Wednesday, July 3, 2013

PEPERIKSAAN SEMESTER DUA YANG SUDAH SELESAI

Tika saya menaip entri ini, hujan begitu lebat di luar sana. Lama juga saya tidak mengemaskini blog sendiri. Malah, ada yang tertanya-tanya ke mana saya menghilang memandangkan di Facebook juga saya tidak seaktif selalu. Sebenarnya, saya menghadapi peperiksaan akhir untuk semester dua dan biarpun jadualnya seminggu satu subjek, masa seminggu itu juga saya gunakan untuk menyiapkan tugasan. Tugasan semester ini memang saya rasa beratnya berbanding semester yang lalu. Alhamdulillah, segalanya telah selesai dan dalam bulan Julai ini juga keputusannya akan diumumkan. Biarpun, cuti telah pun bermula, saya, Hamira dan Judy terikat dengan tugasan sebagai RA- pembantu penyelidik kepada Dr. Hisham. Menulis? Pensyarah subjek Sastera untuk Kanak-kanak dan Remaja sempat menitip pesanan agar saya menulis. Saya tengah mengumpul kekuatan sebenarnya. Sebenarnya, diri sendirilah yang menjadi pendorong paling utama untuk kita melakukan apa sahaja. 

Salam sayang!
-Mohd Haniff Mohammad Yusoff

Thursday, May 16, 2013

LUAHAN MINDA LAGI!

Alhamdulillah, rezeki dari Tuhan. Luahan Minda saya dipilih lagi untuk disiarkan dalam Tunas Cipta Mei 2013. Saya memang begitu tertarik dengan paparan Cerita Rakyat yang diketengahkan pada edisi Mac yang lalu. Selain itu, surat saya juga dipilih untuk disiarkan dalam ruangan Surat Pembaca Dewan Sastera Mei 2013 bersama-sama surat abang Helmi dan abang Wadi. Kesamaan kami ialah kami bertigi ialah penulis yang berasal dari Kedah. Ahad minggu lepas juga membawa khabaran gembira kepada saya apabila puisi saya dipilih untuk disiarkan dalam Mingguan Malaysia- 'Memilih Jururterbang Nan Pejuang'

Thursday, May 9, 2013

PASCA LAWATAN SAMBIL BELAJAR KE KUALA LUMPUR


Malam itu, saya mengharungi hujan lebat untuk ke stesen LRT. Dingin benar-benar menusuk ke temulang. Ketika berada di KL Sentral, apabila menghampiri detik 11 malam, kereta api yang bakal saya naiki ditunda pula jadual perjalanannya beberapa minit. Ketika perlahan-lahan meninggalkan Kuala Lumpur yang basah, saya melihat kenangan bergentayangan di jendela tren Senandung Mutiara dan malam itu saya benar-benar beradu dalam keadaan kedinginan dalam tren sehingga membawa kepada kesihatan saya agak tidak stabil beberapa hari ini.

Hampir seminggu berada di Kuala Lumpur membuatkan saya sukar untuk melupakan setiap episod kenangan yang saya lalui. Yang pastinya, perjalanan ke Kuala Lumpur bersama sahabat sekuliah iaitu Siti Hamira dan Judy Hakim adalah amat berharga. Tujuan utama kami adalah sama iaitu menerjah Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2013 dan membeli-belah di Kuala Lumpur [Oppps].

Lawatan kami ke Pesta Buku bermula pada pagi 1 Mei dan memandangkan jatuh pada cuti umum, maka berduyun-duyunlah manusia yang menuju ke PWTC ketika itu. Jadi, lawatan pertama ini tidaklah memberi kepuasan yang maksimum kepada saya, tambahan pula sukar untuk mencari tempat untuk menjamu selera dan kami berempat ketika itu mengambil keputusan untuk makan di Jalan Masjid India sahaja.

