Sunday, November 20, 2011

TUNAS CIPTA NOVEMBER 2011


Tunas Cipta November 2011 punya ceritanya sendiri kerana buah tangan terakhir dari Abang Lan (editor). Aduh, bertukar lagi editornya. Dalam bulan ini, Luahan Minda saya terpilih lagi untuk disiarkan dan tidak silap pertengahan bulan September, saya kirimkannya kepada editor. Luahan Minda kali ini bertajuk 'Penulis Muda Perlu Cerewet'.

Sunday, October 30, 2011

NASKAH MERDEKA

NASKAH MERDEKA

Kita tidak cakna menaakul naskah merdeka

biarpun kian lama menjunjung sini sana

apakala selesa dihadap mata, hati pun buta

lupa dahulunya moyang kita sengsara

demi bahagia cucuanda tercinta.

Seketika cuma menyelak naskah yang diwarisi

sekadar membaca tanpa jiwa

sekadar tahu tanpa rasa

sekadar faham tanpa halusi makna

sejarah hanya sia-sia.

Malangnya tanah pusaka bertunjang susila

menangis teresak-esak pada dunia

naskah merdekanya diconteng anak bangsa!

MOHD HANIFF MOHAMMAD YUSOFF

Hutan Kampung, Alor Setar.

Disiarkan dalam akhbar Harakah edisi 7-9 Oktober 2011

Friday, October 7, 2011

KARYA TERBARU


Alhamdulillah sekali lagi puisi saya dipilih untuk disiarkan dalam

majalah Tunas Cipta.

Kali ini dalam edisi Oktober 2011 dengan puisi pendek yang bertajuk

‘Demokrasi yang Kauhidang’

Monday, September 19, 2011

FRAGMEN 11 SEPTEMBER

Masih segarkah ingatan kalian

seputar sedekad lalu

saat ketika dua konkrit kembar gah

tersungkur menyembah

dunia pun terbeliak tidak menyangka

melihat runtuh simbol agung kuasa dunia.

Dek serangan berani mati

jiwa tidak berdosa jadi mangsa

riuh sedunia menuding jari

angkara siapa jadi agenda

perpaduan dunia tergendala.

Sedekad sudah ditinggalkan masa

sisa-sisanya masih ada

aksara Islamfobia jadi masyur tiba-tiba

kita dituduh pengganas pula

oh, retorik dunia!

-kerana nila setitik rosak susu sebelanga.

Di bawah langit redup

ayuh, meratib harmoni

semoga kemanusiaan dihormati

keamanan dikecapi!

MOHD HANIFF MOHAMMAD YUSOFF

Universiti Utara Malaysia


-Disiarkan dalam Berita Minggu, 18 September 2011

Sunday, September 18, 2011

Nota buat Varsiti Tercinta

Aku kaku tidak terdaya

saat diserang perasaan

deru angin pun mencengkam erat

memeluk tubuhku bersama kenangan

aku rebah dalam rasa

kalah menyeka air mata.

Sudah lamaku mengitar hidup

di bumantara ini

mengutip nilai agung darjat manusia

bukan sahaja di dunia,

bahkan untuk akhirat jua

dan hari ini berakhir sudah

perjalananku di sini.

Selamat tinggal varsiti semesta

terima kasih atas segala cinta!

MOHD HANIFF MOHAMMAD YUSOFF

Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa

Kolej Akademik COLGIS

Universiti Utara Malaysia


-Disiarkan dalam sisipan Varsiti, Berita Harian edisi 15 September 2011