Thursday, December 18, 2014

2014 Year End Blog Giveaway!


Kali ini Giveaway oleh Kak Lin. Kak Lin bergiat aktif dalam 'handmade greetings card'. Pastinya Kak Lin seorang yang kreatif. Kak Lin juga mempunyai blog untuk dilawati. Bagi mereka yang ingin menyertai 'giveway' ini, klik sahaja gambar di atas.

Semoga Kak Lin terus berjaya dalam bidang kreatif yang diceburinya!

Cantik dan comel!

NIPNIP MENGEMBARA : KE KOREAKAH KITA? #2

14 Mei 2014 : Setibanya di Hotel President, acara perasmian bakal bermula. Mujur, jamuan turut diadakan memandangkan kami dalam keletihan dan kelaparan. Dari lapangan terbang kami terus di bawa ke situ dengan menaiki bas. Sepanjang perjalanan, kami begitu teruja dengan pemandangan di Seoul. Keadaan muka Bumi di Korea berbukit-bukit, jadi penempatan di sana memang terletak di kawasan yang tinggi. 

Ketika mula melangkah masuk ke dalam dewan yang dikhaskan untuk majlis perasmian, saya ternampak muka-muka yang saya kenali seperti Kak Ummu Hani dan Prof. Dr. Mawar. Selain itu terdapat juga beberapa lagi sarjana dari Malaysia yang hebat-hebat belaka. Kami disambut mesra dan dijamu dengan pelbagai makanan. Makanan yang disajikan seperti salmon, daging bakar dan beberapa pencuci mulut. Saya juga sempat disapa pelajar Universiti Hankuk untuk mencuba makanan tradisi mereka iaitu berupa beras Korea. Manis rasanya. Tersangat manis.

Acara perasmian berlangsung dengan ringkas dan jayanya. Kami dihidangkan juga persembahan oleh pelajar-pelajar Universiti Hankuk. Paling mencuri tumpuan pastinya tarian mereka mengikut lagu 'Manusia Biasa' dendangan penyanyi Indonesia, Yuvie dan Nuno. Oh ya, seminar ini turut disertai sarjana daripada Brunei dan Indonesia selain Malaysia. 

Seusai majlis, kami meminta pertolongan daripada beberapa orang pelajar @ ahli jawatankuasa program untuk membawa kami ke rumah tetamu (guest house) yang telah kami tempah secara atas talian. Memandangkan program seminar ini tidak menyediakan penginapan, maka kami harus mencarinya sendiri. 

Kami menaiki teksi ke rumah tetamu yang telah ditempah dan kami mengalami masalah apabila tiba di Itaewon kerana pemandu teksi tidak tahu lokasi setepatnya Ines Inn, rumah tetamu ang kami tempah. Kami ke sana dengan tiga teksi dan saya menaiki teksi bersama Dr. Rohizah dan Siti Hamira. Saya mengucap panjang apabila teksi mula melalui lorong kecil dan begitu menjunam rasanya. Saya hanya terfikir teksi itu mampu untuk terbalik ke belakang. Betul-betul menakutkan. Dan akhirnya, teksi itu meninggalkan kami di kedai runcit berhampiran. Menurut pelajar yang mengiringi kami, pemandu teksi seolah-olah marah apabila melalui laluan menjunam tadi. Ketika di kedai runcit pula, kami cuba menghubungi yang lain, namun gagal memandangkan kami tidak dapat mengakses internet. Ketika masih berdiri di sisi kedai runcit itu, kami disapa pula seorang lelaki Inggeris dan beliau sudah mengagak kami akan ke Ines Inn. Katanya ramai orang Malaysia yang selalu menginap di situ dan dia membawa kami sehingga kami berdiri betul-betul di hadapan Ines Inn. 

Kami menunggu yang lain yang masih belum tiba jua. Beberapa minit kemudian, kami melihat kelibat mereka dari kejauhan. Rupa-rupanya, nasib mereka juga sama, pemandu teksi meniggalkan mereka begitu sahaja memandangkan mereka tidak tahu di mana Ines Inn dan mungkin faktor jalannya. 

