Wednesday, December 3, 2014

NOVEMBER YANG MEMPERTEMUKAN SAYA DENGAN MIMPI

Suatu hari saya didatangkan mimpi karya saya disiarkan dalam media. Sebenarnya, sudah lama karya saya tidak terpampang dalam majalah dan akhbar. Dan mimpi itu hadir bersama rasa rindu sebenarnya. Saya kisahkannya di twitter dan Kak Salina memberikan semangat agar mimpi itu menjadi nyata. Beberapa minggu kemudian, saya menerima tweet daripada Kak Salina juga yang memaklumkan mimpi saya sudah menjadi nyata. 

November yang basah dengan rindu telah mempertemukan saya dengan 'Anak Si Penjual Santan' dan 'Leluhur', sebuah mimpi yang jujur!


Wednesday, September 24, 2014

BUKAN DORMAN



BUKAN DORMAN merupakan antologi terbaru terbitan Legasi Oakheart. Antologi ini mengumpulkan 14 buah cerpen daripada 14 orang penulis muda tanah air dengan pelbagai tema. Harganya cuma RM 25 dan kalian boleh mendapatkannya di SINI

Selamat membaca! Ya, kami bukan dorman! #BukanDorman #LegasiOakheart

Tuesday, September 23, 2014

DR. TIMAH MAHU JADI ZOMBI

Kadang-kadang Timah cuba menjadi doktor agar Timah dapat berfikiran rasional untuk menterjemah penyakit-penyakit yang menular dalam kalangan rakyat jelata. Tetapi sekarang Timah pula jatuh sakit sedangkan Timah cuba untuk membantu setiap satunya. Timah hanya ada satu hati, janganlah buatkan hati Timah terkepit. Sakit. Kalau Timah lari ke hujung dunia, jangan dicari lagi Timah yang diakui hanya Timah Doktor yang boleh mendengar luahan rasa sedangkan Timah juga disakiti dalam masa yang sama. Kalau Timah tidak ditemui, jangan ditanya ke mana Timah pergi sedangkan Timah sudah aturkan pertemuan dengan pesakit tetapi pesakit mempermainkan masa seorang doktor seperti Timah. Timah bercadang untuk memohon pekerjaan sebagai seorang zombi selepas ini. -Timah-

Friday, September 12, 2014

SEGMEN BEN ASHAARI : AKU , SEORANG BLOGGER !


Assalamualaikum Warahmatullah. Kali ini saya sertai segmen abang angkat saya (alamak habislah kena baling senduk dengan dia): Ben Ashaari. Segmen abang Ben ni lebih terarah kepada fokus kita sebagai blogger.  Petua saya ketika menyertai segmen ini ialah setiap soalan dibaca dengan teliti agar dapat dijawab dengan jujur sekali.

1 1. Terangkan secara ringkas peranan anda sebagai blogger kepada orang sekeliling anda, masyarakat dan negara. Apakah isu yang ingin tekankan terutamanya sekarang ini !

Peranan blogger sangat besar bersesuaian dengan iklim dunia sekarang iaitu dunia tanpa sempadan. Seluruh dia mampu mengakses dan membaca blog kita, jadi kita berperanan untuk menyampaikan dan berkongsi sesuatu, biarpun perkongsian kita tampak kecil tetapi tetap memberikan sesuatu kepada pembaca blog kita. Isu yang hendak ditekankan pula bergantung kepada pengalaman dan misi utama sesebuah penciptaan sesebuah blog. Sebenarnya, macam-macam yang hendak dikongsikan, oleh kerana mulut ini hanya ada satu, jadi blog adalah medium terbaik untuk meluah dan berkongsi segalanya.
2  2. Jika anda mampu dapat pendapatan dari blog sehingga ribuan ringgit, apakah anda akan berhenti bekerja dan menjadi blogger sepenuh masa? Apakah bisnes yang akan anda lakukan sebagai Backup Plan masa hadapan?

