiah yang diperolehi tahun ini




PEMENANG PERTAMA SILANG KATA SOLUSI



Alhamdulillah, setelah tiga kali percubaan berturut-turut, akhirnya tersangkut kali ini dan terus menjadi pemenang tempat pertama. Dua percubaan sebelumnya gagal untuk mendapat sebarang hadiah. Ini merupakan kali pertama memenangi peraduan silang kata anjuran majalah berbentuk Islamik, Solusi. Sebelum ini pernah menang tiga kali peraduan silang kata majalah Dewan Siswa-itu cerita zaman persekolahan dulu. 

Beli dan bacalah majalah Solusi ni. Banyak manfaatnya dan kertas serta kulit majalah ni sangat berkualiti! Saya begitu berpuas hati apabila memilikinya. 


Majalah Solusi keluaran terkini. [Diambil dari Facebook 'Majalah Solusi']

Monday, January 27, 2014

EMPAT JAM DI LANGKAWI


CATATAN TERTANGGUH- DISEMBER 2013

Benar, hanya empat jam sahaja kami berada di Langkawi. Mengikut perancangan awal sememangnya sebegitulah- tidak terlalu lama. Kami ke sana sekadar untuk menjamu selera dan bersiar-siar di sekitar kawasan jeti Pekan Kuah sahaja. Memandangkan waktu cuti persekolahan, jadi memang ramai pelancong dari dalam dan luar negara yang hendak ke Langkawi ketika itu. Hampir sejam juga menuggu waktu perjalanan feri memandangkan itulah waktu perjalanan terdekat yang ada: kami juga dinasihatkan untuk membeli tiket feri terlebih dahulu ketika tiba di jeti Pekan Kuah nanti memandangkan hanya sehari ke Langkawi-bimbang kehabisan tiket.

Bertolak dari jeti Kuala Perlis ke jeti Pekan Kuah, Langkawi memakan masa sejam juga, namun jika dibandingkan perjalanan dari Kuala Kedah ternyata masa perjalanannya lebih lama berbanding dari Kuala Perlis. Setibanya di jeti Kuala Perlis, kami terus membeli tiket untuk pulang dan seterusnya mencari restoran Kenny Rogers. Restorannya hanya berhadapan sahaja di luar bangunan jeti Pekan Kuah.

Setelah usai bersolat- jangan bimbang akan kemudahan awam di bangunan jeti Pekan Kuah, kami bersiar-siar sambil bergambar di Dataran Helang. Baki masa yang ada kami gunakan untuk membeli-belah [membeli coklat] dalam bangunan jeti Pekan Kuah.

Perjalanan pulang berjalan dengan lancar cuma laut bergelora ketika hampir ke Jeti Kuala Perlis. Memang terasa terumbang-ambing. Filem Thor dipertontonkan kepada penumpang tetapi keletihan menyebabkan saya tidur sepanjang perjalanan pulang. Empat jam di Langkawi, pengalaman manis bersama teman-teman, melarikan diri dari tekanan.

Thursday, December 19, 2013

MELALUI HARI-HARI TANPA MENULIS

Saya sudah lama mendiamkan diri dari berkarya dan saya terpaksa lupakan sasaran saya iaitu dua lagi cerpen untuk tahun ini. 

Thursday, November 28, 2013

LUAHAN MINDA | TUNAS CIPTA NOVEMBER | MEMARTABATKAN SASTERA REMAJA

Kredit gambar: FB Bang Ghani

"...sastera remaja berkaitan dengan persekitaran remaja tetapi dari segi penulisnya dan khalayak pembaca tidak hanya tertumpu pada golongan remaja sahaja. Selain golongan dewasa, golongan kanak-kanak yang pemikirannya lebih matang daripada rakan-rakan sebayanya akan cenderung untuk memilih teks sastera remaja untuk dibaca..."
'Memartabatkan Sastera Remaja' - Luahan Minda, Tunas Cipta November 2013

Wednesday, November 20, 2013

BLOG DALAM MAJALAH REMAJA | MAJALAH REMAJA | PENGHIAS KULIT 15 NOVEMBER: NAJWA LATIF


            Blog saya dalam majalah Remaja edisi 15 November 2013!

Dapatkan majalah Remaja yang kulit depannya dihiasi oleh penyanyi lagu 'Cinta Muka Buku'.