Seterusnya, kami menguruskan perihal rumah penginapan kami pula. Kami menunggu pemilik Ines Inn datang untuk memberi kunci. Keadaan mejadi lebih teratur apabila seoarang pelajarnya memang begitu fasih berbahasa Melayu (Indonesia) memandangkan ayah dan ibunya merupakan orang Korea dan Indonesia. Ines Inn saya kira sangat selesa. Kami diberikan dua bilik di dalam rumah itu. Sebuah bilik yang agak besar yang diberikan kepada kaum perempuan dan sebuah bilik kecil yang diberikan kepada lelaki kerana hanya saya dan Dr. Hisham sahaja lelaki dalam kumpulan kami. Sebuah lagi bilik di dalam rumah itu pula telah dinginapi orang lain. Rumahnya cukup selesa. Ada TV, ada dapur, bilik air yang lengkap dengan air panas dan perkhidmatan internet tanpa wayar yang sangat laju. Selain memberi kunci, Tuan Rumah juga memberi beberapa peringatan. Terutama tentang kebersihan, malah tong sampah sisa makanan tidak boleh bercampur dengan sampah yang lain dan sememangnya begitulah di Korea. Oh ya, plug di Ines Inn hanya ada dua lubang sahaja dan saya kira di Korea memang begitu dan jika hendak ke Korea, bersedialah juga dengan soket yang hanya dua lubang sahaja. 

15 Mei 2014 : Matahari di Korea lebih awal menyapa. Pukul 3 lebih sudah masuk waktu Subuh dan pukul 5 lebih sudah cerah seperti pukul 7 pagi di Semenanjung Malaysia. Pagi itu, kami tidaklah terlalu terkejar memandangkan kebanyakkan delegasi kami membentang pada sebelah petang kecuali Dr. Rohizah dan Kak Norwati. Kami keluar dari rumah kami (Ines Inn) dan menuju ke jalan besar untuk menaiki teksi ke Universiti Hankuk. 

Universiti Hankuk tidaklah sebesar universiti di Malaysia, malah pelajar di sana agak terkejut apabila kami menyatakan bahawa kami perlu menaiki bas untuk menghadiri kelas. Semianr berlangsung agak lewat kerana terdapat sambutan hari guru di dewan. Ya, mereka menyambutnya pada tanggal 15 Mei dan bagi mereka, sesiapa sahaja yang memeberi tunjuk ajar kepada mereka, layak untuk diraikan. Saya juga mendapat bunga daripada seorang daripada mereka yang turut mengiringi kami ke Ines Inn, pada hari sebelumnya. 

Tengah hari itu kami menikmati makanan tengah hari di kafe yang disediakan oleh penganjur. Kalau di Korea, sayur menjadi lauk yang utama. Nasinya seperti pulut tetapi tidaklah seperti pulut di Malaysia. Air yang disediakan ialah air kosong dan kami diberi air ala-ala Vitagen sebotol kecil. Sistem di kafenya begitu menarik perhatian. Sisa makanan yang tidak habis perlu dibuang sendiri oleh pengguna dan tray yang sudah tidak digunakan diletakkan di atas landasan (mesin) yang sedang bergerak yang membawa tray itu sehingga ke dalam dapur kafe tersebut.

Petang itu, kami mengambil keputusan untuk menaiki kereta api di Korea untuk ke Myeondong. Stesennya tidak jauh dari Universiti Hankuk. Susah juga nak faham sistemnya memandangkan semuanya dalam bahasa Korea. Untuk membeli tiket, sistemnya lebih kurang sama dengan sistem LRT di Malaysia yang perlu membeli tiket di mesin yang disediakan. 

Myeondong, pelbagai barang yang boleh didapati di sini. Macam pasar malam pun ada, macam Petaling Street pun ada, tetapi saya terpukau dengan kedai-kedai kasut yang ada. 

Nah, biarlah gambar yang berbicara.