Wow, alangkah girangnya hati ini jika blog ini dapat menjana pendapatan, tetapi saya mahu meneruskan kerjaya saya walaupun ianya menjadi realiti sebab saya suka buat banyak benda dan saya cepat stress kalau fokus pada satu kerja saja. Bukan tamak tau!  Bisnes? Jual kain kot. Hahaha.

      3. Ceritakan sedikit mengenai harapan anda sebagai blogger terhadap dunia blog ini.

Harapan? Banyak sebenarnya. Pertama harapan, masyarakat tidak melihat blog sebagai medium picisan semata-mata. Blog merupakan saluran yang banyk manfaatnya yang boleh membangunkan masyarakat. Saya juga berharap blogger-blogger menaip di blog mereka dengan penuh keikhlasan. Ya, paling penting menaip dengan-IKHLAS.

Yang teringin untuk sertai boleh terus ke SINI. Sampai petang ini saja segmen ini berlangsung. Terima kasih kepada yang sudi datang menjenguk ke sini ya. 

Monday, September 8, 2014

Mini GA September Cash RM300 by Emas Putih

As-Salam

[Siala nak join sila tekan banner di atas]

Mini GA September Cash RM300 ini di anjurkan oeh Emas Putih dan disponser oleh Emas Putih ,  Anagurls , Aimisyafiqah , Julia , Dyba , Tarmizi Mizi , Angah Judin , Amir Zahari , Nisa Ahmad , Halim Brothers 

Thursday, September 4, 2014

NIPNIP MENGEMBARA: PBAKL2014

Catatan tertangguh juga sebenarnya berkisar Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2014 (PBAKL2014) yang saya kunjungi dengan beberapa orang sahabat. Kali ini sehari sahaja, tidak seperti PBAKL 2013 yang kami bermalam beberapa hari di Kuala Lumpur. Bagi menjadikan perjalannan kami bertambah menarik, kami memilih untuk melalui udara. Mungkin juga rezeki kami, harga tiket juga sangat berpatutan dan lebih berbaloi jika dibandingkan dengan menaiki bas, jadi kami putuskan untuk menaiki pesawat Air Asia ke Kuala Lumpur.
            Pagi-pagi lagi, ayah sudah menghantar saya ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim. Sekitar 6.30 pagi, lapangan terbang pun lengang lagi. Dan saya menunggu pula tiga orang lagi kawan saya yang bertolak dari UUM menaiki teksi.  Kami berlepas sekitar pukul 8.35 pagi dan tiba di LCCT kira-kira sejam kemudian. Kembara kami diteruskan dengan menaiki bas ke KL Sentral pula. Tiket bas ini boleh dibeli sekali ketika membeli tiket kapal terbang Air Asia, tetapi kami membeli terus tiket bas pada hari kejadian dan basnya sentiasa ada (dalam erti kata lain kuantiti basnya banyak dan tidak perlu menunggu dalam masa yang lama).
            Kembara kami diteruskan dengan menaiki LRT Star untuk ke PWTC. Kali ini agak lain suasananya berbanding tahun lalu. Orang tidak terlalu berasak dalam LRT untuk ke PWTC. Mungkin kerana hari berkerja dan bukan musim cuti sekolah. Walau bagaimanapun, suasana di PWTC tetap sesak dengan kehadiran manusia yang pelbagai ragam. Sempatlah saya menggunakan baucar buku untuk membeli beberapa buah buku yang saya idam-idamkan. Fokus PWTC kali ni, saya nak dapatkan beberapa naskhah pemenang Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BERITA HARIAN, terutama karya Ruhaini Matdarin dan Roslan Jomel dan saya berkejaran mencari karya terbaru Faisal Tehrani. Seperti tahun-tahun sebelumnya, PBAKL yang seperti majlis hari raya buat peminat buku menemukan saya dengan beberapa orang rakan penulis yang lain.
            Petang itu, setelah usai membeli-belah, kami kembali ke KL Sentral tanpa perancangan yang betul-betul dirancang, tambahan pula kami belum membeli tiket untuk pulang ke Kedah. Mengikut perancangan awal, kami mahu pulang menaiki kereta api tetapi seminggu sebelum itu, tiket telah habis. Saya ada meminta pertolongan seorang sahabat untuk menanyakan hal yang sama di KL Sentral sebelum hari kejadian, ternyata hampa-tiket kereta api Senandung Langkawi pada hari itu memang sudah habis. Entah macam mana, petang itu saya terfikir untuk bertanya lagi di kaunter. Memang rezeki kami, hari itu tiket ditambah lagi, dapatlah kami menaiki kereta api malam itu. Masa yang berbaki digunakan untuk mengisi perut dan jalan-jalan. 
            Kereta api pada malam itu menepati jadualnya. Perlahana-lahan meninggalkan kota raya, perlahan-lahan meninggalkan pengalaman kami di PBAKL 2014. Jumpa lagi PBAKL 2015!




