Sunday, August 7, 2016

CERPEN : MELUR TETAP HARUM


'Melur Tetap Harum' merupakan karya pertama saya yang disiarkan dalam majalah Mingguan Wanita dan kisahnya masih tentang seputar bahasa kebangsaan. Terima kasih kepada editor yang sudi memilih karya kecil saya ini untuk disiarkan dalam majalah mingguan yang begitu popular ini. 

Thursday, July 14, 2016

SOALAN TENTANG JODOH YANG BELUM BERGOLEK DI DEPAN MATA PADA HARI RAYA



Kegusaran menghadapi soalan demi soalan tentang jodoh yang belum bergolek-golek di hadapan mata membuatkan kita terus menjadi gila - tidak berfikiran waras. Kita masih punya adab yang perlu kita timbang tarakan saat kita berhadapan dengan orang yang lebih dewasa. Tambahan pula kita dibangunkan oleh pendidikan yang serba lengkap berbanding orang-orang terdahulu. Lalu di manakah susuk pendidikan yang telah kita nikahi sebelum ini? Sesungguhnya perilaku kita turut melambangkan pendidikan kita, sedangkan ketidaksetaraan kita menyediakan jawapan yang tidak molek untuk menghadapi persoalan "bila hendak kahwin?" benar-benar menunjukkan kita punya sakit hati yang agak kronik. 

Lalu, kemeriahan raya ini hanya sekadar menyediakan skrip jawapan untuk menjawap pertanyaan tentang jodoh dengan jawapan-jawapan yang menyakitkan dan penuh kebiadaban? Acapkali ditanyakan soalan sebegitu tanpa sudah, jawab sahaja dengan tenang tanpa unsur menyindir atau elemen mengutuk yang mampu mengeruhkan ikatan persaudaraan antara kita. Ambillah masa bertenang dan pilihlah untuk menjadi insan positif yang memilik aura positif setiap hari.


Salam kemaafan dari saya yang juga banyak khilafnya. Semoga bertemu jodoh yang sejati. Selamat hari raya!

#SelamatHariRaya
#SoalanBelumKahwin
#CeritaHariRaya

Saturday, June 25, 2016

CERPEN : PENGUTIP JANTUNG SENDIRI DI LORONG SENI


Terlalu lama juga karya saya tidak disiarkan di media sehinggalah saya menerima panggilan daripada editor yang memilih untuk menyiarkan cerpen ini. Kesibukan dengan tugasan membuatkan saya sedikit menjauh dengan segala kerja penulisan kreatif sebenarnya. Ruangnya terlalu sempit. Saya mendapat beberapa peluang penulisan daripada dua orang editor majalah berbeza namun masih belum dapat memenuhi peluang yang diberi. 

Cerpen ini cukup istimewa kerana disiarkan di dalam majalah yang sama dengan rakan sekuliah saya iaitu Cikgu Hassan Baseri Budiman, seorang penulis yang tidak asing lagi. Apa-apa pun terima kasih  kepada editor kerana menyiarkannya, karya pertama saya pada tahun 2016.

#Cerpen #HaniffYusoff #PelitaBahasa

Friday, January 29, 2016

LELUHUR : SARINGAN AKHIR HSPM 2014

Sememangnya setiap tahun saya menantikan laporan penuh Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) bagi melihat perkembangan sastera negara. Cuma HSPM 2014 ini agak mengejutkan saya apabila cerpen saya, 'Leluhur' yang disiarkan di dalam Mingguan Malaysia turut disenarai antara 30 cerpen yang disaring di peringkat akhir. Dan sebelum ini, cerpen ini juga berada dalam kelompok senarai akhir untuk Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2014. Sebenarnya, saya hampir-hampir tidak mengirimkan penyertaan kepada urus setia HSPM 2014, walaupun saya sudah siap menyediakan salinan selengkapnya memandangkan ayah saya tiba-tiba diserang strok ketika itu. Setelah, ayah dibenarkan pulang ke rumah, barulah saya berfikiran untuk mengirimkannya semula. Tidak sangka pula sehingga dipilih menjadi 30 yang terbaik.