Tuesday, December 16, 2014

LUAHAN MINDA TUNAS CIPTA DISEMBER 2014

Tunas Cipta Disember 2014
Lama juga sebenarnya tidak menghantar tulisan ke majalah Tunas Cipta ni, tetapi hujung-hujung tahun ni sempatlah saya mengirim dua Luahan Minda, dan satunya disiarkan dalam majalah Tunas Cipta Disember 2014 yang bertajuk 'Sastera Siber Menjana Kreativiti'. 

Terima kasih, Tuhan!
Terima kasih, editor!

CORAT-CORET TENTANG 'MANIKAM KALBU' DALAM 'JENDELA UTARA'

Jendela Utara Ogos 2014
Selain menulis penulisan kreatif, saya juga mempunyai minat dalam menulis penulisan bukan kreatif. Penulisan bukan kreatif sememangnya berbeza dengan penulisan kreatif yang memerlukan kita berhujah dan juga berdampingan dengan fakta. Sedari sekolah lagi saya sejujurnya paling menggemari karangan jenis fakta berbanding karangan berbentuk cereka, dialog, karangan berformat dan sebagainya,

Namun, saya juga harus akui bukan mudah untuk mengirim penulisan bukan kreatif, mungkin ruangannya yang terhad dan para editor sendiri sudah memiliki senarai penulis tamu yang mereka khususkan. Penulisan saya pernah ditolak, malah pernah ditolak tanpa sempat saya mengirimnya dengan alasan saya disarankan menghantarnya ke penerbitan lain. Saya juga pernah menulis panjang-panjang dan akhirnya dipotong-potong menjadi pendek untuk siaran ruangan ala-ala ruangan surat pembaca. Biasalah tu. 

Tersiarnya 'Penyerlahan Kematangan Remaja dalam Manikam Kalbu' ini pastinya sesuatu yang mengembirakan bagi saya memandangkan bukan mudah untuk menghasilkan sebuah penulisan bukan kreatif.

Terima kasih Tuhan!
Terima kasih, editor!

Thursday, December 11, 2014

NIPNIP MENGEMBARA : KE KOREAKAH KITA? #1

Disember sudah hampir ke pertengahan dan sebenarnya banyak lagi catatan tertanguh saya. Terima kasih kepada yang sering singgah di sini. Saya sering memantau statistik pengunjung ke blog ini. Nyata, ada juga yang sudi. Catatan perjalanan dan pengalaman saya ke Korea pada bulan Mei yang lalu masih belum dilunaskan. Kasihan pada mereka yang menanti.

Saya bersama beberapa orang pensyarah dan beberapa orang rakan telah ke Korea pada tanggal 14 Mei 2014 yang lalu. Sebenarnya, Universiti Hankuk di Seoul melalui Jabatan Pengajian Bahasa Melayu-Indonesia menganjurkan persidangan/seminar sempena ulang tahun ke-50 jabatan tersebut. Ketika di dalam kelas Kajian Terjemahan pada awal tahun ini, pensyarah saya ada mempelawa kami untuk ke sana bersama. Saya dan dua orang lagi sahabat berminat untuk ke sana, walau bagaimanapun, kami tidak membentang kertas kerja. Yang membentang ialah tiga orang pensyarah dan dua senior dari kursus pengajian kami di UUM.

13 Mei :Perjalanan saya bermula dari UUM ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim. Penerbangan kami sekitar 9.30 malam ke Kuala Lumpur. Ketika ini saya dalam resah, bimbang juga barang-barang peting tertinggal. Maklumlah, pertama kali ke luar negara. Malam itu juga penerbangan dari Alor Setar tidak berlepas seperti yang dijadualkan. Lebih kurang sejam juga perubahan masa penerbangan dan kira pukul 11 lebih juga kami tiba di KLIA-2. KLIA-2 masih baru beberapa minggu dibuka rasanya ketika itu. Walau bagaimanapun tidaklah perlu bimbang kerana ada sahaja orang yang memegang papan 'ask me' yang bersedia membantu jika kita tersalah jalan mahupun arah.