Thursday, August 21, 2014

BONDA, PILIHAN DAN MEMINTA-MINTA

Bonda, apalah pilihan yang anakanda ada selain meminta biarpun sememangnya sifatmu sedariku dalam rahim ialah memberi.

Bonda, apalah pilihan yang anakanda ada selain meminta lagi dan lagi tanpa henti.

Bonda, apalah pilihan yang anakanda ada selain meminta hatimu merasa galau resah.

Bonda, apalah pilihan yang anakanda ada selain meminta wang lagi sehingga simpananmu sekadar cukup sesuap nasi sebulan dua.

Bonda, apalah pilihan yang anakanda ada selain meminta pengorbananmu dan menyusahkanmu sedangkan aku yang menuntut ilmu.

Bonda, apalah pilihan yang anakanda ada selain meminta maaf dari hati ke hati setelah sekian lama anakanda terus meminta.


Sunday, June 1, 2014

KAMU YANG SAYA RINDU

Sebenarnya banyak yang hendak dikongsikan dan ditumpahkan di sini, namun dek kekangan masa dan bebanan projek akhir sarjana saya, banyak yang saya simpankan sahaja. Tunggu sahaja kehadiran masanya nanti.

Teringin kongsikan perjalanan dan keseronokan saya menjelajah Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2014 di PWTC.

Teruja juga sebenarnya untuk saya kongsikan jejak saya di negara kelahiran Lim Min Hoo, Korea.
Nah, saya belanja gambar ini dahulu.

Salam hormat,
Haniff.

Saturday, May 31, 2014

AL-MARHUM SULTAN AZLAN SHAH DALAM KENANGAN

Petang itu, hati agak terusik.

Mungkin kerana pernah mendiami Darul Ridzuan
Mungkin kerana pernah menjejaki tanah kelahiran al-Marhum-Batu Gajah
Mungkin kerana sering melihat al-Marhum ketika hadir pada majlis kecemerlangan
Mungkin kerana institusi pendidikan kami yang sama-SMK Sultan Yussuf, Batu Gajah.

Pastinya warga Yussufian merasa kehilangan.

al-Fatihah.

Friday, May 30, 2014

LAUT TUJUH GELOMBANG BUIH, DASARNYA SOSIOBUDAYA

LAUT TUJUH GELOMBANG BUIH, DASARNYA SOSIOBUDAYA

JUDUL: LAUT TUJUH GELOMBANG BUIH
NO ISBN: 9789674302016
PENULIS: RAHIMIDIN ZAHARI
JENIS: KUMPULAN PUISI
TERBITAN: INSTITUT TERJEMAHAN DAN BUKU MALAYSIA (ITBM)
MUKA SURAT: 54
HARGA SM (RM 15) SS (RM 20)
NO. RESIT: ITBM02000873