Yang ingin mengikuti laporan penuh boleh ke laman web ini: http://dwnsastera.dbp.my

Friday, December 25, 2015

CERPEN: BENARLAH SAYA BUKAN LAGI SEORANG PENUKANG!


Alhamdulillah, ketika mengetahui hal ini saya tengah demam sebenarnya. Terima kasih kepada editor portal Roket Kini yang memilih untuk menyiarkan cerpen terbaru saya ini. 'Benarlah, Saya Bukan Lagi Seorang Penukang!'  merupakan sebuah cerpen yang cuba menyelami dunia penulisan itu sendiri.

Selamat membaca!

Tuesday, December 1, 2015

ANTOLOGI WAJAH KITA


Lama juga saya dan rakan-rakan menanti kelahirannya. Kira-kira empat tahun. Sejarahnya bermula dengan penganjuran bengkel pemantapan karya untuk alumni Minggu Penulis Remaja (MPR) yang dikelolakan oleh DBP. Cerpen saya di dalamnya antara yang terawal saya hasilkan kerana saya bermula dengan genre puisi dan saya kira banyak juga yang perlu saya pelajari dalam teknik penulisan cerpen. Cerpen saya berjudul 'Wasilah Antara Kita' antara cerpen yang dimuatkan di dalamnya bersama cerpen-cerpen lain oleh mantan MPR yang turut menyertai bengkel tersebut. Walau bagaimanapun, terima kasih kepada DBP kerana merealisasikan kelahiran antologi ini, sekurang-kurangnya terubat sedikit duka saya yang terbantut harapan untuk melihat antologi karya mantan MPR 2009 sekeluarga dibukukan. 

KATEGORI CERPEN REMAJA HSKU 2014

Tahun 2014 merupakan tahun kedua cerpen saya disenaraikan dalam senarai akhir selepas 'Asar di Penghujung Tahun' pada tahun lalu, juga dalam kategori Cerpen Remaja. Kali ini dua cerpen saya yang disiarkan pada tahun lalu disenaraikan. Syukur, walaupun belum berpeluang menaiki podium HSKU. Menang atau kalah bukanlah persoalan utama, yang penting terus menumpahkan tinta tanpa pernah jemu. Tahniah juga kepada karya yang diangkat untuk tahun 2014.




Kedua-dua cerpen saya ini boleh dibaca dalam kumpulan cerpen sulung saya yang diberi judul 'Zombi Rumi'. Boleh dibeli secara terus daripada pihak penerbit, Legasi Oakheart.


Saturday, November 28, 2015

'MEMBILANG TITIS HUJAN' : MENULIS REALITI

'Membilang Titis Hujan' merupakan sebuah cerpen yang saya nukilkan dengan rasa-rasa sebak yang memberat di jiwa. Kerana saya nukilkan realiti yang saya lalui sekitar awal tahun ini. Dan rasa-rasa itu masih terasa sehingga hari ini dengan satu-persatu dugaan yang hadir tanpa orang lain mengetahui. Adakalanya tidak mampu untuk luahkan semua kerana terlalu berat tersimpan di dada, tak terangkat untuk dikongsi, lalu saya gantikan dengan senyum berisi agar tugasan orang sekeliling tidak terganggu dek perjalanan kehidupan saya yang mungin sedang diduga Ilahi.

'Membilang Titis Hujan' diinterpretasi daripada keadaan ayah saya yang diserang strok sekitar bulan Mac yang lalu. Alhamdulillah, segalanya semakin membahagiakan. Benar, hidup ini adakalanya seperti roda. Kita harus redha!

Terima kasih editor Fazallah Pit yang memilih cerpen sederhana saya ini untuk menghiasi wajah Selangor Kini edisi 11-18 September 2015. 


Kredit gambar: Norfarahin Athirah.

Wednesday, July 29, 2015

ANTOLOGI SUAMIKU


Sebuah antologi cerpen parodi/sinikal/sarkastik terbitan Terfaktab.