Malam itu saya bersama seorang pensyarah dan dua lagi sahabat saya melepaskan lelah sebelum menunggu pagi esok di kawasan berhampiran pejabat syarikat penerbangan Air Asia. Kawasan tersebut berkarpet dan dekat dengan tandas. Ramai juga yang bermalam di situ sementara menunggu penerbangan masing-masing. Beg-beg kami dijadikan sepadan 'rumah' kami.

14 Mei : Tidur kami tidaklah begitu lena, tambahan pula di tempat awam sebegitu. Seorang demi seorang mandi dan mempersiapkan diri sementara menanti Subuh tiba. Kemudahan surau juga disediakan di KLIA-2 di tingkat bawah. Usai sahaja Subuh, kami meninggalkan kawasan berkarpet yang menjadi tempat bermalam kami sebelumnya. Kami mencari tempat untuk bersarapan yang sememangnya banyak di situ dan kami memilih untuk bersarapan di sebuah Kopitiam. Saya lupa nama kedainya.

KLIA-2 ni luas juga rupanya. Beberapa minit lagi sebelum pukul 7 pagi, kami bergegas ke balai perlepasan antarabangsa yang terletak di atas. Selepas melalui pemeriksaan kastam pada kali pertama, kami terasa kagum seketika kerana kami memasuki pula sebuah gedung membeli belah yang begitu besar. Kekaguman itu hanya seketika kerana kami perlu bergegas ke bahagian pemeriksaan kastam kedua pula yang sebenarnya memerlukan kami bergerak pantas. Tolonglah percaya bahawa KLIA-2 sangat besar dan janganlah terlambat. 

Ketika melalui pemeriksaan kastam, sememangnya kebimbangan sentiasa ada. Saya ditahan seketika kerana paparan imej menunjukkan di dalam beg saya mempunyai ubat gigi. Saya pun mengeluarkannya tetapi dipulangkan kembali kerana saiznya yang kecil. Ya, harus diingat jika hendak terbang, terdapat had minima untuk cecair. 

Sebaik melangkah masuk ke dalam perut pesawat Air Asia X, saya mengharapkan perjalanan kami dipermudahkan. Mujur saya dan dua orang lagi sahabat saya sudah memesan makanan ketika menempah tiket. Perjalanan yang kira-kira 7-8 jam itu tidak boleh dibiarkan perut kosong. Saya memesan Nasi Lemak Pak Nasir...hahaha.

Saya duduk sebelah orang yang berada di tingkap, jadi sesekali saya mencuri pandang melihat awan. Cuaca begitu baik sekali hari itu. Perjalanan yang jauh membuatkan saya sedikit sakit kepala. Berkali-kali cuba untuk lena dan melihat jam. Nyata, belum sampai ke Korea lagi.

Kami tiba di Lapangan terbang Incheon kira-kira pukul 3.20 petang (waktu Korea). Kami juga diberitahu bahawa suhu ketika itu ialah 21*C. Yeahhh, kami sudah menghirup udara Seoul! Panas dinginya seronoklah! 

Pemeriksaan Kastam di Lapangan Terbang Incheon agak bersistematik dan banyak kaunter pemeriksaan kastam yang dibuka. Jadi tidak perlu mengambil masa yang lama. Seterusnya kami menaiki keretapi untuk mengambil bagasi. Setelah itu barulah kami menjengah keluar dari balai ketibaan dan mendapatkan penganjur yang menunggu kami di sana. 

Tandas di Korea memang tidak mempunyai air, jadi berhati-hati! Jika ke sana, biasakan diri membawa air dalam botol kecil untuk kemudahan. Kami sempat bersolat jamak di tempat-tempat duduk yang disediakan memandangkan penganjur masih menunggu peserta-peserta seminar yang belum sampai, mungkin sepenerbangan juga dengan kami.Kami diberitahu juga bahawa ramai yang sudah tiba di sana sehari sebelumnya lagi. 