Laut Tujuh Gelombang Buih merupakan sebuah himpunan puisi yang dikarang indah penuh falsafah oleh Rahimidin Zahari. Kumpulan puisi ini sebenarnya telah diangkat sebagai pemenang tempat kedua bagi kategori puisi sempena Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BERITA HARIAN. Sesudah naskhah ini dipilih untuk berada dalam kelompok yang terbaik, nescaya naskhah ini mempunyai kelebihannya yang tersendiri memandangkan menghakimi karya-karya kreatif seperti ini merupakan sesuatu yang sangat subjektif.
            Konsep dan reka bentuk kulit naskhah Laut Tujuh Gelombang Buih cukup menarik dan sedikit sebanyak menterjemahkan isi kandungan yang terdapat di dalam naskhah ini. Rahimidin Zahari sendiri menjadi watak pada kulit naskhah ini sambil memegang patung wayang kulit dan dilatari saujana samudera. Kreativiti pencetus idea dan pereka kulit perlu juga diberikan kredit.
Patung wayang kulit yang terdapat pada kulit naskhah ini sudah terang lagi bersuluh mentafsir tentang sosiobudaya. Sosiobudaya merupakan elemen yang penting dalam mencerminkan keindahan sesuatu budaya yang ditunjangi. Kajian oleh Intan Safinaz Zainudin (2001) yang berjudul Unsur Sosio-budaya dalam Terjemahan Novel Inggeris-Melayu cuba mengenal pasti unsur sosio-budaya yang wujud dan dikategorikan pula mengikut jenis dan ciri yang berbeza. Berdasarkan dapatan kajian yang dijalankan, terdapat lapan unsur sosio-budaya yang telah dikenalpasti iaitu, ekologi, bahan-bahan artifak, budaya sosial, organisasi dan budaya, perlakuan dan gerak laku, lawak jenaka, mainan kata dan frasa idiomatik.  Menurut Khairuddin Mohamad, Ghazali Ismail dan Mastura Mohamed Berawi (2014: 279), salah satu masalah serius yang perlu diharungi oleh penterjemah ialah menterjemah kata atau ungkapan yang mengandungi unsur sosial budaya yang sememangnya khas pada budaya bahasa sumber. Jelasnya setiap kelompok masyarakat atau bangsa mempunyai identiti yang tersendiri dan ini dapat dibuktikan melalui sosiobudaya yang berbeza-beza.
            Secara keseluruhannya, penulis banyak menyentuh tentang watak-watak yang terlibat dalam wayang kulit dan juga persekitarannya. Rahimidin Zahari yang sememangnya begitu sinonim dengan wayang kulit menjadikan naskhah puisinya ini begitu dekat dengan dirinya. Suatu ketika dahulu, wayang kulit begitu masyhur dalam kalangan masyarakat kerana menjadi salah satu medium hiburan. Rahimidin Zahari jelas sekali banyak mengabadikan watak ‘Rawana’ dalam kumpulan puisinya ini. ‘Rawana’ merupakan watak utama dalam epik Ramayana yang dipersembahkan dalam persembahan wayang kulit. Perhatikan puisi di bawah.
DARAH  RAWANA
Merah sudah lantai panggung itu
oleh percik darah Rawana
yang menetes di atas batang pisang
tadi malam. Apakah ia dari
tusukan panah seri rama
atau tiada lebih kerana sumpahan
kakak mbak saudara tua mas
manis gerga jiwa
si tua bangka itu
sita pula entah di pelosok gua atau
di negeri kayangan yang mana-
membawa kewanitaannya yang hamil
oleh benih pemusuhan
kelir kelihatan baying tatkala
lampu itu dipadam.  Dalang tua yang
terlupa mengesat darah Rawana
turun seketika dari panggung dan
bertanya “angkara siapakah itu?”


(halaman 1)
            Rahimidin juga mengabadikan nama watak ‘Rawana’ dalam rangkaian puisi ‘Sihir Rawana’. Walau bagaimanapun, Rahimidin menggunakan kemahiran berpuisinya untuk mengangkat tema yang lebih besar dan bukan berkisahkan ‘Rawana’ semata-mata.