Tuesday, June 23, 2015

2015 : ANTARA PERSAHABATAN DAN DUGAAN

Sebelum saya terus mencoret, saya ucapkan selamat menjalani ibadah puasa kepada semua pengungjung blog ini. Saya masih lagi beremosi, adakalanya ketidakstabilan emosi ini saya pendam seorang diri. Tetapi bukan beerti saya mahu menjauhkan diri, cuma mengambil waktu tenang dan bermuhasabah diri. 

Saya tahu rencana Tuhan sebaik-baiknya, pengaturan kitaran hidup oleh-Nya punya hikmah yang perlu kita percaya. Saya sendiri tidak menduga tahun ini saya sekeluarga diduga hebat. Tetapi, susah-susah kita, pasti ada lagi yang lebih susah. Saya fikir dalam-dalam. 

Tahun ini sahabat-sahabat saya diduga hebat. Rosnida, yang saya panggil kakak. 7 Jun yang lalu, sehari selepas ulang tahun kelahiran emak saya, emak Rosnida dijemput Ilahi pada waktu pagi. Hati saya juga terusik medengar perkhabaran ini memandangkan saya juga mengenali Mak Chom (emak Rosnida). Kali terakhir saya melawat Mak Chom yang sememangnya tidak berapa sihat ialah pada Februari yang lalu. Saya usap-usap jemari Mak Chom yang tidak lagi berdaya untuk digerakkan. Saya tidak menyangka itu kali terakhir saya mendengar dia berbicara. Mak Chom pergi dalam lenanya dengan tenang pada pagi itu. Saya, adik dan emak saya yang juga mengenali Mak Chom pergi menziarah jenazah buat kali terakhir. Rosnida yang sepatutnya menghantar tesis penuhnya pada hari Khamis berikutnya telah meminta tarikh untuk menunda dan hari ini (23 Jun 2015) beliau selamat membentangkan tesisnya (melalui proses viva). Berat sungguh dugaan sahabat saya yang saya gelarkan 'kakak' ini.

Saya menemani Rosnida untuk menghantar tesisnya dan di UUM pula saya bertemu beberapa orang sahabat rapat saya dari ijazah sarjana muda sehingga peringkat sarjana. Ada antara kami sudah menyambng peringkat PhD. Yang memjadi bualan kami ketika itu ialah kesamaan antara kami yang diuji Tuhan serta tentang pilihan yang memberikan kami tiada pilihan untuk membuat keputusan. Saya betul-betul tersentuh saat diri saya dipelut erat lama-lama oleh sahabat, Persahabatan oh persahabatan. Hati saya sudah basah oleh tangisan rasa. Sejak diberitakan keluarga saya diuji, inilah pertama kali kami bertemu, bersentuh sisi. Katanya mereka rindukan saya. Saya tahu pelukan erat itu juga adalah semangat mereka untuk saya.

Menjelangnya Ramadan kali ini, antara kami diuji lagi. Kali ini diberitakan ayahanda Hafeez pula pergi menyahut panggilan Ilahi. Hati saya betul-betul sebak kerana Hafeez begitu rapat dengan saya sejak 'degree'. Saya ialah telinganya untuk mendengar segala luahan rasanya. Dan saya memegang pelbagai rahsia perjalanan kehidupannya yang tidak dikongsi kepada sahabat yang lain. Pertemuan beberapa hari sebelum itu sudah menumpahkan air mata saya dan Hafeez ketika kami sama-sama bercerita tentang apa yang sedang kami tanggung.

"Ya Allah sesungguhnya Engkau Maha Besar menguji kami dengan begitu indah. Kami redha dengan aturan yang Kau rencanakan. Tabahkanlah hati kami dalam menempuh ujian-Mu. Tetapkanlah rasa cinta dan iman kami di jalan-Mu. Amin"

Tahun ini, saya dan sahabat-sahabat saya benar-benar diuji. Saya terfikir juga mungkin Tuhan juga mahu menguji keikhlasan persahabatan antara kami. 

Alhamdulillah.

Alhamdulillah.

Alhamdulillah. 