Kami dibawa menaiki bas untuk ke President Hotel untuk menghadiri majlis pelancaran. Agak penat juga sebenarnya. Setibanya di tempat berlangsungnya majlis pelancaran, mata saya menangkap beberapa wajah yang saya kenal. Ya, sarjana dan juga penulis!

Nantikan sambungannya bersama gambar-gambar ketika di sana. 
Inilah tempat berkarpet yang saya maksudkan. 

Pagi, baru lepas mandi.

Malam sebelum bertolak ke Korea. 

Monday, December 8, 2014

CERPEN DALAM MINGGUAN MALAYSIA : LELUHUR

Pagi itu, saya menerima pesanan melalui aplikasi sosial 'Whatsapp' daripada abang Helmi (Mohd Helmi Ahmad) yang menyatakan bahawa cerpen ini disiarkan. Terima kasih abang Helmi, seorang penulis prolifik yang sentiasa saya pinjam semangat menulisnya. Semangat Darul Aman barangkali. Sebenarnya, saya akui bukan mudah untuk menembusi tembok ruangan Sastera di Mingguan Malaysia, Cerpen ini merupakan cerpen kedua saya yang mendapat tempat dalam Mingguan Malaysia selepas 'Katak di bawah Tempurung' yang disiarkan pada 10 Jun 2012 yang lalu. Saya kira tahun ini saya kemarau karya, rupanya hujannya Tuhan turunkan di penghujung tahun. Paling penting jangan pernah jemu menulis dan berputus asa, Oh, ya, saya juga sudah mula menggunakan nama pena Haniff Yusoff  sekarang dalam penulisan-penulisan saya. Terima kasih kepada editor yang memilihnya.

Kisah Rumi mencari abang Awi di Negeri Silam dan membawanya pulang ke Negeri Sekarang.

'Leluhur', Mingguan Malaysia, 30 November 2014

"...sebenarnya Tuhan lebih menyayangi Tok Mat. Yang masih bernyawa ialah semangatnya melestari budaya." Dan saya tertanya-tanya jika Tok Mat telah pergi terlebih dahulu dan sesungguhnya Negeri Silam hanya didiami abang Awi dan Tok Mat, siapakah gerangan orang tua yang menyapa saya di sungai sebbelum ini?

Saya biarkan soalan aneh itu gugur bersama derap langkah yang kian menjauh meninggalkan pusara Tok Mat.

Saya dan abang Awi menoleh buat kali terakhir pusara Tok mat sebelum meneruskan perjalanan ke Negeri Sekarang..."  -'Leluhur', Mingguan Malaysia : 30 November 2014.


*AL-FATIHAH buat pejuang sejati tulisan jawi, allahyarham Pak Matlob.*

Sunday, December 7, 2014

CERPEN : ANAK SI PENJUAL SANTAN


Harmoni, 15-30 November 2014



Terima kasih kepada editor yang menyiarkan cerpen saya yang seterusnya. Cerpen ini merupakan cerpen ketiga saya yang disiarkan dalam Harmoni. Terima kasih Kak Salina Ibrahim yang memaklumkannya. 

Wednesday, December 3, 2014

NOVEMBER YANG MEMPERTEMUKAN SAYA DENGAN MIMPI

Suatu hari saya didatangkan mimpi karya saya disiarkan dalam media. Sebenarnya, sudah lama karya saya tidak terpampang dalam majalah dan akhbar. Dan mimpi itu hadir bersama rasa rindu sebenarnya. Saya kisahkannya di twitter dan Kak Salina memberikan semangat agar mimpi itu menjadi nyata. Beberapa minggu kemudian, saya menerima tweet daripada Kak Salina juga yang memaklumkan mimpi saya sudah menjadi nyata. 

November yang basah dengan rindu telah mempertemukan saya dengan 'Anak Si Penjual Santan' dan 'Leluhur', sebuah mimpi yang jujur!