SIHIR RAWANA (III)
Sihir apakah yang engkau kirimkan lewat desir angin dan
Hempas gelombang menusuk dan merobek sukma batini
Guncuran darah anak-anak palestina bertompok di langit
-malam tanpa bintang dan siang…
(halaman 40)
                Sememangnya wayang kulit tidak dapat dipisahkan dengan Rahimidin apabila turut mengabadikan ‘Wak Long’ dan ‘Pak Dogol’ (watak dalam persembahan wayang kulit) dalam puisi-puisinya. Beberapa puisi dalam naskhah Laut Tujuh Gelombang Buih ini menjelmakan keakraban antara mereka seperti puisi-puisi berikut:


KURINDUKAN
Kurindukan wayang bertabuh
di tanah padi tugal
setelah musim menuai

Kurindukan kekehan
Wak Long dan Pak Dogol
membuat kelakar cerita

Kurindukan rebab makyung
jamu kenduri ramai menderu
di anjung setana.
(halaman 7)

WAK LONG
Meski hanya watak wayang yang hodoh
Lagi hitam
yang kononnya dikumpul dari daki Pak Dogol
dikepal-kepal lalu menjadi seorang Wak Long

Wak Long hanya dari kulit belulang yang dikeringkan
Tereka dari imaginasi…
(halaman 22)

Puisi-puisi di dalam naskhah ini dikuatkan lagi dengan gaya bahasa indah Rahimidin yang tidak melampau-lampau atau keterlaluan. Puisi-puisinya juga bersifat ekonomis. Tuntasnya, Kumpulan Puisi Laut Tujuh Gelombang Buih adalah interpretasi idea Rahimidin Zahari yang disalurkan dengan menarik melalui wayang kulit yang begitu dekat dengannya. Wayang Kulit menjadi lambang sosiobudaya masyarakat di sebelah pantai timur khususnya dan pastinya merupakan sesuatu yang berharga yang perlu didekatkan dengan generasi masa kini. 

* ulasan buku ini merupakan penyertaan Peraduan Ulas Buku ITBM 2014



Tuesday, May 27, 2014

DI SOFA KATA: CAKNA ANAK MUDA DALAM USAHA MELESTARIKAN BAHASA DAN SASTERA MELAYU

DI SOFA KATA: CAKNA ANAK MUDA DALAM USAHA MELESTARIKAN BAHASA DAN SASTERA MELAYU

Oleh: Mohd Haniff Mohammad Yusoff


JUDUL: DI SOFA KATA
NO ISBN: 978-967-430-306-8
PENULIS: NUR FATIHA FADILA
JENIS: KUMPULAN ESEI BAHASA DAN SASTERA 
TERBITAN: INSTITUT TERJEMAHAN DAN BUKU MALAYSIA (ITBM)
MUKA SURAT: 225
HARGA: SM RM25 / SS RM30
NO RESIT: ITBM02000873