Wednesday, November 6, 2013

MINGGU YANG TIDAK PRODUKTIF


Pernah suatu ketika menulis (baca: menaip) di blog merupakan sesuatu yang perlu dilakukan pada setiap minggu tetapi kekangan masa dan lambakan kerja menjadikan ruang untuk meluahkan segalanya di sini agak terhad tetapi saya cuba untuk tidak membiarkannya terus sepi tanpa khabar. Sebenarnya dalam seminggu ini saya kira minggu yang langsung tidak produktif bagi saya. Kesihatan saya agak terganggu memandangkan keadaan cuaca sekarang dan adakalanya sukar diramal. Seminggu juga saya demam dan saya yang tidak suka bergantung kepada ubat, lebih suka untuk membiarkannya sembuh sendiri jika saya yakin tiada yang memudaratkan. Malam-malam yang saya lalui, badan saya sangat panas dan saya tidak boleh melelapkan mata. Puas saya ke kiri ke kanan, bergolek-golek. Sesudah Subuh baru saya boleh melelapkan mata. Keadaan sebegitu berterusan untuk beberapa malam. 

Demam ini saya masih boleh kawal apabila saya tidak mengalami sakit tekak. Selera saya juga berkurangan, tetapi saya tetap juga makan sedikit untuk mengumpul tenaga, maklumlah kerja yang bertimbun menjeling sahaja setiap ketika. Seminggu jugalah, barulah saya rasa betul-betul bebas dari penjara demam ni, setelah itu fokus kembali kepada tugasan yang belum selesai. Banyak juga tugasan yang belum diselesaikan ni. Tugasan penulisan, saya ketepikan dahulu dan matlamat di penghujung tahun ini sebenarnya saya masih berharap sekurang-kurangnya dua lagi cerpen saya mendapat ruang di media (tahun yang tidak produktif berkarya juga sebenarnya).

Dalam bulan November ini terdapat beberapa lagi pebentangan dan tugasan yang perlu dihantar. Setiap satu subjek tugasannya berganda-ganda, yang perlu dibentang bukan sekali dua sahaja. Bulan Disember pula ialah bulan menduduki peperiksaan akhir. Oh ya, saya belum fikirkan tajuk untuk projek akhir saya. Semester hadapan merupakan semester terakhir saya dan perlu bergelumang dengan kertas projek. Semoga Tuhan memberikan kekuatan untuk saya mengharungi segalanya. 

Tugasan yang belum selesai

Tahniah juga kepada rakan-rakan yang karyanya diiktiraf dalam beberapa anugerah sastera negara. Biarpun keputusan rasminya belum diketahui, tetapi hasil yang saya perolehi ada ramai nama baru yang akan naik pentas kali ini. Saya turut berbangga dengan kejayaan mereka, dan terkaan saya ada yang mengena berdasarkan pembacaan saya terhadap karya mereka sepanjang tahun lalu. Tahniah! 

Wednesday, October 23, 2013

YANG NAKAL-NAKAL

Kumpulan Cerpen dan Puisi Yang Nakal-Nakal
Lama juga saya mencarinya. Maklumlah di Alor Setar ni bukan mudah untuk mendapatkan buku-buku pilihan. Setelah berpeluang ke Kedai Buku Satu Malaysia di UTC Kedah, buku ini antara yang saya senarai yang perlu saya beli dan sememangnya sudah menjadi rezeki saya, saya temuinya di situ. Kumpulan cerpen dan puisi ini merupakan himpunan karya-karya Allahyarham Sasterawan Negara Usman Awang. Usaha BukuFixi ini adalah usaha yang murni dan dengar khabar juga, akan diterbitkan lagi buku-buku seperti ini.

Tuesday, October 22, 2013

HUJAN DAN KEBIMBANGAN


Suatu pagi, saya bangun begitu awal dan hujan turun dengan lebatnya. Menara Alor Setar yang selalunya boleh dilihat kecil dari rumah saya juga hilang terus daripada pandangan begitu sahaja. Angin begitu kencang menyapa sebelum Subuh lagi. Dan hujan yang turun ketika musimnya ini benar-benar meninggalkan kebimbangan: bimbang peristiwa pada tahun 2010 berulang kembali. 

Pada Tuhan jua, kita kirimkan doa dan sandarkan pasrah.