Sunday, May 31, 2015

CERPEN DALAM SELANGOR KINI : CERPEN JEMBALANG


Alhamdulillah, cerpen saya yang seterusnya disiarkan di media ialah cerpen yang berjudul 'Jembalang Muncul di Perpustakaan Kampung Kami'. Cerpen ini telah disiarkan dalam akhbar Selangor Kini edisi 29 Mei- 5 Jun 2015. Terima kasih editor Selangor Kini! 

Saturday, May 30, 2015

PERADUAN ULAS BUKU ITBM 2015

Kumpulan Cerpen Remaja Tetamu Istimewa: Istimewanya kerana Memaknakan Elemen Sosiobudaya Melayu


 Tajuk buku: Kumpulan Cerpen Remaja, Tetamu Istimewa
Penulis: Mohd Helmi Ahmad
Harga: RM 20 (SM)/ RM 25 (SS)
ISBN:978-967-430-401-0
Tahun terbit: 2014
Pengulas: Mohd Haniff Mohammad Yusoff
FB: Haniff Yusoff


Berdiri sebagai karya sastera remaja sewajarnya memberi sesuatu yang bermanfaat kepada golongan remaja itu sendiri dalam membentuk peribadi serta pekerti bagi melahirkan generasi yang berkualiti. Othman Puteh (1989) menerusi bukunya Sastera Remaja ditinjau daripada Beberapa Perspektif berpendapat sastera remaja itu pada dasarnya harus memberikan pendidikan selain hiburan kepada pembaca terutamanya golongan remaja.
              Kumpulan cerpen remaja Tetamu Istimewa karangan Mohd Helmi Ahmad secara keseluruhannya menampilkan cerpen yang kaya dengan nilai-nilai murni untuk diteladani dan rata-ratanya berpaksikan sosiobudaya Melayu. Setiap satunya menonjolkan suasana, perlakuan dan adat resam yang sememangnya begitu akrab dalam kalangan masyarakat Melayu. Penyertaan elemen sosiobudaya dalam bahan bacaan untuk golongan remaja adalah suatu usaha yang wajar dalam memperkasakan jati diri kelompok ini.
                 Menurut A.C. Milner (dalam Ahmad Jelani Halimi, 2008) pengembara dan pelaut asing yang datang ke Tanah Melayu suatu masa dahulu mendapati setiap orang iaitu bangsa Melayu mempunyai kesedaran akan perpaduan, perkongsian bahasa, kesusasteraan dan cara hidup yang sama. Sosiobudaya Melayu yang didukung oleh pelbagai elemen merupakan lambang keutuhan jati diri dan identiti masyarakat Melayu itu sendiri. Mohd Koharuddin Mohd Balwi (2005) berpendapat budaya dan ketamadunan sesuatu masyarakat saling berkaitan kerana setiap tamadun dibina oleh budaya sesuatu masyarakat. Pantun di bawah merupakan contoh dalam mengungkap betapa signifikannya budi dan bahasa dalam masyarakat Melayu.

Yang kurik itu kendi,
Yang merah itu saga,
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa.
(Kurik Kundi Merah Saga, 2005)

Jika melihat ruang lingkup pantun di atas dengan skala yang lebih besar, pantun di atas sebenarnya menggambarkan betapa Melayu itu sememangnya dihadirkan dengan nilai-nilai kehalusan dan kesantunan. Pantun sendiri merupakan salah satu daripada elemen sosiobudaya Melayu yang cukup tinggi nilainya biarpun didepani prahara zaman yang tidak terduga.
            Kumpulan cerpen remaja Tetamu Istimewa menampilkan 15 buah cerpen yang pernah mendapat tempat di dalam majalah dan juga akhbar tempatan. Cerpen pertama yang berjudul ‘Rancanganku Rancangan-Mu’ mengisahkan Amirul yang menghabiskan masa cuti semesternya di kampung bersama datuk dan neneknya. Perancangan asal yang sepatutnya bercuti di Cameron Highland tidak tercapai dek tugasan si ayah yang perlu menghadiri seminar di Pangkor. Cerpen ini dihadirkan dengan suasana kehidupan perkampungan Melayu yang begitu damai dikelilingi petak-petak bendang. Turut dikisahkan dalam cerpen ini ialah ikan-ikan darat dan ulam-ulaman menjadi menu dalam hidangan. Penulis juga memperkenalkan permainan tradisi masyarakat Melayu iaitu wau dalam cerpen ini.