Ketidakpuasan saya menjelajah PBAKL 2013 saya tunda pada hari terakhirnya memandangkan ITBM juga menyediakan Slot Cantuman Mimpi di Sofa Putih pada hari terakhir. Memang meriah, apabila ITBM pun menawarkan harga runtuh pada hari terakhir. Pada hari terakhir juga kami mempromosikan Cantuman Mimpi buat pengunjung yang hadir. Paling saya ingat pastinya situasi Cantuman Mimpi di pegang oleh seorang kanak-kanak berusia 11 tahun. Saya katakan kepadanya bahawa dia boleh belajar menulis cerpen melalui antologi ini dan memandangkan dia juga meminati lukisan, saya menunjukkan ‘doodle’  comel San kepadanya. Ternyata memang dia membeli Cantuman Mimpi dan kebetulan pula ayahnya seorang juru hebah KLfm. Adik ini juga sebenarnya sudah membaca karya-karya berat seperti tulisan Ramlee Awang Murshid. Ternyata, Cantuman Mimpi begitu mendapat sambutan sehingga menjadi karya terlaris di gerai ITBM sepanjang PBAKL 2013. Pastinya ini semua usaha gigih setiap daripada yang terlibat dalam menjayakan Cantuman Mimpi. Tahniah adik-beradik Legasi Oakheart!

PBAKL 2013 turut menemukan saya dengan insan-insan yang mengikuti perkembangan penulisan saya. Paling saya terkejut ketika saya disapa oleh seseorang ketika berada di gerai UPSB untuk mencari novel laris 1515 sebagai kajian dalam kuliah. Saya tidak menghampakan permintaan mereka untuk bergambar dan memberikan tandatangan. Alahai, betul-betul buatkan saya terharu, nantikanlah buku saya pula nanti. [Entah bila la kan?]

Sepanjang berada di Kuala Lumpur juga, kaki saya telah merayap ke Pasar Seni sebanyak dua kali. Selain melihat keunikan yang ada, sempat juga saya dan kawan menjalani terapi  memasukkan kaki ke dalam kolam dan membiarkan ikan-ikan itu membersihkan kaki kami. Seronok! Pengalaman yang baharu! Kaki saya juga telah ke DBP sebanyak dua kali dan sempat bertemu dengan Kak Mah dan penulis muda Hanna Johan, siap dapat novel comel dia lagi beserta tandatangannya. Bagi menambahkan keseronokan di usia remaja [remaja sangat!], saya dan kawan saya yang sorang ni telah membawa kaki dan hati kami ke AEON Wangsa Maju dan Mid Valley. Pada ketika kawan saya yang sorang ini pergi ke tempat kerja, saya membawa diri seorang diri ke sekitar Jalan Masjid India dan SOGO. Pantang nampak kedai buku, pasti saya singgah dan sempatlah membeli beberapa buku rujukan untuk kuliah. Sambil-sambil tu membelek-belek kain yang murah di sana sementara untuk menuggu kawan yang sorang ni habis kerja. Ahhh...kalau lama-lama di sana memang melayang duit. Jumpa lagi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2014! Saya tinggalkan beberapa keping gambar untuk berbicara!







Wednesday, April 24, 2013

TERBITAN TEBAHARU LEGASI OAKHEART

Antalogi Cerpen, Proses Kreatif dan Skrip Filem Pendek Cantuman Mimpi merupakan terbitan bersama antara Legasi Oakheart dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (I.T.B.M). Antologi menampilkan 18 cerpen karya penulis muda Legasi Oakheart, serta 5 buah skrip filem pendek yang diadaptasi daripada cerpen yang terkandung dalam antologi ini oleh Produksi Bawah Tanah (P.B.T)

 Anti Realiti merupakan kumpulan puisi duet Nora Nabila dan Fiza M. Zaini. Kumpulan puisi duet ini diterbitkan sepenuhnya oleh Legasi Oakheart.

Retrospeksi merupakan antologi puisi yang membariskan penulis-penulis muda yang juga penuntut Akademi Seni Warisan Kebangsaan (ASWARA). Antologi ini merupakan terbitan bersama antara Legasi Oakheart dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).