Wednesday, September 24, 2014

BUKAN DORMAN



BUKAN DORMAN merupakan antologi terbaru terbitan Legasi Oakheart. Antologi ini mengumpulkan 14 buah cerpen daripada 14 orang penulis muda tanah air dengan pelbagai tema. Harganya cuma RM 25 dan kalian boleh mendapatkannya di SINI

Selamat membaca! Ya, kami bukan dorman! #BukanDorman #LegasiOakheart

Tuesday, September 23, 2014

DR. TIMAH MAHU JADI ZOMBI

Kadang-kadang Timah cuba menjadi doktor agar Timah dapat berfikiran rasional untuk menterjemah penyakit-penyakit yang menular dalam kalangan rakyat jelata. Tetapi sekarang Timah pula jatuh sakit sedangkan Timah cuba untuk membantu setiap satunya. Timah hanya ada satu hati, janganlah buatkan hati Timah terkepit. Sakit. Kalau Timah lari ke hujung dunia, jangan dicari lagi Timah yang diakui hanya Timah Doktor yang boleh mendengar luahan rasa sedangkan Timah juga disakiti dalam masa yang sama. Kalau Timah tidak ditemui, jangan ditanya ke mana Timah pergi sedangkan Timah sudah aturkan pertemuan dengan pesakit tetapi pesakit mempermainkan masa seorang doktor seperti Timah. Timah bercadang untuk memohon pekerjaan sebagai seorang zombi selepas ini. -Timah-

Friday, September 12, 2014

SEGMEN BEN ASHAARI : AKU , SEORANG BLOGGER !


Assalamualaikum Warahmatullah. Kali ini saya sertai segmen abang angkat saya (alamak habislah kena baling senduk dengan dia): Ben Ashaari. Segmen abang Ben ni lebih terarah kepada fokus kita sebagai blogger.  Petua saya ketika menyertai segmen ini ialah setiap soalan dibaca dengan teliti agar dapat dijawab dengan jujur sekali.

1 1. Terangkan secara ringkas peranan anda sebagai blogger kepada orang sekeliling anda, masyarakat dan negara. Apakah isu yang ingin tekankan terutamanya sekarang ini !

Peranan blogger sangat besar bersesuaian dengan iklim dunia sekarang iaitu dunia tanpa sempadan. Seluruh dia mampu mengakses dan membaca blog kita, jadi kita berperanan untuk menyampaikan dan berkongsi sesuatu, biarpun perkongsian kita tampak kecil tetapi tetap memberikan sesuatu kepada pembaca blog kita. Isu yang hendak ditekankan pula bergantung kepada pengalaman dan misi utama sesebuah penciptaan sesebuah blog. Sebenarnya, macam-macam yang hendak dikongsikan, oleh kerana mulut ini hanya ada satu, jadi blog adalah medium terbaik untuk meluah dan berkongsi segalanya.
2  2. Jika anda mampu dapat pendapatan dari blog sehingga ribuan ringgit, apakah anda akan berhenti bekerja dan menjadi blogger sepenuh masa? Apakah bisnes yang akan anda lakukan sebagai Backup Plan masa hadapan?

Wow, alangkah girangnya hati ini jika blog ini dapat menjana pendapatan, tetapi saya mahu meneruskan kerjaya saya walaupun ianya menjadi realiti sebab saya suka buat banyak benda dan saya cepat stress kalau fokus pada satu kerja saja. Bukan tamak tau!  Bisnes? Jual kain kot. Hahaha.

      3. Ceritakan sedikit mengenai harapan anda sebagai blogger terhadap dunia blog ini.

Harapan? Banyak sebenarnya. Pertama harapan, masyarakat tidak melihat blog sebagai medium picisan semata-mata. Blog merupakan saluran yang banyk manfaatnya yang boleh membangunkan masyarakat. Saya juga berharap blogger-blogger menaip di blog mereka dengan penuh keikhlasan. Ya, paling penting menaip dengan-IKHLAS.

Yang teringin untuk sertai boleh terus ke SINI. Sampai petang ini saja segmen ini berlangsung. Terima kasih kepada yang sudi datang menjenguk ke sini ya. 