Pengalaman bermain wau tidak dapat kulupakan. Atuk banyak mengajarku mengenali warisan dan budaya orang Melayu. Dari menangkap ikan, makanan kampung, hinggalah permainan tradisional. Kata atuk, kalau kita yang tidak menjaganya, siapa lagi? Jangan biarkan ianya ditelan zaman.  (hlm. 8)

            Melayu itu sememangnya dihadirkan dengan kesantunan budi pekerti yang tiada tolok bandingnya. Cerpen ‘Kedondong untuk Cikgu’ dan ‘Haruan di Pinggir Sawah’ menemukan pembaca dengan watak seorang guru yang perlu berhadapan dengan karenah anak muridnya yang adakalanya begitu mencabar kesabarannya sebagai seorang guru. Melalui cerpen ‘Kedondong untuk Cikgu’, Zahir yang selalu tidak menyempurnakan kerja sekolahnya, malah digambarkan sebagai murid yang selekeh akhirnya merealisasikan impian gurunya yang mengidam buah kedondong. Cerpen ‘Haruan di Pinggir Sawah’ pula mengisahkan Kamal yang sering dimarahi cikgunya kerana bercita-cita untuk menjadi penangkap ikan haruan dan di penghujung cerita pembaca akan ditemukan dengan kekesalan Cikgu Haris yang sering memarahi anak muridnya itu setelah mengetahui kehidupan sebenar anak muridnya itu yang serba kekurangan. Cerpen-cerpen ini memunculkan keluhuran budi seorang anak murid terhadap gurunya di mana mereka tidak menyimpan dendam sebaliknya menzahirkan rasa kasih dan hormat pada guru mereka. ‘Piala Penentuan’ juga dihiasi dengan molek pekerti dalam masyarakat Melayu yang wajar dicontohi oleh golongan remaja apabila watak utamanya Amar memohon restu daripada ayah dan ibunya apabila dia mempunyai perlawanan badminton dan dalam masa yang sama minatnya itu ditentang oleh ibunya sendiri.

Sebelum Amar melangkah ke gelanggang, semalam dia ada beritahu ayah dan ibunya yang dia akan menyertai pertandingan badminton itu. Dia memohon restu dari kedua orang tuanya itu. Walaupun luka kekecewaan yang dicalarkan emaknya masih berparut, semua itu diketepikan. “Mak seandainya Amar tidak berjaya membawa pulang piala kemenangan, Amar akan gantung racket. Amar akan ikut segala cakap mak. Amar janji mak. Ayah doakan Amar.” (hlm. 87)

            Amalan petua yang dipanjangkan generasi turun-temurun adalah sesuatu yang begitu sinonim dalam kalangan masyarakat Melayu. Biarpun dunia begitu taasub pada revolusi dan teknologi, amalan petua masih dipraktikkan sehingga ke hari ini dan melalui kumpulan cerpen remaja Tetamu Istimewa, Mohd Helmi Ahmad menjelmakannya dalam cerpen ‘Tetamu Istimewa’ dan ‘Pulut Durian Santan Kelapa’. Cerpen yang menjuduli kumpulan cerpen ini iaitu ‘Tetamu Istimewa’ memberi pendedahan kepada pembaca mengenai amalan tradisi dalam menangani demam campak. Cerpen ‘Tetamu Istimewa’ membawa pembaca mendekati watak emak yang begitu rapi menjaga watak adik yang sedang mengalami demam campak dengan dimandikan dengan air penawar, malah watak emak juga tidak mengoreng dan menumis sebaliknya menyediakan ikan rebus sahaja untuk dijamu pada watak adik. Cerpen ‘Pulut Durian Santan Kelapa’ pula akan membawa kita kepada petua dalam menghilangkan rasa panas badan terutamanya selepas menikmati raja buah, durian.