Monday, September 30, 2013

CERPEN 'MANUSIA SEKERAT ULAR SEKERAT BELUT'

CERPEN                                                                                                                                           
MANUSIA SEKERAT ULAR SEKERAT BELUT
OLEH: MOHD HANIFF MOHAMMAD YUSOFF

1.
KISAH mengenai Manusia Sekerat Ular Sekerat Belut bukanlah cerita dongengan purbawara. Jangan pula ada yang menggelar saya seorang yang suka berjenaka gara-gara bercerita mengenai manusia sekerat ular sekerat belut. Paling penting jangan menuduh saya menipu kalian dengan kisah saya ini. Hakikatnya, kalian perlu percaya bahawa Manusia Sekerat Ular Sekerat Belut itu memang benar-benar wujud di dalam dunia ini!
            Sewaktu masih kecil, saya yang tidak pernah berjumpa dengan Manusia Sekerat Ular Sekerat Belut gemar membayangkannya. Mungkin wajahnya seperti manusia, badannya seperti belut dan kakinya seperti ular. Kalau difikirkan balik, ular mana ada kaki. Belut pun lebih kurang sama seperti ular. Mungkin juga wajahnya persis belut, badannya semacam ular dan kakinya, kaki manusia. Sukarnya saya hendak menentukan jenis entiti Manusia Sekerat Ular Sekerat Belut ini. Adakalanya imaginasi kanak-kanak saya terbatas dan saya andaikan Manusia Sekerat Ular Sekerat Belut itu dipelihara di Taman Haiwan Negara agar saya dapat melihatnya suatu hari nanti. Pastinya ketika itu, saya tidak perlu lagi pening memikirkan keadaan fizikalnya.
            Sebenarnya ayahlah yang mula-mula menyebut nama Manusia Sekerat Ular Sekerat Belut di dalam rumah cuma saya yang terpinga-pinga berbanding ibu dan abang apabila mendengar nama entiti itu buat pertama kalinya. Ketika itu, kami sedang menikmati makan malam yang disajikan oleh ibu. Saya begitu asyik meratah ikan bawal masak tiga rasa ketika itu dan dalam ralit meratah kesedapan masakan ibu, kata-kata ayah membuatkan saya memperlahankan kunyahan saya.
            “Manusia Sekerat Ular Sekerat Belut semakin angkuh. Langsung tidak peduli sindiran dan nasihat orang lain.”
            Saya yang ketika itu baru berusia tujuh tahun, mencelah kata-kata ayah itu walaupun masih belum menghabiskan makanan sedangkan ayah, ibu dan abang telah pun selesai. “Ayah, Manusia Sekerat Ular Sekerat Belut tu macam dinosourkah?
            “Adik, lebih daripada itu sebenarnya.”
            “Maknanya Manusia Sekerat Ular Sekerat Belut tu makan orang macam kitakah, ayah?”
            “Ya, adik. Habis jati diri bangsa dimamahnya. Kelak adik akan faham juga.”
            “Ngerinya adik dengar.”
            Mendengar kata-kata ayah itu membuatkan saya gerun. Saya menghabiskan makanan saya tanpa menyoal ayah perihal Manusia Sekerat Ular Sekerat Belut lagi. Sejujurnya sejak malam itu, Manusia Sekerat Ular Sekerat Belut menjadi mimpi yang paling mengerikan. Maksim ketakutan saya terhadap Manusia Sekerat Ular Sekerat Belut lebih tinggi berbanding hantu-hantu yang pelbagai jenis di dunia ini. Abang pula selalu menyakat saya dengan kehadiran Manusia Sekerat Ular Sekerat Belut. Katanya, Manusia Sekerat Ular Sekerat Belut akan datang kepada saya untuk mengambil saya sebagai anak angkatnya jika saya tidak tahu berbahasa Melayu dengan baik. Idea menyakat abang sangat berhasil sehingga saya juga menjadi pencinta buku sepertinya dan apabila semakin membesar, saya menaruh percaya akan kebenaran kata-kata abang itu. Ya, saya akan menjadi anak angkat, mungkin juga anak kesayangan kepada  Manusia Sekerat Ular Sekerat Belut ini jika tidak tahu menyayangi bahasa ibunda sendiri.
            Suatu ketika, langit kelihatan begitu cerah nan gemilang, ayah membawa kami ke Taman Haiwan Negara bagi mengisi cuti hujung minggu. Paling gembira pastilah saya si anak bongsu. Awal-awal lagi saya sudah berpesan kepada abang agar membawa sekali kamera mahalnya. Saya katakan pada abang bahawa saya mempunyai misi yang penting ketika di Taman Haiwan Negara nanti. Setelah melangkah masuk ke dalam taman fauna yang besar itu, tiada rasa keterujaan yang bertamu. Haiwan-haiwan yang ada di situ tidaklah menarik perhatian saya memandangkan saya pernah melihatnya melalui peti televisyen dan juga melalui bahan bacaan. Saya mencari-mencari sesuatu tetapi tidak ketemui. Saya hampa. Abang pula seolah-olah dapat meneka musabab wajah saya mencuka.