Monday, September 8, 2014

Mini GA September Cash RM300 by Emas Putih

As-Salam

[Siala nak join sila tekan banner di atas]

Mini GA September Cash RM300 ini di anjurkan oeh Emas Putih dan disponser oleh Emas Putih ,  Anagurls , Aimisyafiqah , Julia , Dyba , Tarmizi Mizi , Angah Judin , Amir Zahari , Nisa Ahmad , Halim Brothers 

Thursday, September 4, 2014

NIPNIP MENGEMBARA: PBAKL2014

Catatan tertangguh juga sebenarnya berkisar Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2014 (PBAKL2014) yang saya kunjungi dengan beberapa orang sahabat. Kali ini sehari sahaja, tidak seperti PBAKL 2013 yang kami bermalam beberapa hari di Kuala Lumpur. Bagi menjadikan perjalannan kami bertambah menarik, kami memilih untuk melalui udara. Mungkin juga rezeki kami, harga tiket juga sangat berpatutan dan lebih berbaloi jika dibandingkan dengan menaiki bas, jadi kami putuskan untuk menaiki pesawat Air Asia ke Kuala Lumpur.
            Pagi-pagi lagi, ayah sudah menghantar saya ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim. Sekitar 6.30 pagi, lapangan terbang pun lengang lagi. Dan saya menunggu pula tiga orang lagi kawan saya yang bertolak dari UUM menaiki teksi.  Kami berlepas sekitar pukul 8.35 pagi dan tiba di LCCT kira-kira sejam kemudian. Kembara kami diteruskan dengan menaiki bas ke KL Sentral pula. Tiket bas ini boleh dibeli sekali ketika membeli tiket kapal terbang Air Asia, tetapi kami membeli terus tiket bas pada hari kejadian dan basnya sentiasa ada (dalam erti kata lain kuantiti basnya banyak dan tidak perlu menunggu dalam masa yang lama).
            Kembara kami diteruskan dengan menaiki LRT Star untuk ke PWTC. Kali ini agak lain suasananya berbanding tahun lalu. Orang tidak terlalu berasak dalam LRT untuk ke PWTC. Mungkin kerana hari berkerja dan bukan musim cuti sekolah. Walau bagaimanapun, suasana di PWTC tetap sesak dengan kehadiran manusia yang pelbagai ragam. Sempatlah saya menggunakan baucar buku untuk membeli beberapa buah buku yang saya idam-idamkan. Fokus PWTC kali ni, saya nak dapatkan beberapa naskhah pemenang Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BERITA HARIAN, terutama karya Ruhaini Matdarin dan Roslan Jomel dan saya berkejaran mencari karya terbaru Faisal Tehrani. Seperti tahun-tahun sebelumnya, PBAKL yang seperti majlis hari raya buat peminat buku menemukan saya dengan beberapa orang rakan penulis yang lain.
            Petang itu, setelah usai membeli-belah, kami kembali ke KL Sentral tanpa perancangan yang betul-betul dirancang, tambahan pula kami belum membeli tiket untuk pulang ke Kedah. Mengikut perancangan awal, kami mahu pulang menaiki kereta api tetapi seminggu sebelum itu, tiket telah habis. Saya ada meminta pertolongan seorang sahabat untuk menanyakan hal yang sama di KL Sentral sebelum hari kejadian, ternyata hampa-tiket kereta api Senandung Langkawi pada hari itu memang sudah habis. Entah macam mana, petang itu saya terfikir untuk bertanya lagi di kaunter. Memang rezeki kami, hari itu tiket ditambah lagi, dapatlah kami menaiki kereta api malam itu. Masa yang berbaki digunakan untuk mengisi perut dan jalan-jalan. 
            Kereta api pada malam itu menepati jadualnya. Perlahana-lahan meninggalkan kota raya, perlahan-lahan meninggalkan pengalaman kami di PBAKL 2014. Jumpa lagi PBAKL 2015!