Petua ayah, ambil kulit durian yang dimakan dan masukkan sedikit air dalam pangsa kulit durian itu. Kemudian minum. Harapnya panas menjaram di dalam badan hilang, tidak pun kurang. (hlm. 117)

             Adat resam yang menunjangi masyarakat Melayu turut disisipkan dalam cerpen-cerpen tulisan penulis dari negeri Jelapang Padi ini. Cerpen ‘Bunga Telur Kenduri Kahwin’ yang telah teruji kualitinya apabila diangkat sebagai pemenang Hadiah Penghargaan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2010 agak menarik untuk dibicarakan. Cerpen yang turut mengemukakan elemen sosiobudaya Melayu ini mencetuskan pertembungan dua pendapat dari dua zaman yang berbeza antara anak dan juga ayah. Pertembungan perbezaan pendapat ini melibatkan antara perlaksanaan majlis kenduri kahwin secara adat warisan dan juga perlaksanaan majlis kenduri kahwin secara moden yang melibatkan perkhidmatan katering. Si ayah begitu terasa tercabar dengan tindakan anaknya kerana si ayah begitu setia sebagai pengamal budaya Melayu di kampungnya. Pembaca juga diperkenalkan dengan beberapa perkataan yang sememangnya begitu sinonim dalam majlis kenduri kahwin masyarakat Melayu secara tradisi seperti ‘tukang gerau’ dan ‘bentara’. Melalui cerpen ini juga, kemeriahan suasana majlis perkahwinan masyarakat Melayu secara tradisi dikisahkan oleh watak atuk kepada cucunya. Tuntasnya, cerpen ini memperlihatkan keupayaan penulis dalam membijakkan pembaca dengan memberi pendedahan dan pengetahuan mengenai majlis perkahwinan masyarakat Melayu yang telah diamalkan sejak dari dahulu.
                Mohd Helmi Ahmad turut menjelmakan adat resam masyarakat Melayu melalui cerpen ‘Rombongan Masuk Jawi’ yang mengisahkan amalan bersunat mengikut tuntutan ajaran Islam kepada kanak-kanak lelaki.

“Bersunat wajib bagi lelaki Muslim. Kebanyakan ulama berpendapat bahawa, bersunat wajib dilakukan ketika si anak hampir cukup umur atau akil baligh.” (hlm. 94)

Cerpen ini sebenarnya menjelaskan kepada kita bahawa Islam menjadi akar umbi dalam perlaksanaan adat resam masyarakat Melayu. Ajaran Islam bergerak seiring dengan amalan masyarakat Melayu agar tuntutan agama tidak diabaikan dan segala adat istiadat atau amalan tidak melanggar hukum-hukum agama.

                Sosiobudaya Melayu dilihat sebagai elemen yang penting untuk diterapkan dalam bahan bacaan agar golongan remaja dapat membentuk sahsiah mereka . Othman Puteh (1995) menegaskan karya yang bernilai sastera haruslah digarap dengan penuh kehalusan, perenungan, pentaksiran, memiliki sisi keistimewaan di samping memerlukan daya kepekaan untuk memahami makna kehidupan. Kumpulan cerpen remaja Tetamu Istimewa yang diselitkan dengan elemen sosiobudaya Melayu dalam helaian-helaiannya perlu dijadikan bahan bacaan dalam usaha melahirkan remaja yang unggul pekerti, yang kenal usulnya dan yang teguh jati diri, sekali gus memartabatkan sastera remaja itu sendiri. 

Kumpulan cerpen remaja, Tetamu Istimewa
*Ulasan buku ini disediakan sebagai penyertaan Pertandingan Ulas Buku ITBM 2015

Rujukan
Ahmad Jelani Halimi. (2008). Sejarah dan tamadun bangsa Melayu. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Kurik Kundi Merah Saga. (2005). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd Helmi Ahmad. (2014). Tetamu Istimewa. Kuala Lumpur: Institut Terjemahan dan Buku Malaysia.

Mohd Koharuddin Mohd Balwi. (2005). Peradaban Melayu. Skudai: Penerbit Universiti Teknologi Malaysia.

Othman Puteh. (1989). Sastera remaja ditinjau daripada beberapa perspektif. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Othman Puteh. (1995). Pengisian dunia sastera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.