NASKHAH tulisan Nur Fatiha Fadila ini merupakan himpunan rencana tulisan beliau yang pernah disiarkan dalam majalah-majalah tempatan dan dibahagikan kepada dua bahagian. Bahagian pertama diberi judul ‘Wacana Bahasa Melayu’ dan bahagian kedua diberi judul ‘Esei dan Kritikan Sastera’. Penulis muda ini begitu cakna memerihalkan isu bahasa dan sastera Melayu dalam tulisan-tulisannya. Mengangkat bahasa ibunda dan sastera Melayu dalam penulisannya merupakan usaha murni dalam mendidik serta menyedarkan para pembaca akan keunggulan bahasa ibunda dan betapa signifikannya memelihara sastera Melayu.
            Bahasa Melayu mempunyai susur galur perkembangannya yang tersendiri, malah perkembangannya juga turut dikaitkan dengan agama Islam. Nur Fatiha Fadila tidak terlepas daripada mengisahkan sejarah bahasa Melayu melalui eseinya yang berjudul ‘Bahasa dan Bangsa Melayu: Satu Penelitian Sejarah’.
            Nur Fatiha Fadila merupakan penuntut program sarjana Kesusasteraan Melayu di Universiti Putra Malaysia memerihalkan keupayaan bahasa Melayu yang tidak boleh dipandang enteng. Sebagai warga yang menutur bahasa Melayu, kita sewajarnya menaruh rasa percaya dan bangga akan bahasa Melayu. Menerusi esei yang berjudul ‘Bahasa Tunjang Ketamadunan Negara dan Bangsa’, penulis menerangkan bahasa Melayu melalui zaman kegemilangannya ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka dan melalui zaman cabaran ketika zaman penjajahan. Walau bagaimanapun, keperihatinan para pemimpin dalam membentuk dasar selepas mencapai kemerdekaan memberikan kehidupan semula kepada bahasa Melayu seperti kewujudan Dasar Pendidikan Negara. Selain itu, ketamadunan negara dan bangsa dilangsungkan dengan usaha memperkasakan bahasa Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Sesebuah tamadun memerlukan bahasa sebagai imejan kepada peradaban dan negaranya. Begitulah juga dengan Malaysia. Walaupun diduduki oleh rakyat pelbagai kaum dan etnik dengan bangsa Melayu, Cina dan India sebagai kelompok terbesar, Malaysia tetap memerlukan satu bahasa sebagai identiti negara dan tamadunnya.” (halaman 25-26)
Penulis masih menekankan tentang kewibawaan bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda dalam esei yang berjudul ‘Bahasa Tempatan Citra Jenama Tempatan’. Secara jujur penulis mengkritik sikap masyarakat kita yang tidak berbangga menggunakan bahasa Melayu sebagai label atau jenama sesuatu produk. Penulis turut membandingkan sikap rakyat di negara ini dengan rakyat negara lain seperti masyarakat Korea yang begitu berbangga dengan produk atau jenama keluaran mereka.
Isu bahasa dalam sektor pendidikan di Malaysia turut diberi perhatian oleh penulis. Kebelakangan ini, pelbagai isu yang diperdebatkan membabitkan bahasa dalam bidang pendidikan negara. Esei ‘Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu di Malaysia’ membawa pembaca menyoroti pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu dalam sistem pendidikan di Malaysia dari peringkat prasekolah sehingga ke peringkat institusi pengajian tinggi. Tulisan yang diberi judul ‘Peranan Guru dalam Pelestarian Bahasa Melayu’ ada menyatakan bahawa peranan guru bukan sekadar memperkenalkan para pelajar dengan ilmu linguistik semata-mata tetapi harus juga memberi pendedahan terhadap aspek-aspek bahasa yang lain seperti kesantunan berbahasa dan keindahan bahasa.
            Kecaknaan penulis turut dibuktikan dengan penulisannya yang berjudul ‘Perlestarian Bahasa Melalui Pembaharuan dan Pengembangan Nahu’. Melalui penulisan ini, penulis menjadikan naskhah Nahu Melayu Mutakhir sebagai rujukan utama. Penulisan ini pastinya akan lebih menarik jika dilakukan perbandingan terhadap naskhah-naskhah tatabahasa Melayu sedia ada. Perbezaan yang dilakukan mampu mencerminkan pendirian dan idea setiap ahli bahasa yang berbeza dalam mengemukakan rumus ataupun formula nahu bahasa Melayu.
            Bahasa dan masyarakat sememangnya tidak dapat dipisahkan kerana bahasa menjadi medium yang penting dalam menjayakan sesebuah komunikasi. Esei ‘Bahasa Perbualan Baharu dalam Masyarakat’ secara keseluruhannya menggambarkan situasi semasa masyarakat yang ‘mencipta’ bahasa baharu dengan mewujudkan bahasa slanga, percampuran kod, penukaran kod dan bahasa singkatan. Situasi ini sewajarnya diberikan perhatian agar bahasa Melayu tidak mudah diperalatkan. Kesantunan berbahasa juga perlu diamalkan dalam komunikasi seharian agar dapat mewujudkan suasana yang harmoni dalam kalangan masyarakat di samping menyumbang kepada komunikasi atau interaksi yang berkesan.
            Penulis juga mengaitkan bahasa Melayu dengan keindahan bahasa Melayu itu sendiri yang tiada tolok bandingnya. Fakta ini boleh dirujuk melalui esei yang bertajuk ‘Bahasa dalam Filem Melayu: Antara Dua Zaman’ dan ‘Manipulasi Kuasa Bahasa Kreatif’. Esei yang berjudul ‘Stilistik: Medium Penghasilan Karya Kreatif Imaginatif’ pula memberi pendedahan kepada pembaca tentang penulisan yang berkesan.
            Melalui bahagian kedua, Nur Fatiha Fadila begitu tekun mengakrabi stilistik, bahasa dalam sastera serta pemikiran beberapa tokoh sastera dalam karya-karya yang dipilih untuk dikaji. Penulis yang mempunyai latar belakang sebagai pemegang Ijazah Sarjana Penulisan (Penulisan Kreatif) mengaplikasikan segala ilmu yang ada untuk menghasilkan penulisannya. Secara tidak langsung, penulisannya menjadi hidup dengan disokong beberapa rujukan yang berkaitan.
            Penulisannya juga tampak kritis apabila mengaplikasikan beberapa teori di dalam penulisannya seperti Teori Psikoanalisis Lacan dalam esei ‘Konflik Kejiwaan Hikayat Qaziq dari Sudut Psikoanalisis Lacan’ dan mengaplikasikan Teori Hegemoni dalam esei yang berjudul ‘Kuasa dan Strategi Penguasaan Tersembunyi dalam “Hering”. Tuntasnya, teori-teori ini menjadi tunjang untuk dijadikan analisis dalam teks sastera yang dipilihnya.
            Bukan mudah untuk melahirkan sebuah tulisan yang berbentuk akademik seperti yang dilakukan oleh Nur Fatiha Fadila. Pastinya rujukan yang sewajarnya perlu dilakukan agar fakta yang diperolehi tepat dan tidak menyimpang. Bahasa yang digunakan oleh penulis juga segar dan teratur sekaligus mencerminkan penulisnya seorang yang cermat dan santun dalam berbahasa. Kumpulan Esei Bahasa & Sastera Di Sofa Kata ini sesuai untuk dijadikan bahan bacaan tanpa had peringkat umur memandangkan bahasa dan sastera Melayu adalah milik kita sebagai penutur aslinya!