            “Adik kecewa sebab tidak dapat melihat Manusia Sekerat Ular Sekerat Belut?”
            “Sangat kecewa. Kenapa Manusia Sekerat Ular Sekerat Belut itu tiada di sini? Adakah Manusia Sekerat Ular Sekerat Belut telah pupus seperti dinosaur?
            “Suatu hari nanti adik akan berjumpa juga dengan Manusia Sekerat Ular Sekerat Belut tu. Kalau tidak jumpa di Taman Haiwan Negara, mungkin di Muzium.”
            “Muzium?”
            “Muzium bahasa, itupun kalau adik bernasib baik.”
            Abang gelak berdekah-dekah pada saya. Saya rasa mahu sahaja mengigit tangannya, tetapi nasib baik dia pandai memujuk adiknya ini dengan membeli buku terbaru untuk saya ketika dalam perjalanan pulang dan menyebabkan saya tidak mempersoalkan lagi mengenai ketiadaan manusia sekerat ular sekerat belut di Taman Haiwan Negara. Buku tersebut juga sangat menarik iaitu Nahu Melayu Mutakhir, karangan Asmah Haji Omar. Ya, abang sememangnya memanjakan saya dengan buku-buku berat seperti ini biarpun saya masih di usia kanak-kanak.
Masa yang pantas berlalu turut jauh meninggalkan saya dengan kisah Manusia Sekerat Ular Sekerat Belut. Saya semakin melupakan Manusia Sekerat Ular Sekerat Belut dan tiada lagi bayangan atau mimpi ngeri penuh misteri mengenainya pada setiap malam ketika melewati usia remaja.
            Lupakan seketika perihal Manusia Sekerat Ular Sekerat Belut memandangkan masing-masing sibuk bercerita mengenai Mesyuarat Persatuan Bahasa Melayu Sejagat. Masing-masing berteka-teki dengan tarikh yang bakal diumumkan oleh Presiden Persatuan Bahasa Melayu Sejagat.
“Khabarnya mulai tahun ini kertas pemilihan akan berubah,” kata Pak Cik Selamat Misai Kontot.
“Anak aku pun yang kerja di Kantor Persatuan Bahasa Melayu Sejagat pun cakap macam tu. Katanya, sistem pemilihan tahun ini lain, tapi aku tak tau la lain macam mana,” sambung Pak Cik Khamis.
Ketika sedang asyik menonton drama air mata yang klise di peti televisyen sambil memakan rojak buah, tiba-tiba siaran beralih kepada pengumuman daripada pihak Majlis Pusat Bahasa Melayu Sejagat. Ayah begitu asyik sekali memberi perhatian terhadap siaran televisyen. Pengumumannya membuatkan ayah terus menutup televisyen. Mata ayah tidak berkedip pun. Mulut ayah terkumat-kamit seperti membaca jampi tetapi saya yakin itu bukan jampi. Saya tidak berani memandang muka ayah yang tengah amarah itu, lalu menyambung memakan rojak buah yang dibeli sebelum itu. Tiba-tiba ayah bersuara.
“Adik, jangan jadikan bahasa kebangsaan kita seperti rojak buah ini.” Saya memperlahankan kunyahan dan menganggukkan kepala. Saya mengerti amanat mulus ayah itu.
Sebelum suria pagi menyapa, orang ramai telah keluar ke Pusat Pemilihan Jawatankuasa Persatuan Bahasa Melayu Sejagat. Ayah, ibu dan abang turut keluar membuat pemilihan. Saya hanya tinggal di rumah dan menonton siaran televisyen sambil saya  menyelak buku sains Bahasa Melayu yang saya pinjam dari abang agar saya lebih berfikiran rasional daripada mereka-harapnya.
2.
Ketika menonton kartun yang begitu menguji minda di televisyen, satu pengumuman telah dibuat berkaitan pemilihan Ahli Jawatankuasa Persatuan Bahasa Melayu Sejagat yang dijalankan pada hari sebelumnya. Pengumuman tersebut benar-benar diujarkan dalam bahasa Melayu sepenuhnya tanpa dicampuradukkan. Kata orang yang sedang berucap itu, banyak kertas pemilihan yang tidak diterima. Nyatanya, ramai yang tidak faham mengisi kertas pemilihan yang telah diedarkan.
            “Pak Cik tak faham kaedah mengisi kertas pemilihan kali ini kerana tiada penjelasan tepat mengenainya,” kata seorang lelaki beruban ketika ditemuramah pemberita.