Tuesday, April 23, 2013

WAJAH MANIS SAYA


Reaksi saya sebagai anak kelahiran Negeri di Bawah Bayu dalam akhbar Sinar Harian bertarikh 26 Mac 2013. Terima kasih kepada wartawan Sinar Harian yang menghubungi saya dan sudi menyiarkannya.

Wajah saya antara penghias kulit hadapan majalah Tunas Cipta April 2013. Dalam kalangan mantan-mantan MPR yang ada di situ, sayalah mantan yang paling muda. Kerdilnya saya rasa.

Tuesday, March 12, 2013

ASAR DI PENGHUJUNG TAHUN


PERTEMUAN ANTARA KATA


Adik-adik, percayalah bahawa kehidupan di sekolah itu memang menjanjikan keindahan, sehingga kalian dewasa kelak, zaman ini tetap jua dikenang-kenang. Menjadi sebahagian daripada kalian walaupun untuk seketika cuma-adalah kebahagiaan. 


Adik-adik, pantun jua merupakan akar Melayu yang harus kalian percaya sampai bila-bila. Jika hari ini ditakdirkan untuk kalian mengenalinya, pupuklah rasa cinta yang penuh mendalam terhadap pantun Melayu agar jati diri Melayu ini tetap subur sepanjang zaman.


Adik-adik, tahniah atas kejayaan yang kalian perolehi biarpun kejayaan kita tidaklah seindah kejayaan orang lain-asalkan kita telah cuba sedaya upaya dan apabila kita bersyukur, kita akan lebih merasai kenikmatan kejayaan itu. Terus semat semangat berpasukan dan jangan pernah lupa menghormati ibu bapa dan guru-guru. Semoga ilmu yang tidak sebanyak mana yang diberikan dapat membantu adik-adik. Maaf juga atas kekurangan. Salam sayang dan jumpa lagi!


#adik-adik SMK Sungai Limau/Pesta Pantun Sekolah-sekolah Menengah Daerah Kuala Muda/Yan




HASIL MENGAI TERBAHARU!

 
Saya telah berjaya menangkap beberapa buah buku dalam masa sebulan ini. Tambahan lagi saya berkesempatan ke Sungai Petani dan berada beberapa hari di sana telah menjodohkan saya bersama beberapa buah buku terbitan ITBM yang sememangnya sukar untuk didapati di bandaraya Alor Setar.Paling membahagiakan apabila berjalan dengan orang yang juga 'gila buku'!

Thursday, March 7, 2013

LEKASLAH MENARI WAHAI JARI!

Februari yang telah pergi
tanpa karya menghiasi.

Lekaslah menari wahai jari!



Wednesday, January 23, 2013

CANTUMAN MIMPI

Mimpi-mimpi kami akan bersatu. Nantikan pelancaran projek terbaharu Legasi Oakheart pada Februari ini. Ikuti perkembangan dari semasa ke semasa mengenai projek terbaharu kami ini melalui laman Facebook dan Twitter.

#CantumanMimpi
#LegasiOakheart
#haniffyusoff

Friday, January 18, 2013

SURAT KEPADA EDITOR, DEWAN SASTERA JANUARI 2013


Rupa-rupanya surat elektronik yang saya kirimkan dipilih untuk disiarkan dalam majalah ini. Terima kasih kepada editor yang budiman yang menyiarkan surat saya yang bertajuk 'Penulis Muda Wajar Memiliki Dewan Sastera.' Terima kasih juga kepada abang saya, Mohd Helmi Ahmad yang memaklumkannya. Kami bergandingan dalam Dewan Sastera dan Pelita Bahasa pada permulaan tahun ini.

~Rezeki ulangtahun kelahiran. Alhamdulillah.~

Sunday, January 6, 2013

PERMULAAN 2013

ALHAMDULILLAH rezeki di tahun baru. Dua karya sekali gus dalam Pelita Bahasa Januari 2013. Semoga  menjadi permulaan yang baik dalam riwayat penulisan saya untuk tahun 2013 ini. Amin.