* ulasan buku ini merupakan penyertaan Peraduan Ulas Buku ITBM 2014




Tuesday, March 11, 2014

PENULISAN YANG DISIARKAN [MAC 2014]


 Sebuah layangan warkah 

Sebuah cerpen yang perlukan kritikan SM Zakir

Sebuah rencana berkisahkan pantun dalan animasi Upin dan Ipin



Monday, March 10, 2014

PULANGLAH, MH370

Sejak Sabtu yang lalu, hati benar-benar terasa sayu. Kita yang begitu ralit dengan urusan masing-masing tiba-tiba menjadi cakna. Setiap kali sebelum tidur, pasti mengharapkan sinar yang menyapa pada paginya dan begitu jua setiap kali mencelikkan mata-mengharapkan segalanya menjadi pasti. Membaca rintihan dan harapan ahli-ahli keluarga mereka, membuatkan hati bertambah sayu. Berat mata yang melihat, berat lagi beban yang digalas. Saat begini juga mendidik kita untuk terus berdoa mengharap pada Yang Esa dan paling penting membawa kita kembali mengingati Yang Maha Kuasa. Oh, Tuhan kerdilnya diri kami di hadapan-Mu.

 
 Sumber gambar: laman sosial

"Ya Allah, Ya Tuhan kami, sesungguhnya Engkaulah yang menjadikan malam dan siang, menghidupkan juga mematikan. Kau selamatkanlah semua krew dan penumpang MH370 yang terlibat. Kau pelihara dan lindungilah mereka dari segala bahaya. Amin."

#MalaysiaAirlines
 #PrayForMH370
#MH370