            Sejak hari itu, Manusia Sekerat Ular Sekerat Belut kian pupus. Presiden Bahasa Melayu Sejagat begitu tegas dalam memartabatkan bahasa Melayu. Sesiapa sahaja yang bercakap Melayu dan dicampur dengan bahasa asing akan didenda!

HAK CIPTA TERPELIHARA
Cerpen ini telah disiarkan dalam Berita Harian Ahad, 8 September 2013

Thursday, September 12, 2013

CERPEN | MANUSIA SEKERAT ULAR SEKERAT BELUT | BAHASA MELAYU

'Manusia Sekerat Ular Sekerat Belut'-Berita Harian Ahad, 8 September 2013

Alhamdulillah, akhirnya cerpen ini mendapat tempat di media. Menunggu masa untuk disiarkan pun tidaklah lama, dalam erti kata lain tidak sampai sebulan daripada tarikh penghantarannya. Sebenarnya, sebelum ini saya mengirimkan cerpen ini ke sebuah majalah dan setelah beberapa bulan menunggu, saya pun menarik kembali cerpen ini daripada editornya, lalu dikirimkan kepada editor sastera Berita Harian Ahad dan menemui pembaca pada 8 September 2013. 

Malam sebelum penyiarannya, saya sudah dapat merasai aura penyiarannya pada hari esok, sehinggalah pagi itu saya membaca beberapa mesej yang diterima (selalunya, hati akan berdebar-debar dan seolah-olah saya dapat mengagak bahawa esok karya saya disiarkan). Semoga beroleh manfaat daripada cerpen saya ini.

Ucapan tahniah juga saya terima menerusi Facebook, terima kasih!
-Tengah menulis cerpen yang seterusnya. Doakan ya!

Monday, September 2, 2013

SETAHUN ELEGAN | LEGASI OAKHEART

Tarikh 1 September, tahun 2013 adalah genap setahun majlis pelancaran antologi puisi Elegan yang juga merupakan produk pertama Legasi Oakheart. Pastinya setahun ini merupakan  tahun yang terisi dengan cerita-cerita yang bermakna antara kami ahli-ahli Legasi Oakheart, tambahan pula jumlah ahli keluarga kami kian bertambah. Dalam usia setahun kelahiran produk pertama, Legasi Oakherat sebenarnya telah menerbitkan empat buah produk buku dan kini tampil dengan majalah Legasi. 

Kredit gambar: Legasi Oakheart/Hafiz Latiff



Sunday, September 1, 2013

KEPUTUSAN CERPEN DAN PUISI MUDA MUDI

Pihak kami di Legasi Oakheart menerima penyertaan yang begitu menggalakkan untuk antologi cerpen dan puisi Muda Mudi yang bakal diterbitkan. Sebanyak 190 buah puisi dan 64 buah cerpen telah diterima. Pihak kami mengambil masa yang agak lama untuk menilai dan memilih yang terbaik. Terima kasih atas sokongan dan penyertaan anda. Berikut merupakan senarai nama penulis yang karyanya terpilih. Tahniah!



Keputusan bagi cerpen yang terpilih untuk antologi Muda Mudi

Keputusan bagi puisi yang terpilih untuk antologi Muda Mudi

Antologi/Cerpen /Puisi /Muda-Mudi/ Legasi Oakheart