Dewasa ini, laporan perilaku para remaja yang berada di luar batasan kesopanan serta kesusilaan sangat membimbangkan. Dunia yang kian meluas tanpa sempadan sebenarnya semakin menyempitkan kesantunan berbahasa dalam kalangan remaja. Remaja masa kini lebih ghairah mendaulatkan teknologi sehingga mengabaikan kesantunan berbahasa dalam komunikasi seharian. Berikut merupakan takrif bagi remaja dan kesantunan berbahasa.
Kamus Dewan Edisi Keempat (2010) mentakrifkan remaja sebagai mulai dewasa, sudah akil baligh dan sudah cukup umur untuk berkahwin. Menurut Azizi Haji Yahaya (2011), zaman remaja dikatakan bermula dari akil baligh dan berakhir apabila memasuki alam dewasa. Ia marupakan satu tempoh peralihan dalam pusingan hidup yang melibatkan banyak perubahan yang berlaku, sama ada dari segi perkembangan fizikal, emosi dan kognitif di mana ia mula minat hubungan dengan rakan sebaya dan mulai belajar peranan kerja, peranan dalam keluarga dan sebagai warga masyarakat. Zaman remaja dikatakan satu proses untuk mencapai atau memperolehi sikap dan kepercayaan bagi penglibatan yang berkesan dalam masyarakat.
Hafizah Salleh (2005) dalam bukunya memberi maksud kesantunan berbahasa sebagai kehalusan bahasa yang digunakan untuk menunjukkan kesopanan seseorang apabila berkomunikasi dengan orang lain, iaitu sama ada secara lisan ataupun dalam bentuk tulisan. Hanya kosa kata yang halus dan sopan digunakan untuk menyampaikan sesuatu mesej yang tertentu.
Menerusi buku Santun Berbahasa, Awang Sariyan (2007) menjelaskan bahasa kesantunan ialah penggunaan bahasa yang baik, sopan, beradab, memancarkan peribadi mulia dan menunjukkan penghormatan kepada pihak yang menjadi teman bicaranya. Siti Hajar Abdul Aziz (2009) pula dalam bukunya menyatakan bahawa kesantunan bahasa ialah cara penggunaan kata dan ujaran secara sopan dan beradab.
Kesimpulannya, kesantunan berbahasa adalah keadaan menggunakan bahasa yang beradab tanpa mengguris perasaan orang lain. Sebagai remaja yang bakal memacu kepimpinan negara, sewajarnya memahami konsep kesantunan berbahasa dan mengamalkannya dalam aktiviti seharian.
Rujukan:
Awang Sariyan, (2007). Santun berbahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Azizi Haji Yahaya. (2011). Definisi remaja dan pembentukan konsep kendiri dan hubungannya dengan keluarga. Diperoleh pada 1 November 2012, daripadahttp://www.uprints.utm.my/PEMBENTUKAN_KONSEP_KENDIRI
Hafizah Salleh, (2005). Bahasa Melayu STPM Kertas 1 dan 2.Selangor: Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd.
Siti Hajar Abdul Aziz. (2009). Bahasa Melayu II. Selangor: Oxford Fajar Sdn. Bhd.
No comments:
Post a Comment